بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 159:
-
Sebagai
muqaddimah, pasti akan ada di kalangan umat Islam, orang yang menzahirkan
kebenaran walau macamana besar dan hebatnya tekanan serta dugaan yang datang.
Mereka tidak takut dan tidak akan tunduk selain daripada Allah s.w.t sekaligus
tidak akan menyembunyikan kebenaran kecuali dunia ini akan qiyamat dan maka
pada ketika itu dimatikan para ulama’. Di ketika itu tidak ada lagi ulama’
serta orang alim yang memperkatakan tentang kebenaran dan natijahnya, manusia
bertambah jahat maka tunggulah saat
kehancuran dan kemusnahan.
-
Ayat ini secara
khususnya ditujukan kepada pendeta-pendeta Yahudi dan umumnya kepada mereka
yang sengaja menyembunyikan segala sesuatu yang diturunkan oleh Allah s.w.t
meliputi kesemua hukum yang terkandung di dalam al-Quran[1].
Orang-orang yang sedemikian amat besarlah celakanya akibat mendapat laknat
daripada Allah dan laknat daripada seluruh yang melaknat.
-
“يَكتُمُون” dengan kata dasarnya كِتْمانٌ beerti menyembunyikan dan menutup-nutupi (tidak menyiarkan dan
menerangkan)[2].
Imam al-Alusi berkata الكَتْمُ ialah tidak membuka atau menerangkan sesuatu dengan sengaja
padahal sesuatu itu perlu diketahui oleh orang, sedang yang mempunyai sesuatu
(umpama ilmu) itu mengetahui benar bahawa apa yang ia punyai itu seharusnya
dibuka kepada pengetahuan khalayak ramai. Tindakan ini samada dengan
menyembunyikannya atau dengan jalan menghapuskannya dan menggantikannya dengan
yang lain. Dan pendeta Yahudi telah pun mempraktikkan kedua-dua tindakan
tersebut[3].
-
الْبَيِّنَاتِ bermaksud
pertunjuk yang amat jelas merujuk kepada pengkhabaran tentang kebangkitan
Rasullullah s.a.w yang wujud di dalam Taurat dan Injil. الْهُدَى pula
bermaksud segala sesuatu yang menunjukkan kebaikan dan memberi petunjuk kepada
jalan yang benar. Ibn Su’ud berkata : “
yang dimaksudkan dengan الْهُدَى ialah ayat-ayat yang memberi petunjuk akan kewajipan seseorang
beriman kepada Rasullullah s.a.w serta kewajipan mengikutinya. Digunakan kata الْهُدَى untuk makna ini agar lebih memantapkan apa yang
dimaksudkan serta objektifnya[4].
-
Asbab nuzul ayat
ini ialah ketika mana golongan ahli Kitab ditanya tentang kandungan Taurat dan
Injil yang membicarakan mengenai kebangkitan Rasullullah s.a.w. Tetapi mereka
menyembunyikannya dan tidak memberitahu tentangnya semata-mata didorong rasa
dengki dan benci. Ibn ‘Abbas berkata : “ Bahawasanya Mu’az b. Jabal beserta
beberapa orang sahabat bertanya kepada kelompok pendeta Yahudi tentang beberapa
perkara yang terdapat di dalam Taurat. Lantas pendeta-pendeta itu
menyembunyikannya dan tidak suka menerangkan kepada yang bertanya, lalu
turunlah ayat ini”[5].
-
Di dalam
Taurat dan Injil ada menceritakan tentang kebangkitan nabi akhir zaman iaitu
Muhammad s.a.w dan kebenaran ini telah pun diketahui oleh pendeta Yahudi tetapi
mereka menyembunyikan kisah ini kerana takut martabat mereka jatuh dan tiadalah
habuan mereka untuk mendapat kuasa memerintah serta mendapat hadiah daripada
pengikut mereka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6]: “
Mereka dan orang-orang yang seperti mereka wujud di mana-mana zaman, iaitu
dari orang yang menyembunyikan kenyataan-kenyataan yang benar yang telah
diturunkan oleh Allah s.w.t kerana sesuatu sebab dari berbagai sebab
penyembunyian. Mereka adalah terdiri dari orang yang selalu dilihat oleh orang
ramai di berbagai-bagai masa dan tempat mengambil sikap mendiamkan diri dari
kebenaran yang diketahui oleh mereka.” Ada pula terdapat dikalangan mereka
itu yang beriman dengan Taurat dan Injil serta kenabian Rasullullah s.a.w.
