Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni Respon terhadap artikel:Benarkan hanya azan di pembesar suara, dalam malaysiakini.com, 15 Jan. 2011. Isu Pembesar Suara Isunya adalah tentang bacaan-bacaan - selain azan - yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai, yang kononnya telah mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia azan. Objektif penulisnya barangkali ialah untuk menjaga hati orang bukan Islam dan agar agama Islam tidak dipandang serong oleh mereka. Namun huraian, penghujahan dan konklusi yang diketengahkan olehnya memerlukan kepada sedikit penilaian semula. Alat pembesar suara sudah tentu tidak wujud pada zaman Nabi SAW, namun apa yang ditinggalkan oleh baginda kepada kita ialah hukum mengangkat dan merendahkan suara, yang akan dibincangkan dalam artikel ini. Antara ‘penyakit’ sesetengah ahli ilmu ialah terburu-buru dalam mengeluarkan hukum atau fatwa tanpa melihat terlebih dahulu dengan teliti dan mendalam terhadap masalah yang dibahaskan.Hanya mengguna pakai sebuah dalil sahaja tanpa melihat dalil-dalil yang lain atau meninggalkan dalil-dalil yang lain, maka terus diputuskan hukum atau fatwa darinya. Kebelakangan, perkara sebegini semakin kerap berlaku baik di kaca tv, radio, akhbar, internet, masjid, dan lain-lain. Dalil-Dalil Larangan dan Ulasannya Saya tidak akan mengupas atau mengulas satu persatu isi kandungan artikel tersebut kerana ia akan mengambil ruang yang panjang. Apa yang akan kita bincangkan di sini ialah dari sudut pendalilan yang diguna pakai iaitu tentang kadar suara dalam melaksanakan ibadah, seumpama solat, membaca al-Quran, zikir, doa, azan dan sebagainya. Antara hujah yang dibangkitkan oleh mereka yang melarang dari mengangkat suara dalam beribadah ialah hadis sahih riwayat Abu Dawud dalam Sunannya (no. 1135): عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخدري قَالَ: اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ: فِي الصَّلَاةِ. وفي مسند أحمد (رقم 11461) ومصنف عبد الرزاق (رقم 4216): وَهُوَ فِي قُبَّةٍ لَهُ فَكَشَفَ السُّتُورَ. Terjemahan: Dari Abu Sa'id al-Khudri katanya: “Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: “Ketahui sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat”. Dalam riwayat Musnad Ahmad dan Musannaf ’Abd al-Razzaq ditambah: ”Sedangkan ketika itu baginda berada di qubbah (tempat ibadah) baginda, lalu baginda pun menyingkap tirai-tirai...”. Hadis ini perlu diteliti dari pelbagai aspek. Selain tekstual hadis perlu juga dilihat dari sudut kontekstual hadis. Perlu juga ditinjau dengan membuat komparatif dengan nas-nas lain, serta situasi ‘urf. Demikian kaedah yang perlu dipraktikkan bagi mengeluarkan sebuah hukum atau fatwa, tidak semata-mata berpegang kepada sebuah teks yang terhad. Adakalanya teks yang terhad hanya mampu menghasilkan pedoman dan panduan semata-mata, tetapi belum dapat membentuk sebuah hukum yang releven dan fatwa yang autentik. Tanda-tanda pada zahir hadis tersebut seperti sedang beriktikaf, bermunajat, dan kadar suara yang mengganggu menunjukkan bahawa situasi pada masa itu ialah waktu malam yang bersuasana sunyi dan hening. Penulis berpendapat, agak jauh untuk dikatakan hadis tersebut diucapkan pada waktu siang kerana suasananya agak berlainan dan kadar suara biasanya tidak begitu mengganggu. Siang adalah masa berkerja dan malam adalah masa beristirehat, maka amat sesuailah pada masa itu dielakkan sebarang gangguan dan amat tepatlah teguran Nabi SAW kepada para sahabatnya itu. Justeru menggunakan hadis ini bagi mengeluarkan hukum umum tanpa ada sebarang pengecualian atau perbezaan perlulah diteliti semula. Realiti yang berlaku pasa masa kini, penggunaan pembesar suara biasanya selesai pada atau selepas waktu isyak, atau lebih sedikit jika ada penceramah yang melanjutkan celotehnya, dan bermula semula pada waktu pagi sebelum atau pada waktu fajar.Justeru, tidak berlaku sebarang gangguan pembesar suara antara waktu isyak sehingga subuh. Bagaimana