Friday, July 13, 2012

KHUTBAH (SABAR DAN SOLAT)


13 JULY 2012, MASJID UIAM KUANTAN

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 153 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman, minta tolonglah kamu dengan sifat sabar dan amal solat. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kaum yang sabar”
Dari zaman ke zaman semenjak zaman para anbiya’ ‘alaihimussolatuwassalam, telah timbul berbagai-bagai dugaan serta cabaran atau pun disebut “mehnah” di dalam memastikan Islam yang merujuk kepada kesemua yang telah di rakamkan oleh Allah  di dalam al-Quran, dapat direalisasikan sebagai dustur atau perlembagaan sesebuah negara. Kita melihat warna-warni dugaan dan cabaran itu mencorak ketulusan aqidah pejuangnya dalam menghadapi setiap ketentuan Allah s.w.t diseluruh dunia Islam. Termasuklah dinegara kita Malaysia sekarang ini, walau pun dari segi persekitaran mahupun dari sudut politiknya berbeza, tetapi umat Islam yang peka dan peduli dengan tuntutan Allah s.w.t untuk menjadi khalifah dimuka bumi ini, pasti akan ketemu dengan berbagai ujian dan dugaan dalam memastikan aqidah Islam itu tertegak.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Maka dengan ini, Allah s.w.t melalui kalamNya pada ayat sebentar tadi memberi satu tips yang melibatkan 2 makenisma iaitu bersabar dan bersolat dalam menghadapi kesemua ujian tersebut. Hal ini demikian kedua-dua tindakan ini merupakan pertolongan penting di dalam melakukan sesuatu ibadat atau pengabdian kepada Allah s.w.t.
Secara ringkasnya sifat sabar itu amat diperlukan ketika mempraktikkan amal ibadah serta berjihad mahu pun berperang. Dan sifat ini juga amat diperlukan ketika menghadapi musibah atau pun rezeki yang mencurah-curah daripada Allah s.w.t.
Kesabaran seringkali disebut di dalam al-Quran kerana Allah s.w.t mengetahui betapa besarnya kesabaran itu diperlukan oleh pendirian yang teguh dan jujur untuk mematuhi jalan Allah s.w.t ditengah-tengah godaan dari berbagai keinginan dan dorongan. Kesabaran juga amat diperlukan oleh perjuangan berdakwah dijalan Allah s.w.t dimuka bumi ini ditengah-tengah berbagai tentangan dan halangan. Kesabaran juga amat diperlukan agar hati seseorang pendakwah dan pejuang itu tenang, tenteram, siap sedia dan waspada lahir dan batin.
Kesabaran dan kegigihan itu diperlukan dalam semua bidang mencakupi kesabaran untuk melaksanakan ketaatan serta menjauhi kemaksiatan. Kesabaran untuk menentang penderhakaan kepada Allah s.w.t., kesabaran menghadapi aneka ragam tipu daya musuh Islam, kesabaran menunggu pertolongan yang lambat tiba, kesabaran menghadapi perkembangan kebatilan, kesabaran menghadapi kekurangan pembantu, kesabaran menjalani jalan yang berduri yang panjang, kesabaran menghadapi penyelewengan manusia dan kesesatan mereka dan kesabaran menghadapi kedegilan mereka yang berat dan penolakan mereka yang amat pedih.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
 Adapun solat pula, ianya adalah ibadah yang merupakan hubungan seorang manusia dengan Tuhannya iaitu Allah s.w.t. Mafhumnya, jikalau seseorang itu tidak sempurna solatnya maka sudah pasti hubungannya dengan Allah s.w.t tidak baik. Apatah lagi jikalau seseorang itu langsung tidak mengerjakan solat. Sudah pasti amalan lain dalam kehidupannya menjadi tidak baik kerana sembahyang itu adalah tiang agama Islam yang menjadi tata cara hidup manusia .
 Apabila masa berjuang itu terlalu lama dan usaha untuk bertahan terlalu sukar, kesabaran kadang-kadang menjadi lemah atau terus hilang andainya disana tiada bekalan yang baru. Oleh kerana itulah Allah s.w.t gandingkan kesabaran itu dengan ibadah solat, kerana ibadat solat itu merupakan sumber bekalan jiwa yang tidak pernah kering dan habis. Ia merupakan sumber untuk memulihkan tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati sekaligus dapat memanjangkan tali kesabaran dengan menjadikannya tidak putus. Bahkan ianya menjadi nilai tambah kepada kesabaran itu kerelaan, kepuasan, ketenteraman, kepercayaan dan keyakinan.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Secara praktikalnya kita dilatih supaya merendahkan diri kepada Allah s.w.t yang disembah dengan penuh rasa keikhlasan dan taat setia. Inilah sebenarnya natijah kepada solat kita iaitu keikhlasan serta taat setia terhadap Allah s.w.t merangkumi kesemua perintahNya. Maka jikalau masih lagi tidak taat setia kepada semua hukum Allah s.w.t tetapi masih lagi siang dan malam bersolat, ianya tidak mencerminkan konsep solat yang sebenarnya. 
Manusia yang fana’, lemah dan terbatas sudah pastinya memerlukan hubungan dengan kekuatan Ilahi yang Maha Agung. Dimana dengan sedemikian mereka dapat mencari pertolongan apabila daya tenaga dan kemampuannya melewati batasnya. Apabila mereka ditentang oleh kekuatan jahat lahir dan batin, apabila daya upaya untuk berdiri teguh dan jujur diatas jalan Allah s.w.t dirasa begitu berat ditengah-tengah godaan nafsu keinginan dan dorongan ketamakan. Apabila perjuangan menentang kezaliman dan kerosakan dirasa begitu berat dan hebat dan apabila jalan perjuangan dirasa begitu lama dan begitu jauh dibandingkan dengan usaha yang terbatas.
Disini nampak dengan jelas nilai ibadah solat. Ia merupakan hubungan secara langsung diantara manusia yang fana’ dengan kekuatan yang kekal abadi. Ia merupakan masa pertemuan makhluk yang kerdil dan terpencil dengan sumber rahmah yang tidak pernah kering. Ia merupakan detik-detik pembebasan diri dari perbatasan fizikal bumi yang sempit kepada ruang alam buana yang luas. ia merupakan detik-detik tiupan bayu, titisan embun dan naungan bayang-bayang ditengahari yang amat panas. Ia merupakan detik-detik sentuhan mesra kepada hati yang sedang penat, letih dan lesu.  Oleh sebab itulah setiap kali dilanda kesusahan, Rasullullah s.a.w bersabda kepada Bilal:
إرحمنا بها يا بلال
Bermaksud: “ Senangkan hati kami dengan solat wahai Bilal
Maknanya Baginda s.a.w banyak mendirikan solat apabila menghadapi sesuatu kesulitan untuk sering bertemu dengan Allah s.w.t. Dengan ini dapatlah difahami melalui ayat ini Allah s.w.t memberi arahan kepada orang yang beriman yang sedang berada diambang kesusahan yang besar agar bersabar dan mengerjakan solat.

