Monday, December 17, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 183 )



بسم الله الرحمن الرحيم

1.       Ayat 183:
-         Asbab nuzul ayat ini sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Ibn Jarir dari Mu’adz bin Jabal r.a. bahawasanya ia berkata: Rasullullah s.a.w tiba di Madinah, lalu beliau berpuasa ‘Asyura’, dan berpuasa tiga hari setiap bulan. Kemudian Allah s.w.t menetapkan kewajipan puasa pada bulan Ramadhan maka turunlah ayat ini[1].
-          Ibadah puasa adalah salah satu ibadah yang diwajibkan keatas orang Islam sepertimana yang disebutkan pada ayat ini. Perkataan الصيام atau الصوم   menurut pengertian bahasa Arab ialah “ menahan diri dari sesuatu dan meninggalkannya”. Adapun dalam istilah agama, ia bermaksud puasa ya’ni menahan diri dari makan, minum dan berhubungan seks, disertai niat berpuasa sejak terbit fajar sampai matahari terbenam sedangkan kesempurnaan puasa itu dicapai dengan menyingkiri segala yang dilarang dan menghindari diri dari terjerumus ke dalam segala yang diharamkan[2]. Sabda Nabi Muhammad s.a.w[3]:
من لم يَدَعْ قولَ الزُّورِ والعمَلَ بهِ فليس للهِ حاجةٌ أن يَدَعَ طعامَهُ وشَرَابهُ
Bermaksud: “ Sesiapa yang tidak meninggalkan dusta dan bertindak dengan dusta, maka Allah tidak mempunyai hajat agar dia meninggalkan makan dan minumnya.”
-         Puasa mengandungi kelebihan yang besar dan pahala yang banyak. Cukuplah digambarkan kehebatan puasa itu apabila Allah s.w.t menisbahkan puasa itu kepadaNya sepertimana yang disebut dalam Hadith Qudsi [4]:
كلُّ عملِ ابنِ آدمَ لهُ إلا الصومَ فإنهُ لي وأنا أجزي بهِ
Bermaksud: “ Setiap amalan anak Adam itu adalah untuknya, melainkan puasa, kerana puasa itu bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya”
Bermaksud ibadah puasa itu dikhususkan untuk Allah s.w.t, padahal telah pun dimaklumi bahawasanya semua amal ibadah adalah sudah semestinya untuk Allah s.w.t. Hal ini demikian menurut Imam al-Qurtubiy adalah berdasarkan dua perkara[5]:
a)       Puasa menahan diri dari kelazatan dan syahwat dan perkara ini tidak berlaku kepada ibadah-ibadah yang lain
b)      Puasa merupakan rahsia seseorang dengan Tuhannya. Puasa hanya diketahui oleh Tuhannya sahaja. Sementara ibadah lain, ianya mempunyai kesan zahir yang boleh membawa kepada sifat riya’
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “ Adalah satu perkara yang wajar puasa itu difardhukan keatas umat yang diwajibkan berjihad ke jalan Allah untuk menegakkan agamaNya dibumi dan memimpin umat manusia dengannya dan seterusnya untuk menjadi saksi terhadap umat manusia. Puasa merupakan suatu bidang amalan untuk mengukuhkan kemahuan yang tegas dan penuh tekad, suatu bidang perhubungan manusia dengan Allah s.w.t iaitu perhubungan yang penuh taat dan patuh serta satu bidang untuk meningkatkan diri diatas seluruh keperluan jasad dan melatih diri agar tahan menanggung tekanan keperluan itu demi mengutamakan pencapaian keredhaan dan kenikmatan disisi Allah s.w.t. Semuanya merupakan unsur-unsur yang perlu untuk menyediakan jiwa manusia menanggung kesulitan dan kesukaran dijalan perjuangan dakwah yang terhampar dengan berbagai-bagai halangan dan duri-duri, iaitu jalan yang bertaburan disegenap sudutnya dengan berbagai-bagai keinginan hawa nafsu dan jalan yang penuh dengan ribuan godaan yang menyeru dan memujuk orang-orang yang sedang menjalani perjuangan dakwah.”
-         Ibadah puasa ini adalah ibadah yang paling tua dalam sejarah manusia iaitu sama tuanya dengan penempatan manusia yang pertama iaitu nabi Adam a.s. Allah s.w.t mewajibkan ibadah puasa kepada orang-orang beriman sebagaimana yang telah diwajibkan kepada umat yang terdahulu. Ada yang berpendapat ibadah ini bermula sejak Adam a.s lagi, tidak kurang juga yang berpendapat sejak nabi Musa a.s dan nabi Isa a.s tetapi tiada dalil yang mengkhususkan kepada mereka. Oleh itu pendapat yang pertama adalah pendapat yang lebih kuat[7].
-         Allah s.w.t telah memberikan alasan bagi diwajibkan berpuasa dengan menerangkan manfaatnya yang amat besar dan hikmahnya yang luhur, iaitu agar jiwa orang yang berpuasa dapat dipersiapkan untuk meraih ketaqwaaan dengan meninggalkan nafsu keinginan yang dihalalkan demi mematuhi perintah Allah s.w.t serta mengharapkan pahala dari sisiNya. Hal ini demikian menjadi pemangkin kepada ketaqwaan yang tulus kepada Allah s.w.t sekaligus menjauhi perbuatan yang diharamkan olehNya sepertimana firmanNya:
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Bermaksud: “ Agar kamu bertaqwa
Kenapakah Allah berkata sedemikian? Mengapakah Allah tidak sebut
لعلكم تَتَأَلَّمون
Bermaksud: “agar kamu menderita”
لعلكم تَجُوعون
Bermaksud: “agar kamu lapar”
لعلكم تَصِحون
Bermaksud: “agar kamu sihat”
Tidak lain dan tidak bukan kerana rahsia yang terkandung di dalam ibadah puasa itu pada hakikatnya ialah mencapai suatu martabat ketaqwaan. Iaitu takut kepada Allah dan takut kepada pemerhatianNya samada ditempat tersembunyi mahu pun ditempat yang terang.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[8]: “ Demikianlah ayat ini menunjukkan matlamat agung dari ibadah puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah s.w.t dan mengutamakan keredhaanNya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadah puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Mereka yang dihadapkan ayat al-Quran ini memang sedar betapa tingginya maqam taqwa disisi Allah s.w.t dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah s.w.t. Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadah puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengingatkan taqwa dihadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadah puasa.”
-         Ayat ini juga memberi satu pengertian bagaimana puasa itu membentuk sifat taqwa melalui berbagai proses dalam memastikan amalan puasa itu bukan natijahnya lapar dan dahaga sahaja. Antara prosesnya adalah mendidik perasaan takut kepada Allah s.w.t ketika keseorangan mahupun disekelilingi oleh orang lain. Walaubagaimana hebatnya godaan nafsu untuk makan serta minum serta godaan syahwat untuk melakukan perkara yang melanggari etika hukum puasa itu sendiri, rasa takut kepada Allah s.w.t akan timbul kerana yakin dan sedar bahawasanya Allah sedang memerhatikan, sepertimana firmanNya[9]:
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنْ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka dirasuk oleh gerombolan Syaitan, mereka segera ingat dan terus sedar (insaf)”
-         Puasa juga mengekang nafsu syahwat yang sifatnya sentiasa menggelojak. Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang berbunyi[10]:
الصومُ جُنَّةٌ
Bermaksud: “ Puasa itu adalah perisai (ya’ni mencegah seseorang itu daripada melakukan maksiat”. Puasa mendidik agar hidup manusia itu tidak hanya menjadi budak jasadnya dan tawanan nafsu syahwatnya sahaja, malah didik untuk mengikut petunjuk syari’at beserta pancaran cahaya fikiran yang jernih dan aqal yang sihat. Sesungguhnya, amat berbeza mereka yang hidup ditunggang oleh nafsu syahwat dan sebaliknya. Mereka yang sedemikian hidup laksana seekor binatang yang hanya mengisi perutnya dan melampiaskan nafsu syahwatnya berbanding dengan mereka yang mampu menakluk hawa nafsu dan menguasai syahwatnya. Apabila seseorang menundukkan tuntutan roh kepada jasad, dia menundukkan kehendak nalurinya kepada kehendak aqal semata-mata seolah-olah dia berpindah daripada kawalan Allah yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada kawalan haiwan yang hina dina dan mungkin kepada kawalan syaitan yang terkutuk[11]. Baginda juga pernah mencadangkan kepada para sahabat yang tidak mampu berkahwin agar berpuasa sepertimana sabda Beliau[12]:
...ومن لم يستطع فعليهِ بالصومِ فإنهُ لهُ وِجاءٌ
Maksudnya: “ Sesiapa yang tidak mampu (berkahwin), hendak ia berpuasa, kerana puasa itu adalah benteng baginya. (ya’ni benteng untuk mengekang gejolak syahwat)
-         Puasa juga mendidik sifat belas kasihan terhadap golongan miskin dan yang kurang bernasib baik. Ibadah ini adalah sebagai latihan agar manusia itu merasai kesusahan yang dialami oleh golongan miskin yang sudah pasti menderita kelaparan agar dengan itu dapat mendidik hati agar sentiasa ingat kepada kesusahan yang menimpa sesama saudara Islam yang lain sepertiman firmanNya[13]:
رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ
Bermaksud: “ (Sifat orang-orang beriman itu) saling kasih mengasihi antara satu sama lain”
Justeru puasa bukanlah pencegahan kepada manusia dari makan dan minum sahaja malah ianya juga merupakan anjakan rohani yang meresap kehati-hati manusia agar dapat merasakan perasaan saudara-saudara Islam yang memerlukan bantuan. Dengan ini melahirkan hati yang tidak malu-malu menghulurkan tangan untuk memberi bantuan, mengusapkan air mata untuk mereka yang menderita dan melenyapkan kesedihan mereka yang merana serta berjiwa dermawan dan pemurah yang sudah ditarbiyahkan oleh ibadah puasa. Pernah ditanyakan kepada nabi Yusof a.s mengapa anda membiarkan diri anda menderita lapar, padahal anda menguasai perbendaharaan negeri? Nabi Yusof a.s menjawab :   Aku khuatir jikalau aku kenyang, aku akan melupakan nasib orang yang lapar”[14]
-          Penulis teringat bagaimana seorang wartawan Inggeris yang bernama Laurent Booth (ketika ini telah pun memeluk Islam) menceritakan betapa murninya jiwa penduduk Islam Gaza yang saban hari dihujani dengan peluru-peluru serta bom-bom dari pihak Zionis tetapi masih tetap berpuasa. Ketika beliau dijemput masuk oleh seorang perempuan tua ke biliknya (yang sempit dan amat menyedihkan) lalu beliau bertanya kepada perempuan tua itu, kenapa dalam keadaan sebegini (kekurangan makanan dan lain-lain) pun kamu berpuasa, tidakkah perbuatan ini (berpuasa) menambahkan lagi derita kamu. Lalu perempuan itu menjawab, aku berpuasa kerana ingin mengingatkan diriku terhadap orang-orang yang miskin. Tersentak wartawan tersebut kerana memikirkan bagaimana seorang yang memang sudah miskin mengingati orang miskin yang lain. Begitu hebatnya sifat taqwa daripada didikkan ibadah puasa ini sehingga terkeluar daripada mulut wartawan itu  : “ If this Islam, and I’am in”[15]
-         Puasa juga secara tidak langsungnya meletakkan semua golongan manusia tidak mengira kaya atau miskin, golongan bangsawan atau bawahan pada tahap yang sama dalam aspek perlaksanaan sekaligus menobatkan nilai persamaan sesama manusia. Ibadah ini juga disertai dengan displin diri dengan amalan bersahur dan berbuka serta mendidik agar berjimat cermat jikalau betul-betul mempraktikkan etika berpuasa. Dari sudut kesihatan pula, puasa menyihatkan tubuh badan, membebaskan tubuh badan daripada zat-zat yang memudharatkan, merehatkan anggota badan serta menguatkan ingatan sepertimana sabda Rasullullah s.a.w yang berbunyi[16]:
صوموا تَصِحُّوا
                  Maksudnya: “ Berpuasalah agar kamu menjadi sihat”
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [17]: “ Selain daripada itu semua (hikmah ibadah puasa)                    disana terdapat pula kesan-kesan puasa yang berguna kepada fungsi  tubuh badan. Walaupun saya tidak suka menghubungkan fardhu dan perintah Ilahi mengenai amalan ibadah khususnya dengan faedah fizikal yang boleh disaksikan oleh pancaindera kerana hikmah yang semulajadi dari ibadah-ibadah itu ialah menyediakan makhluk insan untuk memainkan peranannya dibumi ini dan seterusnya mempersediakannya untuk mencapai kesempurnaan yang telah ditetapkan baginya di dalam kehidupan akhirat. Namun demikian saya tidak suka menafikan faedah fizikal dari fardhu dan perintah Ilahi yang dilihat yang dilihat oleh pengamatan dan pandangan sains. Ini adalah berpegang kepada apa yang dilihat dan difaham dari tadbir Ilahi yang hendak memelihara kebaikan diri manusia secara menyeluruh dalam segala amal ibadah yang difardhukan dan yang diperintahkan kepada mereka. Tetapi hakikatnya kita tidak boleh mengubahkan hikmah taklif Ilahi itu dengan faedah-faedah yang ditemui oleh ilmu manusia kerana kerana bidang ilmu manusia itu amat terbatas. Ianya tidak dapat meluas dan meningkat hingga mencakupi seluruh hikmah Allah dalam segala perkara yang ditetapkan untuk mengasuh makhluk insan atau mengasuh seluruh alam buana ini secara tepatnya” 



