بسم الله الرحمن الرحيم
1. Sambungan penerangan pada ayat ke 114:
- Setelah diterangkan maksud ayat ke 114 ini yang mana merujuk kepada mereka yang menghalang nama Allah disebut di dalam masjidNya, eloklah di terangkan ciri-ciri mereka yang layak untuk memakmurkan masjid sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t yang berbunyi[1] :
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللَّهَ فَعَسَى أُوْلَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنْ الْمُهْتَدِينَ
Maksud: “ Sesungguhnya yang memakmurkan masjid itu ialah sesiapa yang beriman dengan Allah (dalam erti kata yang sebenar), kemudian beriman dengan hari akhirat, kemudian mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat dan dia tidak takut melainkan Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharap mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk”
- Ciri yang pertama ialah:
مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ
“Sesiapa yang beriman dengan Allah (dalam erti kata yang sebenar)” Bukan dalam makna yang tidak sebenar iaitu beriman dengan sebahagian daripada ajaran Allah s.w.t dan meninggalkan sebahagian yang lain. Maka orang yang beriman separuh-separuh sebegini sebenarnya tidak layak untuk memakmurkan masjid.
- Ciri yang kedua ialah:
وَالْيَوْمِ الآخِرِ
“ Kemudian beriman dengan hari akhirat” Orang yang memakmurkan masjid semestinya beriman dengan hari akhirat dalam erti kata bersungguh-sungguh menjana kebajikan dalam menambah saham akhirat untuk masyarakat serta mempunyai sikap berlumba-lumba mendapatkan balasan syurga serta sikap mencegah dalam kegiatan yang mengakibatkan natijahnya adalah neraka.
- Ciri ketiga adalah:
وَأَقَامَ الصَّلاةَ
“ Dan mendirikan sembahyang” Tidak dinafikan kewajipan sembahyang itu jelas sejelas balasan yang telah Allah s.w.t sediakan bagi mereka yang mengingkarinya sepertimana firmanNya[2] :
مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ
قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ
Maksudnya: “ Apakah yang memasukkan kamu ke dalam neraka Saqar? Mereka menjawab: “ Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat”
Sekiranya dia merupakan orang yang memakmurkan masjid, sudah semestinya dia mesti mendirikan sembahyang. Kalau kerajaan, kerajaan itu hendaklah kerajaan yang mendirikan sembahyang. Apa makna kerajaan yang mendirikan sembahyang? Maknanya ialah kerajaan yang jemaah menterinya dan ketua-ketua negaranya menunaikan sembahyang lima waktu, bukan setakat sembahyang sunat hari raya dan sembahyang Jumaat sahaja. Mereka juga hendaklah menjalankan undang-undang yang memerintahkan supaya orang mengerjakan sembahyang. Jikalau di dalam negara itu tiada undang-undang sedemikian yang boleh menghukum orang yang tidak sembahyang maka kerajaan seperti itu tidak layak memakmurkan masjid.
- Ulama’ mazhab berbeza pendapat pada bentuk hukuman yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan solat, setelah mereka bersepakat pada keharamannya dan besarnya dosa peninggalnya berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.
* Mazhab Hanafi: Peninggal solat dihukum fasik dan wajib dipenjarakan dan dirotan dengan kuat sampai keluar darah, sehinggalah dia kembali solat dan bertaubat atau mati di dalam penjara. Dia tidak dibunuh kecuali mengingkari kewajipan solat atau mempersendakannya.
* Jumhur ulama’ daripada mazhab Maliki dan Syafie: Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum bunuh walau pun meninggalkan satu fardhu sahaja. Disuruh agar bertaubat selama tiga hari, jika enggan dijatuhkan hukuman had dengan dipenggal kepalanya. Selepas dibunuh, dimandikan dan disembahyangkan ke atasnya serta ditanam di tanah perkuburan orang Islam kerana dia tidak dikira kafir. Ini juga adalah pendapat yang rajih pada mazhab Hanbali sebagaimana dikatakan oleh Ibn Qudamah dalam Al-Mughni .
- Ciri keempat adalah:
وَآتَى الزَّكَاةَ
“ Dan menunaikan zakat” Begitu juga orang yang memakmurkan masjid adalah orang yang menunaikan zakat. Apa kena mengena pula memakmurkan masjid dengan menunaikan zakat ini. Orang yang menunaikan zakat ini ialah orang yang tahu tanggungjawab harta bendanya dengan menunaikan zakat mengikut hukum Islam yang telah ditetapkan oleh Allah dan rasulNya. Zakat (harta, ternakan, galian dan sebagainya) dibayar apabila sampai nasabnya dan zakat fitrah pula diambil setahun sekali iaitu pada hari raya fitrah dimana kedua-dua jenis zakat ini adalah diwajibkan keatas umat Islam. Pernah diriwayatkan Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq memerangi mereka yang tidak mengeluarkan zakat ternakan dan harta benda. Inilah yang berlaku di dalam masyarakat Islam di zaman kegemilangannya di mana hukum Islam itu dilaksanakan.
