Thursday, January 19, 2012

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 106-107)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 106 :

- Sebagai muqaddimah, telah diterangkan sebelum ini bahawa nabi Musa a.s mempunyai mukjizat, begitu juga dengan nabi Isa dan nabi Muhammad s.a.w. Tetapi mukjizat para anbiya’ ini berlainan mengikut masa dan tempat. Mukjizat nabi Musa a.s adalah tongkatnya yang boleh menjadi ular, membelah laut, memancarkan mata air dan lain-lain. Hal ini demikian untuk menandingi kepandaian manusia pada masa itu dalam bermain sihir. Mukjizat nabi Isa adalah kebolehannya menyembuhkan orang buta, orang sopak dan menghidupkan orang mati untuk menandingi pula kepandaian orang pada masa itu dalam urusan perubatan. Manakala mukjizat nabi Muhammad s.a.w ialah al-Quran kerana untuk menandingi kehebatan masyarakat arab pada masa itu dalam bidang syair dan juga bersesuaian dengan kehendak masyarakat pada masa itu hinggalah sekarang dan sampai ke hari akhirat kepada ilmu pengetahuan yang berada didalam al-Quran.

- Allah s.w.t telah membuat perbezaan antara para nabi dengan orang-orang pandai dan pintar bahawasanya orang yang pandai itu mendapat ilmu pengetahuan dengan perantaraan guru dengan belajar atau mengadakan percubaan-percubaan (eksperimen) terlebih dahulu. Sedangkan para nabi mendapat ilmu pengetahuan bukanlah dengan perantaraan manusia, bahkan dengan perantaraan alam rohani (malaikat). Oleh sebab itulah kita yakini al-Quran bukan daripada karangan Rasullullah s.a.w kerana sesuatu karangan pastilah dengan belajar dan difikirkan terlebih dahulu.

- Sebab turun ayat ini sepertimana yang telah diriwayatkan bahawasanya kaum Yahudi berkata “Tidakkah kalian hairan tentang Muhammad? ia memerintahkan sahabat-sahabatnya mengerjakan sesuatu, kemudian ia melarang mereka mengerjakan sesuatu dan memerintahkan mengerjakan yang lain. Pada hari ini ia mengatakan sesuatu, esok hari ia menarik kembali apa yang dikatakan semalam. Maka jelas al-Quran itu tidak lain hanya perkataan Muhammad sendiri yang saling bertentangan satu sama lain” Kemudian turunlah ayat ini[1].

- Perkataan nasakh dalam kaedah bahasa Arab mempunyai dua makna. Pertama, nasakh dengan makna memindahkan atau pun menyalin. Contohnya kita menyalin daripada satu buku ke buku yang lain. Ertinya kita menasakhkan dari satu buku kepada buku yang lain. Kedua, nasakh juga dengan maksud membatalkan yang dahulu. Para ulama’ dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa diantara ayat-ayat al-Quran itu ada yang dimansukh (dibatalkan). Ianya akan berlaku sama ada pada hukumnya atau bacaannya atau kedua-duanya sekali dan digantikan dengan yang lebih daripadanya atau pun seumpamanya. Setengah ulama’ pula berpendapat bahawasanya bukan ayat yang dimansukhkan kerana makna ayat itu bukan ayat al-Quran tetapi merujuk kepada tanda atau keterangan menjadi rasul (mukjizat)[2].

- Dalam memahami tafsir sesuatu ayat al-Quran, banyak cabang ilmu yang perlu dikuasai antaranya ilmu nasikh wa al-Mansukh. Jikalau tiada mempunyai asas ilmu ini kemungkinan kita akan keliru kerana dalam al-Quran ada ayat yang bercanggah maksudnya antara satu sama lain umpamanya firman Allah s.w.t[3] :

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2)

Maksud: “ Katakanlah (Wahai Muhammad) Hai orang-orang kafir, aku tidak sembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak sembah apa yang aku sembah”

Yang mana pengakhiran surah ini berbunyi[4] :

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Maksud: “ Kepada kamu agama kamu dan kepada ku agamaku”

Secara jelas ayat ini memberi gambaran agar kita tidak mengambil tahu apa yang disembah oleh orang kafir sedangkan di dalam al-Quran ada pula ayat yang memerintahkan supaya diperangi orang kafir semuanya sekiranya mereka menyerang kita sepertimana firmanNya [5]:

وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً

Bermaksud: “Dan perangilah orang kafir musyrik kesemuanya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya”

Oleh kerana ayat dalam surah Taubah ini diturunkan kemudian daripada surah al-Kafirun, maka dapatlah kita faham bahawa ayat yang kemudian turun menasakhkan ayat yang dahulu turun. Maka ayat dalam surah al-Kafirun itulah dinamakan mansukh (yang dinasakhkan ya’ni dibatalkan hukumnya)

