Monday, May 14, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 132-134)


بسم الله الرحمن الرحيم
1.       Ayat 132:
-         Dalam ayat ini secara jelas menggambarkan bahawasanya nabi Ibrahim dan nabi Ya’qub a.s telah memberi wasiat sebagai amanah yang disampaikan kepada anak-anaknya sebelum menutup mata. Wasiat itu berkenaan agar berpegang teguh dengan Islam selama hidupnya sehingga sampai ajal dan janganlah berpaling daripadanya. Hal ini demikian kerana Islamlah satu-satu tata cara hidup yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk hambaNya didunia ini. Disini juga jelas membuktikan bahawasanya semua nabi dan rasul adalah Islam kesan daripada wasiat ini. Adapun agama Yahudi dan Kristian itu adalah daripada rekaan manusia yang sesat kemudian daripada nabi-nabi tersebut. Walaupun didakwa kononnya agama Yahudi dan Kristian itu daripada nabi Musa dan nabi Isa a.s tetapi semua itu karut dan sememangnya tidak bertepatan dengan ayat ini. Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah s.w.t dan janganlah mati melainkan dalam keadaan kita menjadi Islam yang benar-benar tunduk, patuh serta menerima segala syari’at Allah s.w.t yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh nabi Ibrahim dan nabi Ya’qub a.s kepada anak cucunya.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[1] : “ Inilah agama Ibrahim, Islam yang tulen dan terang. Ibrahim tidak cukup dengan dirinya sahaja, malah beliau meninggalkan agama ini kepada zuriat keturunannya. beliau mewasiatkan agama ini kepada anak cucunya. Mula-mula beliau mewasiatkan kepada anak-anaknya sebagaimana Ya’qub (cucunya) mewasiatkan kepada anak-anaknya. Ya’qub adalah Israel yang menjadi asal-usul keturunan bani Israeil. Tetapi bani Israel tidak menyebut pun wasiat Ya’qub, wasiat datuknya, Ishaq dan wasiat moyangnya, Ibrahim. Ibrahim dan Ya’qub masing-masing mengingatkan anak-anaknya terhadap nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada mereka, iaitu nikmat agama Allah yang telah dipilih untuk mereka, sepertimana firmanNya:
يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى لَكُمْ الدِّينَ
Bermaksud : “ Wahai anakku!, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untuk kamu”
Ya’ni agama Islam itu adalah dari pilihan Allah dan tiada pilihan yang lain lagi bagi mereka selepas pilihan itu. Dan sekurang-kurangnya balasan terhadap ri’ayah dan limpah kurnia Allah ialah bersyukur terhadap pilihannya dan menjaga agama yang dipilih olehnya. Dan seterusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh agar mereka tidak meninggalkan dunia ini melainkan membawa amanah agama ini bersama mereka iaitu amanah sepertimana firmanNya:
فَلا تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Bermaksud: “ Kerana itulah jangan kamu mati melainkan sebagai orang Islam”
-         Secara ringkasnya, terdapat satu kesan yang amat mendalam pada ayat ini merujuk kepada anjuran berwasiat. Wasiat seperti ini adalah penting dan semestinya setiap bapa mewasiatkan sepertimana wasiat nabi Ibrahim dan nabi Ya’qub kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian hubungan yang rapat antara anak dan bapa dan sudah semestinya wasiat sebegini memberi kesan yang amat kuat di dalam jiwa anaknya. Sesungguhnya, semahal-mahal pusaka yang ditinggalkan oleh seseorang itu adalah wasiat-wasiatnya yang baik-baik sehingga dengan wasiat tersebut dapat mengekalkan nama baik sipewasiat. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [2]: “ Itulah wasiat Ibrahim kepada anaknya dan wasiat Ya’qub kepada anaknya juga. Iaitu wasiat yang diulangi oleh Ya’qub a.s pada detik hidupnya yang terakhir (ayat 133 nanti). Itulah wasiat yang memenuhi hati dan ingatannya hingga tidak dapat dipisahkan darinya walaupun sedang menghadapi maut dan nazak.”
-         Disini dinyatakan pewaris-pewaris nabi Ibrahim dan nabi Ya’qub a.s yang termasuk dalam ruang lingkup ayat ini[3].
Nama 8 orang anak nabi Ibrahim:
i-                   Ismail, anak kepada Hajar seorang hamba (jariah) yang dihadiahkan oleh seorang raja Mesir kepada Sarah dan kemudiannya Sarah pula menghadiahkan pula Hajar kepada suaminya nabi Ibrahim a.s
ii-                 Ishaq, anak kepada Sarah iaitu isteri nabi Ibrahim yang pertama. Perkataan Ishaq daripada bahasa Ibrani yang membawa erti dalam bahasa arab “yadhaku”, iaitu tertawa. Hal ini demikian Sarah yang berumur 90 tahun telah diberitahu oleh Malaikat bahawa beliau akan memperolehi anak. Maka Sarah tertawa besar apabila mendengarnya kerana hairan dalam usia yang sebegitu beliau masih mampu untuk mendapat anak. Perbezaan umur antara Ismail dan Ishaq adalah 14 tahun Ismail lebih tua.
iii-               Madyan, Madan,Yaqnan, Zamran, Syaiq dan Syaukh. Ibu mereka berenam ini ialah Qontura bt Yaqtan daripada Kan’an. Berkahwin dengan nabi Ibrahim setelah wafatnya Sarah
Dari 8 orang anak nabi Ibrahim inilah yang bertebaran diseluruh negeri Timur Tengah orang-orang yang menjadi keturunannya.