- Pemerintah Islam dalam erti kata yang melaksanakan hukum Islam berhak serta layak mengendalikan harta zakat dan begitu juga sebaliknya. Sebagaimana yang disebut oleh Sayyid Sabiq di dalam kitabnya “ Fiqh al-Sunnah” dan juga Dr. Yusof al-Qardhawi di dalam kitabnya “ Fiqh al-Zakah”, sekiranya pemerintah itu tidak melaksanakan hukum hudud umpamanya pencuri (yang sudah sabit kesalahannya dengan cukup syarat) tidak dipotong tangan atau kesalahan yang lain seperti berzina tidak di rejam atau pun di rotan dengan kata lain tidak menjalankan undang-undang Islam, maka tidak harus dibayar zakat kepada pemerintah seperti itu. Dr. Yusof al-Qardhawi mengqiaskan dengan masalah ini dengan masalah membayar zakat kepada pemerintah yang bukan Islam kemudian duit zakat itu digunakan untuk membayar gaji kepada orang yang menentang dakwah Islamiyyah. Beliau menambah bahawa inilah yang berlaku di dalam dunia Islam hari ini dimana membayar zakat kepada pemerintah seperti itu samalah dari segi qiasnya dengan memberi zakat kepada Ibn sabil (orang yang keputusan belanja dalam perjalanan) sedangkan perjalanannya itu untuk merompak dan menyamun. Seumpama kita mengetahui ada orang yang keputusan belanja dalam perjalanan dan kita tahu juga perjalanan orang itu adalah untuk merompak dan kita sendiri member belanja kepada mereka dengan kita bayar zakat kepada pemerintah yang menentang hukum Islam.
- Ciri yang kelima ialah:
وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللَّهَ
Maksudnya: “ Dan dia tidak takut melainkan Allah s.w.t” Orang yang layak memakmurkan masjid juga adalah mereka yang takut kepada Allah s.w.t dan tidak takut kepada manusia. Sekiranya seseorang itu takut kepada peraturan manusia lebih dari peraturan Allah s.w.t, maka orang itu tidak layak untuk memakmurkan masjid. Pernah terjadi di Algeria yang mana negara ini dikenali sebagai negara “ miliyun syahid” yang bermaksud “negara sejuta syahid” dimana penjajah Perancis cuba membendung kegiatan Islam disebuah masjid yang dikuasai oleh golongan Islam dinegara tersebut. Setelah tidak berjaya berbuat demikian dengan mengenakan berbagai sekatan dan peraturan, mereka menggunakan peluru dan bom sehingga masjid tersebut ranap dan hancur bersama-sama ribuan jemaah yang sedang bersembahyang Jumaat di masjid tersebut. Inilah yang berlaku dalam sejarah umat Islam yang membuktikan orang yang layak memakmurkan masjid antaranya ialah orang yang tidak sedikit pun takut kepada manusia. Hal ini demikian dapat menjadikan masjid itu sebagai pusat penerangan dan dakwah Islam yang sebenar serta menyeluruh tanpa ada diganggu gugat oleh tangan-tangan syaitan yang bertopengkan manusia yang sentiasa mahu menggoda manusia agar menyeleweng daripada Islam yang sebenar.
- Abu Jahal, Abu Lahab serta pemimpim besar Quraisy sekalipun ditempelak oleh Allah kerana mengaku bahawa merekalah yang layak memakmurkan Masjidilharam dengan alasan bahawa mereka juga ada menginfaqkan harta untuk pembinaan Masjidilharam dan mereka juga layak untuk memakmurkannya. Tetapi sebenarnya mereka tidak layak memakmurkan dan menjadi wali masjid sepertimana fimanNya[3]:
وَمَا كَانُوا أَوْلِيَاءَهُ إِنْ أَوْلِيَاؤُهُ إِلاَّ الْمُتَّقُونَ
Maksudnya: “Dan tidak layak mereka itu menjadi wali masjid melainkan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t”
2. Ayat 115:
- Asbab nuzul ayat ini diturunkan kerana ketika mana orang-orang Yahudi di Madinah sembahyang mengadap Baitul Maqdis dan Rasullullah s.a.w pula bersembahyang mengadap Ka’bah. Lalu Allah s.w.t memerintahkan Baginda s.a.w supaya mengadap pula ke Baitul Maqdis dengan harapan agar kaum Yahudi mahu masuk Islam[4]. Tetapi setelah 16 bulan (ada yang mengatakan 17 bulan) lamanya perkara ini berlaku dan tiada respon yang positif dari kaum Yahudi, maka Allah s.w.t memerintah semula kepada Baginda s.a.w untuk kembali mengadap ke Ka’bah di Makkah. Oleh sebab itu kaum Yahudi bertanya “ Apakah sebabnya mereka orang-orang Islam berpaling daripada kiblat mereka yang terdahulu?”
