Thursday, April 19, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 124)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 124:

- Ayat ini merupakan suatu kisah daripada Allah s.w.t yang ditujukan kepada Rasullullah s.a.w, kaum Yahudi, kaum Nasrani dan kaum musyrik Arab supaya mengambil i’tibar bagaimana nabi Ibrahim a.s ketika diuji oleh Allah s.w.t dengan membebankan keatasnya arahan serta tegahan. Maka nabi Ibrahim a.s itu tetap teguh dan sabar menghadapi cubaan itu malah berjaya melaksanakan syariat itu kesemuanya dengan sempurna. Dalam pelajaran yang lepas, perdebatan berlaku dengan golongan ahli Kitab disekitar perjalanan bani Israel dan sikap mereka terhadap para anbiya’ mereka dan syari’at mereka. Juga sekitar perjanjian mereka mulai dari zaman Musa a.s sehingga ke zaman Rasullullah s.a.w kebanyakkannya mengenai kaum Yahudi dan sedikit mengenai kaum Nasara disamping isyarat sepintas lalu mengenai kaum musyrikin Arab.

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[1] : “ (pada ayat ini) Allah s.w.t berfirman kepada Rasullullah s.a.w, kenangilah bagaimana Allah s.w.t menguji Ibrahim dengan perintahNya dan taklif lalu beliau melaksana dan menunaikannya dengan sempurna. Di dalam surah yang lain Allah s.w.t telah menyaksikan bahawa Ibrahim telah menyempurnakan tugas-tugasnya secara yang diredhai Allah s.w.t. Oleh sebab itulah beliau wajar menerima pengakuan Allah yang mulia yang berbunyi [2]:

وَإِبْرَاهِيمَ الَّذِي وَفَّى

Bermaksud: “Dan Ibrahim yang telah menyempurnakan tugasnya”

Inilah satu maqam tinggi yang dicapai oleh Ibrahim, iaitu maqam menyempurnakan tugas dengan disaksikan oleh Allah s.w.t. Seseorang itu tidak dapat menyempurnakan tugas-tugasnya dan berjalan lurus dengan sebab kelemahan dan kekurangannya. Dan sinilah nabi Ibrahim a.s wajar menerima berita gembira dan kepercayaan daripada Allah s.w.t”

- Disini al-Quran membawa kita kembali keperingkat sejarah yang lebih lama dari zaman nabi Musa a.s iaitu membawa kita kembali ke zaman nabi Ibrahim a.s. Ibrahim berasal dari nama ‘ajam (bukan Arab) yang dapat diertikan dalam bahasa Arab sebagai Abu Rahim (bapa yang pengasih)[3]. Beliau adalah anak kepada Azar, anak kepada Nakhur, anak kepada Syaru’, anak kepada Arghu, anak kepada Faligh, anak kepada ‘Abir, anak kepada Syalikh, anak kepada Arfakhsyaz, anak kepada Sam dan anak kepada Nabi Nuh a.s[4]. Beliau dilahirkan di negeri Al-Sus di daerah Ahwar lalu dibawa oleh ayahnya kenegeri Babylon yang ketika dibawah pemerintahan Namrud[5].

- Nabi Ibrahim a.s dikenali serta dimuliakan oleh semua golongan termasuk kaum Yahudi, Nasara dan oraang-orang Arab sendiri. Mereka semuanya mengaku mempunyai hubungan dengan nabi Ibrahim a.s baik dari sejarah mahupun dari segi keturunan. Hal ini demikian cerita ini dibawa oleh Allah s.w.t dengan mengisahkan sifat yang ada pada nabi Ibrahim a.s dan seterusnya menunjukkan bahawa syariat yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w itu adalah lanjutan daripada syariat yang dibawa oleh nabi Ibrahim a.s. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “ Kaum ahli Kitab memulangkan asal-usul keturunan mereka kepada Ibrahim a.s menerusi Ishaq a.s. Mereka amat berbangga kerana mempunyai hubungan keturunan dengan beliau dan berbangga dengan janji Allah s.w.t yang menjanjikan kesuburan dan keberkatan kepada beliau dan kepada zuriatnya, juga dengan janji Allah dengan beliau dan dengan zuriatnya selepas peninggalannya. Oleh sebab itulah mereka membolot hidayah dan kepimpinan agama untuk diri mereka sahaja sebagaimana mereka membolot syurga untuk kaum mereka sahaja walau apa pun dilakukan oleh mereka. Kaum Quraiys pula memulangkan asal usul keturunan mereka kepada nabi Ibrahim a.s melalui Ismail a.s. Mereka juga berbangga kerana mempunyai hubungan keturunan dengan beliau dan dari sinilah mereka mendapat kuasa mengurus Baitullah dan mengimarahkan masjidilharam, juga mendapat kuasa keagamaan diatas orang Arab yang lain serta mendapat kelebihan, kemuliaan dan kedudukkan yang tinggi”

