Tuesday, September 27, 2011

PENGENALAN 3 IMAM TERAKHIR SERTA MANHAJ BACAAN

ABU JA’FAR AL-MADANI

(Imam ke 8)

Dia adalah Yazid bin al-Qa’qa’ al-Makhzumi al- Madani, gelarannya adalah Abu Ja’far. Salah seorang daripada sepuluh Qurra’ daripada generasi tabi’in. Beliau membaca al-Quran dari ketuanya Abdullah bin Abu Rabi’ah, Ibnu Abbas dan Abu Hurairah. Ketiga- tiga sahabat ini pula membaca al-Quran dari Ubay bin Ka’ab. Ibnu Abbas dan Abu Hurairah juga membaca dari Zaid bin Thabit. Dikatakan juga Abu Ja’far mengambil bacaan dari Zaid bin Thabit tanpa perantaraan. Zaid dan Ubai pula mengambil bacaan dari Rasulullah s.a.w.

Dahulunya Abu Ja’far adalah Imam di Madinah dalam bidang Qiraat yang dikenali dengan akhlak yang mulia dan ingatan yang kuat. Ummu Salamah, isteri Rasullullah s.a.w. pernah menyapu kepalanya semasa beliau kecil dan meminta keberkatan untuknya . Beliau juga ada pertalian darah denagn Umar Al-Khattab r.a.

Diriwayatkan oleh Ibn Jammaz bahawasanya beliau berpuasa seperti puasa nabi Daud a.s. Diriwayatkan daripada Mujahid bahawa tiada seorang yang lebih baik bacaannya di Madinah melainkan Abu Jaafar. Imam Malik berkata : Abu Ja’far adalah seorang lelaki yang soleh dan selalu memberi fatwa di Madinah. Nafi’ pula berkata : Ketika Abu Ja’far dimandikan semasa kewafatannya mereka memeriksa bahagian dadanya dan ianya umpama kertas mushaf. Maka ketika itu kesemua mereka yakin bahawa itu adalah cahaya Al-quran.

Beliau ditemui di dalam mimpi selepas kewafatannya dan berkata : Berikan berita gembira kepada sahabat- sahabat aku dan semua yang membaca dengan cara bacaan aku bahawa mereka itu akan diampunkan dosanya. Qiraatnya diriwayatkan oleh Nafi bin Abi Nui’am, ‘Isa bin Wardan, Sulaiman bin Muhammad bin Muslim bin Jammaz, Abdurrahman bin Zaid bin Aslam dan Abu Umar bin al-‘Ala dan ramai lagi. Beliau meninggal pada tahun 130 Hijrah.Dikatan 128 Hijrah . Orang yang paling terkenal yang meriwayatkan qiraatnya adalah : ‘Isa bin Wardan dan Sulaiman bin Jammaz.

IBN WARDAN

Beliau adalah ‘Isa b. Wardan al-Madani, beliau juga digelar Abu Harith. Beliau merupakan antara murid terawal bagi Imam Nafi’ dan juga bersama-sama Nafi’ mengambil al-Quran daripada Abu Ja’far. Mengambil al-Quran daripada Abu Ja’far dan Syaibah kemudian daripada Nafi’. Diambil al-Quran darinya oleh Ismail b. Ja’far, Qalun dan Muhammad b. ‘Umar. Berkata Ibn al-Jazari: beliau meninggal dunia sekitar tahun 160 hijrah.

IBN JAMMAZ

Beliau adalah Sulayman b. Muhammad b. Muslim b. Jammaz al-Zuhri al-Madani, digelar juga sebagai Abu Rabi’. Mengambil al-Quran dari Abu Ja’far dan Syaibah kemudian Nafi’ menjadikan beliau membaca dengan qiraat Abu Ja’far dan Nafi’. Diambil al-Quran daripadanya oleh Ismail b. ja’far dan Qutaibah b. Mihran. Ibn al-Jazari berkata beliau meninggal selepas tahun 170 hijrah.