situasi sedemikian dapat dikiaskan dengan hadis di atas yang barangkali ditujukan pada waktu dua pertiga malam, atau separuh malam ataupun sepertiga malam. Manakala hadis yang berbunyi: عن أَبِي مُوسى الأَشْعَرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: لَمَّا غَزَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم خَيْبَرَ، أَوْ قَالَ: لَمَّا تَوَجَّهَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، أَشْرَفَ النَّاسُ عَلَى وَادٍ فَرَفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالتَّكْبِيرِ: اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ لاَ إِله إِلاَّ اللهُ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لاَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا إِنَّكُمْ تَدْعُونَ سَمِيعًا قَرِيبًا، وَهُوَ مَعَكُمْ... (أخرجه البخاري ومسلم) Terjemahan: Dari Abu Musa al-Asy’ari RA katanya: Ketika Rasulullah SAW memerangi Khaybar, atau katanya: Ketika Rasulullah SAW menuju kepadanya, orang-orang telah melihat sebuah wadi, lalu mereka mengangkat suara mereka bertakbir; Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha illa Allah… Maka sabda Rasulullah SAW: Kasihanilah diri kamu sekalian, sesungguhnya kamu tidak menyeru yang tuli mahupun yang ghaib, sesungguhnya kamu menyeru Yang Maha Mendengar lagi Dekat, dan Dia bersama kamu sekalian...”. Zahir hadis ini menunjukkan bahawa teguran tersebut adalah disebabkan kadar suara yang berlebih-lebihan dan melampaui had dalam mengeras dan meninggikannya. Nabi SAW sentiasa membimbing umatnya kepada sikap bersederhana, maka amat wajar baginda memberi teguran tersebut. Kata Imam al-Nawawi: Maknanya ialah kasihanilah diri kamu dan rendahkanlah suara kamu. Perbuatan mengangkat suara biasanya dilakukan orang kerana jauhnya orang yang diajak bicara agar ia mendengarnya, sedangkan kamu menyeru Allah Taala dan Dia bukanlah pekak mahupun ghaib, bahkan Dia Maha Mendengar lagi Dekat, dan Dia bersama kamu dengan ilmu dan liputan pengetahuan-Nya. Maka pada hadis ini terdapat galakan agar merendahkan suara ketika berzikir jika keperluan tidak mendesak untuk mengangkatnya. Sekiranya suara direndahkan, itu lebih beradab dalam memuliakan dan mengagungkan-Nya. Manakala jika keperluan perlu untuk mengangkatnya, barulah diangkat sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis (seperti talbiah dan sebagainya). Dalam hadis yang lain: عن عقبة بن عامر، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((الجاهر بالقرآن كالجاهر بالصدقة. والمسر بالقرآن كالمسر بالصدقة)). رواه الترمذي، وأبوداود، والنسائي. وقال الترمذي: هذا حديث حسن غريب. Terjemahan: Dari ’Uqbah bin ’Amir katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang membaca kuat dengan al-Quran seperti orang yang berterang-terangan dalam bersedekah. Dan orang yang membaca perlahan dengan al-Quran pula seperti orang yang bersembunyi-sembunyi dalam bersedekah”. Makna hadis ini menunjukkan kepada keutamaan (keafdalan) dalam membaca al-Quran dan bukannya menunjukkan kepada larangan meninggikan suara. Sedangkan Nabi SAW pernah memerintahkan Abu Bakar al-Siddiq RA agar meninggikan suara: عن أبي قتادة - رضي الله عنه - أن النبيَّ -صلى الله عليه وسلم- قال لأبي بكر : «مررتُ بك وأنت تقرأُ، وأنت تخفض من صوتك؟» فقال : إني أسمعتُ من ناجيتُ ، قال : ارْفعْ قليلا ، وقال لعمر : مررت بك وأنت تقرأُ ، وأنت ترفع من صوتك؟ قال : «إني أُوقِظُ الوَسنان ، وأطردُ الشيطان، قال : اخفِض قليلا». وفي رواية: «يا أبا بكر ، ارْفع من صوتك شيئا ، وقال لعمر : اخفِضْ من صوتك شيئا». رواه الترمذي وأبو داود بإسناد صحيح. Terjemahan: Dari Abu Qatadah RA bahawa Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar RA: Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca, dan kamu merendahkan suara. Jawab beliau: Sesungguhnya aku hanya memperdengarkan kepada Siapa yang aku bermunajat kepada-Nya. Balas baginda: Angkatlah sedikit (suaramu). Dan baginda juga bersabda kepada ’Umar RA: Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca, dan kamu mengangkatkan suara. Jawab beliau: Sesungguhnya