Tuesday, October 2, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 158 )



بسم الله الرحمن الرحيم
1.       Ayat 158:
-          Safa dan Marwah merupakan dua bukit yang letaknya bersetentangan dengan kota Mekah. Lembahnya menjadi persa’eian orang yang mengerjakan haji (waktunya di bulan haji) dan umrah (waktunya di dalam dan diluar bulan haji) berulang-alik dengan berjalan atau berlari-lari anak sebanyak tujuh kali. Jelas di dalam ayat ini, kedua-dua tempat ini diiktiraf oleh Allah s.w.t sebagai Syi’ar agamaNya.
-          Secara umumnya, ayat ini diturunkan ketika mana orang-orang Islam merasa keberatan hendak bersa’ei di antara Safa dan Marwah yang pada suatu masa terdapat disitu berhala-hala yang disembah oleh masyarakat jahilliyyah. Imam al-Bukhari berkata : “Kami telah diceritakan oleh Muhammad b. Yusof, kami telah diceritakan oleh Sufyan daripada ‘Asim b. Sulayman katanya: Aku telah bertanya Anas tentang berkeliling di Safa dan Marwah, lalu dia menjawab : Kami melihat kedua-duanya dari upacara ibadah di zaman jahilliyah. Apabila datang Islam, kami menahan diri kami daripada berkeliling pada keduanya. Kemudian Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan ayat ini[1].
-          Masyarakat jahilliyyah diberitakan telah terlebih dahulu mengerjakan sa’ei dengan memuja dua buah patung, iaitu patung jantan yang bernama Asafa terletak dibukit Safa dan patung betina yang bernama Na’ilah terletak dibukit  Marwah. Disebabkan sejarah inilah, setengah golongan Ansar merasa keberatan untuk mengerjakan sa’ei kerana tidak suka memuliakan tempat yang dimuliakan oleh orang kafir seolah-olah membuat ibadah yang menyerupai amalan orang kafir[2]. Justeru itu, ayat ini diturunkan sebagai bukti bahawa ibadah sa’ei ini dibenarkan oleh Allah dan termasuk antara amalan untuk mendekati Allah s.w.t sebagai lambang taat dan setia kepadaNya. Dengan ini orang Islam tidak perlu bimbang untuk mengerjakan sa’ei kerana ianya adalah syiar  Islam dan satu ibadah yang dituntut oleh Islam kepada mereka yang mengerjakan haji ke Baitullah atau umrah walaupun mempunyai dahulunya musyrikin Mekah pernah meletakkan berhala-hala diantara kedua bukit tersebut.
-          Tiada riwayat yang menentukan tarikh turunnya ayat ini. mengikut pendapat yang paling kuat, ianya diturunkan selepas ayat-ayat yang memperkatakan tentang perubahan qiblat. Walaupun Mekah pada masa itu belum di takluki oleh Islam, mungkin juga ada setengah daripada orang Islam secara individu telah melakukan ibadah haji dan umrah. Mereka inilah yang merasa keberatan untuk berkeliling diantara bukit Safa dan Marwah itu. Sebenarnya, perasaan yang menghasilkan keberatan hati mereka itu adalah hasil dari pendidikan dan pengajaran yang telah lama bertapak di dalam hati serta kefahaman yang amat jelas tentang Islam di dalam hati mereka. Hal ini demikian membuatkan mereka berhati-hati dan peka  dalam segala tindakan mereka sehingga mereka merasa takut kalau-kalau tindakan mereka itu bersamaan dengan amalan jahilliyah atau pun yang dilarang oleh Islam.
-          Kehidupan orang Islam ketika itu digambarkan begitu kuat dari segi aqidahnya yang menakluki seluruh jiwa mereka. Mereka dapat merasakan satu perubahan yang menyeluruh telah berlaku di dalam kefahaman dan pemikiran mereka terhadap kehidupan seolah-olah Rasullullah s.a.w telah memegang jiwa mereka ini lalu menggoncangkannya dengan sekuat-kuatnya sehingga segala keladak-keladak jahilliyah yang melekat dalam jiwa mereka terpelanting keluar darinya. Kemudian atom-atom jiwa mereka disusun semula mengikut corak yang baru sama seperti kejutan elektrik menyusun semula atom-atom mengikut bentuk yang berlainan daripada bentuk asalnya.[3]
-          Atas sebab ini, maka tidak hairanlah mereka memandang jijik serta takut kepada mana-mana amalan yang menyerupai amalan semasa di zaman jahiliyyah. Mereka merasakan bahawa bahagian kehidupan mereka di zaman jahilliyah itu benar-benar telah terputus dari mereka. Ianya bukan lagi merupakan sebahagian dari kehidupan mereka dan mereka juga sudah pasti bukan lagi sebahagian daripada kehidupan jahilliyah. Malah ianya sudah menjadi kehidupan yang kotor dan najis yang dijauhi oleh mereka supaya tidak terlibat lagi dengannya.
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “ Inilah sifat Islam, ia memutuskan seseorang mu’min itu secara total dari segala sesuatu yang diamalkan di zaman jahilliyah. Ia menimbulkan perasaan jijik terhadap segala perkara yang ada hubungan dengan jahilliyah. Ia melahirkan perasaan takut dan hati-hati disetiap waktu terhadap segala perasaan dan segala pergerakan yang dilakukan oleh mereka di zaman jahilliyah sehingga seluruh hati mereka hanya diisikan dengan kefahaman dan pemikiran yang baru dengan segala syarat yang dituntut. Dan apabila perubahan secara total ini telah berlaku dengan sempurna di dalam jiwa kaum muslimin, maka barulah Islam mula menjelaskan mana syiar-syiar ibadah purba yang hendak dikekalkan, iaitu syiar yang dilihatnya tidak mendatangkan sesuatu keburukkan, kemudian syiar ini dihubungkan dengan agama Islam setelah dicabut umbinya dizaman jahilliyah. Maka dengan ini, apabila seorang muslim itu mengerjakan syiar ibadah ini, dia bukanlah mengamalkan kerana ia telah diamalkan dizaman jahilliyah, tetapi kerana ia telah menjadi satu syiar yang baru dari syiar-syiar ibadah Islam yang diambil asal usulnya dari Islam.”  Dan ibadah sa’ei ini adalah salah satu contoh dari kaedah pendidikan Islam yang telah disebutkan diatas tadi apabila al-Quran secara jelas menetapkan bahawa bukit-bukit Safa dan Marwah itu adalah dari syiar-syiar Islam.