-         Adapun anak –anak nabi Ya’qub pula ada 12 orang kesemuanya.  Nabi Ya’qub inilah yang digelar “ Israeil “ dari bahasa Ibrani yang beerti kekasih Allah s.w.t. Beliau adalah anak kepada nabi Ishaq a.s. Ibunya bernama Rifqah bt Batauil. Dilahirkan kembar dua denga ‘Isu. ‘Isu yang keluar dahulu dan Ya’qub keluar selepasnya. Oleh sebab itulah dinamakan Ya’qub kerana bermaksud mengiringi kemudian dari ‘Isu. Ada juga mengatakan dinamakan Ya’qub kerana ia banyak mempunyai keturunan sehingga 12 orang ramainya. Diriwayatkan ‘Isu ini telah berpindah ke Rom dan digelar Abu al-Rum, ya’ni bapa orang Rom dan daripada beliaulah keturunan orang-orang Rom.
-         Adalah Nabi Ya’qub telah berkahwin dengan anak bapa saudaranya yang bernama Laman. Laman mempunyai  dua orang anak perempuan iaitu Laiya dan Rahil. Kedua-duanya telah dikahwini oleh nabi Ya’qub kerana syari’at pada masa itu membenarkan adik beradik dipermadukan tetapi berlainan dengan  syari’at nabi Muhammad s.a.w yang tidak membenarkan perkara ini pada masa hayatnya. Adalah nabi Ya’qub sangat menyayangi kepada kedua isterinya dan begitu juga kedua isterinya sangat menyayangi nabi Ya’qub sehinggakan kedua-dua isterinya yang masing-masing ada jariah menghadiahkan jariah masing-masing kepada nabi Ya’qub. Mereka adalah Balhah jariah kepada Laiya dan Zilfa jariah kepada Rahil.
-         Dari isterinya Laiya nabi Ya’qub mempunyai 6 orang anak: Rubil, Syam’un, Lawi, Yahuza, Isakhar dan Zabulun. Dari isterinya Rahil, nabi Ya’qub mendapat dua orang anak iaitu: Nabi Yusuf yang masyhur dengan kerupawanannya kerana ibunya Rahil cantik orangnya. Yang kedua adalah Binyamin. Dan ketika melahirkan Binyamin inilah Rahil meninggal dunia dan dikuburkan di Baitul Maqdis. Adapun daripada kedua jariah itu, masing-masing mendapat 2 orang anak. Balhah mendapat Dana dan Naftali manakala Zilfa pula mendapat Jada dan ‘Asyir. Maka anak-anak nabi Ya’qub yang seramai 12 orang itu adalah dari dua orang isteri dan dua orang jariah.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4]: “ Pemandangan yang mengumpulkan Ya’qub dan anak-anaknya ini di saat kehadiran maut merupakan satu pandangan yang amat besar maknanya, kuat saranannya, dalam kesannya kerana pemandangan itu  daripada seorang yang berada di dalam keadaan hampir maut. Apakah persoalan yang memenuhi hatinya diketika itu? Apakah sesuatu yang difikirkan olehnya ketika itu? Apakah sesuatu yang amat besar yang mahu diyakini olehnya? Apakah peninggalan yang mahu ditinggalkan kepada anaknya dan berharap agar peninggalan dan warisan itu benar-benar sampai kepada mereka dalam satu buku catitan yang terperinci? Itulah aqidah. aqidahlah peninggalan dan warisan. Aqidahlah perbendaharaan dan persoalan yang agung, aqidahlah perkara yang amat dirunsingkan, aqidahlah urusan besar yang tidak dapat dipisahkan darinya oleh kehadiran maut dan nazak”

2.      Ayat 133:
-         Asbab nuzul bagi ayat ini adalah ketika mana datang kaum Yahudi mengatakan bahawasanya sebelum nabi Ya’qub meninggal dunia, dia telah berwasiat kepada anak-anaknya supaya berpegang teguh dengan agama Yahudi. Lalu turunlah ayat ini bertanyakan kepada mereka yang berkata sedemikian adakah kamu menyaksikan ketika mana nabi Ya’qub hampir meninggal dunia? Iaitu ketika ia berkata kepada anak-anaknya tentang wasiatnya. Jikalau tidak, janganlah mereka-reka perkara batil dan sesat lalu mengatakan ianya datang dari pesuruh Allah. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5]: “ Inilah peristiwa yang disaksi dan dijelaskan oleh Allah s.w.t dan dengan penjelasan ini Allah mematahkan segala hujah mereka yang mengeliru dan memutuskan segala hubungan yang hakiki diantara mereka dengan moyang mereka iaitu Ya’qub.”  Seterusnya ayat ini berbunyi :
مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي
Bermaksud: “ Apakah yang akan kamu sembah sepeninggalanku?”
