Sunday, June 10, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 144-145)


بسم الله الرحمن الرحيم
1.       Ayat 144:
-         Seperti yang telah diterangkan pada pelajaran yang terdahulu[1], disokong oleh al-Qurtubiy di dalam tafsirnya, ayat ini diturunkan dahulu daripada ayat 142 yang lalu. Cumanya dari segi penyusunan mushaf, ayat ini dikemudiankan tetapi dari segi penurunannya, ayat ini lebih dahulu turunnya. Kerana cemuhan Yahudi kepada perbuatan Nabi Muhammad s.a.w bersolat mengadap Baitul Maqdis, Baginda s.a.w sering pada waktu malam keluar dan mendongak-dongak ke langit mengharapkan kalau-kalau turunnya wahyu dari Allah untuk menukar Qiblat. Baginda sangat malu untuk berdoa kerana sikapnya yang penuh dengan adab dan sopan terhadap Allah s.w.t tetapi apa yang dilakukan oleh Baginda s.a.w diketahui oleh Allah s.w.t kerana sememangnya kesemua perkara yang berdetik mahupun tidak, adalah didalam limgkungan ilmu Allah s.w.t.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2]: “ (Tindakan Baginda s.a.w mendongak-dongak ke langit) Ia membayangkan keinginan beliau yang kuat agar Allah s.w.t menghalakan beliau ke qiblat yang lain dari qiblat yang sedang dihadapinya itu setelah kaum Yahudi banyak mengeluarkan hujah-hujah dan alasan yang menyakitkan hati. Hal ini demikian kerana mereka mendapat punca yang baik dari kedudukkan kaum muslimin yang menghadap qiblat mereka (Baitul Maqdis) untuk menimbulkan kekeliruan , kebingungan dan kegelisahan dikalangan kaum muslimin. Sebab itulah nabi Muhammad s.a.w kerap kali menghadapkan mukanya ke langit tanpa tanpa memohon dengan terus terang kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah s.w.t dan kerana segan mengemukakan sesuatu cadangan kepada Allah s.w.t atau mendahuluiNya didalam sesuatu perkara.”
-         Diriwayatkan bahawasanya solat yang pertama dikerjakan oleh Nabi Muhammad s.a.w mengadap Kaabah di Makkah adalah solat Asar. Riwayat daripada Malik pula menyatakan bahawa solat itu adalah Solat Fajar dan ada juga yang menyebut Zohor[3]. Muhammad bin Muhammad Abu Shahbah di dalam kitabnya[4] telah cuba menggabungkan riwayat-riwayat ini dan kesimpulannya adalah seperti berikut:
-         Pada masa itu Nabi Muhammad s.a.w telah pergi menziarahi Ummu Bashar bin al-Barraa’ bin Ma’roor di kediaman Bani Salimah di luar Madinah. Selepas dijamu makan oleh tuan rumah, waktu Zohor menjelang, dan Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama mengerjakan solat Zohor. Ketika di rakaat kedua, Jibril a.s telah datang membawa perintah Allah supaya menukar Qiblat. Jibril memegang tangan Nabi Muhammad s.a.w dan memusing Baginda s.a.w hampir-hampir tepat ke arah belakang iaitu ke arah Kaabah di Masjidil Haram di Makkah dan ia diikuti bersama oleh Jamaah yang bersolat bersama Baginda s.a.w. Peristiwa di mana berlakunya peristiwa itu, kini dikenali sebagai Masjid al-Qiblatain (Masjid Dua Qiblat) tidak jauh dari Masjid Nabawi di Madinah.