-          Oleh itu sesiapa yang berkeliling di dua bukit ini maka beerti dia telah melakukan salah satu syiar daripada syiar-syiar Allah s.w.t dan beerti bahawa tujuan dia berkeliling itu adalah semata-mata untuk Allah s.w.t. Hal ini demikian hubungan diantara ibadah baru dengan ibadah lama yang diwarisi turun temurun  itu telah terputus. Ibadah ini hanya mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t sahaja dan bukan lagi dengan berhala Asafa, Na’ilah dan mana-mana berhala pun di zaman jahilliyah. Maka dengan ini tiada alasan atau sebab lagi yang patut disegani dan dirasa berdosa dalam mengamalkan ibadah sa’ei ini. Syiar – syiar ibadah umrah sama dengan syiar-syiar ibadah haji kecuali wuquf di padang Arafah dan waktunya tidak ditentukan sepertimana hal keadaan waktu ibadah haji.
-          Para ulama’ berselisih tentang hukum sa’ei diantara Safa dan Marwah merujuk kepada ibadah haji dan umrah. Perselisihan ini timbul berdasarkan firman Allah pada ayat ini yang berbunyi:
فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِ
Bermaksud: “ Maka tiada mengapa”
Mengikut kefahaman zahir ayat ini, tidak ada yang menunjukkan dalil yang khusus terhadap ibadah ini melainkan secara umumnya mungkin wajib, atau sunat atau pun harus. Makanya, terdapat tiga pendapat iaitu[5]: Pertama, pendapat yang mengatakan wajib (rukun) dan jikalau tidak dilaksanakan, tidak sah haji atau umrahnya. Pendapat ini di pegang oleh Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam al-Syaf’ei[6]. Pendapat ini berdalilkan daripada apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Syafi’ei sendiri daripada Safiyah bt. Syaibah katanya yang  bermaksud: “ Telah mengkhabarkan kepadaku anak perempuan Abi Tajzah yang bernama Habibah, salah seorang perempuan suku Bani Abdiddar, dia berkata: Saya telah masuk ke rumah keluarga Abi Hussain bersama-sama dengan perempuan Quraisy untuk melihat Rasullullah s.a.w mengerjakan sa’ei diantara Safa dan Marwah, maka saya telah melihat Baginda bersa’ei dan kainnya telah berpusing (terangkat) kerana terlalu derasnya berjalan sehingga berani saya katakan bahawa saya ada ternampak lutut Baginda dan mendengarnya pula berkata : “ Kerjakanlah oleh mu bersa’ei, kerana Allah telas tulis (wajibkan) keatas kamu[7]. Kedua, pendapat ini mengatakan ibadah haji ini bukan rukun tetapi tatawwu’ iaitu dikerjakan dengan sukarela atau sebagai amalan sunat sahaja. Sesiapa yang meninggalkannya, maka haji dan umrahnya sah tetapi dikenakan atasnya dam (denda). Dan ini adalah pendapat Imam Hanafi. Ketiga, pendapat ini pula mengatakan jikalau tidak dilaksanakan, haji dan umrahnya sah dan tiada dikenakan apa-apa denda keatasnya. Ini adalah pendapat Ibn ‘Abbas dan Anas b. Malik[8].
-          Akhirnya Allah berfirman:
فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ
Bermaksud : “ Maka sesungguhnya Allah berterima kasih”
Maksudnya disini ialah Allah s.w.t meredhakan perbuatan yang baik itu dan akan membalasnya dengan balasan yang baik . Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9] : “ Tetapi maksud “ berterima kasih” memberi satu bayangan yang lembut disebalik maknanya. Ia memberi bayangan keredhaan Allah yang sempurna sehingga seolah-olah terima kasih itu datang daripada Allah kepada hambaNya. Disini kata-kata itu menyarankan satu adab sopan yang wajib dan harus wujud dari hamba terhadap Allah s.w.t. Kerana jikalau Allah s.w.t berterima kasih terhadap hambaNya kerana perbuatan yang baik, maka apakah pula yang seharusnya seorang hamba itu buat untuk menunaikan kewajipan bersyukur terhadap Allah s.w.t?



[1] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 48. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 120
[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 34
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 604    `

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 604

[5] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 35
[6] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 43
[7] Diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ahmad dan al-Syafi’ei. Lihat Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 167
[8] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 259

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 607