2/16/2009
MEDIA! BERAMANAHLAH
Saban hari akhbar dan media elektronik memulakan tajuk pemberitaan mereka berkaitan dengan isu politik yang tidak habis-habis. Kerakusan sesetengah manusia terhadap kuasa menyebabkan media turut diheret menjadikan isu-isu politik sebagai bahan pemberitaan utama mereka. Entah apa tujuan dan matlamat media dari berita-berita tersebut. Jika tujuannya untuk membantu masyarakat memahami isu politik secara ilmiah dan tepat tidaklah mengapa. Tetapi sebaliknya jika bertujuan mengaburi masyarakat dari hakikat yang terselindung dan niat busuk yang cuba ditutup alangkah jahatnya niat tersebut! Umpama menutup bangkai kerbau dengan nyiru. Bukanlah saya ingin berburuk sangka. Namun jika sesuatu perkara itu meskipun baik tetapi jika dicerita dalam bentuk yang melampau dan berulang-ulang akhirnya rasa meluat dan meloya yang akan timbul. Apa sahaja perkara jika dibuat secara melampau adalah tidak elok. Malah dalam ibadatpun Nabi s.a.w menegur beberapa orang sahabat yang terlalu ekstrem beribadah hingga lupakan dunia. Begitulah juga dalam soal pemberitaan yang terjadi seminggu dua ini.Kegawatan politik yang berlaku semenjak beberapa minggu ini pada fikiran saya berpunca dari sikap melampau sesetengah pihak yang beriya-iya benar mahu menunjukkan kebaikan dan ketulus mulusan mereka terhadap mempertahankan Institusi Raja. Saya yakin tiada siapa yang menyanggah bahawa Institusi Raja perlu dipertahankan kerana Institusi Raja adalah lambang kedaulatan Agama Islam yang semestinya kita semua dokong dan sanjungi. Tetapi apabila ada kelompok yang terlalu melampau dan beriya-iya berdemo dan bertempik serta menuduh dan mengugut orang lain maka akhirnya timbul suasana ketegangan yang berpanjangan seolah-olah tiada noktahnya.
Secara terus terang semenjak beberapa hari ini sebagai warga negara yang merdeka fikirannya saya sukar untuk memujuk hati untuk membeli akhbar yang biasa saya beli dan saya juga sukar untuk duduk setia di hadapan televisyen dalam minit-minit pertama ketika menonton berita perdana jam 8.
Sepatutnya media memberitakan sekadarnya sahaja berita-berita politik sebagai satu cara pembekalan maklumat dan bukannya menjadinya sebagai saluran mencetuskan kekalutan dan ketidak tenteraman hidup. Wahai pengamal media berhemah dan beramanahlah. Kerana kecenderungan kepada penzalim (boleh jadi dalam bentuk pemberitaan) akan menjadi penyebab kepada ditimpa azab neraka sepertimana yang dinyatakan oleh Al-Quranul Kareem.
Fokuslah kepada berita yang lebih bersifat menyatu, membangun minda, menyelesai masalah dan mententeramkan. Janganlah melayan nafsu serakah pengejar harta, pemburu kuasa dan pangkat yang sudah semakin terhakis nilai etikanya dan semakin nipis imannya!!!