ANTARA MANHAJ ABU JA’FAR

1) Silah mim jama’ sekiranya selepasnya berbaris samada terdapat hamzah ataupun tidak.[1]

2) Qasr munfasil[2] dan tawassut Muttasil[3]

3) Ibdal hamzah yang sukun secara mutlak[4]

4) Ikhfa’kan nun sukun dan tanwin ketika bertemu huruf ghain dan kha’[5]

5) Saktah setiap huruf hijaiyyah yang terletak diawal surah.[6]

YA’QUB AL-HADRAMI AL-BASRI

(Imam ke 9)

Beliau adalah Ya’qub bin Ishaq bin Zaid bin Abdullah bin Abu Ishaq al-Hadrami al-Basri. Gelarannya adalah Abu Muhammad. Salah Seorang daripada sepuluh qurra’. Beliau mengambil cara bacaanya daripada Abu al-Munzir Salam bin Sulayman al-Tawil al-Muzani, Shihab Syarifah Abu Yahya, Mahdi bin Maimun , Abu al-Asyhab Ja’far bin Hayyan al-‘Ataridi. Dikatakan beliau membaca daripada Abu Amru tanpa perantaraan. Dan beliau juga mendengar sebahagian huruf daripada Hamzah dan al-Kisaei. Salam pula membaca daripada ‘Asim al-Kufi[7] dan Abu Amru al-Basriy [8](telah dinyatakan sanad kedua-dua imam sebelum ini). Salam juga membaca daripada ‘Asim al-Jahdari al-Basri dan Yunus bin Ubaid bin Dinar al-Basri dan keduanya membaca daripada Hassan al-Basri (telah dinyatakan sanadnya sebelum ini)

Al-Jahdari pula membaca daripada Sulaiman bin Qutaibah al-Tamimi al-Basri dan Ibnu Abbas (telah diterangkan sanadnya). Shihab pula membaca daripada Abi Abdullah Harun bin Musa al-A’war al-Nahwi dan al-Ma’la bin ‘Isa. Harun pula membaca daripada ‘Asim al-Jahdari dan Abu ‘Amru al-Basri. Abu al-Asyhab pula membaca daripada Abi Raja’ ‘Imran b. Malhan. Abi Raja’ pula membaca daripada Abu Musa al-’Asy’ari. Abu Musa pula membaca daripada Rasullulah s.a.w.

Dahulunya Ya’qub adalah orang yang paling alim di zamannya dalam bidang Qiraat, bahasa arab, sejarah dan sastera arab dan fekah. Dia telah mengambil tempat Abu Amru selepas kewafatannya. Al-Hafiz Abu Amru Al-Dani berkata: Orang-orang Basrah tidak membaca al-Quran melainkan dengan cara bacaannya. Qiraatnya telah diriwayatkan oleh ramai perawi diantaranya Zaid bin Akhih, Umar al-Siraj, Abu Bashar al-Qattan dan Muslim bin Sufian al-Mufassir. Beliau mempunyai sebuah kitab yang dinamakan al-Jami’ yang mengumpulkan kesemua perbezaan-perbezaan dalam masalah Qiraat.

Beliau meninggal pada tahun 205 Hijrah ketika berumur 88 tahun. Diriwayatkan juga ayah, datuk dan moyang beliau pun meninggal ketika berumur 88tahun. Rahimahullahu ajma’in. Perawi beliau yang masyhur adalah Ruways dan Rawkh.

RUWAYS

Beliau adalah Muhammad b. al-Mutawakkil al-Lu’lu’i al-Basriy dan dikenali juga sebagai Abu Muhammad. Beliau digelar juga dengan gelaran Ruways. Mengambil bacaan daripada Ya’qub al-Hadrami. Antara yang mengambil bacaan daripadanya ialah Muhammad b. Harun al-Tamari dan Abu ‘Ubayd al-Allah al-Zubair b. Ahmad al-Zubairi. Meninggal di Basrah pada tahun 238 hijrah.

RAWKH

Beliau adalah Rawkh b. Abd al-Mu’min al-Huzali al-Basriy al-Nahwi, dan dikenali juga sebagai Abu al-Hassan. Mengambil al-Quran daripada Ya’qub al-Hadrami. Beliau juga mengambil al-Quran daripada Ahmad b. Musa dan Abdullah b. Muaz yang mana kedua-dua mereka ini mengambil al-Qur’an daripada Abu ‘Amru al-Basri. Antara yang mengambil al-Quran daripada beliau ialah al-Tayyib b. Hamadani al-Qadi, Muhammad b. al-Hassan b. Ziad, Ahmad b. Yazid al-Halawani, Abdullah b. Muhammad al-Za’farani, Muslim b. Muslamah dan al-Hassan b. Muslim. Beliau meninggal pada tahun 234 atau 235 hijrah.

