Thursday, June 28, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 153-154)


بسم الله الرحمن الرحيم

1.      Ayat 153:
-          Ayat ini secara jelas menyeru kaum muslimin supaya bersabar dan mengerjakan solat. Hal ini demikian kedua-dua tindakan ini merupakan pertolongan penting di dalam melakukan sesuatu ibadat atau pengabdian kepada Allah s.w.t.[1] Sekiranya kita menghadapi kesusahan seharusnya kita perlu meminta tolong kepada Allah s.w.t dengan bersabar dan solat nescaya Allah s.a.w akan memberi pertolonganNya. Secara ringkasnya sifat sabar itu amat diperlukan ketika mempraktikkan amal ibadah serta berjihad mahu pun berperang. Dan sifat ini juga amat diperlukan ketika menghadapi musibah atau pun rezeki yang mencurah-curah daripada Allah s.w.t. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2] : “ Kesabaran seringkali disebut di dalam al-Quran kerana Allah s.w.t mengetahui betapa besarnya daya usaha yang gigih diperlukan oleh pendirian yang teguh dan jujur untuk mematuhi jalan Allah s.w.t ditengah-tegah godaan dari berbagai keinginan dan dorongan dan juga daya usaha yang gigih diperlukan oleh perjuangan berdakwah dijalan Allah s.w.t dimuka bumi ini ditengah-tengah berbagai tentangan dan halangan. Dan seterusnya daya usaha yang gigih diperlukan agar hati seseorang pendakwah dan pejuang itu tenang, tenteram, siap sedia dan waspada lahir dan batin.” 
-          Kesabaran dan kegigihan itu diperlukan dalam semua bidang mencakupi kesabaran untuk melaksanakan ketaatan serta menjauhi kemaksiatan. Kesabaran untuk menentang penderhakaan kepada Allah s.w.t. kesabaran menghadapi aneka ragam tipu daya, kesabaran menunggu pertolongan yang lambat tiba, kesabaran menghadapi perkembangan kebatilan, kesabaran menghadapi kekurangan pembantu, kesabaran menjalani jalan yang berduri yang panjang, kesabaran menghadapi penyelewengan manusia dan kesesatan mereka dan kesabaran menghadapi kedegilan yang berat dan penolakan yang pedih.
-           Adapun solat pula, ianya adalah ibadah yang merupakan hubungan seorang manusi dengan Tuhannya iaitu Allah s.w.t. Mafhumnya, jikalau seseorang itu tidak sempurna solatnya maka sudah pasti hubungannya dengan Allah s.w.t tidak baik. Apatah lagi jikalau seseorang itu langsung tidak mengerjakan solat. Sudah pasti amalan lain dalam kehidupannya menjadi tidak baik kerana sembahyang itu adalah tiang agama Islam yang menjadi tata cara hidup manusia .  Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3] : “ Apabila masa terlalu lama dan usaha terlalu sukar, kesabaran kadang-kadang menjadi lemah atau terus hilang andainya disana tiada bekalan yang baru. Oleh kerana itulah Allah s.w.t gandingkan kesabaran itu dengan ibadah solat, kerana ibadat solat itu merupakan sumber bekalan jiwa yang tidak pernah kering dan habis. Ia merupakan sumber untuk memulihkan tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati sekaligus dapat memanjangkan tali kesabaran dengan menjadikannya tidak putus. Bahkan ianya dapat menokokkan kepada kesabaran itu kerelaan, kepuasan, ketenteraman, kepercayaan dan keyakinan.”