- Ada juga terdapat yang mana ayat itu dinasakhkan tetapi hukumnya kekal seperti ayat yang berhubung dengan rejam orang yang berzina. Orang berzina yang muhson (telah berkahwin) hukumnya direjam sehingga mati di mana pada awalnya ada ayat yang menjelaskannya tetapi kemudian dinasakhkan ayat tersebut manakala hukumnya dikekalkan. Lalu apakah dalil hukumnya dikekalkan sedangkan ayat tentangnya dinasakhkan. Dalilnya adalah hukum tersebut tidak dinasakhkan kerana telah diamalkan oleh Rasullullah s.a.w dan Khulafa’ al-Rasyidin dan khalifah-khalifah selepas itu. Terdapat juga ayat yang dinasakhkan bacaan serta hukumnya sekali. Kesemua ayat yang telah dinasakhkan didatangkan semula dengan ayat yang lebih baik dari segi hukumnya atau yang lebih baik disisi Allah s.w.t

- Nasakh yang bermaksud menggubah, menghilangkan atau pun memindahkan mengandungi dua pengertian dari segi syara’. Pertama, membatalkan hukum yang ada pada nas yang terdahulu dan digantikan dengan nas yang kemudian, misalnya sabda nabi Muhammad s.a.w :

كنت نَهَيْتكم عن زيارة القبور فزوروها

Maksudnya: “ Aku dahulu telah pun melarang kamu ziarah kubur, maka sekarang ziarahilah dia” . Disini digambarkan bahawa ziarah kubur pada awalnya dilarang kemudian dibolehkan. Kedua, mengangkat (membatalkan) hukum yang am pada nas terdahulu dan digantikan dengan hukum yang khas pada nas yang terkemudian sepertimana firmanNya[6]:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: “ Isteri-isteri yang tertalak hendaklah menunggu tiga kali suci”

Jelas pada ayat ini hukum ber’iddah disini umum meliputi kepada isteri yang sudah disetubuhi atau belum. Maka hukum umum pada ayat ini dikhas oleh ayat al-Quran juga sepertimana firmanNya [7]:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمْ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا

Bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mengahwini perempuan mu’minah kemudian menceraikan mereka sebelum kamu menyetubuhinya maka tiada payah mereka ber’iddah”. Maka jelaslah bahawa hukum ber’iddah disini adalah khas bagi isteri yang telah disetubuhi sahaja dan bagi yang belum disetubuhi tidak ada ‘iddahnya.

- Perkataan “ Nunsiha” pada ayat ini dibaca dengan dua wajah mengikut Qira’at yang mutawatirah. Wajah pertama dibaca dengan “Nunsiha” bermakna kami melupakannya dan wajah kedua pula dibaca dengan “Nansa’ha” bermaksud ayat itu dilewatkan penurunannya. Maknanya setiap ayat yang dilupakan oleh Allah s.w.t mempunyai hikmah yang hanya diketahui oleh Allah s.w. t sahaja dan begitu juga kalau sekiranya ayat itu di lewatkan penurunannya oleh Allah s.w.t mempunyai kebaikan yang sudah semestinya kita tidak mengetahuinya. Oleh kerana itu janganlah merasa risau dan serba salah dengan sebab pembatalan serta penangguhan yang melibatkan ayat-ayat yang tertentu. Dan inilah yang difirmankan kepada nabi Muhammad s.a.w.

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[8]: “Perubahan atau pindaan kecil untuk mengikut kehendak –kehendak keadaan dimasa hayat Rasullullah s.a.w adalah untuk kepentingan umat manusia dan untuk mewujudkan kebaikan yang lebih besar yang diperlukan oleh tahap-tahap perkembangan hidup mereka. Allah s.w.t sebagai Tuhan pencipta, Tuhan yang mengutuskan para rasul dan menurunkan ayat-ayat dan dialah sahaja yang dapat menimbang dan menilaikan perubahan dan pindaan itu. Apabila Allah s.w.t memansukhkan sesuatu ayat, maka dia campakkan ayat itu ke alam kelupaan yang mana ayat itu berupa ayat yang dibaca yang mengandungi sesuatu hukum. Maka Dia gantikan dengan ayat yang lebih baik darinya atau setanding dengannya. Tiada sesuatu yang dapat melemahkan Allah s.w.t kerana dialah yang memiliki segala sesuatu dan dialah pemegang teraju pentadbiran dan pengurusan dilangit dan dibumi.”

- Hukum yang dinasakhkan meringankan hukum yang kemudian daripadanya umpamanya menasakhkan hukum yang berlaku dikalangan umat zaman dahulu. umpamanya Allah s.w.t mengharamkan lemak ke atas bani Israel kerana perangai mereka yang suka menderhaka kepada Allah demi untuk menguji mereka. Dan kepada umat nabi Muhammad s.a.w ayat itu telah dinasakhkan. Dan begitu juga dengan ayat-ayat yang lain yang di nasakhkan oleh Allah kerana Dia Maha berkuasa diatas tiap-tiap sesuatu. Jangan dibimbangi walaupun ayat kemudian ini dirasakan seolah-olah sebagai bebenan, sebenarnya iainya adalah daripada Allah s.w.t yang berkuasa untuk memberi perlindungan kepada orang-orang yang beriman. Oleh itu jangan juga berasa bimbang akan menjadi miskin atau tidak terdaya dengan sebab kita beramal dengan hukum yang kemudian ini. Jangan ada perasaan sebegitu kerana Allah s.w.t menyatakan kepada Rasullullah s.a.w dalam ayat yang seterusnya bahawasanya langit dan bumi adalah dibawah kekuasaanNya dan pentadbiranNya.