Maka turunkah ayat ini yang menjelaskan bahawa kemana sahaja dihadapkan muka kamu, maka disanalah kiblat yang disukai oleh Allah s.w.t.
- Diriwayatkan juga asbab nuzul ayat ini ketika mana Rasullullah s.a.w bersembahyang sunat diatas kenderaan dengan berhadap di mana tempat tujuannya (tidak menghadap kiblat) maka turunlah ayat ini. Jumhur ulama mengatakan bahawa hukum ayat ini sebenarnya telah di nasakhkan oleh ayat yang lain yang memerintahkan supaya umat Islam ketika mengerjakan sembahyang wajib mengadapkan diri mereka kearah qiblat di Baitilharam[5] sepertimana firmanNya [6]:
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Bermaksud: “ Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang) maka hadapkanlah mukamu kearah Masjidilharam dan dimana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu kearahnya”
Apabila turunnya ayat diatas ini maka ternasakhlah hukum pada ayat ke 115 tadi walaupun dari segi kefahamannya dimana sahaja kita beribadah dan menunaikan perintah Allah s.w.t insyaAllah akan mendapat keredhaanNya asalkan ianya kerana Allah s.w.t dengan mengikut cara-cara yang diperintahkan olehNya. Abu ‘Ubayd al-Qasim b. Salam berkata dalam kitabnya “ al-Nasikh wa al-Mansukh”: Maka berkata Ibn ‘Abbas: Perkara yang pertama dinasakhkan dalam al-Quran adalah hukum pertukaran qiblat (pada ayat ini)”[7]
- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [8]: “ Ayat ini menyarankan bahawa ia diturunkan sebagai jawapan terhadap pengeliruan kaum Yahudi yang mendakwa solat kaum muslimin yang berqiblat ke Baitul Maqdis itu adalah tidak sah, sia-sia dan tidak dikira oleh Allah s.w.t. Ayat ini menolak dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa setiap hala itu adalah qiblat belaka. Kemana sahaja orang yang melakukan ibadah itu menghala, disanalah wujudnya wajah Allah s.w.t. Penentuan satu qiblah yang tertentu hanya merupakan perintah daripada Allah yang pasti ditaati, bukannya kerana wajah Allah itu hanya wujud di satu hala yang tertentu sahaja dan tidak wujud pada hala-hala yang lain. Allah tidak menyempitkan dan menyulitkan hambaNya dan tidak pula mengurangkan pahala mereka kerana Allah mengetahui hati mereka, niat mereka dan motif tujuan mereka. Perkara qiblat ini ada keluasannya dan niat itu hanya kepada Allah s.w.t.”
3. Ayat 116:
- Setelah menceritakan tentang betapa sesatnya orang yang menghalang serta mengganggu orang beribadah di masjid dan memakmurkannya dalam menegakkan agama Allah, ayat ini menceritakan perangai orang-orang yang telah sesat imannya kerana menyekutukan Allah s.w.t. Asbab nuzul ayat ini ketika mana berkata kaum Yahudi bahawa ‘Uzayr itu adalah anak Allah s.w.t. Berkata pula kaum Nasrani, Isa itu anak Allah s.w.t manakala berkata pula musyrikin arab bahawa malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah s.w.t.[9] Itulah kata-kata mereka yang sesat . Maha suci Allah s.w.t daripada menyerupai makhlukNya dalam semua perkara tidak ada sepertiNya, sesuatu pun. Dengan kata lain allah s.w.t tidak boleh samakan dengan makhlukNya. Maha suci Allah daripada sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah sebagaimana yang disebut oleh mereka-mereka yang sesat itu.
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata [10]: “ Dakwaan yang karut bahawa Allah mempunyai anak itu bukanlah dakwaan kaum Nasara sahaja terhadap nabi Isa, malah ia juga dakwaan kaum Yahudi terhadap ‘Uzayr dan dakwaan kaum musyrikin Arab terhadap Malaikat. Ayat ini tidak menghuraikan dakwaan tersebut kerana tujuan penerangan ayat ini ialah untuk menerangkan secara ringkas tentang 3 golongan yang menentang Islam pada masa itu di semenanjung Tanah Arab. Anehnya, ketiga2 golongan ini masih lagi terus menerus menentang Islam pada ketika ini dalam bentuk pergerakan Zionis antarabangsa, pergerakan Salib antarabangsa dan pergerakan Kominis antarabangsa. Dan dari kenyataan umum ayat ini gugurlah dakwaan kaum Yahudi dan kaum Nasara kononnya mereka sahaja golongan manusia yang mendapat hidayah dan kini ternyatalah bahawa mereka adalah sama dengan kaum musyrikin Arab.”