- Disebutkan dalam ayat ini bahawa nabi Ibrahim telah diduga oleh Allah s.w.t dengan beberapa kalimat. kalimat ini bermaksud syariat yang mengandungi perintah dan tegahan. Para mufassirin berselisih pendapat dalam menta’wilkan maksud kalimat ini, antaranya[7]:

i. ‘Ikrimah meriwayatkan dari Ibn ‘Abbas bahawasanya syariat tersebut ada 30 kesemuanya. 10 daripadanya tersebut dalam firmanNya yang berbunyi[8] :

التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنْ الْمُنكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرْ الْمُؤْمِنِينَ

Bermaksud: “Mereka itu adalah orang yang bertaubat, yang beribadah, yang memuji Allah, yang mengembara (dengan tujuan yang baik), yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan yangmencegah berbuat mungkar, serta yang menjaga batas hukum hakam Allah dan gembirakanlah orang yang beriman (yang bersifat demikian)

10 yang lain tersebut dalam firmanNya yang berbunyi[9]:

إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيراً وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْراً عَظِيماً

Bermaksud: “ Sesungguhnya para lelaki dan wanita yang beragama Islam itu beriman, yang tetap dalam ketaatan, yang benar, yang sabar, yang khusyu’ (kepada Allah), yang bersedekah, yang berpuasa, yang memelihara kehormatannya dan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang amat besar”.

dan 10 lagi dalam firmanNya yang berbunyi[10]:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2) وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (3) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (4) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلاَّ عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنْ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْعَادُونَ (7) وَالَّذِينَ هُمْ لأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (8) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (9)

Bermaksud: “ Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu’ dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perkara yang sia-sia. Dan mereka menunaikan zakat. Dan mereka menjaga kehormatan dirinya. Kecuali kepada isteri atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidak dicela (apabila melakukan hubungan jenis dengannya). Sesiapa yang menginginkan selain daripada yang sedemikian, maka merekalah yang melampaui batas. Dan mereka menjaga amanah dan janji. Dan mereka yang tetap memelihara solatnya (pada waktunya)

dan daripada ayat yang lain (tetapi perbincangan yang sama) yang berbunyi[11]:

إِلاَّ الْمُصَلِّينَ (22) الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلاتِهِمْ دَائِمُونَ (23) وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَعْلُومٌ (24) لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ (25) وَالَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ (26) وَالَّذِينَ هُمْ مِنْ عَذَابِ رَبِّهِمْ مُشْفِقُونَ (27) إِنَّ عَذَابَ رَبِّهِمْ غَيْرُ مَأْمُونٍ (28) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (29) إِلاَّ عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (30) فَمَنْ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْعَادُونَ (31) وَالَّذِينَ هُمْ لأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (32) وَالَّذِينَ هُمْ بِشَهَادَاتِهِمْ قَائِمُونَ (33) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (34)

Bermaksud: “Kecuali orang yang mengerjakan solat. iaitu mereka yang tetap mengerjakan solat mereka. Dan mereka yang dalam harta-harta mereka tersedia bahagian yang tertentu. Bagi orang miskin yang meminta dan yang tidak meminta. Dan mereka yang mempercayai adanya hari pembalasan (yang dibuktikan dengan amal-amal yang salih). Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya. Kerana sesungguhnya azab tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorang pun) merasa aman terhadapnya. Dan mereka yang memelihara kemaluan mereka (menjaga kehormatan mereka). Kecuali kepada isteri ayau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. kemudian sesiapayang menginginkan selain daripada yang sedemikian, maka merekalah orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janji mereka. dan mereka yang memberi keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi). Dan mereka yang tetap menjaga solatnya”.

ii. Tawus meriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas bahawasanya syari’at tersebut ada 10 perkara. 5 daripadanya adalah perintah mengenai kebersihan muka iaitu menggunting misai, berkumur-kumur, membersihkan hidung dengan air, bersugi dan menyikat rambut. Manakala 5 yang lain adalah perintah mengenai kebersihan badan iaitu mengerat kuku, menghilangkan bulu ketiak, membersihkan bulu ari-ari, berkhatan dan menggunakan air. Dan kesemua perintah ini telah dilaksanakan oleh nabi Ibrahim a.s dan beliaulah orang yang pertama melakukan kesemua perintah tadi.