Seterusnya firmanNya:
إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Bermaksud: “ Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar
Menunjukkan Allah s.w.t tetap sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar. Ini adalah satu motivasi  dan galakan kepada hambaNya supaya mempunyai sifat sabar sehinggakan Allah s.w.t sendiri menyatakan dengan jelasnya dalam ayat ini Dia bersama dengan orang-orang yang sabar. Maka, sesiapa yang sudah faham tentang hakikat ini iaitu hakikat bahawasanya Allah akan tetap bersama dengan orang yang sabar dan yang bersolat, sudah tentu dia tidak takut untuk menghadapi sebarang dugaan dalam skala ritcher yang besar mana sekalipun kerana yakinnya dengan janji Allah s.w.t. Dia sudah tentu tidak gerun dan bimbang dengan apa jua dugaan bermula dari hidupnya di atas dunia sehinggalah datangnya ajal. Ini membuktikan sabar dan menjaga solat itu tanda seseorang itu hampir dengan Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Berkat daripada sifat sabar serta komited dalam ibadah solah, hari ini seluruh dunia menyaksikan kemenangan Parti Kebebasan dan keadilan iaitu sebuah sayap kepada Ikhwanul Muslimin yang suatu ketika dulu pernah diharamkan oleh kerajaan Mesir. Perjuangan mereka disaluti dengan sifat sabar nan jitu yang memakan masa puluhan tahun disamping mengorbankan jiwa dan harta yang tidak terkira banyaknya. Kemenangan yang amat besar ini telah mampu memberi tamparan hebat kepada Zionis Israel.  Berkata Hassan Hudaibi: “ Ikhwanul Muslimin adalah sebuah nama yang tidak hanya mewakili sebuah organisasi di Mesir tetapi sebagai tanda kebangkitan Islam di seluruh negara Islam dari lautan ke lautan. Dakwah mereka berjaya menggegarkan penjajah, tali barut dan juga golongan munafik”
Maka ketahuilah sidang Jumaat sekalian, perkara yang bahaya kepada musuh Islam adalah kesabaran pejuang Islam disamping komited dengan amal solat mereka  serta kesedaran Islam itu sendiri dikalangan rakyat yang akan mewujudkan pertembungan dengan mereka. Dan apabila perkara ini berlaku, orang Islam akan menjadi seperti generasi awal Islam yang berjaya mengalahkan kerajaan besar Rom dan Parsi.  
وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ





