بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 138:
-
Didalam ayat
ini Allh s.w.t menggunakan perkataan “sibghah” yang membawa maksud celupan.
Perkataan “sibghah” ini dipanggil “ Isti’arah Tasrikhiyyah” (kata
pinjaman untuk penjelasan)[1].
Maka “ SibghataAllah” membawa pengertian Celupan agama Allah. Apakah
dia itu celupan agama Allah s.w.t? Ianya adalah celupan yang menjadikan manusia
itu beriman dengan keimanan yang penuh ikhlas kepada Allah s.w.t. Inilah
celupan yang sebenarnya iaitu celupan iman dan Islam dengan menjadikan
seseorang itu betul-betul beriman dan betul-betul mengikut Islam yang
sebenarnya. Selain daripada celupan ini, kesemuanya hanya celupan yang batil.
-
Mengikut Ibn
‘Abbas , “ SibghataAllah” ditafsirkan sebagai “agama Allah” . Dinamakan
sedemikian kerana orang yang telah beragama ibaratnya telah dicelup. Maka tanda
agama itu telah melekat dan kelihatan terlekat di sisi pemeluknya, sebagaimana
tanda celupan itu nampak dibaju yang telah diberi celupan yang kemudiannya
celupan itu tidak akan berpisah lagi daripadanya[2].
-
Terdapat juga
daripada sebahagian al-Mufassirin menta’wilkan “ SibghataAllah” sebagai “FitrataAllah” iaitu suatu
kesucian yang sesuai dengan fitrah atau tabiat manusia. Hal ini demikian
mengikut Islam, bayi yang baru dilahirkan adalah bersih, tidak berdosa
sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah Hadith yang bermaksud:
“
Setiap anak yang dilahirkan itu, dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), maka
kedua-dua orang tuanya lah yang meyahudikan atau menasranikan atau
memajusikannya (mengikut pendidikan yang diberi kepada anak tersebut)” Maka celupan Allah itu adalah celupan fitrah
ya’ni celupan orang yang beriman. Menjadi orang yang beriman dan Islam itulah
sebenar-benarnya celupan.
-
Ada juga
daripada kalangan al-Mufassirin yang menta’wilkan “ SibghataAllah” sebagai
berkhatan, kerana orang yang berkhatan itu biasanya berlumuran darah
seolah-olah dicelup dengan darah. Maka upacara berkhatan ini diibaratkan
pencelupan dalam agama Islam. Asbab Nuzul ayat ini sepertimana berkata Ibn ‘Abbas
r.a [3]: “
Orang Nasrani jika mendapat anak, setelah umurnya 7 hari dibawa anak itu untuk
diselamkan di dalam air yang berwarna kuning yang dinamakan air “ma’mudiyyah”
(dinamakan upacara baptist atau mengkristiankan) untuk mencelupnya supaya suci
sebagai ganti berkhatan. Jika yang demikian itu telah dilaksanakan, berkatalah
mereka sekarang dia telah menjadi orang Kristian yang sejati” Maka turunlah
ayat ini.
Celupan
Allah bukan celupan yang dibuat seperti orang Kristian. Mereka mempercayai
bahawa kanak-kanak yang baru lahir itu sememangnya telah bergelumang dengan
dosa dan kekotoran maksiat, oleh itu kanak-kanak tersebut perlu dibaptistkan
untuk dibersihkan daripada segala kekotoran.
