Thursday, November 8, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 174-176 )



بسم الله الرحمن الرحيم
1.       Ayat 174:
-         Ibn Abbas berkata, asbab nuzul ayat ini diturunkan atas dasar untuk mencela ketua-ketua dan pendeta Yahudi di Madinah yang mengambil hasil pendapatan atau hadiah dari pengikut mereka. Mereka yang sememangnya mengharap betul-betul nabi akhir zaman bakal dibangkitkan daripada bangsa Yahudi tetapi apabila hakikat menjadi sebaliknya, ditakuti hilangnya habuan hadiah daripada pengikut mereka dan akan hilanglah kekuasaan memimpin, mereka sanggup menyembunyikan fakta tersebut yang termaktub di dalam kitab mereka sendiri iaitu Taurat dan mengubahnya[1]. lalu mereka memberitahu bahawa inilah sifat-sifat nabi akhir zaman yang tidak menyerupai nabi ini. Maka turunlah ayat ini[2].
-         Mereka menggunakan setiap medium penyebaran maklumat pada masa itu (yang mungkin tidak secanggih sekarang ini) untuk menutup kebenaran yang hakiki serta seringkali membuat fitnah dengan mengatakan sesuatu yang dusta kepada Allah s.w.t. Sebagai contoh, mereka mengelirukan kaum muslimin tentang makanan yang dihalalkan serta yang diharamkan oleh Allah s.w.t sepertimana firmanNya[3]:
وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ وَمِنْ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا إِلاَّ مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا أَوْ الْحَوَايَا أَوْ مَا اخْتَلَطَ بِعَظْمٍ
Maksudnya: “ Dan kepada kaum Yahudi Kami haramkan segala binatang yang berkuku dan dari lembu dan kambing Kami haramkan kepada mereka lemak-lemak daripada kedua-duanya kecuali lemak yang melekat dipunggung kedua-duanya atau yang melekat diperut besar dan usus atau yang bercampur dengan tulang”
Perkara yang disebutkan di dalam ayat diatas hanyalah diharamkan khusus kepada kaum Yahudi. Sedangkan perkara tersebut di halalkan kepada kaum muslimin. Ulama’ mereka pula mempertikaikan kenapa dihalalkan perkara itu kepada kaum muslimin. Diriwayatkan juga, mereka telah mempertikaikan tentang perkara ini sedangkan perkara tersebut memang telah diharamkan kepada mereka di dalam kitab Taurat. Matlamat mereka selama-lamanya ialah menimbulkan keraguan terhadap kesahihan perintah al-Quran dan kebenaran yang diwahyukan oleh Allah s.w.t[4]
-          Hal ini demikian kerana takut jika kebenaran itu diketahui maka ketua dan pendeta Yahudi ini tidak akan dipilih lagi menjadi ketua atau pemimpin sekaligus akan terlepas habuan serta hadiah yang selama ini mereka nikmati daripada pengikut mereka. Sekalipun diantara mereka itu terdiri daripada orang yang alim Taurat dan Injil yang diiktiraf sebagai ulama’ dikalangan mereka tetapi mereka sanggup serta tergamak menukarkan kebenaran yang hakiki dengan habuan harta yang sedikit. Mereka redha menjual pengajaran Allah yang sangat berharga untuk dibelikan habuan makanan serta kehidupan yang tidak seberapa[5].
-         Dewasa ini, perkara seperti yang disebutkan dalam ayat ini berlaku dengan setepatnya sepertimana yang diceritakan oleh ayat ini. Terdapat mereka yang ingin mengekalkan tampuk pemerintahan yang korup, zalim serta menindas rakyat marhaen dengan apa cara sekali pun sehingga sanggup menutup kebenaran yang termaktub di dalam al-Quran serta kebenaran yang acapkali dihadapkan oleh Allah s.w.t di depan mata manusia itu sendiri saban hari. Malah, dengan kuasa yang ada pada  mereka, mereka berjaya menutup kebenaran itu dengan mengawal kesemua media massa dalam memastikan kebenaran tidak sampai kepada masyarakat sekaligus menjadikan masyarakat itu jahil tentang kebenaran. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga mengelirukan masyarakat tentang syari’at Islam itu sendiri samada memberi kefahaman yang salah dengan menimbulkan kesangsian terhadap hukum Islam atau dengan sengaja membiarkan masyarakat terus teraba-raba dalam memahami Islam yang sebenarnya.  Apabila masyarakat sudah jadi sebegitu, maka senanglah mereka berkuasa dan terus dengan sewenang-wenangnya melakukan kerosakan dimuka bumi ini tanpa ada siapa yang menghalang.
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “ Kecaman terhadap perbuatan menyembunyikan hukum-hukum di dalam al-Quran yang telah diturunkan Allah s.w.t itu adalah ditujukan pertama-tamanya kepada kaum ahli Kitab, tetapi pengertian nas yang umum itu mencakup semua penganut setiap agama yang menyembunyikan kebenaran yang diketahui mereka dan menjualkannya untuk mendapat faedah duniawi yang sedikit samada berupa faedah peribadi yang ingin dicapai mereka melalui penyembunyian kebenaran itu atau berupa kepentingan peribadi yang dijaga mereka dengan penyembunyian itu atau yang dibimbangi mereka akan terancam apabila diterangkan kepada umum atau berupa kepentingan dunia seluruhnya dan ini juga dikira satu faedah yang kecil apabila dibandingkan dengan kerugian mereka kerana tidak mendapat keredhaan Allah dan pahala di akhirat.”
-          Seterusnya Allah berfirman:
أُوْلَئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلاَّ النَّارَ
Bermaksud: “ Mereka itu, apa yang mereka makan yang masuk ke perut mereka, tidak lain hanyalah api neraka”
Menggambarkan bahawasanya faedah yang mereka makan dari penyembunyian kebenaran itu adalah sangat hina dan kesemua yang telah masuk ke perut mereka adalah merupakan api neraka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[7]: “ Kenyataan ini selaras dengan pemandangan di dalam ayat ini. Seolah-olah harga penyembunyian dan pendustaan yang dimakan mereka itu merupakan api neraka di dalam perut mereka dan seolah-olah mereka sebenarnya makan api neraka itu sendiri. Dan ini adalah satu hakikat yang benar apabila mereka dimasukkan kedalam neraka pada hari akhirat. Di sanalah api neraka menjadi pakaian mereka dan di sanalah api neraka menjadi makanan mereka[8]”.
-         Sebagai balasan terhadap tindakan mereka itu, mereka diabaikan Allah pada hari qiyamat dan dibiarkan dalam keadaan yang teramat hina sepertimana firmanNya:
وَلا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلا يُزَكِّيهِمْ
Bermaksud: “Allah tidak akan bercakap dengan mereka pada hari qiyamat dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa)”
Terbukti di dalam ayat ini betapa hebatnya balasan menyembunyikan kebenaran lebih-lebih lagi kebenaran tersebut amat-amat dihajati oleh manusia demi kelangsungan kehidupan mereka berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “(Ia diungkapkan sedemikian) untuk membesar-besarkan pengabaian Ilahi itu dalam suatu kebenaran yang dekat dengan perasaan dan kefahaman manusia, iaitu mereka tidak ditegur sapa, tidak dipeduli, tidak dibersih (dari dosa) dan tidak diberi keampunan.” Dan akhirnya mereka akan dihadapkan dengan azab yang amat pedih.