-          Secara praktikalnya kita dilatih supaya merendahkan diri kepada Allah s.w.t yang disembah dengan penuh rasa keikhlasan dan taat setia. Inilah sebenarnya natijah kepada solat kita iaitu keikhlasan serta taat setia terhadap Allah s.w.t merangkumi kesemua perintahNya. Maka jikalau masih lagi tidak taat setia kepada semua hukum Allah s.w.t tetapi masih lagi siang dan malam bersolat, ianya tidak mencerminkan konsep solat yang sebenarnya.  Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “ manusia yang fana’, lemah dan terbatas sudah pastinya memerlukan hubungan dengan kekuatan Ilahi yang Maha Agung. Dimana dengan sedemikian mereka dapat mencari pertolongan apabila daya tenaga dan kemampuannya melewati batasnya. Apabila mereka ditentang oleh kekuatan jahat lahir dan batin, apabila daya upaya untuk berdiri teguh dan jujur diatas jalan Allah s.w.t dirasa begitu berat ditengah-tengah godaan nafsu keinginan dan dorongan ketamakkan. Apabila perjuangan menentang kezaliman dan kerosakan dirasa begitu berat dan hebat dan apabila jalan perjuangan dirasa begitu lama dan begitu jauh dibandingkan dengan usaha yang terbatas. Kemudian mereka melihat perjuangan masih belum lagi mencapai sesuatu kejayaan, sedangkan matahari usianya hampir jatuh, juga apabila mereka dapati kejahatan berkembang subur dan kebaikan merosot dan terperosok dimana tiada cahaya kelihatan diufuk dan tiada tanda di jalan.”
-          Disini nampak dengan jelas nilai ibadah solat. Ia merupakan hubungan secara langsung diantara manusia yang fana’ dengan kekuatan yang kekal abadi. Ia merupakan masa pertemuan makhluk yang kerdil dan terpencil dengan sumber rahmah yang tidak pernah kering. Ia merupakan anak kunci perbendaharaan yang memberi kekayaan yang melimpah ruah. Ia merupakan detik-detik pembebasan diri dari perbatasan fizikal bumi yang sempit kepada ruang alam buana yang luas. ia merupakan detik-detik tiupan bayu, titisan embun dan naungan bayang-bayang ditengahari yang amat panas. Ia merupakan detik-detik sentuhan mesra kepada hati yang sedang penat, letih dan lesu.  Oleh sebab itulah setiap kali dilanda kesusahan, Rasullullah s.a.w bersabda kepada Bilal:
إرحمنا بها يا بلال
Bermaksud: “ Senangkan hati kami dengan solat wahai Bilal
Maknanya Baginda s.a.w banyak mendirikan solat apabila menghadapi sesuatu kesulitan untuk sering bertemu dengan Allah s.w.t. Dengan ini dapatlah difahami melalui ayat ini Allah s.w.t memberi arahan kepada orang yang beriman yang sedang berada diambang kesusahan yang besar agar bersabar dan mengerjakan solat.

-          Seterusnya firmanNya:
إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Bermaksud: “ Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar
Menunjukkan Allah s.w.t tetap sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar. Ini adalah satu motivasi  dan galakan kepada hambaNya supaya mempunyai sifat sabar sehinggakan Allah s.w.t sendiri menyatakan dengan jelasnya dalam ayat ini Dia bersama dengan orang-orang yang sabar. Maka, sesiapa yang sudah faham tentang hakikat ini iaitu hakikat bahawasanya Allah akan tetap bersama dengan orang yang sabar dan yang bersolat, sudah tentu dia tidak takut untuk menghadapi sebarang dugaan dalam skala yang besar sekalipun kerana yakinnya dengan janji Allah s.w.t. Dia sudah tentu tidak gerun dan bimbang dengan apa jua dugaan bermula dari hidupnya di atas dunia sehinggalah datangnya ajal. Ini membuktikan sabar dan menjaga solat itu tanda seseorang itu hampir dengan Allah s.w.t.