-
Ayat ini juga
menjadi satu jawapan yang amat kuat bagi kaum muslimin sekiranya diajak masuk
agama lain, dipujuk supaya mengikuti fahaman ataupun ideologi yang jelas
bertentangan dengan prinsip Islam yang sebenarnya. Samada ideologi tersebut
daripada barat mahu pun dari pandangan orang Islam itu sendiri yang sebenarnya
sudah dipengaruhi dengan unsur-unsur sekular. Jikalau semua ideologi ini jelas
menyimpang daripada kefahaman, ajaran, tatatertib dan peraturan Islam dan ianya
dipersembahkan kepada kita agar kita mengikutnya sekaligus mentaati segala isi
kandungnya, maka ingatlah kepada ayat ini yang seharusnya ditegakkan oleh semua
umat Islam yang mengandungi ikrar bahawa
“ Kami telah beriman, telah mendapat celupan agama Allah. Iaitu celupan
yang teramat baik, tiada bandingannya. Celupan yang tidak akan luntur
selama-lamanya walaupun dimakan zaman, memasuki berbagai-berbagai perubahan
namun kami tetap mengabdikan diri kepada Allah s.w.t”
-
Asy-Syahid
Sayyid Qutb berkata[4]
: “ Agama (celupan) Allah yang dikehendakkiNya sebagai agama yang terakhir kepada
umat manusia agar dapat ditegakkan diatas kesatuan insaniah yang luas, dimana
tiada ruang bagi bangsa-bangsa dan warna kulit. Disini marilah kita berhenti,
memerhati salah satu dari ciri-ciri pengungkapan al-Quran yang mengandungi
maksud yang mendalam. Permulaan ayat ini adalah dari kenyataan Allah s.w.t
iaitu:
صِبْغَةَ
اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنْ اللَّهِ صِبْغَةً
Bermaksud:
“ Iaitu celupan (agama) Allah dan tidak ada yang lebih elok dari celupan
(agama) Allah.”
Dan
baki akhir ayat ini iaitu :
وَنَحْنُ
لَهُ عَابِدُونَ
Bermaksud: “Dan kami sekalian beribadah
kepadaNya”
merupakan dari kenyataan orang-orang
yang beriman. Ia disambung terus dengan kenyataan Allah s.w.t tanpa tercerai.
Semua kenyataan itu merupakan ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t,
tetapi sebahagian awalnya menceritakan kenyataan Allah s.w.t dan bahagian kedua
(yang akhir) menceritakan tentang kenyataan orang-orang yang beriman. Itu
adalah satu penghormatan yang amat besar, kerana kenyataan orang-orang yang
beriman itu disambung terus dengan kenyataan Allah s.w.t dalam serangkai ayat
sahaja. Ini berdasarkan kepada kejujuran iman yang menghubungkan diantara
mereka dengan Allah s.w.t.”
2. Ayat 139:
-
Ayat ini
mengandungi celaan kepada kaum Yahudi dan Nasara kerana mendakwa agama mereka
lebih baik daripada yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w atas dasar merekalah
yang lebih tua dan banyak para nabi yang terbit daripada kaum mereka dan
semuanya menganut agama mereka maka sudah pastilah mereka yang diutamakan oleh
Allah s.w.t. Celaan ini berupa pertanyaan adakah kamu mahu mengajak kami
bertengkar, membangkang dan berhujjah tentang agama yang Allah perintahkan
supaya diikuti sedangkan Allahlah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Begitu juga adakah
kamu mahu berhujjah dengan Rasullullah s.a.w[5]
sedangkan Allah sendiri telah menyatakan dalam al-Quran yang berbunyi:
الَّذِينَ
آتَيْنَاهُمْ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ
Bermaksud: “ Sesungguhnya mereka
yang dikurniakan Kitab, mereka mengenali nabi (Muhammad s.a.w) sebagaimana
mereka mengenali anak-anak mereka sendiri.”