Mereka terpaksa menyembunyikan diri daripada masyarakat, beribadat di
gunung-ganang, gua-gua dan padang pasir yang jauh bersama kambing-kambing
mereka akibat ditekan oleh kerajaan yang zalim pada masa itu sambil menunggu
kelahiran nabi Muhammad s.a.w.
-
M. Ali Al-Sobuni di dalam
kitabnya Tafsir Ayat-Ayat Hukum Dalam Al-Quran, membicarakan tentang hal
keadaan ayat ini adakah ianya khusus untuk pendeta-pendeta Yahudi yang menyembunyikan kebenaran atau ianya umum
kepada semua manusia yang bersifat sedemikian. Berdasarkan pendapat yang
dikeluarkan oleh ulama’ Usul fiqh, yang menjadi pokok atau perkara penting
adalah keumuman kata-kata ayat tersebut, serta tidak terbatas kepada peristiwa
yang khusus yang menjadi sebab turunnya ayat ini[7].
Perkara ini juga di sokong oleh sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah,
Rasullullah s.a.w bersabda[8] :
من
سُئِل عن علمٍ فكتَمهُ اُلْجِمَ يومَ القيامةِ بِلِجامٍ منْ نارٍ
Bermaksud: “Barang siapa ditanya
tentang suatu ilmu, lalu ia menyembunyikannya dan tidak menerangkan apa-apa,
maka ia akan dikekang pada hari kiamat dengan kendali api”
-
Seterusnya
Allah berfirman:
أُوْلَئِكَ
يَلْعَنُهُمْ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمْ اللاَّعِنُونَ
Bermaksud:
“ Merekalah orang-orang yang dilaknat Allah dan dilaknat oleh sekelian
pelaknat”
-
Perkataan اللاعنون menurut
Ibn ‘Abbas, segala jenis makhluq di muka bumi kecuali jin dan manusia[9].
Berkata Mujahid : Dimaksudkan ialah
semua jenis binatang dan serangga. Binatang-binatang ini berkata: “ Kepada kami
tidak diturunkan hujan kerana kedurhakaan anak cucu Adam a.s.”[10]
Makna yang lebih tepat kepada perkataan اللاعنون ialah Malaikat, para nabi dan seluruh manusia yang bertepatan
dengan firman Allah s.w.t pada ayat berikutnya[11]
yang bermaksud “ Mereka itu mendapat laknat Allah, para Malaikat dan manusia
seluruhnya.”
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[12] :
“ Erti laknat ialah pengusiran dari
rahmat Allah dengan penuh kemurkaan dan ancaman dan itulah manusia yang dikutuk
Allah iaitu mereka yang diusir dari rahmatNya dan diburu oleh sekelian pelaknat
dari segenap penjuru dan demikianlah mereka diusir oleh Allah dan para hambaNya
disetiap tempat”
2. Ayat 160 :
-
Ayat
menjelaskan bahawa terdapat pengecualian terhadap azab laknat diatas sekiranya
orang itu bertaubat walaupun pada peringkat awalnya menyembunyikan ilmu dengan
tidak mengatakan apa-apa langsung tentang suruhan Allah ketika mana
disekelilingnya berlaku bermacam-macam perkara yang terang-terang melanggari
perintah Allah s.w.t. Tetapi mereka seperti ini, berdasarkan ayat ini tidak
boleh hanya beristighfar sahaja kemudian duduk berdiam diri dirumah. Mereka hendaklah
turun ke medan kerja islah dan membetulkan kesilapan serta menerangkan yang
mana haq dan yang mana batil lebih-lebih lagi jikalau tindakannya yang berdiam
diri itu telah memusnahkan kehidupan masyarakat kearah kehidupan yang jauh
daripada rahmat Allah s.w.t
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[13] :
“ Kepada orang-orang ini, al-Quran membuka jendela yang terang kepada mereka
iaitu jendela taubat yang terbuka lebar, dimana bayu harapan bertiup darinya
masuk kedalam hati dan membawanya ke sumber nur hidayah. Oleh itu ia membuat
hati tidak berputus asa dari rahmat Allah dan dari keampunanNya. Sesiapa yang
suka, silalah masuk ke dalam kawasan yang aman ini dengan niat yang jujur dan
ikhlas. Tanda taubat yang sebenar ialah membetulkan amalannya, bercakap dengan
jelas, mengumum dan mengakui apa yang benar dan beramal mengikut kehendakNya”.