Maasyiral Muslimin,
To conclude the first Khutbah just now,
Since the time of the prophets (peace be upon them), there have been countless challenges and difficulties or trials and tribulations in ensuring that the Law of Al-Quran is realized as the basic structure of a nation’s law and constitution.
In His Holy Quran, Allah has said:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
“O you who have believed, seek help through patience and prayer. Indeed, Allah is with the patient.”
Allah has given us a tip that involves 2 mechanisms, which are being patient and performing prayers when dealing with challenges. If we are faced with a problem, we should ask Allah for assistance by being patient and by praying; certainly then, Allah will extend His aid.
Patience is essential when we want to perform any ibadah or to perform jihad or even to go into battles. Patience is also very important, whether when we are burdened with challenges or when we are gifted with prosperity from Allah SWT.
Solat, or prayer, is a form of ibadah that forms the connection between a human being and his Creator, Allah SWT. If his solat is faulty, then his relationship with Allah is faulty. Imagine if the person does not perform solat at all.
Humans, weak as they are, need a strong connection with the Almighty Lord. With that, they can seek help whenever their limited strength and capabilities fail them, whenever they are being threatened by enemies, be it physically or spiritually, whenever their will to be steadfast and faithful to Allah’s path becomes weak under the pressure of their own desire and greed, whenever the fight against cruelty and destruction becomes too great of a burden and whenever the path of hardship feels too long and too far.
And this proves that patience and taking care of solat are the signs of one’s closeness to Allah SWT.
Maasyiral Muslimin,
The whole world today is witnessing the victory of the Freedom and Justice Party (FJP) which is a wing of the Ikwan Muslimin Organisation that had at one time been barred by the Egypt government. This is possible with the patience and commitment in perfoming solah by the members of the organization. Their struggle that include years of patience and perseverance that had sacrificed many lives and properties, had given a strong impact on the Zionis regime.
Hassan Hudaibi Said “ Ikhwanul Muslimin is a name that represents not only as an organization in Egypt but also a symbol of the rise of Islam throughout the world. Their dakwah has shaken the colonials, traitors and munafiqin.
My dear brothers in Islam, the greatest threat to the enemies of Islam is the patience of Muslim fighters and their awareness of Islam itself. These will create a situation of great anxiety and fear among the Muslim enemies. And, when this happens, Muslim will revert to the early generation of Muslims that was able to defeat the great Roman and Persian empire.