2. Ayat 107:

- Ya’ni Allah s.w.t itulah yang berkuasa dilangit dan dibumi. Tiada siapa selain Allah yang maha berkuasa. Dialah yang memerintah mengikut kehendakNya, menyuruh dan melarang, mengubah dan menukar ganti. Semua makhluk adalah hambaNya dan berada dibawah kekuasaanNya. Oleh itu apa yang telah Allah tentukan hendaklah didengari dan dipatuhi. Dan seterusnya ingatlah wahai orang-orang yang kufur yang mana azab akan menimpa mereka. Pada masa itu tiada rakan karib yang dapat melindungi dari azab melainkan Allah s.w.t. Dan begitu juga dengan para mu’minin tiada siapa yang boleh menolong memperkuatkan pendirian kamu waktu menghadapi musuh sekiranya tiada dengan pertolongan Allah s.w.t

- Yang benar-benar memberi pertolongan adalah Allah s.w.t. Pertolongan kepada nabi Ibrahim, Musa, Isa dan semua nabi termasuk nabi Muhammad s.a.w serta sahabat-sahabat Baginda. Mereka tida keluh kesah dengan dinasakhkan hukum yang dirasakan lebih berat. Walaupun lahirnya dilihat berat, tetapi oleh kerana dari Allah, mereka tetap percaya dan melaksanakannya. Ada masanya kita merasakan dengan sebab diharamkan beberapa perkara, maka orang Islam merasa sempit, tidak sebebas orang kafir dan tidak boleh maju serta tidak boleh mencapai kemenangan seperti orang kafir. Sebenarnya kalau kita yakin bahawa segala-galanya adalah hukum Allah maka kita percaya kepada kekuasaan dan pertolongan Allah s.w.t. Kita tidak akan bimbang dengan apa sekali pun hukum yang dilaksanakan dan diperintahkan keatas kita oleh Allah s.w.t dimuka bumi ini.

- Umpamanya seorang nelayan, dengan keyakinan kepada Allah s.w.t beliau tetap mengerjakan sembahyang walaupun pada masa itu ikan timbul dengan banyaknya. Janganlah pula merasa bimbang ikan itu tidak akan timbul lagi atau pun orang lain yang akan mengambilnya maka dia tidak perlu mengerjakan sembahyang. Begitu juga dengan sebuah negara Islam yang merasakan kalau melaksanakan sistem perbankan Islam dan menghapuskan sistem bank jahiliyyah, ia merasakan mundur lah negara kerana bank dunia tidak akan menolong kita. Maka lemahlah ekonomi kita kerana tidak sama dengan ekonomi orang barat.

- Inilah sikap orang yang tidak percaya kepada kekekuasaan dan pertolongan Allah s.w.t. Mereka bimbang dengan melaksanakan perintah Allah s.w.t akan menjadi kolot dan mundur. Sedangkan Allah s.w.t sudah semestinya memberi pertolongan, ganjaran dan kekuatan kepada mereka sekiranya dia menurut perintah Allah s.w.t. Sesungguhnya segala kebaikkan itu sebenarnya daripada Allah s.w.t dan bukan kebaikan yang dicipta oleh manusia. Jikalau kebaikan itu mengikut neraca pemikiran manusia dan sebenarnya perkara itu menyalahi hukum Allah, ia tidak akan memperolehi keberkatan dan taufiq serta hidayah daripada Allah s.w.t. Kebaikan itu hanyalah sementara waktu sahaja yang pada zahir sahaja nampak baik dan sudah pasti tiada memberi manfaat sebenar kepada manusia didunia apatah lagi diakhirat nanti. Oleh itu, hendaklah kita mengikut hukum Allah s.w.t. Hukum yang dinasakhkan, kita tidak memakainya, manakala hukum yang ditegaskan kita hendaklah melaksanakannya walaupun kita merasa berat untuk melaksanakannya.

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. ia mengandungi amaran dan peringatan bahawa Allah s.w.t itulah pelindung dan penolong mereka dan tiada pelindung dan penolong selainNya. Mungkin amaran dan peringatan ini disebabkan adanya sesetengah mereka tertipu dengan kempen kaum Yahudi yang mengelirukan dan menyebabkan pemikiran mereka kelam kabut kerana mendengar hujah-hujah mereka yang palsu hinggakan mereka tergamak mengemukakan berbagai pertanyaan kepada Rasullullah s.a.w yang tidak sesuai dengan keyakinan dan keimanan mereka.”



[1] M. Ali Ash-Shabuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum Dalam Al-Quran (1995), J.1, mk 187

[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 153

[3] Al-Kafirun, ayat 1-2

[4] Al-Kafirun, ayat 6

[5] Al-Taubah, ayat 36

[6] Al-Baqarah, ayat 228

[7] Al-Ahzab, ayat 49

[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 396

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 397