aku ingin membangkitkan orang yang mengantuk dan mengusir syaitan. Balas baginda: Rendahkan sedikit (suaramu). Dalam riwayat lain: ”Wahai Abu Bakar, angkatlah suaramu sedikit, dan baginda bersabda kepada ’Umar: Rendahkanlah suaramu sedikit”. Di sini, Nabi SAW menyuruh mengangkat suara jika ianya terlalu perlahan atau tidak dapat dimanfaatkan oleh orang lain, dan melarang mengangkatkan suara jika ianya melebihi had, atau kerana ia dapat menimbulkan sifat riyak dan ujub yang ditegah oleh syarak. Secara mafhumnya, baginda mengajarkan bahawa bersederhana itulah yang lebih utama. Selain hadis Abu Bakar RA tersebut terdapat beberapa hadis lain yang membenarkan mengangkat suara seperti; حديث أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: لَمْ يَأْذَنِ اللهُ لِشَيْءٍ مَا أَذِنَ لِلنَّبِيِّ أَنْ يَتَغَنَّى بِالْقُرَآنِ يَجْهَرُ بِهِ. (رواه البخاري ومسلم وغيرهما) Terjemahan: Dari Abu Hurairah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: Allah tidak mengizinkan (meredhai) bagi sesuatu, apa yang telah diizinkan kepada Nabi agar berlagu dengan al-Quran, serta mengangkat suara dengannya”. Kata Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar berkenaan dalil-dalil yang zahirnya saling bercanggahan ini: Pengharmonian antara kedua-duanya ialah bahawa suara perlahan itu lebih jauh dari sifat riyak, dan ianya adalah afdal bagi orang yang takutkan demikian. Jika tidak takut riyak pula, maka suara kuat itu lebih afdal dengan syarat tidak menyakiti orang lain seperti orang yang bersolat, tidur dan sebagainya. Maksudnya suara perlahan itu lebih afdal jika takutkan riyak atau menyakiti orang yang bersolat atau tidur dengan suara kuatnya. Suara kuat pula afdal dalam hal yang selain itu kerana amalan tersebut lebih besar, dan manfaatnya dapat dikongsi oleh orang lain sama ada dengan mendengar (dan banyak dalil menunjukkan ianya sebagai ibadah), belajar, mengikut, insaf atau ianya sebagai syiar agama. Ia juga dapat mengetuk hati si-pembaca, menumpukan perhatiannya untuk berfikir dan memfokuskan pendengarannya sendiri. Ia juga dapat menghalang rasa mengantuk, menambah rasa cergas, membangunkan orang lain yang tidur dan lalai serta menyegarkannya. Maka bila hadir salah satu niat-niat ini, maka suara kuat itu adalah lebih afdal. Ada diriwayatkan oleh al-Daylami dalam Musnad al-Firdaus dari Ibn ’Umar secara marfu’: السر أفضل من العلانية والعلانية أفضل لمن أراد الإقتداء به Terjemahan: “Cara sembunyi itu lebih afdal dari cara terang-terangan, dan cara terang-terangan pula lebih afdal bagi orang yang mahu agar dicontohi”. Maka kesimpulannya, tinggi atau rendah suara itu semua adalah bergantung kepada situasi, suasana, tuntutan dan juga keadaan. Selain perlu menitikberatkan kesederhanaan dalam semua aspek. Sila rujuk dengan lebih lanjut tentang mengangkat suara dalam ibadah kepada kitab Sibahah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Zikr oleh Imam ‘Abd al-Hayy al-Laknawi (w. 1304H), tahkik Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, dan kitab Natijah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Zikr oleh Imam al-Suyuti (w. 911H). Namun menurut Syeikh Abu Ghuddah, kitab Imam al-Laknawi lebih detail dan lengkap perbahasannya. Menangani Isu Sebenar Isu sebenarnya bukan masalah penyalahgunaan pembesar suara, atau benarkan hanya azan sahaja di pembesar suara, tetapi adalah masalah kefahaman orang (terutama AJK masjid/surau) terhadap situasi yang mereka duduki. Kita ada pelbagai situasi, ada masjid yang jauh dari kawasan perumahan dan ada yang dekat, malah sebahagiannya berhimpit-himpit dengan rumah orang atau kedai.Ada masjid yang berdekatan dengan pusat maksiat. Ada masjid yang berdekatan dengan hospital. Ada masjid yang berada di kawasan yang majoritinya bukan Islam. Ada masjid bandar, dan ada masjid kampung. Ada masjid yang penduduk sekitarnya bersatu hati, dan ada masjid yang penduduk sekitarnya berbalah sesama sendiri. Suasana bandar yang sibuk pastinya