Wednesday, October 22, 2008

AL-RASM UTHMANI (6)

HAL KEADAAN PENULISAN RASM UTHMANI

Perbahasan antara ulama’ berkaitan hal keadaan penulisan Rasm Uthmani ini boleh di simpulkan kepada 3 pendapat:

1) Rasm Uthmani hanya mengandungi 1 huruf daripada 7 huruf yang telah diturunkan.

2) Rasm Uthmani mengandungi kesemua 7 huruf.

3) Rasm Uthmani mengandungi penulisan yang menggambarkan ketujuh-tujuh huruf tersebut.

1)Rasm Uthmani hanya mengandungi 1 huruf daripada 7 huruf yang telah diturunkan.

Pandangan ini mengatakan bahawa disebabkan berlaku perselisihan bacaan maka Saidina Uthman r.a. ingin menyelesaikan masalah tersebut dengan penulisan 1 huruf sahaja iaitu huruf atau bahasa Quraisy

Berdalilkan kata-kata Saidina Uthman kepada 3 orang Quraisy: “Sekiranya ada perselisihan antara kamu dengan Zaid bin Thabit tentang penulisan al-Qur’an maka tulislah dengan bahasa Quraisy, kerana al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa Quraisy”…

2)Rasm Uthmani merangkumi kesemua 7 huruf.

Pendapat ini disokong oleh sebahagian para Fuqaha’ dan Qurra’

Berdalilkan bahawa tidak harus bagi umat Islam meninggalkan satu pun daripada 7 huruf yang telah di turunkan sepertimana telah sepakat para sahabat memindahkan al-Qur’an dari suhuf kepada Mushaf,dan bersepakat meninggalkan apa yang bukan daripada al-Qur’an, bersepakat tidak harus menegah bacaan-bacaan dengan sebahagian daripada 7 huruf dan bersepakat tidak meninggalkan sesuatu pun daripada al-Qur’an.

3)Rasm Uthmani mengandungi penulisan yang menggambarkan ketujuh-tujuh huruf tersebut

Disokong oleh jumhur ulama’ salaf dan khalaf serta imam al-mujtahidin.

Hanya 7 huruf yang dipersetujui oleh Jibril a.s dan Rasullullah S.A.W sahaja ketika sessi talaqqi yang terakhir (al-’Urdhotul al-Aakhirah) dimuatkan didalam Rasm Uthmani.

Berdasarkan kata Ibn al-Jazari:

“Tidak syak lagi bahawa sebahagian daripada ayat al-Qur’an telah dimansukh dan diubah ketika al-’Urdhotul al-Aakhiirah. Dan perkara ini adalah benar dan sah bersandarkan nas-nas yang bukan daripada seorang sahabat sahaja yang meriwayatkannya”...(al-Nasyr mk 31)

Dengan itu tertolaklah pendapat yang kedua yang mengatakan Rasm Uthmani merangkumi kesemua ahrufu al-Sab’ah

Begitu juga bagi pendapat yang pertama tertolak kerana jikalau Rasm Uthmani itu hanya mengandungi dialek Quraisy sahaja, kenapa bacaan al-Qur’an yang sampai kepada umat Islam sehingga kini mempunyai berbagai dialek, contoh seperti:

وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ... الأعراف 137

Terdapat 2 dialek arab dalam kalimah ini:

-Dialek Bani Asad dengan kasrah Ra:

يعرِشون / يعرُشون

dibaca juga dengan dhommah Ra menggambarkan dialek arab selain Bani Asad

Begitu juga pada kalimah

...البقرة 6 ءأَنذَرْتَهُمْ

terdapat qiraat yang mentakhqiqkan pertemuan 2 hamzah yang mana merujuk kepada dialek Bani Tamim dan sekitarnya meliputi bahagian timur dan tengah semenanjung Arab. Dan terdapat juga qiraat yang mentakhfifkan kalimah tersebut merujuk kepada dialek ahli Hijaz,Huzail,Mekah dan Madinah yang meliputi bahagian selatan dan barat semenanjung Arab…(lisanu al-Arab liibn manzur J. 1 mk 22)

Begitu juga dengan kaedah Idgham dan Idzhar

شَهْرُ رَمَضَانَ ... البقرة 185

Kaedah Idgham lebih banyak digunakan oleh ahli Kufah, Basrah dan Syam(Iraq dan sekitarnya) manakala Idzhar digunakan oleh ahli Mekah dan Madinah (al-Hijaziien) disebabkan bi’ah atau keadaan tempat tersebut.

Begitu juga kaedah Fath wal imalah

وَلَلآخِرَةُ خَيْرٌ لَكَ مِنْ الأُولَى (4) الضحى

Qiraat yang membaca fathah merujuk kepada dialek Quraisy, Thaqif, Hawazin dan Kinanah (Barat semenanjung Arab).Dan qiraat yang membaca Imalah merujuk kepada dialek Tamim, Qais, Asad dan Thoyy’(Tengah dan timur semenanjung Arab)

Ada pun kata-kata Saidina Uthman “al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa Quraisy” adalah merujuk kepada permulaan al-Qur’an itu memang diturunkan dalam bahasa Quraisy kerana di pada awalnya ditujukan kepada kaum Quraisy dan Rasullullah itu sendiri berbangsa Quraisy, tetapi kemudian diperluaskan kepada seluruh ummah dengan bahasa atau dialek yang lain untuk mempermudahkan pembacaan tanpa membebankan hingga tiada masa untuk mentadabbur ayatnya.

No comments: