Wednesday, April 11, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 121-123)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 121:

- Disini Allah s.w.t menegaskan bahawa Al-Quran yang telah diturunkan keatas umat Islam perlulah dibaca dalam erti kata membaca dengan pembacaan yang sebenar-benarnya. Yang dimaksudkan pembacaan yang sebenar-benarnya adalah membaca secara tartil dalam erti kata menyempurnakan hak dan yang mustahak bagi huruf, mentadabbur serta menghayatinya dan bertafakkur. Ataupun boleh dikatakan beramal dengannya dan percaya dengan kandunganya serta tidak mengubah isinya[1]. Secara terperincinya bolehlah dibahagikan kepada 4 perkara :

i. Membaca dengan tajwid yang sempurna kerana al-Quran itu diturunkan beserta dengan tajwid. Barang siapa yang membacanya tanpa tajwid, maka sebenarnya dia bukan membaca al-Quran dan perbuatannya itu tiada mendapat pahala malah akan mendapat dosa pula sepertimana kata Ibn al-Jazari[2] :

والأخذ بالتجويد حتم لازم من لم يجود القرءان آثم

لإنه به الإله أنزل وهكذا منه إلينا وصل

Maksudnya: “ Berpegang (membaca al-Quran) dengan tajwid adalah wajib, barang siapa yang tidak mencantikkan (membaca dengan tajwid) al-Quran adalah berdosa. Kerana dengan tajwid Allah menurunkan al-Quran dan sedemikianlah (ya’ni al-Quran dengan tajwid) daripada Allah sampai kepada kita.

Untuk merealisasikan pembacaan al-Qur’an yang sempurna mestilah melalui proses talaqqi musyafahah yang menjadi tunjang kesempurnaan sesuatu pembacaan al-Qur’an. Oleh sebab itulah, selaku umat Islam tidak dapat tidak perlu mencari seorang guru untuk memperbetulkan bacaannya sebelum hayatnya berakhir. Rasullullah s.a.w sendiri sampai ke akhir hayatnya masih lagi bertalaqqi dengan Jibril a.s. Adakah kita sebagai umatnya tiada berasa malu langsung kepada Baginda dalam keadaan kita yang tidak menahu langsung bila ajal akan sampai masih lagi dalam keadaan tidak tahu membaca al-Qur’an, apatah lagi tidak mengenal huruf langsung. Bagaimana kita mahu berjumpa dengan Baginda s.a.w di akhirat nanti dalam keadaan yang sedemikian walaupun di dunia ini kita disanjung dan dipuja umpama kitalah manusia yang paling berjaya di mata dunia dan manusia.

ii. Memahami tafsirnya bukan sekadar membaca tafsiran secara kasar sahaja kerana bimbang akan tersilap faham. Perlu kepada penafsiran yang sedikit mendalam agar kita faham apa yang sebenarnya al-Quran mahu kita faham. Jikalau hal-hal dunia yang bersangkut paut dengan kerjaya serta akademik kita sanggup membuat kajian yang mengorbankan banyak masa dan wang ringgit, adalah menjadi satu kerugian jikalu dengan isi-isi al-Quran kita hanya baca dan sekadar tahu makna yang sedikit sahaja. Kefahaman terhadap isi al-Quran itulah yang membuatkan umat Islam itu lebih bermuhasabah bahawa semua yang bernama makhluk itu adalah hamba Allah dan sekaligus merasakan betapa lemahnya kita disisi Allah s.w.t. Begitu juga kepada kisah-kisah yang telah diceritakan dalam al-Quran yang sebahagian besarnya menceritakan tentang kaum-kaum yang telah dibinasakan oleh Allah s.w.t atas sebab keengkaran mereka terhadap suruhanNya yang mana boleh menjadi i’tibar bagi umat Islam bagi menghadapi segala mihnah dan dugaan yang pasti datang untuk menguji hambaNya dalam menggalas amanah sebagai khalifah dimuka bumi ini. Tetapi, jikalau segala i’tibar itu dipandang sepi akibat tiada inisiatif untuk mendalami makna isi al-Quran, maka tidak peliklah ramai manusia yang tewas dengan perangkap musuh Islam sekaligus menjadi pengikut mereka serta pewaris amalan-amalan sesat samada mereka menyedari atau pun tidak.

iii. Mentaati setiap tuntutan serta hukum-hakam yang telah Allah s.w.t rakamkan di dalam al-Quran. Konsep “Sami’na wa Ato’na” yang bermaksud “ Kami dengar dan kami taat” perlu diterapkan pada setiap tuntutan Allah s.w.t kepada hambaNya samada tuntutan tersebut disukai atau pun tidak disukai oleh manusia, sepertiman firmanNya[3]:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

Bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman, taatlah (secara mulaq) kamu kepada Allah dan taatlah (secara mutlak) kamu kepada rasul dan juga taatlah kamu kepada pemimpim dikalangan kamu. Sekiranya kamu berselisih pada sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah dan rasulNya sekiranya kamu benar-benar beriman dengan Allah serta hari qiyamat”

Hal ini demikian apa sahaja yang datang daripada Allah s.w.t sememangnya bermanfaat dan bersesuaian kepada fitrah umat manusia dan tidak sepatutnya dibangkang ataupun dipinggirkan kerana dengan sebab itulah dapat menghindari segala kerosakkan dari tangan-tangan manusia yang akan, sudah dan bakal timbul. Janganlah kita menjadi seperti kaum Bani Israel, apabila Allah s.w.t menurunkan ayat-ayatNya, lalu mereka berkata: “ Sami’na wa ‘Asoina”, yang bermaksud “Kami dengar tetapi kami engkar”. Sifat sebegini sebenarnya sudah banyak berjangkit dihati umat Islam yang mana hati mereka sudah jauh daripada cahaya dan hidayah al-Qur’an itu sendiri. Secara hakikatnya, bagaimana cahaya dan hidayah al-Qur’an itu akan masuk dihati mereka jikalau mereka sendiri menutup hati mereka untuk menerima kebenaran al-Qur’an.

iv. Berazam dengan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan segala tuntutan yang telah ditaklifkan. Berazam dalam erti kata memusatkan segala kemampuan yang ada daripada sekecil-kecil sumbangan hinggalah kepada sebesar-besarnya dalam memastikan hukum Allah s.w.t itu tertegak dimuka bumi ini dan itulah sebenarnya tugas khalifah Allah dimuka bumi. Setiap orang ada tanggung –jawap masing-masing walau apa pun status kita. Semuanya akan dipersoalkan diakhirat nanti bagaimana sumbangan kita dalam menegakkan hukum Allah s.w.t dimuka bumi ini.

- Beginilah sifatnya orang yang beriman terhadap al-Quran yang dimaksudkan sebagai “ haqqa tilawatih” iaitu sebenar-benar pembacaan al-Qur’an. Mereka membaca al-Qur’an bukan bertujuan untuk berlagu atau menghiburkan hati sahaja. Bukan juga sekadar sampai dihalqum sahaja dan tidak masuk ke dalam hati. Apabila sampai ke ayat yang berkait dengan syurga, maka bersungguh-sungguh mereka meminta syurga serta mengaplikasikan permintaan itu dari sudut hati, fizikal, mental dan seumpamanya. Dan apabila sampai kepada ayat yang menerangkan neraka pula, bersungguh-sungguh meminta perlindungan daripada Allah s.w.t agar terhindar daripada perbuatan yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka dan permintaan itu juga merangkumi hati, perkataan serta tindakan mereka.

- Bagi tuntutan yang boleh dibuat dengan serta merta berpandukan kepada ayat al-Qur’an yang dibacakan itu, terus dilaksanakan. Adapun yang tidak mampu dilaksanakan atas sebab kekangan atau halangan, mereka terus berjuang sehingga hukum Islam tersebut dapat dilaksanakan. Contohnya, bila Allah s.w.t mengatakan arak itu haram, mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua ruang dakwah dan apa jua status yang layak bagi mereka untuk mengharamkan arak itu untuk orang Islam. Begitu juga dengan judi, perlu ada usaha yang bersungguh untuk menghapuskan judi yang menjadi antara punca kemurkaan Allah s.w.t bukannya diberi lesen atau pun diberi satu tempat yang tidak dapat disentuh langsung untuk mereka menjalankan operasi, malah ada polis pula yang setia menjaga kebajikan pusat-pusat judi tersebut.

- Terdapat juga yang tidak menahu langsung tentang makna ayat al-Qur’an kerana apabila dibacakan ayat al-Quran secara berlagu yang bermaksud “ bagi mereka azab yang besar” lalu ada yang mengatakan “ Allah! bagus dan sedap sungguh bacaan kamu”.