-         Selepas itu, Nabi Muhammad s.a.w kembali ke Madinah dan di situ Baginda s.a.w bersama para sahabat menunaikan solat Asar secara lengkap sepenuhnya mengadap ke Kaabah. Kemudian salah seorang daripada mereka yang bersolat bersama Nabi Muhammad s.a.w itu telah pergi melawat Bani Harithah dan dia telah memaklumkan kepada mereka tentang hal pertukaran Qiblat lalu mereka menukarnya. Selepas itu, lelaki yang sama atau mungkin juga lelaki yang lain telah pergi ke Quba’ dan menyampaikan perkhabaran itu kepada Jamaah di situ lalu mereka menunaikan solat Fajar mengadap Kaabah di Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah. Berkaitan Kaabah, Rasulullah pernah bersabda: “Kaabah itu kiblat bagi orang yang di dalam masjid, dan masjid itu bagi orang yang di Tanah Haram (Makkah), dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku.” [5]
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “ Kemudian Allah s.w.t memperkenankan qiblat yang disukai oleh Baginda s.a.w dan pengungkapan yang menyatakan limpah perkenan itu membayangkan betapa besarnya hubungan kasih mesra Allah s.w.t terhadap Baginda s.a.w sepertimana firmanNya:
فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا
Bermaksud: “ Sesungguhnya Kami berkenan memalingkanmu ke arah qiblat yang kamu suka”
Seterusnya firmanNya:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Bermaksud: “ Oleh itu hadapkanlah mukamu ke Masjidilharam”
Kemudian al-Quran menentukan qiblat yang disukai oleh Baginda s.a.w sebagai qiblat untuk beliau dan umatnya samada yang sedang bersama beliau atau yang akan datang selepas beliau sehinggalah hari qiyamat menjelang. Seterusnya firmanNya:
وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Bermaksud: “ Dan dimana sahaja kamu berada, maka halakanlah muka kamu kearahnya”
Ya’ni dari mana-mana hala diseluruh muka bumi ini. Ia merupakan satu qiblat yang tunggal yang menyatukan seluruh ummah muslimin dari berbagai-bagai negeri dan arah kedudukkan dari qiblat itu dan dari berbagai-bagai bangsa, bahasa dan warna kulit. Ia merupakan satu qiblat yang sama, dimana seluruh umat muslimin menghala kepadanya dimerata pelusuk timur dan barat dibumi ini. Dan disana mereka merasa diri mereka selaku satu jisim dan selaku satu diri yang menghadap satu matlamat dan berjuang untuk menegakkan sistem hidup yang sama, iaitu sistem hidup yang lahir dari hakikat diri mereka yang menyembah Tuhan yang sama dan beriman kepada rasul yang sama dan menghadap qiblat yang sama.”
-         Sebenarnya kaum Yahudi mengetahui qiblat yang sebenarnya itu adalah Ka’abah kerana Ka’abah itulah yang didirikan oleh nabi Ibrahim a.s yang menjadi qiblat sebelum mereka menghadap ke Baitul Maqdis. Nabi Ibrahim a.s yang mendirikan Ka’bah untuk menjadikan qiblat kepada semua manusia dan kesemua ini telah dirakamkan dalam Kitab kaum Yahudi dan Nasrani, tetapi mereka sengaja buat tidak tahu dan dalam ayat  ini Allah s.w.t mendedahkan tembelang mereka bahawasanya mereka-mereka yang telah diberikan kitab sebelum turunnya al-Quran telah maklum tentang perubahan qiblat sekaligus perubahan itu adalah arahan daripada Allah s.w.t. Dan mereka tidak akan terlepas daripada tindakan mereka itu kerana Allah s.w.t sekali-kali tidak akan lalai daripada apa yang mereka kerjakan.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[7] : “ Ya’ni mereka memang mengetahui bahawa masjidil haram itu ialah BaitulAllah yang pertama. Yang mana tapak-tapak asasnya telah dibina oleh Ibrahim a.s moyang umat pewaris dan moyang seluruh umat muslimin dan seterusnya mereka memang mengetahui bahawa perintah berqiblat kepada masjidilharam adalah satu perintah yang benar daripada Allah s.w.t yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Tetapi kaum ahli Kitab akan bertindak bertentangan dengan saranan yang telah disarankan oleh ilmu pengetahuan yang diketahui oleh mereka. mereka tidak akan tunduk kepada dalil kerana selama ini mereka bukannya kekurangan dalil, malah mereka tidak mempunyai keikhlasan dan kebebasan dari hawa nafsu dan tidak mempunyai kesediaan untuk menerima kebenaran apabila mereka mengetahuinya.Oleh itu tidak ada apa-apa kebimbangan kepada kaum muslimin dari tindakan mereka itu, kerana Allah itu adalah pemelihara dan penjamin yang berkuasa menolak dan membalas tipu daya mereka yang licin.”
