Thursday, November 15, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 177 )



بسم الله الرحمن الرحيم
1.       Ayat 177:
-          Ayat ini secara jelasnya menggambarkan al-Quran itu meletakkan dasar-dasar kefahaman dan pemikiran keimanan yang betul dan dasar-dasar perilaku keimanan yang betul serta menentukan sifat-sifat orang yang benar-benar bertaqwa. Sebenarnya, ayat ini mempunyai perhubungan  dengan ayat perintah perubahan qiblat dan pertikaian yang timbul disekitarnya yang ditimbulkan oleh kaum Yahudi yang saban hari mengelirukan manusia dalam memahami tuntutan dan suruhan Allah s.w.t. Khitab ayat ini kepada ahli Kitab kerana qiblat Nasara adalah sebelah timur Baytul Maqdis dan qiblat  Yahudi disebelah baratnya[1]. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2]: “ Objektif perubahan qiblat serta syiar-syiar ibadah yang berkait dengannya pada umumnya bukanlah supaya manusia itu menghadapkan muka mereka kehala timur dan barat, ya’ni kehala Baytul Maqdis atau Masjidil Haram. Begitu juga matlamat amalan kebaktian (iaitu seluruh amalan yang baik) bukanlah syiar-syiar yang lahiriyyah itu, kerana syiar-syiar yang lahir itu sendiri ( yang terpisah dari perasaan yang menyertainya di dalam hati dan terpisah dari perilaku di dalam kehidupan yang hakiki) tidak melahirkan kebaktian dan mewujudkan kebaikan, malah kebaktian itu ialah bentuk pemikiran, kefahaman, perasaan kesedaran, tindakan-tindakan dan perilaku iaitu bentuk pemikiran, kefahaman dan tindakan yang melahirkan kesan di dalam hati nurani individu dan masyarakat. Dan hakikat yang mendalam ini tidak boleh digantikan dengan semata-mata menghalakan muka kearah timur dan barat samada menghadap kearah qiblat ini atau qiblat itu atau di dalam pergerakan memberi salam kiri dan kanan di dalam solat atau di dalam seluruh pergerakan yang dilakukan manusia di dalam melaksanakan syiar-syiar ibadah.”
-          Antara kebaktian yang menjadi wadah segala kebaikan yang telah disebutkan di dalam ayat ini sepertimana firmanNya:
مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ
Bermaksud: “ (Kebaktian itu adalah) mereka yang beriman kepada Allah, Hari Akhirat, para Malaikat, Kitab-Kitab Suci dan para Nabi (kesemuanya)”
Keimanan kepada Allah s.w.t adalah merupakan titik perubahan di dalam kehidupan manusia daripada perhambaan kepada berbagai-bagai kuasa, benda dan segala macam perkara kepada perhambaan kepada Allah s.w.t yang Maha Esa sahaja. Ia juga merupakan satu titik perubahan dari keadaan kelam- kabut kepada keadaan yang berperaturan, dari keadaan yang tidak tahu tujuan hidup kepada hidup yang mempunyai tujuan yang tertentu dan dari keadaan yang berpecah-belah kepada keadaan yang mempunyai tujuan yang sama. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3]: “ Umat manusia yang hidup tanpa keimanan kepada Allah s.w.t yang Maha Esa tidak akan mengenal satu tujuan yang lurus dan satu matlamat yang teratur, tidak akan mengenal satu titik pertemuan dimana mereka dapat berkumpul disekelilingnya dengan serius dan samarata sebagaimana berkumpulnya seluruh alam wujud ini dengan hubungan, pertalian dan matlamat yang jelas.”
Keimanan kepada Hari Akhirat pula merupakan keimanan kepada keadilan yang mutlak dalam hal ehwal pembalasan. Ianya juga merupakan keimanan bahawasanya kehidupan di muka bumi ini bukan sia-sia serta caca marba tanpa ukuran dan pertimbangan yang mana sesuatu amalan yang baik itu akan mendapat balasannya walaupun di dunia ini ianya kelihatan seperti tidak menerima apa-apa balasan.
Keimanan kepada Malaikat pula merupakan dari sebahagian keimanan kepada alam ghaib yang menjadi persimpangan jalan yang memisahkan diantara daya pemikiran dan kefahaman manusia dengan daya pemikiran kefahaman haiwan.  Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “Iaitu manusia yang dapat beriman dengan sesuatu yang wujud disebalik pancaindera, sedangkan haiwan hanya terikat dengan alam pancainderanya sahaja dan tidak melewatinya”
Manakala keimanan kepada Kitab-Kitab suci dan para Anbiya’ merupakan keimanan kepada semua risalah dan kesemua para rasul. Iaitu keimanan kepada kesatuan dan persamaan umat manusia, kepada kesatuan dan persamaan Tuhannya, kepada kesatuan dan persamaan agamanya dan kepada kesatuan dan persamaan sistem Ilahi yang ditetapkan kepada mereka. Kesedaran yang seperti ini mempunyai nilai yang amat besar dalam kesedaran seseorang mu’min yang mewarisi warisan para rasul dan risalah yang dibawa oleh mereka.