Apakah yang bagusnya? Sedangkan yang disebut itu mengenai azab Allah dan tentu sekali kita mesti minta berlindung dengan Allah s.w.t dari azab tersebut dan itulah yang sepatutnya dilakukan apabila mendengar bacaan sedemikian. Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْخَاسِرُونَ

Bermaksud: “ Barangsiapa yang kufur dengan al-Quran, maka mereka adalah orang-orang yang rugi”

Ya’ni mereka membaca al-Quran tetapi tidak mempercayai kepada hukum dan panduan di dalamnya samada engkar secara sedar atau pun tidak seperti mengatakan kalau melaksanakan Islam tidak akan membawa kemajuan atau mengatakan jikalau berbuat Islam yang sepertimana digariskan dalam al-Qur’an, negara barat akan memberi tekanan kepada kita dan kita akan dilabel sebagai “ terrorist”, kesemua perkataan itu termasuk dalam golongan membaca al-Qur’an tetapi kufur dengannya. Mereka akan menjadi manusia yang rugi di dunia apatah lagi di akhirat kerana tidak mengambil panduan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam kitabNya. Di dunia sudah jelas kerugiannya dalam menggadaikan maruah, akhlaq dan sebagainya kerana mengikut hawa nafsu, maka diakhirat kelak lebih teruk daripada itu.

- Ramai yang membaca al-Qur’an tetapi sedikit yang berusaha untuk mengetahui ataupun memperhatikan isinya. Hal ini demikian banyaklah umat Islam yang tidak dapat mengambil i’tibar yang sangat berguna yang tersimpan di dalam al-Qur’an. Sebab itulah banyak didapati ramai umat Islam yang buruk pekertinya, tidak takut berbuat dosa, hilang rasa malu dan segan, lenyap kemuliaan budi pekerti dan kesopanan Islam padahal kerap kali membaca al-Qur’an. Mereka menggunakan al-Quran itu hanya untuk menjadi alat penghibur sedangkan isinya dikesampingkan dan inilah yang amat dikesalkan. Maka inilah juga suatu kerugian yang amat besar bagi umat Islam. Dan semoga dengan kefahaman ayat ini, kita sedar kembali dan bangkit semula untuk menebus kerugian yang selama ini menghantui umat Islam khususnya di Malaysia ini.

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4]: “ Orang-orang yang bersih daripada kongkongan kehendak keinginan nafsu dari golongan mereka dapat membaca kitab suci mereka dengan bacaan yang sebenar dan kerana itulah mereka percaya kepada kitab suci yang benar yang ada bersamamu. Adapun orang-orang yang menolak kitab itu, maka merekalah yang akan mendapat kerugian bukannya engkau dan bukannya orang-orang yang beriman.”

2. Ayat 122 & 123

- Kedua-dua ayat ini adalah sebagai ulangan ataupun penutup bagi ayat yang terdahulu iaitu ayat 47 dan 48 bagi memperingatkan kembali kepada bani Israel akan nikmat yang telah Allah kurniakan kepada mereka yang berupa 10 nikmat dahulu. Disamping Allah s.w.t menyatakan kelebihan mereka yang telah dikurniakan melebihi daripada umat-umat yang lain seperti dibangkitkan beberapa nabi dan rasul ramainya dari kalangan bani Israel yang mana perkara ini tidak pernah berlaku kepada mana-mana bangsa yang ada didunia ini. Nikmat diberi pertolongan oleh Allah s.w.t sedari zaman mereka dibawah kekejaman firaun lagi dan juga nikmat diampunkan dosa oleh Allah s.w.t walaupun telah banyak melakukan kemungkaran. Oleh itu hendaklah mereka ingat kepada Allah, takut kepada hari qiyamat yang mana pada hari itu tiada seorang pun boleh menjadi pengganti diri, penjamin, penebus ataupun penolong.

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “ Selepas penjelasan yang tegas pada ayat 121 tadi, ayat-ayat yang berikut beralih pula kepada berbicara dengan bani Israel seolah-olah ia mahu membuat seruan terakhir kepada mereka setelah selesai persemukaan dan perdebatan yang panjang lebar dengan mereka dan setelah dibangkitkan sejarah mereka dengan Allah dan para anbiya mereka dan setelah al-Quran berpaling dari mereka untuk berbicara dengan Rasullullah s.a.w dan para mu’min. Disini al-Qur’an berpaling kepada bani Israel seolah-olah sebagai seruan terakhir setelah mereka berada dipintu pegabaian, pembiaran dan pelucutan terakhir dari kehormatan memikul amanah agama Allah yang telah diserahkan kepada mereka sejak berapa lama dahulu”.



[1] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 126

[2] Ibn al-Jazari, Tayyibah al-Nasyr, mk 36

[3] Al-Nisa’, ayat 59

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 427

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 428