JAM’UL QUR’AN
Terbahagi kepada 3 peringkat:
1) Zaman Rasullullah s.a.w.
2) Zaman Saidina Abu Bakr as-Siddiq r.a.
3) Zaman Saidina Uthman al-’Affan r.a.
Dan ketiga-tiga zaman ini mempunyai sebab dan keadaan yang berbeza berdasarkan realiti yang berlaku pada sesuatu zaman.
ZAMAN RASULLULLAH S.A.W.
Makna pengumpulan dizaman ini lebih merujuk kepada penulisan sahaja yang mana al-Qur’an itu ditulis di pelepah tamar, tulang, kepingan batu dan lain-lain.
Selepas semuanya ditulis, diikat dan disimpan dengan keadaan tertib ayatnya tetapi bercampur surahnya dan tidak dikumpulkan dalam satu lembaran disebabkan bahan yang ditulis tidak sama.
Tujuan ditulis al-Qur’an pada masa itu adalah semata-mata untuk mengagungkan al-Qur’an tersebut kerana kehebatannya dan ketinggian martabatnya.
Ini adalah kerana pada masa itu Rasullullah s.a.w menekankan agar para sahabat menghafalnya dan sudah cukup sebegitu tanpa perlu menulisnya.
Ditambah pula Rasullullah s.a.w masih ada dan para sahabat tidak terkira ramainya yang menghafal, maka tidak timbul masalah akan hilang ayat al-Qur’an.
ZAMAN SAIDINA ABU BAKR AS-SIDDIQ R.A
Berlaku peperangan antara muslimin dengan ashabu al-Riddah dan Musailamatu al-Kazzab yang mengorbankan lebih kurang 700 huffaz.
Atas sebab inilah Saidina Abu Bakr mengarahkan al-Qur’an dikumpulkan setelah disyorkan oleh Saidina Umar al-Khattab dan direalisasikan arahan tersebut oleh Saidina Zaid bin Thabit
Diantara ciri-ciri yang digunakan oleh Zaid dalam pengumpulan ini, beliau hanya menerima ayat yang ada dihafaz dan ditulis dan bertepatan dengan al-’Urdhotul al-Aakhirah sahaja yang akan dimuatkan dalam suhuf Abu Bakr.
Walaupun begitu, suhuf-suhuf persendirian yang ditulis oleh para sahabat seperti Ubay bin Ka’ab, Ibn Masu’ud, Saidina Ali ibn Abi Talib dan lain-lain tidak di lupuskan.
Ini adalah kerana sebab pengumpulan al-Qur’an pada zaman ini adalah kerana takut al-Qur’an itu hilang dengan ramainya para Huffaz yang syahid
Suhuf tersebut mempunyai ayat dan surah yang disusun secara tertib
Setelah Saidina Abu Bakr wafat, suhuf tersebut berada dibawah jagaan Saidina Umar, dan pada masa ini telah timbul perselisihan melibatkan wajah bacaan al-Qur’an kerana terdapat diantara para sahabat yang mengajar wajah-wajah qiraat yang berbeza.
Dan suhuf para sahabat ada yang mengandungi kesemua ahrufu sab’ah yang telah dimansuh semasa al-’Urdhotul al-Aakhirah, dan ada juga penambahan seperti tafsiran yang disangka oleh pengikutnya bahawa penambahan tersebut merupakan ayat al-Qur’an.
Selepas Saidina Umar wafat, suhuf tersebut diwariskan kepada anaknya Hafsah yang juga salah seorang isteri Rasullullah s.a.w.
ZAMAN SAIDINA UTHMAN AL-’AFFAN R.A.
Jajahan Islam semakin berkembang hingga meliputi semenanjung Tanah Arab dan lain-lain wilayah termasuk Armenia, Arzabeijan dan Khurasan.
Penduduk di wilayah-wilayah ini membaca qiraat melalui riwayat bacaan para sahabat yang masyhur contohnya, ahli Syam membaca qiraat Ubai bin Ka’ab, ahli Kufah dengan qiraat Ibn Masu’ud dan selainnya dengan qiraat Abu Musa al-’Asya’ari.
Dan pastinya perselisihan diantara mereka melibatkan perbezaan wajah qiraat.
Perselisihan ini semakin ketara jika mereka berkumpul dalam satu tempat seperti berkumpul untuk memerangi golongan musyrikin hingga hampir kepada tahap kafir mengkafirkan sesama sendiri
Fitnah ini disedari oleh Huzaifah bin al-Yaman dan terus diutarakan kepada Saidina Uthman agar disalin semula al-Qur’an tersebut.
Kemudian sekali lagi Zaid bin Thabit ditugaskan menyalin balik al-Qur’an dan dibuat 6 salinan dihantarkan ketempat yang tertentu sebagai rujukan dan diarahkan dibakar semua suhuf atau mushaf yang selain daripada keenam-enam salinan tersebut.
Tindakan Saidina Uthman ini disokong sekalian para sahabat yang jumlahnya hampir mencecah seribu orang kecuali Ibn Mas’uud
Tetapi akhirnya Ibn Mas’uud bersetuju dan dihantar suhufnya kepada Saidina Uthman untuk dibakar.
No comments:
Post a Comment