-          Seterusnya, firman Allah s.w.t yang berbunyi:
وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ
Bermaksud: “(Kebaktian itu juga adalah) memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat (ahli keluarga dan sanak-saudara), anak-anak yatim, faqir miskin, orang yang terlantar di dalam perjalanan, orang yang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi…”
Nilai kebaktian ini membebaskan seseorang daripada belenggu haloba, kedekut, jiwa yang lemah serta mementingkan diri. Ianya juga membebaskan jiwa dari kasih yang teramat sangat kepada harta duniawi yang selalu menahan tangan untuk menderma dan menahan hati dari bermurah hati. Itulah nilai kesedaran agar seseorang itu menghulurkan tangan serta jiwanya untuk mendermakan harta yang disayanginya bukan harta yang murah dan tidak elok. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “ Itulah nilai insaniyyah yang agung di dalam pemikiran Islam yang sentiasa berusaha membebaskan manusia dari bisikan jiwa mereka yang tamak dan lemah sebelum ia membebaskan mereka di dunia luar dalam lingkungan masyarakat dan perhubungannya. Hal ini demikian kerana Islam yakin bahawa orang yang sanggup menjadi hamba kepada nafsu keinginan jiwa sendiri akan sanggup pula menjadi hamba kepada orang lain. Dan orang yang berjiwa bebas dari kongkongan nafsu keinginan diri sendiri, merekalah orang yang berjiwa bebas di dalam masyarakat”
Hubungan kaum kerabat (ذَوِي الْقُرْبَى ) dalam bentuk sebegini dapat mencerminkan kehormatan diri dan keluarga serta mengukuhkan pertalian kekeluargaan yang mana keluarga itu merupakan inti pertama bagi masyarakat. Oleh itulah keluarga diberi keutamaan dan perhatian seperti ini bertepatan dengan kedudukannya di dalam ayat ini[6]. Sabda Rasullullah s.a.w[7]:
صدقتُك على المسكين صدقةً وعلى ذوي رحِمِك صدقةً وصلةَ
Bermaksud: “ Sedekah kamu kepada seorang miskin dikira sebagai sedekah (ibadah) , tetapi kepada kaum kerabat yang mempunyai pertalian keluarga dikira sebagai sedekah serta mengeratkan silaturrahim”
Sabda Rasullullah s.a.w lagi[8]:
صدقتك على المسلمين صدقة وعلى ذوي رحِمِك اثنتَيْن
Bermaksud: “ Sedekah kamu kepada orang-orang Islam dikira sebagai sedekah  tetapi kepada kaum kerabat yang mempunyai pertalian keluarga dikira dua (sedekah serta mengeratkan silaturrahim)”
Bagi anak-anak yatim (وَالْيَتَامَى) pula, nilai ini merupakan hubungan takaful diantara orang-orang dewasa dengan kanak-kanak yang kecil di dalam masyarakat, diantara orang-orang yang kuat dengan orang-orang yang lemah. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9] : “ Ia merupakan pampasan kepada kanak-kanak yang kecil yang telah kehilangan perlindungan dan pemeliharaan dua ibu bapa disamping merupakan satu langkah melindung umat agar kanak-kanak tidak hidup berkeliaran dan tidak terdedah kepada kerosakkan akhlak. Dan juga supaya mereka tidak menaruh dendam terhadap masyarakat yang tidak pernah menghulurkan kebaktian dan pembelaan kepada mereka.”  
Bagi orang miskin (وَالْمَسَاكِينَ) pula yang sememangnya tidak mempunyai wang untuk berbelanja tetapi mengambil sikap diam dan tidak mengemis, maka nilai kebaktian ini dapat memelihara kehormatan diri merekadan menyelamatkan mereka dari kebinasaan serta menimbulkan perasaan di dalam hati mereka bahawa disana adanya semangat membantu dan semangat takaful dalam masyarakat Islam, dimana tiada seorang pun yang diabaikan dan ditinggalkan terbiar begitu sahaja.