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “ Ya’ni Allah s.w.t bersama mereka, iaitu menyokong mereka, mengukuhkan kedudukkan mereka dan memberikan ketenangan dan ketenteraman kepada mereka. Allah s.w.t tidak akan membiarkan mereka berjalan seorang diri dan tidak akan meninggalkan mereka dengan daya upaya mereka yang terbatas itu dan kekuatan mereka yang amat lemah.  Bahkan Allah s.w.t memberi bantuan kepada mereka apabila bekalan mereka kehabisan dan memperbaharui keazaman mereka apabila perjalanan masih jauh. Allah menyeru mereka dipermulaan ayat ini dengan seruan yang mesra yang berbunyi :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
Bermaksud : “ Wahai orang-orang yang beriman”
Dan mengakhiri seruanNya  itu dengan kata-kata perangsang yang menarik yang berbunyi:
إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Bermaksud: “ Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar”
2.       Ayat 154:
-          Asbab nuzul ayat ini adalah ketika mana selesainya peperangan Badar dan kedengaran suara-suara sumbang mengatakan bahawasanya mereka yang terkorban di perang Badar tersebut telah meninggalkan segala kenikmatan dunia[6]. Ada juga yang mengatakan suara sumbang itu daripada orang kafir dan munafiq yang berbunyi “ Mereka telah membunuh diri mereka sendiri secara aniaya kerana semata-mata mengikut kemahuan Rasullullah s.a.w sahaja tanpa ada faedah langsung[7]. Mengikut riwayat, orang mu’min yang terkorban berjumlah 14 orang kesemuanya[8]. 6 orang daripada kaum Muhajirin dan 8 yang baki adalah daripada kaum Ansar[9]. Secara jelas ayat ini menyatakan bahawasanya mereka yang terbunuh itu hidup sebenarnya sekaligus menerima pahala mati di jalan Allah. Al-Hassan meriwayatkan bahawasanya mereka yang mati syahid itu hidup disisi Allah s.w.t. Roh mereka dapat merasakan rezekiNya, bau-bauan Syurga dan kegembiraan. Manakala roh Fir’aun akan merasakan pedihnya neraka pagi dan petang menderita kesakitan[10].
-          Mengapakah Allah melarang untuk mengatakan orang-orang yang telah terbunuh dalam peperangan fi sabilillah itu sebagai orang yang mati? Padahal memang mereka yang terbunuh itu benar-benar sudah mati, bercerai dengan anak isteri, meninggalkan kesemua harta dan sanak saudara. Sebenarnya maksud larangan disini ialah agar jangan disamakan dengan kematian para syuhada’ dengan kematian orang yang mati biasa. Hal ini demikian kerana roh para syuhada’ sekali pun bercerai dengan jasad, tetapi diabadikan langsung di Syurga, hidup dialam ghaib yang tiada dapat dirasakan oleh orang yang masih hidup lagi di dunia ini. sepertimana firmanNya:
وَلَكِنْ لا تَشْعُرُونَ
Maksudnya : “ Bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tiada menyedarinya
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [11]: “ Mereka hidup disisi Allah s.w.t samada dengan pertimbangan ini atau dengan pertimbangan yang lain yang kita tidak mengetahui hakikatnya yang sebenar. Bagi kita cukuplah dengan penjelasan Allah s.w.t yang menyatakan bahawa mereka hidup disisi Allah tetapi kita sahaja yang tidak menyedarinya, kerana hakikat hidup ini diluar kefahaman manusia yang lemah dan terbatas. Namun demikian mereka tetap masih hidup. Mereka masih hidup kerana itu mereka tidak dimandikan seperti orang mati yang lain dan mereka dikafankan dengan pakaian yang ada ditubuh mereka ketika mereka gugur syahid. Tujuan permandian ialah untuk membersihkan badan simati, tetapi para syuhada’ adalah orang-orang yang bersih dan masih hidup. Pakain mereka dibumi menjadi pakain mereka dikubur kerana mereka masih hidup.”