[1] Al-Tabari, Jami’ul Bayan, J. 2, mk 132
[2] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 338-339
[3] Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmidzi, Ibn Majah dari Abi Hurayrah
[4] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim
[5] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 184
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 41
[7] Dr. Abdul Hayei b. Abdul Sukor, Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 2, (2010), mk 216. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 158
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 44-45
[9] Al-‘A’raf, ayat 201
[10] Diriwayatkan oleh al-Nasa’ei daripada Mu’az.
[11] Dr. Abdul Hayei b. Abdul Sukor, Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 2, (2010), mk 221
[12] Diriwayatkan oleh beberapa perawi Hadith daripada Ibn Mas’ud. Sila lihat Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 131
[13] Al-Fath, ayat 29
[14] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 390
[15] Laurent Booth, My journey to Islam
[16] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 132
[17] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 41-42

Nota Kelas bacaan 7 imam (al-Baqarah 32-33)





قَالُوا سُبْحَانَكَ لا عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32)
1.      Qalun baca qasr al-Munfasil, Ibn Kathir dan Abu ‘Amru (Duri wajah pertama dan al-Susi) ikut.
2.      Qalun baca tawassut al- Munfasil, Duri (wajah kedua), Ibn ‘Amir, ‘Asim dan al-Kisaei ikut.
3.      Warsy baca isyba’ al-Munfasil, Hamzah ikut.
قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ

1.      Qalun baca qasr al-Munfasil dan iskan mim al-Jama’, Abu ‘Amru (Duri wajah pertama dan al-Susi) ikut.
2.      Qalun baca qasr al-Munfasil dan silah  mim al-Jama’, Ibn Kathir ikut.
3.      Qalun baca tawassut al-Munfasil dan iskan mim al- Jama’, Duri wajah kedua, Ibn ‘Amir, ‘Asim dan al-Kisaei ikut
4.      Qalun baca silah mim al-Jama’,
5.      Warsy baca isyba’ al-Munfasil dan qasr al-Badal
6.      Hamzah baca dengan 4 wajah jikalau waqaf pada kalimah بِأَسْمَائِهِمْ
-        Wajah pertama dan kedua: Tahqiq hamzah pertama dan tashil hamzah kedua berserta mad dan qasr
-        Wajah ketiga dan keempat: Ibdal hamzah pertama kepada huruf ya’ [1]dan tashil hamzah kedua berserta mad dan qasr

7.      Warsy (dalam bacaan isyba’ al-Munfasil) baca tawassut dan isyba’ al-Badal



فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ (33)
1.      Qalun baca qasr al-Munfasil, iskan mim al-Jama’ dan fathah Ya’ pada kalimah إِنِّي  [2] , Duri Abu Amru (wajah pertama) ikut.
2.      Al-Susi baca Idgham Kabir pada  وَأَعْلَمُ مَا
3.      Qalun baca silah mim al-Jama’, Ibn Kathir ikut
4.      Qalun baca tawassut al-Munfasil dan iskan mim al-Jama’, Duri Abu ‘Amru (wajah kedua ikut)
5.      Ibn ‘Amir baca dengan iskan Ya’ pada kalimah إِنِّي, ‘Asim dan al-Kisaei ikut
6.      Qalun baca silah mim al-Jama’ dalam bacaan tawassut al-Munfasil
7.      Warsy baca isyba’ al-Munfasil dan al-Muttasil, naqal pada sakin mafsul  (  أَلَمْ أَقُلْ) dan lam ta’rif (  وَالأَرْضِ), silah mim al-Jama’ pada (  لَكُمْ إِنِّي)  dan fathah Ya’ pada kalimah  إِنِّي
8.      Hamzah (Khalaf wajah pertama dan Khallad wajah pertama) baca  isyba’ al-Munfasil dan al-Muttasil dan saktah pada lam ta’rif (وَالأَرْضِ)
9.      Khallad (Wajah kedua) baca tanpa saktah pada kalimah وَالأَرْضِ
10.  Khalaf  baca saktah pada sakin mafsul dan lam ta’rif.


[1] Kata  al-Syatibi (Hirz, bab Waqfi Hamzah wa Hisyam ‘ala al-Hamzi, mk 20):
وما يُلفى واسطاً بزوائدٍ دخلنَ عليهِ فيهِ وحهانِ أُعملا
كما ها ويا و اللامِ والبا ونحوها ولاماتِ تعريفٍ لمن قد تأملا

[2] Sila rujuk penjelasan serta dalilnya dipelajaran yang lepas.