Bagi musafir (وَابْنَ السَّبِيلِ ) yang terlantar dan terputus dari harta dan keluarga mereka, nilai kebaktian ini merupakan sesuatu kewajipan menghulurkan bantuan di saat kesusahan dan terlantar diperjalanan tanpa keluarga harta dan rumahtangga. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[10] : “ ( Nilai ini juga) disamping menimbulkan perasaan di dalam hati mereka bahawa seluruh manusia itu adalah keluarga mereka belaka dan seluruh negeri itu adalah tanah air yang mempertemukan satu keluarga dengan keluarga yang lain, mempertemukan harta dengan harta yang lain, satu hubungan dengan satu hubungan yang lain, satu tempat tinggal dengan satu tempat tinggal yang lain
Bagi peminta-peminta bantuan (وَالسَّائِلِينَ ), nilai kebaktian ini merupakan pertolongan untuk memenuhi keperluan mereka disamping merupakan penghalang yang menyekat mereka daripada menjadi pengemis yang dibenci oleh Islam kerana di dalam Islam, seseorang yang mempunyai keperluan yang secukupnya serta mempunyai kemampuan untuk bekerja adalah dilarang mengemis malah ia disuruh oleh Islam untuk bekerja supaya hidup sekadarnya yang mampu tanpa mengemis kecuali sekiranya ia betul-betul tidak mempunyai kerja dan harta walau sedikit pun.
Bagi hamba-hamba abdi (وَفِي الرِّقَابِ) pula, kehendak nas dalam ayat ini terlaksana samada dengan membeli abdi kemudian memerdekakannya atau memberi kepadanya hak menunaikan bayaran yang dipersetujui oleh tuannya sebagai bayaran kemerdekaan. kesemua ini membolehkan hamba abdi itu memerdekakan dirinya dan mengambil balik kemerdekaan dengan segera.
-         Seterusnya, Allah berfirman yang berbunyi:
وَأَقَامَ الصَّلاةَ
Bermaksud; “(Kebaktian itu juga adalah) Mendirikan solat”
Amalan solat ini bukan sahaja mengadap kearah timur dan barat tetapi ianya adalah satu amalan dimana seseorang itu memfokuskan keseluruhan dirinya kepada Allah s.w.t zahir dan batin, beserta tubuh badan, aqal dan ruh secara keseluruhannya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[11] : “ Solat bukan semata-mata pergerakan senaman badan dan bukan pula semata-mata amalan tawajjuh secara soufiyyah dengan ruh sahaja. Solat yang sebenarnya mensebatikan konsep Islam yang asasi terhadap hidup. Islam mengakui manusia itu dengan badan, aqal dan ruh dalam satu kewujudan. Islam juga tidak mengandaikan adanya sebarang pertentangan diantara kegiatan daya badan, aqal dan ruh yang membentuk manusia itu. Ia menjadikan solat itu dalam bentuk qiam, ruku’ dan sujud untuk mewujudkan kegiatan pergerakan badan. Solat itu juga terdiri daripada bentuk bacaan, renungan dan pemikiran memahami makna dan susunan kata untuk mewujudkan kegiatan aqal dan seterusnya solat itu juga terdiri dalam bentuk tawajjuh dan penyerahan diri yang bulat kepada Allah s.w.t untuk mewujudkan kegiatan ruh. Semuanya berlangsung dalam satu waktu. Mendirikan ibadah solat dengan bentuk seperti ini mengingatkan kepada seluruh konsep Islam terhadap hidup dan menegakkan seluruh konsep Islam terhadap hidup dalam setiap raka’at solat itu sendiri.” 

-         Seterusnya, Allah berfirman yang berbunyi:
وَآتَى الزَّكَاةَ
Maksudnya: “(Kebaktian itu juga adalah) Mengeluarkan zakat”
Zakat secara umumnya adalah merupakan pembayaran cukai kemasyarakatan Islam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t keatas harta kekayaan kaum hartawan untuk kebajikan kaum faqir miskin dengan sifatNya sebagai tuan punya harta kekayaan yang dikurniakan kepada seseorang manusia. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [12]: “Ia disebut dalam ayat ini setelah memperkatakan tentang pendermaan harta yang disayangi kepada mereka yang disebut secara umum sebelum ini menunjukkan bahawa pendermaan harta kekayaan kepada pihak-pihak tersebut bukanlah merupakan gantian dari penunaian zakat dan juga penunaian zakat bukanlah merupakan gantian dari pendermaan harta kekayaan. Kerana zakat merupakan cukai yang diwajibkan sedangkan pendermaan harta kekayaan merupakan pemberian sukarela yang bebas. Kebaktian itu tidak sempurna melainkan dengan menunaikan zakat dan mendermakan harta kekayaan kerana kedua-duanya merupakan teras-teras nilai Islam.”