Inilah perkaranya punca kenapa dikumpulkan anak Ya’qub. Dan inilah yang nabi Ya’qub mahu mengetahui dengan penuh keyakinan dan inilah amanah dan warisan Lalu mereka menjawab sepertimana firmanNya:
قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَقَ إِلَهاً وَاحِداً وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
Bermaksud: “ Jawab mereka, kami tetap menyembah Tuhan ayahanda dan Tuhan datuk ayahanda Ibrahim, Ismail dan Ishaq iaitu Tuhan yang Maha Esa dan kepadaNya kami sekalian menyerah diri (muslimin).”
Mereka memang mengetahui dan mengingati agama mereka. Mereka menerima warisan itu dan memeliharanya. Mereka mahu menyakinkan bapa mereka yang sedang menghadapi kehadiran maut dan mereka mahu menyenangkan hatinya. Demikianlah wasiat Ibrahim kepada anaknya itu dipelihara dikalangan anak-anak Ya’qub. Begitu juga mereka dengan jelas menyifatkan diri mereka sebagai kaum muslimin (yang menyerahkan diri mereka kepada Allah s.w.t)
-         Berdasarkan penjelasan diatas, jelaslah bahawasanya perbezaan yang amat nyata diantara generasi umat bani Israel yang telah berlalu dengan generasi bani Israel yang dihadapi oleh dakwah Islam dizaman Rasullullah s.a.w. Dimana tidak terdapat ruang hubungan, ruang warisan dan ruang keturunan diantara generasi yang dahulu dan generasi yang kemudian.




3.       Ayat 134:
-         Ayat ini menggambarkan penegasan daripada Allah kepada kaum Yahudi dan Nasara supaya mereka janganlah menyebut yang bukan-bukan tentang umat yang telah lalu iaitu nabi Ibrahim, Ismail, Ishaq dan anak-anaknya. Mereka akan memperolehi apa yang mereka usahakan sedangkan kamu juga akan memperolehi apa yang kamu kerjakan. Kamu tidak akan ditanya tentang amalan orang lain, tetapi akan ditanya amalan kamu sendiri. Ayat ini juga menjadi hujjah agar mereka jangan hanya berbangga dengan keturunan atau baka mereka iaitu nabi Ibrahim, Ismail dan Ya’qub tetapi dalam masa yang sama mereka tidak Islam. Nabi Ibrahim, Ismail dan Ya’qub adalah Islam yang mana menyerah diri kepada Allah s.w.t bukan sahaja dalam masalah ibadah, tetapi dalam masalah hubungan dengan ayahnya. Ketika mana ayahnya menjadi penyembah berhala malah menjadi pembuatnya, nabi Ibrahim menolak ayahnya sebagaimana beliau menolak Raja Namrud sehingga dihukum bakar. Inilah buktinya beliau menyerahkan diri kepada Allah s.w.t. Sepertimana yang berlaku sekarang, tiap-tiap hari orang Islam sembahyang menyerah diri kepada Allah s.w.t tetapi dalam kehidupan seharian menyerah diri pula kepada manusia dan dunia. Jikalau hanya menyerah diri kepada Allah s.w.t ketika ibadah sahaja tetapi ketika berurusan dengan kehidupan harian dalam apa urusan sekalipun mengikut cara orang kafir atau jahiliyyah daripada barat dan seumpamanya. Ini bukan menyerah diri dalam pengertian yang sebenar dan sebab inilah Allah s.w.t melaknat kaum Yahudi dan Nasara.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “Setiap umat masing-masing mempunyai kira-kira amalannya , jalan, gelaran dan sifat yang tersendiri. Umat Israel yang silam adalah satu umat dari orang-orang yang beriman yang tidak ada apa-apa hubungan dengan generasi kemudian dari kaum Israel yang menyeleweng dari agama yang benar. Generasi mereka yang kemudian ini bukanlah merupakan lanjutan dari generasi mereka yang dahulu. Yang dahulu merupakan golongan yang berlainan daripada golongan yang kemudian. Kefahaman dan pemikiran jahiliyyah tidak membezakan diantara satu generasi dengan satu generasi yang lain dalam satu ummah kerana hubungan yang diambil kira sekarang ini ialah hubungan bangsa dan keturunan. Tetapi kefahaman dan pemikiran iman membezakan diantara generasi beriman dengan generasi fasiq. Kedua-duanya bukan satu ummah dan diantara keduanya tidak  terdapat apa-apa hubungan dan pertalian keluarga. Kedua-duanya merupakan ummah yang berlainan di dalam neraca pertimbangan Allah dan juga neraca pertimbangan orang yang beriman. istilah ummah dalam kefahaman iman ialah satu jamaah yang menganut agama yang sama dan aqidah yang sama dari semua bangsa dan negara. Bukannya satu jamaah yang mempunyai hubungan bangsa dan negara yang sama”.



[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 459
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 460-461
[3] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 184-186. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 92. Lihat juga  Al-Jamal, al-Futuhat al-Ilahiyah (1996), J. 1, mk 163
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 461
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 463
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 464