-         Perubahan qiblat ini adalah merupakan cara yang sebenarnya untuk menyatukan umat Islam ini dengan satu syiar ummah yang terdiri daripada bangsa-bangsa dan puak-puak diatas dasar aqidah, Tuhan (Allah s.w.t) dan nabi Muhammad s.a.w yang satu. Dan inilah konsep penyatuan manusia yang terunggul berbeza dengan penyatuan haiwan atau binatang. Penyatuan haiwan ialah berpunca dari masalah kandang yang terhad, padang rumput untuk meragut dan sumber ekonomi yang satu. Oleh kerana itu, mereka yang menjadikan ekonomi atau negeri mahupun bangsa sebagai asas perpaduan adalah mereka yang merujuk kepada penyatuan haiwan bukannya penyatuan kemanusiaan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Justeru, penyatuan manusia itu adalah secara mutlaq berdasarkan kepada aqidah dan iman dimana perubahan qiblat ini adalah sebahagian daripada penyatuan manusia disamping ianya menjadi qiblat tempat orang Islam menghadap ketika mengabdikan diri kepada Allah s.w.t
-         Berkata al-Syahid Sayyiq Qutb[8]: “ Demikianlah Allah menyatukan umat muslimin. Dia menyatukan mereka dari segi Tuhan mereka, Rasul mereka, agama mereka dan qiblat mereka. Dia menyatukan mereka dari berbagai-bagai negara, bangsa, warna dan bahasa. Allah tidak menyatukan mereka diatas landasan negara, bangsa, warna kulit malah Dia menyatukan mereka diatas landasan aqidah dan qiblat walaupun mereka berbeza dari segi negara , bangsa warna dan bahasa. Itulah kesatuan dan perpaduan yang layak dengan makhluk insan. Hal ini demikian kerana insan seharusnya bersatu dan berpadu diatas landasan aqidah hati nurani dan qiblat ibadah, berbeza dengan haiwan yang bersatu dan berpadu dipadang ragut dan dalam lingkungan pagar dan kandang”.
2.       Ayat 145:
-         Ayat ini menjelaskan penerimaan golongan ahli Kitab terhadap dalil-dalil daripada ayat-ayat Allah s.w.t. Oleh kerana mereka beranggapan bahawa mereka sudah terlampau bijak dan terlalu mengerti akan ajaran Allah s.w.t, mereka tidak mengikuti qiblatmu, wahai Muhammad s.a.w. Mereka terlalu degil walaupun mengetahui itu adalah perintah Allah s.w.t. Justeru menampakkan bahawasanya mereka memilih jalan dunia bukannya jalan akhirat. Inilah perangai manusia yang mengabdikan diri kepada dunia semata-mata. Mereka akan mempertikaikan hasil kebendaan yang diperolehi sekiranya diajak untuk memperjuangkan Islam dengan kata-kata “ Apakah yang kamu dapat dari hasil yang kamu perjuangkan itu” Hal ini demikian mereka tidak akan berpegang melainkan pegangan yang mendatangkan hasil kebendaan kepada mereka bukan berdasarkan haq dan inilah sikap kaum Yahudi ahli Kitab. Walaupun mereka mempunyai Kitab malah alim tentang isinya, tetapi apabila dunia sudah menjadi dasar perjuangan, Islam yang haqiqi mereka tinggalkan.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [9]: “ Mereka tetap degil kerana dipimpin oleh hawa nafsu dan dikongkong oleh muslihat dan kepentingan. Ramai dari mereka yang baik hati menyangka bahawa sebab yang menghalang kaum Yahudi dan Nasara dari Islam itu ialah kerana mereka tidak mengetahuinya atau kerana agama Islam itu tidak pernah dikemukakan kepada mereka dalam bentuk yang meyakinkan. Pendapat ini adalah karut. Sebenarnya mereka tidak mahukan Islam sebab mereka telah mengenal hakikat Islam. Oleh sebab itulah mereka takut Islam mengancam kepentingan dan kekuasaan mereka. Oleh sebab itulah mereka mengatur berbagai-bagai tipu daya yang jahat terhadap Islam. Mereka tidak jemu-jemu melakukannya dengan berbagai-bagai jalan dan wasilah samada secara langsung atau tidak. Mereka memerangi Islam secara berhadapan dan secara tersembunyi. Juga mereka memerangi Islam dengan diri mereka sendiri atau dengan memperalatkan orang Islam yang lain.”
-         Seterusnya firmanNya:
وَمَا أَنْتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ
Bermaksud: “ Dan engkau juga tidak akan mengikut qiblat mereka”
Jelas menunjukkan bahawasanya inilah sanjungan Allah s.w.t kepada orang yang beriman. Allah s.w.t meminta supaya orang yang beriman bersifat dengan sifat yang disanjung iaitu sifat yang tetap teguh berpegang dengan apa yang diperintah oleh Allah s.w.t, ya’ni apabila Allah s.w.t memerintah supaya menghadap kearah qiblat yang telah ditentukanNya, maka tidak lagi kita memandang kearah yang lain. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[10] : “ Ianya memberi saranan yang kuat kepada kaum muslimin selepas Baginda s.a.w., iaitu mereka tidak akan memilih qiblat lain daripada qiblat rasul mereka yang telah dipilih dan diredhoi oleh Allah untuk merelakan hati beliau, dan mereka tidak akan mengibarkan panji-panji yang lain daripada panji-panji Allah s.w.t, dan tidak akan mengikut sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Ilahi yang berlambangkan qiblat yang terpilih ini. Inilah dia sikap orang muslimin yang sebenarnya selama mereka mengaku diri mereka adalah orang Islam. Andainya mereka tidak bersikap sedemikian, maka mereka bukanlah dari orang-orang Islam, malah mereka sebenarnya adalah pendakwa-pendakwa Islam sahaja.”