iii. Al-Hassan pula meriwayatkan bahawa ujian tersebut adalah pesona kejadian Allah s.w.t yang berbagai-bagai yang nyaris memerangkap beliau dalam mencari Tuhan. Bermula daripada bintang yang berkelip-kelip, bulan yang mengambang cantik hinggalah kepada matahari yang bersinar jelas kesemuanya tadi lenyap dan menghilang sekaligus menghilangkan pesona beliau dan tiadalah mahu nabi Ibrahim a.s bertuhankan sesuatu yang lenyap dan menghilang. Begitu juga diuji dengan dibakar hidup-hidup oleh Namrud. Diuji dengan perintah untuk berkhatan. Diuji juga dengan berhijrah ya’ni berpisah dengan anak kesayangannya iaitu nabi Ismail a.s yang masih kecil ditengah-tengah padang pasir dan ketika Ismail membesar, diuji pula dengan perintah untuk menyembelihnya padahal baru sahaja bertemu setelah sekian lama terpisah.

- Maka secara kesimpulannya daripada beberapa pandangan al-Mufassirin diatas tadi dapatlah difahami bahawa nabi Ibrahim a.s telah menyempurnakan kalimat-kalimat itu walaubagaimana pun tafsirannya sekaligus menunaikan perintah Allah s.w.t, menegakkan syari’atnya serta melaksanakannya, menyampaikannya dan beramal dengannya. Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَاماً

Bermaksud: “ Sesungguhnya Aku jadikan engkau Ibrahim sebagai imam (ikutan) bagi segala manusia”

Allah s.w.t telah melantik nabi Ibrahim a.s sebagai imam atau ketua yang paling depan bagi manusia. Ya’ni pemimpin yang mereka jadikan contoh teladan dan pemimpin yang membimbing mereka kepada Allah dan kepada kebaikan.Seterusnya firmanNya yang berbunyi:

قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

Bermaksud: “ (Nabi Ibrahim berkata) Bagaimana pula dengan keturunanku?”

Ya’ni seboleh-bolehnya nabi Ibrahim a.s mahu keturunannya semuanya di dalam keadaan yang baik sebagaimana beliau juga yang telah menyempurnakan semua kalimah-kalimah Allah s.w.t dan diberi juga kelebihan untuk menjadi imam sepertinya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[12] : “ Disinilah Ibrahim dapat memahami keinginan semula jadi manusia iaitu keinginan kepada kelanjutan kewujudan menerusi zuriat dan anak cucu cicit. Itulah keinginan semula jadi yang amat mendalam yang diletakkan Allah di dalam fitrah manusia supaya subur dan berjalan mengikut jalan yang telah diatur. Generasi baru menyempurnakan apa yang dimulai oleh generasi silam dan seluruh generasi saling tolong menolong dan berhubung baik. Itulah keinginan yang mahu dihancur, dihalang dan dilumpuhkan oleh sesetengah manusia, sedangkan keinginan ini ditanam dalam fitrah manusia untuk mencapai matlamat yang jauh tujuannya. Dan berlandaskan keinginan inilah Islam menetapkan undang-undang pusaka untuk menyahut panggilan fitrah manusia itu dan untuk mencergaskannya supaya bekerja kuat dan mengorbankan segala daya upaya. Segala percubaan yang dilakukan untuk menghancurkan tapak keinginan semula jadi ini merupakan percubaan untuk menghancurkan fitrah manusia dari akar umbinya. Ia merupakan satu perbuatan yang tidak tabie, satu pandangan yang cetek dan satu tindakan yang sewenang-wenangnya untuk mengubati sebahagian kepincangan peraturan masyarakat yang menyeleweng. Setiap pengubatan yang bertentangan dengan fitrah manusia tidak akan mendatangkan kejayaan dan kebaikan dan tidak akan kekal.”