Kamu percaya kepada Allah tetapi
mengapa kamu tidak kembali kepada ajaranNya dengan cara yang sebenar? Dan
jikalau kamu degil maka bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalan kamu dan
kami ikhlas kepada Allah s.w.t
-
Asy-Syahid
Sayyid Qutb berkata[6]:
“ Tiada ruang untuk mempertikaikan keesaan Allah s.w.t . Dia adalah Tuan
kami dan Tuhan Kamu. Kami dihisab
terhadap amalan-amalan kami dan kamu menanggung dosa amalan kamu. Kami
beribadah kepadanya dengan ikhlas dan kami tidak mempersekutukanNya dengan
sesuatu apa pun dan kami tidak meletakkan harapan pada yang lain dari Allah
s.w.t. Inilah kenyataan yang menjelaskan pendirian dan i’tiqad kaum muslimin
dan kenyataan ini tidak boleh dipertikaikan lagi”
3. Ayat 140 :
-
Ayat ini juga
menggambarkan rentetan fitnah yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani
kerana mengatakan nabi Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’qub dan anak-cucunya adalah
beragama Yahudi dan Nasara sedangkan mereka ini lebih dahulu hidup daripada
nabi Musa dan Isa a.s. Adakah mereka lebih tahu daripada Allah s.w.t? Dan
penyaksian yang ditutup oleh kaum Yahudi dan Nasara seperti didalam ayat ini
adalah merujuk kepada kerasulan nabi Muhammad s.a.w. Ini menunjukkan
kitab-kitab mereka menjadi saksi tentang perkara tersebut tetapi kenapa mereka
menyembunyikan isi kandungannya dan sekaligus tidak memberitahu perkara
tersebut kepada kaumnya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[7] : “
Mereka adalah lebih dahulu daripada Musa dan lebih dahulu daripada agama Yahudi
dan Nasara dan Allah s.w.t sendiri menyaksikan hakikat agama mereka sebagai
agama Islam sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.” Dan seterus
pertanyaan kepada mereka “ Siapakah yang lebih mengetahui, kamu atau Allah?”
Itulah pertanyaan yang tidak memerlukan jawapan. Ia mengandungi kecaman yang
membuat lidah tidak dapat memberi jawapan. Kamu sememangnya mengetahui bahawa
mereka wujud sebelum wujudnya agama Yahudi dan Nasara dan mereka berpegang
dengan agama hanifah yang pertama yang tidak mempersekutukan Allah dengan
sesuatu pun. Dan kamu juga menyimpan pengakuan Allah s.w.t didalam Kitab kamu
bahawa diakhir zaman akan dibangkitkan seorang nabi yang membawa agama hanifah,
iaitu agama Ibrahim, tetapi kamu telah menyembunyikan pengakuan itu.”
-
Sesungguhnya tidak ada yang lebih zalim
daripada orang yang menyembunyikan apa yang terkandung dalam kitabNya
sepertimana firmanNya[8]:
إِنَّ
الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزَلْنَا مِنْ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ
مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُوْلَئِكَ يَلْعَنُهُمْ اللَّهُ
وَيَلْعَنُهُمْ اللاَّعِنُونَ
Bermaksud: “ Sesungguhnya mereka
yang menyembunyikan apa yang Kami turunkan di dalam ayat Kami daripada
keterangan dan kenyataan yang ada di dalam Kitab, setelah dinyatakan oleh Allah
s.w.t, mereka menyembunyikan, maka mereka itulah orang-orang yang dilaknat
oleh Allah dan dilaknat oleh seluruh
yang melaknat”
Yang dimaksudkan “Seluruh yang
melaknat” itu ialah manusia , Malaikat di langit, ikan-ikan yang ada di laut,
burung-burung yang berterbangan diudara dan binatang-binatang yang melata
diatas muka bumi ini[9].
Inilah balasan orang yang menyembunyikan ilmu dan apa sahaja yang dinyatakan
oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran.
Walaupun ayat ini ditujukan kepada kaum Yahudi dan Nasara, tetapi jikalau ada
dikalangan orang Islam yang berbuat sedemikian kerana menjaga pangkat dan
kemewahan duniawi, maka samalah keadaan mereka akan dilaknat oleh Allah s.w.t dan dilaknat oleh seluruh yang
melaknat. Seterusnya sambungan bagi ayat ini melalui firmanNya[10]:
إِلاَّ
الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُوْلَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ
وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Bermaksud: “ Melainkan orang yang
bertaubat dan melakukan kebaikan serta menerangkan kepada manusia hakikat yang
sebenar, mereka itulah orang-orang yang Aku terima taubat mereka dan
sesungguhnya Aku adalah Tuhan yang menerima taubat dan Maha penyayang”
Maka jikalau mereka bertaubat,
melakukan pengislahan dengan membetulkan semula segala perkara yang
bertentangan dengan Islam yang pernah diucapkan atau dilakukan dahulu
lebih-lebih lagi sekiranya segala ucapan dan perbuatan itu mempunyai hubungkait
dengan kesejahteraan kehidupan manusia di dunia dan diakhirat. Maka jikalau mereka
berjaya berbuat sedemikian dengan membuang sifat malu diatas kesilapan yang
mereka buat sebelum ini, sudah semestinya seperti janji Allah di dalam ayat
ini, taubat mereka akan diterima oleh Allah s.w.t.