ANTARA MANHAJ YA’QUB

1) Membaca dengan dhommah ha’ pada setiap dhomir jama’ muzakkar sekiranya ha’ tersebut terletak selepas huruf ya’ yang sakinah seperti فيهم , dan juga ha’ pada setiap dhomir muannas sekiranya ha’ tersebut terletak selepas huruf ya’ yang sakinah seperti عليهن , dan juga ha’ pada setiap dhomir muthanna sekiranya ha’ tersebut terletak selepas huruf ya’ yang sakinah seperti فيهما . [9]

2) Daripada riwayat Ruwasy dhommah ha’ pada setiap dhomir jama’ muzakkar sekiranya ha’ tersebut terletak selepas huruf ya’ yang sakinah tetapi ya’ tersebut telah dihazafkan disebabkan datangnya fi’el jazm atau bina’ lil jazm seperti, فاستفتهم أولم يكفهم

3) Membaca qasr dan tawassut pada munfasil[10] serta tawassut pada muttasil[11].

4) Membaca ha’ saktah ketika waqaf sahaja :

- Secara qaulan wahidan pada kalimah وهو,وهي[12]

- Secara khilaf pada setiap nun al-Asma’ al-Mabniyyah al-Musyaddadah seperti (إليّ,هنّ,علىّ,لدىّ,بيديّ,حملهنّ,مثلهن ) dan setiap nun pada jama’ muzakkar [13]seperti ((المفلحون, اللذين

- Secara khilaf pada 5 kalimah[14] : (فيم, لم, عمّ, بم, ممّ )

- Ruways secara khilaf pada 4 kalimah[15]: (يويلتى, يحسرتى, يأسفى, ثَمّ)

5) Membaca Idgham kabir seperti Abu ‘Amru secara khilaf[16]

PERHATIAN:

Terdapat beberapa tegahan dalam merealisasikan kesemua wajah khilaf yang terdapat manhaj Ya’qub seperti yang tercatat dalam kitab Sharh Tanqih Fath al-Karim fi Tahrir Awjah al-Quran al-Azim antaranya:

1) Tidak boleh dihimpun wajah ha’ saktah (jama’ muzakkar sahaja) bersama wajah idgham kabir dalam satu ayat. Sepertimana kata Syeikh Ahmad Abd al-Aziz al-Zayyath[17]:

وها السكت في كالعالمين الذين إن تكن مدغما للحضرمي فأهملا

Maksudnya: dan ha’ saktah bagi contoh العالمين, الذين sekiranya terdapat contoh idgham bagi ya’qub, maka abaikanlah ha’ saktah tersebut.

2) Jikalau berkehendak untuk membaca wajah ha’ saktah (jama’ muzakkar sahaja) dan idgham kabir perlulah membaca dengan wajah saktah antara dua surah kerana mengambil kira kata Syeikh Ahmad Abd al-Aziz al-Zayyath[18]:

وتختص كالإدغام بالسكت عنده ومن كامل إدغام روح مبسملا

Maksudnya: Dikhususkan (merujuk kepada Ha’ saktah pada jama’ muzakkar) seperti idgham hanya ketika bacaan saktah antara dua surah sahaja disisi Ya’qub. Sebaliknya disisi riwayat Rawkh dibolehkan ketika membaca basmalah antara dua surah seperti yg tedapat didalam kitab al-Kamil.

3) Ditegah membaca wajah idgham bagi Ruwasy ketika tawasut al-munfasil sebaliknya harus bagi Rawkh, kecuali wajah idgham yang khusus bagi Ruways[19], kata Syeikh Ahmad Abd al-Aziz al-Zayyath[20]:

ولا مد مع الإدغام إلا لروحهم نعم ما به خصوا رويسا فأسجلا

Maksudnya: Tidak ada mad (iaitu 4 harakat pada munfasil) bersama idgham kabir kecuali Rawkh melainkan wajah idgham yang dikhususkan bagi Ruways maka harus idgham.

4) Begitu juga wajah ha’ saktah pada semua keadaan tertegah dalam bacaan tawassut munfasil dan idgham kabir. Bacaan ha’ saktah hanya harus pada qasr munfasil dan izhar sahaja kecuali Ruways bagi contoh يويلتى, يحسرتى, يأسفى , ha’ saktah diharuskan ketika idgham jikalau ada melibatkan contoh idgham, kata Syeikh Ahmad Abd al-Aziz al-Zayyath[21]:

وها السكت في كالمفلحون على ثَمّ ذى ندبة تختص بالقصر فاعقلا

كذلك بالإظهار لكن رويسهم بها خص إدغاما بذي ندبة

Maksudnya: Dan ha’ saktah seperti ,المفلحون, ثَمّ adalah dikhususkan bagi bacaan secara qasr munfasil dan izhar, tetapi bagi Ruwasy harus membaca dengan ha’ saktah pada يويلتى, يحسرتى, يأسفى

KHALAF AL-‘ASYIR AL-BAHGDADI

(Imam ke 10)

Beliau adalah Abu Muhammad Khalaf bin Hisham bin Tha’lab bin Khalaf al-Asadi al-Baghdadi al-Bazzar. Beliau adalah salah seorang perawi daripada Hamzah jikalau menurut tariq al-Syatibiyyah. Bagi Ibn al-Jazari, beliau sebenarnya telah memilih cara bacaan yang tersendiri dan dengan itu beliau termasuk diantara sepuluh Qurra’. Dilahirkan pada tahun 105 Hijrah dan menghafal al-Quran ketika berusia 10 tahun. Beliau mula menuntut ilmu pada ketika umurnya 13 tahun.