Lalu Allah s.w.t menjawab melalui firmanNya:

قَالَ لا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Bermaksud: “ Allah berkata, tidak sampai janjiKu (ya’ni janjiKu tidak mencakupi) kepada orang-orang yang zalim”

- Ya’ni orang-orang yang zalim sebenarnya disisi Allah s.w.t adalah tidak layak sama sekali untuk menjadi pemimpin. Walaupun didunia ini mereka diiktiraf sebagai pemimpin, tetapi sebenarnya mereka tidak layak menjadi pemimpin. Zalim bermaksud meletakkan sesuatu yang bukan pada tempatnya. Sifat zalim ini boleh berlaku terhadap diri sendiri atau orang lain. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[13] : “ Kezaliman itu berbagai jenis dan warna, kezaliman hati dengan syirik dan kezaliman manusia dengan pencerobohan. Kepimpinan yang dihalangkan dari orang-orang yang zalim itu meliputi segala konsep kepimpinan iaitu kepimpinan agama, kepimpinan pemerintahan dan kepimpinan imam solat. Keadilan dengan segala konsepnya merupakan asas kelayakkan kepimpinan ini dalam segala rupa bentuknya. Sesiapa yang melakukan kezaliman walau apa bentuk kezaliman sekalipun beerti ia telah melucut dan menggugurkan dirinya dari haq kepimpinan dalam segala erti katanya.”

Orang yang zalim sudah pasti akan menyekutukan Allah s.w.t sama ada dalam ibadah, hukum-hukum Islam, tatacara hidup dan sebagainya dan sememangnya tidak layak untuk menjadi pemimpin bedasarkan firmanNya[14]:

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Bermaksud: “ Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang amat besar”

Ya’ni seseorang pemimpin yang syirik kepada Allah dalam menduakan perintah Allah adalah satu kezaliman yang amat besar dan tidak layak untuk menjadi pemimpin. Apatah lagi berbuat zalim terhadap manusia seperti melakukan sesuatu yang melampaui batas yang telah Allah tetapkan kepada manusia.

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[15] : “ Kemudian Ibrahim menerima jawapan daripada Allah yang telah memilihnya, satu jawapan yang menjelaskan dasar agung yang telah diterangkan sebelum ini iaitu dasar teraju kepimpinan itu hanya dikurniakan kepada mereka yang layak menerimanya sahaja yang dibuktikan dengan amalan, perasaan, kebaikan dan keimanan. Ia bukan semata-mata warisan bapa kepada anak. Hubungan kerabat disini bukannya pertalian daging dan darah, malah pertalian agama dan aqidah. Dakwaan kerabat, hubungan darah, bangsa dan kaum hanya merupakan dakwaan jahiliyyah yang bertentangan dari akar umbinya lagi dengan kefahaman yang betul.”

- Orang yang syirik dan zalim tidak layak untuk menjadi imam risalah, khilafah dan solah kerana mereka sebenarnya adalah pengkhianat agama Islam, penentang dan pemesong manusia dari jalan Allah s.w.t akibat tidak membawa masyarakat menyembah Allah s.w.t dalam ertikata yang sebenarnya. Yang layak sudah semestiya mereka yang tidak syirik dan zalim sekaligus berusaha untuk menegakkan agama Islam, menjunjung tinggi perintahNya dan beriman dengan setiap ajaranNya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[16] : “ Jawapan Allah yang diberikan kepada Ibrahim a.s dan janji yang diungkapkan dengan jelas tanpa berbelit dan samar-samar merupakan satu jawapan yang tegas menyingkirkan kaum Yahudi dari teraju kepimpinan manusia dengan sebab kezaliman dan kejahatan yang dilakukan mereka dan dengan sebab mereka melanggar perintah Allah dan menyeleweng dari agama moyang mereka iaitu Ibrahim a.s. Begitu juga jawapan tersebut dengan tegasnya merupakan satu jawapan yang menyingkirkan kaum yang menamakan diri mereka sebagai kaum muslimin dari teraju kepimpinan manusia dengan kezaliman dan kejahatan yang dilakukan oleh mereka dan dengan sebab mereka menjauhi diri dari jalan Allah, membuang syari’at Allah dibelakang mereka. Dakwaan mereka berpegang dengan agama Islam, sedangkan mereka menjauhi diri dari syari’at dan sistem hidup Ilahi merupakan satu dakwaan yang dusta yang tidak ditegakkan diatas mana-mana asas perjanjian dengan Allah s.w.t.”



[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 441

[2] Al-Najm, ayat 37

[3] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 66

[4] Al-Jamal, al-Futuhat al-Ilahiyah (1996), J. 1, mk 103

[5] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 174

[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 436-437

[7] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 174-176. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 67. Lihat juga Al-Jamal, al-Futuhat al-Ilahiyah (1996), J. 1, mk 103

[8] Al-Taubah, ayat 122

[9] Al-Ahzab, ayat 35

[10] Al-Mu’minun, ayat 1-9

[11] Al-Ma’arij, ayat 22-34

[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 422

[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 444

[14] Luqman, ayat 13

[15] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 443-444

[16] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 444-445