- Susulan daripada kekalutan tentang masalah bermuamalah dengan kaum Yahudi, disini diperjelas isu ini agar kita tidak dikelirukan oleh mereka yang ingin menjaga kepentingan duniawi. Dr Yusuf Al Qardhawi, Pengerusi Persatuan Ulama Dunia mengatakan bahawa kita menentang Israel bukan kerana mereka Yahudi, tetapi kerana mereka menjajah tanah umat Islam Palestin dan fahaman zionis mereka. Penubuhan negara haram Israel bukan sahaja melibatkan Yahudi tetapi juga adanya konspirasi melibatkan Kristian Evangelis. Bermakna Zionis itu bukan melibatkan kesemua Yahudi, tetapi sebahagian Yahudi dan segelintir Kristian mazhab Evangelis.
- Di kalangan penganut Yahudi salah satu cabang dalam mazhab ortodok sendiri menentang Zionisme dan dianggap sesat daripada agama Yahudi yang sebenar. Mereka menganggap penubuhan Negara Israel diatas tanah umat Islam Palestin ibarat menggali kubur besar kepada orang Yahudi sendiri. Yahudi sebegini terlibat sama dalam banyak muktamar pembebasan Palestin yang diadakan di Beirut, Istanbul, London dan Tehran. Malah ada diantara mereka dipenjarakan oleh rejim Zionis Israel kerana menentang penubuhan negara tersebut.
- Ada juga dikalangan mereka yang cerdik pandai dalam menangkis sirah Rasullullah s.a.w yang terbukti pernah bermuamalah dengan Yahudi berpendapat dengan menyatakan bahawa Yahudi zaman Rasulullah berbeza dengan Yahudi hari ini kerana mereka berakhlak mulia. Mana mungkin sebegitu, sedangkan Yahudi di zaman Rasulullah pun ramai yang jahat dan menyeleweng daripada kitab Taurat. Namun ada yang bermuamalah dengan Nabi. Tauladan Nabi yang seperti ini akan terus berlaku sepanjang zaman dan begitulah hakikatnya sampailah ke hari qiyamat. Begitu juga hari ini, wujud Yahudi berfahaman Zionis yang zalim menjajah dan membunuh umat Islam dan wujud juga Yahudi yang menolak dan menentang penubuhan penjajahan dan kezaliman tersebut. Mereka banyak tinggal di Amerika dan Eropah. Malah di zaman ini ada diantara mereka memeluk Islam dan menjadi pendakwah terkenal seperti Muhamad Asad daripada Austria dan Mariam Jamilah daripada Amerika.
- Yahudi tidak meminta untuk menjadi Yahudi, sebagaimana Melayu tidak meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu. Justeru, bangsa tidak ada apa-apa kelebihan dan kekurangan di sisi Allah SWT. Nilai yang melebihkan manusia ke atas manusia yang lain ialah imannya kepada Allah SWT. Menjulang keris ke langit menjerit ketuanan bangsa tidak akan membantu apa-apa ke arah keharmonian hidup antara kaum. Bolehkah berurusniaga dengan Yahudi? Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis. Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi. Bahkan Rasulullah SAW sendiri berurusan dengan Yahudi. Di dalam hadis sahih Bukhari dinukilkan kata-kata daripada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahuanha
تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلَاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ
Bermaksud : "Telah wafat Rasulullah SAW dalam keadaan baju besinya tergadai kepada seorang Yahudi dengan (nilaian) 30 sho' gandum..."
Di dalam hadis ini, jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga. Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi? Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam.
- Adapun yang ditentang oleh Islam ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.
Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan. Menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel. Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel. Merujuk kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia. Agak mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa:
".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."
- Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel? Hairan! tidak malukah akhbar media massa memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi di dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia - Israel? Hakikatnya, menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi. Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka. Demikian juga dengan mereka yang mengaku muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan.
Waallahu a’lam[1] Al-Taubah, ayat 18.
[2] Al-Muddathir, ayat 42-43
[3] Al-Anfal, ayat 34
[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 167. Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 280
[5] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 282
[6] Al-Baqarah, ayat 150
[7] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 283
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 412
[9] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 286. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 59
[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 414