Beliau mengambil cara bacaan daripada Sulaim bin ‘Isa, Abdurrahman bin Hummad dari Hamzah dan dari Abu Zaid Sai’d bin Aus al-Ansari dari al-Mufaddal al-Dhabbi. Beliau meriwayatkan ‘huruf’ daripada Ishaq al-Musaibi, Ismail bin Jaafar dan Yahya bin Adam. Beliau juga mendengar ‘huruf’ daripada al-Kisaei tetapi tidak membaca dengannya. Bahkan beliau hanya mendengar bacaannya sehingga khatam lalu dihafal kesemuanya. Beliau adalah seorang yang thiqah, zuhud, alim dan abid. Diriwayatkan daripadanya : pernah beliau berjumpa dengan satu masalah dalam ilmu Nahu maka ianya pun menafkahkan 80 ribu dirham sehingga beliau menghafalnya dan memahaminya.

Qiraatnya telah diriwayatkan oleh ramai sama ada dengan cara mendengar dan membaca. Diantaranya Ahmad bin Ibrahim Wiraqah dan saudaranya Ishaq bin Ibrahim dan selainnya. Abu Ashtah berkata : Khalaf telah mengambil cara bacaan Hamzah tetapi cara bacaan hamzah tersebut berbeza dalam 120 huruf dengan pilihanya sendiri. Ibnu Jazari telah menyelidik pilihan-pilihannya itu dan beliau mendapati bahawa bacaannya tidak terkeluar dari bacaan orang-orang Kufah dan tidak juga terkeluar daripada bacaan Hamzah ,Kisa’ei dan Syu’bah melainkan dalam beberapa ayat.

Khalaf telah meninggal pada bulan Jamadul-akhir tahun 129 Hijrah di Bahgdad. Orang yang paling mashur yang meriwayatkan bacaanya adalah Ishaq dan Idris.

ISHAQ

Beliau adalah Ishaq b. Ibrahim b. Uthman b. Abdullah al-Marwazi al-Baghdadi dan digelar sebagai Abu Ya’qub. Mengambil al-Quran daripada Khalaf dari pilihannya dan mengembangkannya selepas wafatnya Khalaf. Beliau juga mengambil al-Quran daripada al-Walid b. Muslim. Antara yang mengambil al-Quran daripadanya ialah anaknya Muhammad b. Ishaq, Muhammad b. Abdullah b. Abi Umar al-Naqasy, al-Hassan b. Uthman al-Barsati, Ali b. Musa al-Thaqafi dan Ibn Syunbuz. Beliau wafat pada tahun 280 hijrah.

IDRIS

Beliau adalah Idris b. Abd al-Karim al-Hadad al-Baghdadi dan digelar sebagai Abu al-Hassan. Beliau membaca daripada Khalaf daripada riwayatnya sebagai perawi Hamzah dan daripada pilihan khalaf sendiri. Beliau juga membaca daripada Muhammad b. Habib al-Syumuni. Antara yang mengambil al-Quran daripadanya secara sima’an ialah Ahmad b. Mujahid. Manakala secara ‘aradan ialah Muhammad b. Ahmad b. Syunbuz, Musa b. Ubaidullah al-Khaqani, Muhammad b. Ishaq al-Bukhari, Abu Bakr al-Naqasy, dan al-Hassan b. Said al-Mutawwi’I dan Muhammad b. Ubaidullah al-Razi. Beliau wafat pada tahun 292 hijrah ketika berumur 93 tahun.

