Thursday, October 13, 2011

MAD AL-MUBALAGHAH

Minggu lepas menerima soalan daripada seorang anak murid tentang mad Ta’zim…soalannya adakah mad Ta’zim ini dibawah Tariq al-Syatibiyyah ataupun tidak?….kerana ada ustaz yang mengatakan mad Ta’zim adalah dibawah Tariq al-Syatibiyyah…Disini dibentangkan penjelasan tentang ruang lingkung mad Ta’zim….semoga mendapat sedikit pencerahan….

MAD AL-TA’ZIM[1]

Mad al-Ta’zim adalah termasuk dalam bahagian mad yang digelar sebagai mad al-Mubalaghah[2]. Mad ini dikategorikan sebagai mad al-mubalaghah kerana al-mubalaghah bermaksud bersungguh-sungguh ataupun dan diterjemahkan hasrat tersebut dalam bentuk pemanjangan[3].

Pemanjangan ini tidak ada kaitan langsung dengan huruf mad yang bertemu hamzah ataupun sukun sepertimana kebiasaanya berlaku kepada hukum-hukum mad di bawah sebab Lafzi. Justeru mad al-Ta’zim bermaksud pemanjangan atas dasar membesarkan Allah s.w.t dan bersungguh-sungguh menyatakan bahawa tiada tuhan melainkan Allah s.w.t, contohnya ialah :

اللَّهُ لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ

Surah Ali ‘Imran (3) : 2

Pemanjangan huruf mad yang merujuk kepada huruf alif pada kalimah لا dipanjangkan secara tawassut iaitu empat harakat sepertimana kata Ibn al-Jazari [4] :

وَاْلبَعْضُ لِلتَّعْظِيْمِ عَنْ ذِي اْلقَصْرِ مَدْ

Maksudnya: “ Dan sesetengah daripada qurra’ yang membaca secara qasr pada munfasil, membaca mad [5] pada mad al-Ta’zim

Antara para qurra’ yang meriwayatkan pemanjangan mad al-Ta’zim ini ialah[6]:

a) Abu Bakr Ahmad b. al-Husayn b. Mihran al-Naysaburi[7]

b) Abu al-Qasim Yusuf b. ‘Aliyy b. Jabarah al-Huzali[8]

c) ‘Abd al-Karim b. ‘Abd al-Samad b. Muhammad al-Tabari[9]

Daripada kata-kata Ibn al-Jazari mengenai mad al-Ta’zim sebentar tadi, secara umumnya dapatlah difahami bahawa pemanjangan sedemikian adalah bagi imam yang ada padanya ikhtiyar dua harakat pada mad munfasil[10]. Bagi imam yang ikhtiyarnya empat harakat, tidak terlibat langsung dalam pemanjangan tersebut kerana dari segi praktikalnya pemanjangan tersebut tidak ada bezanya dengan pemanjangan pada mad munfasil yang lain.

Dengan ini tidak tercapailah objektif pemanjangan tersebut secara jelas kepada pendengar. Manakala bagi riwayat Hafs, hanya tariq al-Jazariyyah sahaja yang mempunyai turuq yang membaca secara qasr dan tiada pada tariq al-Shatibiyyah. Imam al-Shatibi sebenarnya menolak konsep pemanjangan atas dasar ma’nawi kerana tiada komentar daripada beliau mahupun daripada anak murid beliau terhadap pemanjangan mad ini. Beliau hanya menerima sebab lafzi sahaja dalam menambah pemanjangan lebih daripada dua harakat. Bagi beliau mad al-Ta’zim itu adalah mad munfasil .

Kesimpulannya, pemanjangan pada mad al-Ta’zim di sisi riwayat Hafs hanya terdapat di dalam tariq al-Jazariyyah sahaja dan bukan daripada al-Shatibiyyah.

Kesimpulannya, Mad Ta’zim ini boleh dikatakan dibawah riwayat Hafs dari ‘Asim sahaja secara umum….yang menjadi kesalahan adalah kita mengatakan Mad Ta’zim ini dibawah riwayat Haf dari ‘Asim melalui Tariq al-Syatibiyyah….kerana jelas bahawa Imam Syatibi tiada meriwayatkan permanjangan lebih daripada dua harakat atas dasar ma’nawi. Waallahu a’lam…



[1]Felza Zulhibri b. Abd Hamid (2010),Riwayat Hafs bin Sulayman al-Kufi: Kajian Perbandingan antara Tariq al-Shatibiyyah dengan Tariq al-Jazariyyah. Disertasi, Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, mk 96-98. Lihat juga Surur Shihabuddin An-Nadawi (2007), Ilmu Tajwid Menurut Riwayat Hafs ‘An ‘Asim melalui Toriq Asy-Syatibiyyah, mk 129-131.

[2] Apabila memperkatakan tentang mad far‘i, terlebih dahulu perlu difahami dahulu tentang pembahagian yang paling asas bagi mad tersebut. Mad Far’i sebenarnya mempunyai dua sebab yang asas merujuk kepada penambahan pemanjangan sesuatu hukum pemanjangan.. Dua sebab itu adalah Ma’nawi (pemanjangan berasaskan makna kalimah) dan sebab lafzi (pemanjangan berasaskan lafaz kalimah). Mad al-Mubalaghah adalah berasaskan sebab ma’nawi dan sebab ma’nawi ini jarang di ketengahkan oleh buku-buku tajwid riwayat Hafs kerana kefahamannya melibatkan pengetahuan tentang qira’at yang lain. Lihat al-Banna (1987), op. cit., j. 1, h. 167

[3] Terdapat satu bahagian mad lagi yang dikategorikan sebagai mad al-mubalaghah. Mad tersebut digelar sebagai mad al-Tabri´ah. Mad ini tidak menjadi fokus penulis kerana mad ini tidak wujud di dalam riwayat ×afÎ. Ibid., h. 168.

[4] al-Jazari (1994), op. cit., h. 42

[5] Mad disini bermaksud empat harakat. Lihat al-Banna (1987), op. cit., j. 1, h. 169

[6] Dr. Muhammad Salim Muhaysin (1997), al-Hadi Sharh Tayyibah al-Nashr fi al-Qira´ati al-‘Ashr wa al-kashf ‘an ‘ilal al-Qira´ati wa taujihuha, j 1. Beirut: Dar al-Jil, h. 173.

[7] Antara kitab Qira´at karangannya ialah kitab al-Shamil, al-Ghayah dan al-Mabsut

[8] Diriwayatkan bahawa beliau adalah antara yang paling ramai guru iaitu seramai seratus dua puluh lapan kesemuanya. Mengarang kitab al-Kamil yang terkumpul di dalamnya berbagai-bagai turuq bacaan.

[9] Guru Qira’at di Makkah al-Mukarramah dan pengarang kitab al-Talkhis fi al-Qira´ah al-Thaman yang terkumpul di dalamnya seribu lima ratus riwayat dan juga turuq

[10] Ini adalah kerana dari segi teorinya mad al-Ta’zim bersamaan dengan mad al-munfasil