-         Seterusnya, Allah berfirman yang berbunyi:
وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا
Bermaksud: “(Kebaktian itu juga adalah) Menunaikan janji apabila mereka berjanji”
Inilah sifat Islam yang amat ditekankan dan perkara ini sering disebut-sebut di dalam al-Quran. Ia merupakan tanda keimanan, tanda kemanusian serta merupakan suatu keperluan untuk mewujudkan suasana kepercayaan dan ketenteraman di dalam hubungan individu, kelompok serta hubungan antarabangsa dan negara. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [13]: “ Pada permulaannya, ianya di asaskan diatas kesetiaan kepada perjanjian denga Allah s.w.t. Tanpa sifat ini setiap individu akan hidup dalam keadaan gelisah dan tidak percaya kepada sebarang perjanjian dan tidak percaya kepada sesiapa. Islam telah sampai ke kemuncak kesetiaan perjanjian kepada kawan dan lawan yang tidak pernah di capai oleh umat manusia disepanjang sejarahnya dan manusia tidak akan sampai kekemuncak tersebut melainkan dengan seruan dan hidayah Islam.”
-         Seterusnya, Allah berfirman yang berbunyi:
وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ
Bermaksud: “(Kebaktian itu juga adalah) orang-orang yang sabar menghadapi kesempitan dan penderitaan dan sabar dalam masa peperangan”
Nilai kebaktian disini pula adalah untuk mendidik, mengasuh dan menyediakan jiwa manusia itu supaya tidak hancur berterbangan setiap kali dilanda malapetaka, tidak hilang kerana kecewa setiap kali ditimpa kesusahan, tidak rebah tertiarap sekiranya dihadapkan dengan kesempitan. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[14] : “ Satu umat yang ditugaskan untuk memimpin dan menerajui umat manusia dan untuk menegakkan keadilan dibumi serta menyebarkan kebaikan, pastilah bersedia untuk menghadapi segala kesulitan dan kesukaran diperjalanan dengan penuh kesabaran di masa kesempitan dan penderitaan dan ketika peperangan. Ianya bermaksud sabar dalam masa kesempitan dan kemiskinan, sabar dalam masa kesakitan dan kelemahan, sabar ketika berada dalam kesedikitan dan kekurangan, sabar dalam masa peperangan menghadapi kepungan musuh dan seterusnya sabar di dalam segala keadaan supaya mereka dapat melaksanakan tugas mereka yang besar dan memainkan peranan mereka yang telah ditetapkan Allah dengan penuh gigih, tabah, penuh kepercayaan, ketenangan dan kesederhanaan.”
-      Demikianlah sepotong ayat yang panjang mengumpulkan dasar aqidah dan segala kewajipan diri dan harta serta menjadikan semuanya satu paduan dan kesatuan yang tidak berbelah bagi dan mengklasifikasikan kesemua itu dengan nama الْبِرَّ (kebaktian) atau “wadah segala kebaikan” atau di sebut juga sebagai “keimanan” sebagaimana yang telah diterangkan di dalam sesetengah Athar para sahabat. Sebenarnya, inilah intipati kefahaman Islam yang sempurna dan intipati dasar-dasar sistem hidupm Islam yang sepadu dan tanpanya Islam tidak mungkin tegak dan teguh.
-      Dan ayat ini diakhiri dengan firmanNya:
أُوْلَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُتَّقُونَ
Bermaksud: “ Merekalah orang-orang yang benar-benar berbakti dan merekalah orang-orang yang benar-benar bertaqwa”
Merekalah sebenarnya yang menunjukkan sifat keislaman mereka yang sebenarnya kepada Allah s.w.t[15], merekalah orang-orang yang benar di dalam keimanan dan kepercayaan mereka, mereka juga adalah orang-orang yang benar-benar menterjemahkan keimanan dan kepercayaan itu kepada pengertiannya yang hakiki di alam wujud ini. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [16]: “ Merekalah orang-orang yang benar bertaqwa dan takut kepada Allah s.w.t serta berhubung denganNya. Merekalah orang-orang yang menunaikan kewajipan mereka terhadap Allah dengan penuh kepekaan dan kebimbangan.”



[1] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 153
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 647-648
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 649-650
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 650
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 651
[6] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 153
[7] Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmidzi, al-Nasa’ei, Ibn Majah daripada Hadith Salman b. Amir.
[8] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 97
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 652
[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 653
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 654-655
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 655
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 656
[14] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 657
[15] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 154
[16] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 659