-
Allah
mengetahui bahawa kaum Yahudi dan Nasara telah menyembunyikan pengakuan yang telah diamanahkan kepada
mereka dan mengetahui bagaimana mereka mempertikaikan pengakuan ini dengan
tujuan untuk mengelirukan. Justeru, akhirnya ayat ini disudahi dengan
firmanNya:
وَمَا
اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Bermaksud : “ Dan tiadalah Allah
itu lalai dari mengetahui apa yang kamu kerjakan”
Ya’ni Allah tidak sekali-kali lalai
dan tidak mungkin boleh dikelirukan oleh apa jua amalan yang mereka (Yahudi dan
Nasara) usahakan untuk mengganggu gugat kesempurnaan Islam.
4. Ayat
141
-
Ayat ini sebagai ulangan dari ayat 134 dahulu
. Diletakkan disini juga kerana bersesuaian tempatnya untuk mengulangi celaanNya terhadap pekerti kaum Yahudi dan
Nasrani yang telah mulai berani mengajak orang Islam berhujjah dengan
mengemukakan alasan-alasan yang dusta dan bohong. Justeru, dari semasa ke
semasa ketika turunnya wahyu, Allah kerap mengulang-ulang sebahagian ayat
hingga lebih daripada sekali bersesuainya dengan keadaan dan munasabah dan
sekaligus menunjukkan al-Quran mempunyai kekuatan hujjah yang terus menerus
hidup, dapat dipergunakan untuk semua masa dan ketika.
-
Ayat ini
sekali lagi menyarankan agar tidak bersikap sombong dengan menyebut kononnya mereka
ada pertalian dengan keturunan nabi terdahulu tetapi tidak melihat kepada diri
sendiri yang menentang ajaran nabi yang dibanggakan itu. Sebenarnya mereka
tiada kena mengena langsung dengan nabi-nabi mereka yang telah melakukan kerja
kebaikan. Datuk moyang mereka dipilih untuk menjadi nabi serta menjadi orang
–orang soleh tetapi mereka tidak mengikut jejak langkah datuk dan moyang mereka
sebagai orang yang beriman dan beramal soleh. Justeru, disisi Islam, mereka
tiada sedikit pun berkait hubung dengan datuk moyang mereka.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[11]: “
Apabila penerangan ayat-ayat itu sampai kepada kemuncak hujjah yang tidak dapat
dijawab dan kepada titik penyelesaian masalah dan kepada tahap menjelaskan
perbezaan yang menyeluruh dari segenap sudut diantara pegangan Ibrahim, Ismail,
Ishaq, Ya’qub dan anak-anaknya dengan kaum Yahudi yang sezaman dengan
Rasullullah s.a.w. Maka al-Quran kembali mengulangi ayat yang menjadi penamat
kata sebelum ini ketika ia memperkatakan tentang Ibrahim dan zuriatnya yang
muslimin. Ayat ini mengandungi kata pemutus, pengakhir perdebatan dan kalimah
terakhir terhadap dakwaan mereka.”
[1] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 1-2, mk 328
[2] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 98
[3] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 1-2, mk 275. Lihat
juga Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 190
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 471
[5] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 135
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 472
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 473
[8] Al-Baqarah, ayat 159
[9] Al-Jamal, al-Futuhat
al-Ilahiyah (1996), J. 1, mk 190
[10] Al-Baqarah, ayat 160
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 474