2.      Ayat 175:
-         Mereka itu digambarkan di dalam ayat ini seperti membeli kesesatan dan menjual petunjuk, membeli seksaan dan menjual pengampunan. Betapa jahilnya pekerti dan tindakan mereka kerana mempertukarkan yang baik dengan yang buruk.. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[10]: “ Seolah-olah ia merupakan satu urusniaga membeli kesesatan dengan bayaran hadiah, menolak keampunan dan mengambil azab neraka. Alangkah rugi dan bodohnya urusniaga itu. Alangkah buruknya belian dan pilihan mereka. Inilah gambaran hakikat yang sebenar. Hidayah ditawarkan kepada mereka tetapi mereka menolaknya dan mengambil kesesatan dan keampunan pula di buka kepada mereka tetapi mereka menolaknya dan memilih azab neraka”
-         Begitu juga, alangkah ganjil dan anehnya cara mereka berfikir yang membayangkan bahawa mereka itu sabar dan tahan menjalani seksaan azab di akhirat nanti yang sudah pasti tersangat lama masanya[11] Mereka seolah-olah tidak mengerti langsung bahawa betapa pedihnya azab Allah dan betapa berlainannya masa di dunia dengan masa di akhirat nanti. Hal ini demikian kerana dikaburi dengan nikmat dunia yang menjadi kegilaan mereka sehingga tiada terdetik dihati mereka tentang hal ehwal hari akhirat, sepertimana firmanNya:
فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ
Bermaksud: “ Alangkah sabarnya mereka menanggung azab neraka”
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [12]: “ Alangkah lamanya kesabaran mereka untuk menderita azab neraka yang telah dipilih oleh mereka dengan sukarela dan dituju oleh mereka dengan sengaja. Alangkah hebatnya ejekan terhadap kesabaran mereka yang amat lama untuk menderita azab neraka itu! Itulah balasan yang setimpal terhadap keburukkan jenayah mereka, iaitu jenayah menyembunyikan ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah supaya diumumkan kepada manusia dan supaya ditegakkan dalam kehidupan mereka di dunia ini dan supaya menjadi undang-undang, peraturan dan cara hidup mereka. Oleh kerana itu, sesiapa yang menyembunyikan ayat-ayat Allah beerti telah memberhentikan dari bertindak dan beroperasi sedangkan kitab Allah merupakan perintah-perintah yang benar yang diturun untuk bertindak dan beroperasi”

3.      Ayat 176:
-         Jelas ayat ini memberi kesimpulan kepada sebab mereka dihukum sebegitu  dahsyat tidak lain dan tidak bukan kerana mengelirukan kebenaran al-Quran yang diturunkan dengan hak, samada diubah atau sengaja disalah ertikan dan inilah punca sebenar pepecahan dan seterusnya membawa kepada kesesatan yang amat jauh. Al-Quran yang telah pastinya benar daripada Allah s.w.t yang tiada hak untuk manusia itu menyembunyikannya apatah lagi mengubahnya dengan mengikut hawa nafsu mereka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[13]: “ Sesiapa yang kembali kepada kitab Allah beerti berada di jalan hidayah Allah, berada dalam hubungan yang harmoni dengan ajaran yang benar dan berada dalam hubungan yang mesra dengan golongan manusia yang mendapat hidayah Allah dan seterusnya berada dalam hubungan yang mesra dengan fitrah alam buana dan undang-undangnya yang teguh”



[1] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 157
[2] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 89-90
[3] Al-‘An’am, ayat 146
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 640-641
[5] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 50
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 642
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 643
[8] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 152
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 643-644
[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 644
[11] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 158
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 644-645
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 645