ANTARA MANHAJ KHALAF AL-‘ASYIR

1) Tawassut pada muttasil dan munfasil

2) Imalah zawatil ya’[22]

3) Idris saktah secara khilaf [23]pada:

i) Lam ta’rif : الأرض

ii) Sakin mafsul: من أمن

iii) Sakin mausul: تسئل

iv) Kalimah: شئ, شيئا

BACAAN AL-FATIHAH DISISI 3 IMAM TERAHIR

1) Qiraat Abu Jaafar al-Madani : Qaulan Wahidan pada kalimah al-Maliki tanpa mad dan juga silah mim jama’.

i) Riwayat Ibn Wardan

ii) Riwayat Ibn Jammaz

2) Qiraat Ya’qub al-Hadrami al-Basri : Qaulan Wahidan pada kalimah maliki dibaca dengan mad. Qaulan Wahidan juga pada kalimah عَلَيْهِم dibaca dengan dommah ha’. : Khilaf pada setiap idgham kabir yang sinonim dengan Abu ‘Amru al-Basri[24]. Khilaf bacaan ha’ saktah pada al-Asma’ al-Mabniyyah al-Musyaddadah dan setiap jama’ muzakkar salim[25]. Walaubagaimanapun, bagi merealisasikan bacaan kedua2 khilaf ini (kecuali khilaf pada al-Asma’ al-Mabniyyah al-Musyaddadah), perlulah membaca dengan saktah antara dua surah kerana mengambil kira kata Syeikh Ahmad Abd al-Aziz al-Zayyath dalam kitabnya Sharh Tanqih Fath al-Karim fi Tahrir Awjah al-Quran al-Azim yg berbunyi:

وتختص كالإدغام بالسكت عنده

Maksudnya: Dikhususkan (merujuk kepada Ha’ saktah pada jama’ muzakkar salim) seperti idgham hanya ketika bacaan saktah antara dua surah sahaja disisi Ya’qub.

i) Riwayat Ruways: Qaulan wahidan membaca dengan س pada huruf ص di kalimah

الصِّرَاط dan صِرَاطَ

ii) Riwayat Rawkh

3) Qiraat Khalaf al-Asyir al-Kufi: Qaulan Wahidan pada kalimah maliki dibaca dengan mad.

i) Riwayat Ishaq

ii) Riwayat Idris



[1] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab surah Ummi al-Quran, mk. 39):

وضم ميم الجمع صل ثبت درا قبل محرك وبالخلف برا

[2] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Mad wa al-Qasr, mk. 42):

وقصر المنفصل بن لـي حما عن خلفهم داع ثـمل

[3] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Mad wa al-Qasr, mk. 42):

وعن باقي الملا وسط

[4] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Hamzah al-Mufrad, mk. 45):

والكل ثـق

[5] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab Ahkan al-Nun al-Sakinah wa al-Tanwin, mk 50):

وفي غين وخا أخفى ثـمن

[6] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Sakti ala al-Sakin qabl al-Hamzi wa ghairihi, mk 50):

وفي هجا الفواتح كطه ثقف

[7] Imam yang ke 5

[8] Imam yang ke 3

[9] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab surah Ummi al-Quran, mk. 39):

عليهمو إليهمو ولديهمو بضم كسر الهاء ظبي فهم

وبعد ياء سكنت لا مفردا ظاهر وإن تزل كيخزهم غدا

وخلف يلههم قهم ويغنهم عنه ولا يضم من يولهم

[10] Sila rujuk nota kaki no 2

[11] Sila rujuk nota kaki no 3

[12] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Waqf ala marsumi al-Khat, mk. 57):

وهي وهو ظل

[13] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Waqf ala marsumi al-Khat, mk. 57):

وفي مشدد اسم خلفه نحو الي هن والبعض نقل

بنحو عالمين موفون وقل

[14] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Waqf ala marsumi al-Khat mk. 57):

فيمه لمه عمه بمه ممه خلاف هب ظبى

[15] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Waqf ala marsumi al-Khat mk. 57):

ويلتى وحسرتى وأسفى وثم غر خلفا

[16] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Idgham al-Kabir, mk. 41):

وقيل عن يعقوب ما لإبن العلا

[17] Ahmad Abd al-Aziz al-Zayyat, Sharh Tanqih Fath al-Karim fi Tahrir Awjah al-Quran al-Azim, (1997), mk. 9

[18] Ibid.

[19] Wajah yang khusus untuk Ruways sahaja seperti yang telah dijelaskan dalam matan Toyyibah al-Nasyr, mk. 41

[20] Ibid.,mk. 15

[21] Ibid., mk. 16

[22] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Fathi wa al-Imalati wa baina al-Lafzain, mk. 50):

أمل ذوات الياء في الكل شفا

[23] Kata Ibn Jazari (Tayyibah al-Nasyr, bab al-Sakti ‘ala al-Sakini qabla al-Hamzi wa ghairihi, mk. 47):

والخلف عن إدريس.......

[24] Sepertimana kata Imam al-Jazari:

وقيل عن يعقوب ما لإبن العلا

[25] Sepertimana kata Imam al-Jazari:

وهو ظل وفي مشدد اسم خلفه نحو الي هن والبعض نقل

بنحو عالمين موفون وقل