-          Para syuhada’ itu hidup di alam Barzakh yang luar dari batasan manusia biasa  sepertimana disebut dalam sebuah hadith Rasullullah s.a.w yang menggambarkan bahawasanya roh-roh orang yang mati syahid itu berada di tembuluk burung-burung di dalam syurga  dan mereka sentiasa bergembira dan ingin benar memberitahu kepada yang hidup di atas dunia ini supaya matilah seperti mereka. Mereka juga bercita-cita untuk hidup kembali bukan kerana takut akan mati, tetapi mahu memperolehi banyak lagi kelebihan mati syahid dengan syahid sekali lagi sepertimana sebuah hadith daripada Anas r.a katanya[12]: “ Sabda Rasullullah s.a.w: Tiada seorang pun yang masuk syurga  dan suka kembali semula ke dunia, dan dia masih mempunyai sesuatu dimuka bumi ini kecuali orang yang gugur syahid. Dia bercita-cita kembali semula kedunia supaya ia dibunuh berpuluh-puluh kali kerana dia melihat betapa besarnya kemuliaan yang diterima oleh para syuhada’ ”
-          Persoalannya disini siapakah para syuhada’ yang masih hidup itu? mereka ialah orang-orang yang terbunuh di dalam perjuangan Islam yang terbunuh semata-mata kerana jalan Allah sahaja dan tidak bercampur aduk kerana sesuatu lambang, matlamat dan tujuan yang lain daripada Allah s.w.t . Mereka gugur kerana mempertahankan agama yang sebenar yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Mereka gugur kerana agama yang telah dipilih dan disyari’atkan oleh Allah s.w.t. Mereka gugur kerana Islam sahaja bukan objektif yang bercampur aduk dengan sesuatu ideologi dan slogan yang lain. inilah yang ditekankan oleh al-Quran dan al-Hadith agar tidak ada di dalam hati seseorang kekeliruan dan ingatan yang lain, melainkan kerana Allah semata-mata. Ketika mana Baginda ditanya mengenai orang yang berperang kerana menunjukkan keberanian, berperang kerana menunjukkan keagungan dan berperang kerana riya’, manakah yang dikatakan berperang ke jalan Allah? Lalu Baginda s.a.w menjawab: “ Siapa yang berperang supaya agama Allah menjadi agama yang tertinggi, maka dialah yang berperang ke jalan Allah”[13]
-          Baginda s.a.w tidak suka para pemuda bermegah dengan sifat perjuangan yang bukan daripada sifat perjuangan menolong Baginda dan juga sifat berperang dibawah satu lambang yang lain dari lambang menolong agama Islam. Inilah jihad yang sebenar dan jihad inilah sahaja yang menghasilkan pahala syahid dan membuat para syuhada’ yang gugur itu terus hidup.
-          Antara kelebihan mati syahid ialah apabila darah terpancut dari tubuh mereka, maka segala dosa mereka diampunkan oleh Allah s.w.t dan mereka secara hakikatnya mati dengan cara yang terlalu senang dan mudah tanpa sebarang kesakitan walaupun realiti pandangan dunia kematian mereka nampak amat mengerikan. Hal ini demikian ketika mana sakit untuk mati itu hadir, Allah s.w.t memperlihatkan tempat tinggal mereka yang sudah tersedia di dalam syurga sekali gus melenyapkan rasa sakit ketika datang ajal tersebut. Dan juga para syuhada’ ini boleh memberi syafaat kepada 70orang daripada ahli keluarganya yang masuk neraka sehinggalah mereka semua itu masuk ke Syurga.
-          Inilah dia kelebihan mati syahid yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya. Oleh sebab itu kita dapati para sahabat berebut-rebut untuk mati syahid hanya kerana mendengar sabda nabi s.a.w yang berbunyi:
Barangsiapa yang mati dan tidak pernah berperang dalam masa hidupnya dan tidak berniat di dalam hatinya untuk berperang maka matilah dia seperti mati Jahilliyyah” dalam satu riwayat yang lain “ Maka matilah dia dalam sebahagian daripada munafik” Para sahabat bersemangat untuk berjihad  dan mati syahid malah mereka akan menangis sekiranya ketika itu mereka tiada kelengkapan dan kenderaan untuk pergi berjihad bersama Rasullullah s.a.w. Sehinggakan kalau merujuk kepada sejarah ketika mana berlakunya perang Uhud, ketika mana Rasullullah s.a.w menjelaskan tentang kelebihan berjihad, ada seorang sahabat tengah makan tamar dan apabila beliau mendengar penjelasan Baginda, dia terus melemparkan tamar tersebut seraya berkata “ Tidak ada yang menghalang aku daripada masuk syurga melainkan buah tamar yang masih ada bakinya ini”




[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 30.
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 571
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 571-572
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 572
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 575
[6] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 38
[7] Al-Jamal, al-Futuhat al-Ilahiyah (1996), J. 1, mk 184
[8] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 143
[9] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 38
[10] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 144. Lihat juga Al-Jamal, al-Futuhat al-Ilahiyah (1996), J. 1, mk 184-185
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 579-580
[12] Diriwayatkan oleh Malik ,Bukhari dan Muslim
[13] Diriwayatkan oleh Malik ,Bukhari dan Muslim