berbeza dengan suasana kampung yang lebih tenang. Peralatan pembesar suara juga perlu diambil kira. Ada pembesar suara yang mahal dan mengeluarkan suara yang enak dan merdu. Ada pembesar suara yang murah dan mengeluarkan suara yang ’serak’ dan berdesing sekali-sekala. Begitu juga hal dengan tugas bilal, ada bilal yang bersuara merdu dan sedap didengar, dan ada bilal yang bersuara kurang lemak merdu. Ada bilal yang melaungkan (atau memasang kaset) bacaan al-Quran atau zikir setiap lima waktu sebelum azan, dan ada bilal yang melaungkan (atau memasang kaset) bacaan al-Quran atau zikir pada waktu tertentu sahaja sebelum azan seperti waktu subuh dan maghrib misalnya. Dan sebagainya lagi. Bayangkan sekiranya masjid tersebut terletak di kawasan yang majoritinya bukan Islam, atau sangat berhampiran dengan hospital, dan alat pembesar suaranya pula sering ’terbatuk-batuk’, dipasang pula alunan bacaan al-Quran atau zikir setiap lima waktu sebelum azan dan bilalnya pula bersuara ’serak-serak basah’. Apakah agaknya reaksi dan pendapat anda, jika dibandingkan dengan masjid yang terletak di kampung yang penduduknya sekitarnya bersatu hati dan sudah biasa dengan alunan bacaan al-Quran atau zikir pada waktu sebelum subuh dan maghrib, manakala bilalnya pula bersuara lemak merdu. Apakah sama situasinya? Bagaimana pula sekiranya masjid tersebut berhampiran dengan pusat maksiat yang pengunjungnya tidak pernah menjejakkan kaki ke masjid. Apakah tidak rugi jika semua ceramah-ceramah yang dijalankan di masjid itu hanya untuk orang di dalam masjid sahaja dan suara tidak keluar melebihi pintunya? Semuanya ini perlu diambil kira, bukannya mengeluarkan hukum secara pukul rata. Iktibar Dengan Situasi Abu Dawud meriwayatkan dalam Sunannya dari Ghudhaif bin al-Harith, beliau pernah bertanya kepada ’A’isyah RA antaranya: أَرَأَيْتِ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَجْهَرُ بِالْقُرْآنِ أَمْ يَخْفُتُ بِهِ؟ قَالَتْ: رُبَّمَا جَهَرَ بِهِ وَرُبَّمَا خَفَتَ. قُلْتُ اللَّهُ أَكْبَرُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَ فِي الْأَمْرِ سَعَةً. رواه أبو داود بإسناد صحيح. Terjemahan: Adakah puan pernah melihat Rasulullah SAW mengangkat suara dengan al-Quran ataupun memperlahankannya? Jawab beliau: Adakalanya baginda mengangkat suara dengannya dan adakalanya baginda memperlahankannya. Aku berkata: Allahu akbar, segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dalam urusan (agama) ini keluasan. Kata al-‘Allamah Badr al-Din al-‘Aini (w. 855H) mengulas hadis di atas: Sabit pilihan bagi si-pembaca (al-Quran atau zikir) sama ada antara mengangkat suara dengannya dan juga memperlahankannya. Diperkatakan, mengangkat suara lebih afdal. Juga diperkatakan, memperlahankan suara lebih afdal. Namun yang benar ialah; ianya terikat menurut iktibar dari segi masa si-pembaca, kedudukannya dan juga situasinya. Maka hendaklah dipelihara mengangkat suara dan memperlahankan suara berdasarkan iktibar tersebut. Kata-kata Ghudhaif bin al-Harith RA: ”Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dalam urusan (agama) ini keluasan”, wajar direnung dan diambil iktibar. Perbezaan ‘urf dan situasi kerana peredaran zaman perlu juga diambil kira. Apa yang penting, bukan hukum menggunakan pembesar suara yang sudah menjadi ‘urf pada masa kini, tetapi adalah kefahaman orang (terutama AJK masjid/surau serta para pengunjung masjid/surau juga) terhadap situasi yang mereka duduki. Dan perbincangan ini secara umum meliputi situasi dalam dan juga luar masjid. Persoalannya, bagaimanakah harus mereka mengendalikannya? Jika penulis artikel tersebut menyemak semula masalah ini dan memikirkan semua faktor-faktor yang dijelaskan, pasti dia akan memperbetulkan semula kenyataannya atau menambah apa-apa kenyataan yang wajar dan lebih diterima. Mengeluarkan sesuatu kenyataan atau hukum secara terburu-buru bukanlah suatu tindakan yang bijak. Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/01/kadar-suara-dalam-ibadah.html