Dan selepas itu yakinlah kepada rahmat Allah serta pemberianNya terhadap
taubatnya sepertimana firmanNya:
وَأَنَا
التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Bermaksud
: “ Aku Maha penerima taubat dan Maha pengasih”
3.
Ayat 161 & 162:
-
Kedua-dua ayat
ini menggambarkan nasib dan akibat bagi mereka yang terus berdegil (diatas
kesalahan mereka) serta tidak bertaubat sehingga peluang itu terlepas dari
tangannya dan tempohnya sudah luput, maka mereka akan menghadapi laknat yang
diancamkan kepada mereka. iaitu di laknat oleh para Malaikat dan manusia
seluruhnya. itulah kutukan dan laknat yang menyerkup mereka yang tidak dapat
dihindari dan tiada hati yang kasihan lagi kepada mereka. Mereka ini
diibaratkan setelah melihat neraka barulah mereka mahu beriman kepada Allah
s.w.t. Atau bilamana Malaikat datang hendak mencabut nyawa, baru ketika itu
mahu mengikut al-Quran.
-
Kepada mereka ini Allah melaknat mereka di
samping Malaikat dan manusia yang beriman pun turut berbuat sedemikian. Ayat
ini juga mengajar kita melaknat orang kafir secara umum. Jangan kita melaknat
dengan menyebut mereka secara peribadi kecuali mereka yang di nyatakan oleh
Allah di dalam al-Quran seperti Fir’aun, Namrud serta Abu Jahal ataupun orang
yang sudah memang terkenal yang terlalu dahsyat tindakannya terhadap Islam maka
kita melaknat di atas perbuatan mereka bukannya diatas batang tubuh mereka.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb [14]: “
Ayat ini tidak menyebut sesuatu azab yang lain dari laknat yang menyerkup
mereka, malah ia menyifatkan laknat itu sebagai suatu azab yang tidak akan
diringankan dari mereka dan tempoh azab itu tidak akan ditangguh. Itulah azab
yang mengecilkan segala azab yang lain. Itulah azab diusir, dibuang dan dilayan
dengan kasar dan tiada hati yang menaruh belas kasihan, tiada mata yang
memandang dengan simpati dan tiada lidah mengucap kata-kata hormat. Mereka
dikutuk, diusir dan dibuang oleh para hamba Allah dan tuhan sekalian hamba
Allah samada dibumi dan di alam semesta. Inilah azab yang amat pedih dan amat
menghinakan”.
[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 2, mk 36
[2] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir
Ayat-Ayat Hukum Dalam Al-Quran, J.1,
mk 259
[3] Al-Alusi, Ruh al-Ma’ani,
J. 2, mk 27
[4] Tafsir Abu al-Su’ud, J. 1, mk
141
[5] Al-Suyuthi, al-Dur
al-Manthur, J. 1, mk 161. Lihat juga Al-Alusi, Ruh al-Ma’ani, J. 2,
mk 66.
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 609
[8] Al-Suyuthi, al-Dur
al-Manthur, J. 1, mk 162
[9] Tafsir Abu al-Su’ud, J. 1, mk
141
[10] Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi
dari Mujahid. Lihat juga tafsir al-Alusi, J 2, mk 27. Lihat juga tafsir
al-Razi, J 4, mk 185
[11] Ayat 160
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 610
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 610-611
[14] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 612-613