-         Seterusnya firmanNya:
وَمَا بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ
Bermaksud: “ Dan mereka sesama mereka  (ahli Kitab) tidak akan mengikut qiblat yang sama” Ya’ni, kaum Yahudi tidak akan mengikut qiblat Nasrani dan begitulah sebaliknya. masing-masing ada kepentingan kaum masing-masing. Mereka mempunyai kepentingan duniawi, kedaerahan, keturunan dan fanatik dengan pegangan yang tidak serupa dan sudah tentu dengan sebegini akan melahirkan permusuhan antara satu sama lain. Hubungan mereka tidak erat disebabkan mempunyai kepentingan yang berbeza walaupun mereka kafir. Dan sekiranya sedemikian, mana mungkin mereka boleh bersatu. seterusnya firmanNya:
وَلَئِنْ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنْ الْعِلْمِ إِنَّكَ إِذاً لَمِنْ الظَّالِمِينَ
Bermaksud: “ Dan jika engkau mengikut hawa nafsu mereka selepas datang kepadamu ilmu (wahyu daripada Allah s.w.t) sesungguhnya jikalau sebegitu, engkau termasuk dikalangan orang yang zalim”
Ya’ni, adalah menjadi kewajipan bagi nabi Muhammad s.a.w untuk mengikut apa sahaja yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. Maka dengan itu, selain daripada yang diajar oleh Allah s.w.t adalah hawa nafsu semuanya. Oleh itu kita tidak boleh mengikut apa yang dilakukan oleh orang kafir, walaupun nampak pada zahirnya baik tetapi pada hakikatnya semua itu adalah hawa nafsu. Ada diantara umat Islam yang tidak percaya kepada konsep Islam dan mengikut ideologi orang bukan Islam malah memandang sepi kepada apa yang telah dianjurkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[11] : “ Marilah kita berhenti sejenak dihadapan amaran Allah s.w.t yang tegas dan keras ini kepada rasulNya yang mulia, sedangkan baru sekejap tadi Allah berfirman kepada beliau dengan firman yang lembut dan mesra. Persoalan disini ialah persoalan yang berkaitan dengan kejujuran mematuhi hidayah dan arahan Allah, juga berkaitan dengan dasar keikhlasan yang tidak berbelah bagi dalam ketaatan dan kepatuhan kepada Allah dan agamaNya. Oleh sebab itulah Allah menyampaikan firmanNya dengan tegas dan amaran yang keras.”
-          Mereka yang mengikut hawa nafsu ini adalah mereka yang hanyut mengikut arus masa. Mereka akan melihat siapa kuat dari segi kebendaan samada orang barat atau pun timur. Sekiranya Jepun kaya, mereka akan pandang ke Jepun dan sekiranya India kaya mereka akan beralih pula ke India dan begitulah seterusnya. Hal ini demikian kerana dasar hidup mereka adalah dunia semata-mata dan inilah hakikat yang berlaku dizaman Rasullullah s.a.w dan juga sekarang ini. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[12] : “ Jalan yang terbentang dihadapan amatlah jelas dan lurus, iaitu samada mengikut jalan wahyu yang datang daripada Allah s.w.t atau mengikut jalan hawa nafsu yang lain darinya. Seorang muslim tidak seharusnya menerima arahan melainkan daripada Allah s.w.t. Ia tidak seharusnya meninggalkan ilmu yang diyakini benar kerana mengikut kehendak hawa nafsu yang berubah-ubah dan segala apa yang bukan daripada Allah itu adalah tidak diragui lagi datang daripada kehendak hawa nafsu”.


[1] Sila rujuk aqwal ulama’ pada masalah ini pada ayat 142
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 540
[3] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 100
[4] Muhammad bin Muhammad Abu Shahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhou’ al-Qur’an wa al-Sunnah 1992, J. 2 mk 104
[5] Riwayat al-Qurtubiy
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 540-541
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 542-543
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 542
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 543-544
[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 545
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 546
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 546-547