DARI BLOG UST. ZURIDAN
Dr Yusof Al-Qardhawi :“Allah” adalah untuk semua!...
Saya kurang pasti apakah isu penggunaan nama 'Allah' sudah reda atau masih panas. Pada peringkat awal isu ini tercetus sengaja saya tidak memberikan apa-apa komen secara bertulis kerana menunggu mereka yang berautoriti memberikan pendapat dan pandangan. Bukan kerana tidak yakin dengan pandangan sendiri tetapi dalam soal seumpama ini biarlah mereka yang benar-benar berlayakan dan memegang amanah seperti Mufti menjelaskannya supaya tidak mengeruhkan keadaan. Benar telahan saya apabila semua orang mahu meluahkan pendapatnya maka macam-macam kekalutan telah berlaku. Saya juga melihat ada sesetengah NGO Islam dan Melayu yang tidak didokong oleh para ulama berwibawa begitu cepat menunjukkan reaksinya tanpa berfikir panjang hingga mengundang tindakan yang tidak didasari oleh ilmu Islam. Dalam masa yang sama mereka pula mahu mengambil kesempatan menonjolkan diri dan kononnya menjadi hero mempertahankan Islam!
Akhirnya majoriti para ulama dan pemimpin gerakan Islam Malaysia sependapat bahawa menggunakan nama 'Allah' pada orang Kristian adalah hak mereka dan ini sudah terakam dalam sejarah perkembangan Islam....Pendirian ini juga telah disokong oleh pendapat Ketua Kesatuan Ulama Sedunia As-Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi sepertimana yang disiarkan oleh laman web Islamonlie.net. Pendapat beliau ini telah menambah yakin lagi kebenaran apa yang saya fahami selama ini dalam isu penggunaan nama 'Allah' di kalangan ahli Kitab khusunya Kristian. Oleh itu untuk lebih jelas bersama ini saya terjemahkan pendapat beliau seperti berikut:
(Terjemahan bebas dari Islamonline.net 23 Jan 2010)
Doha- Al-Allamah Dr Yusof Al-Qardhawi, Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia menempelak beberapa kejadian pertembungan di antara orang-orang Islam dan Kristian yang berlaku di beberapa negara Arab dan Islam termasuk serangan yang berlaku ke atas gereja-gereja dan beliau menegaskan bahawa ia adalah berpunca dari kejahilan dan bukannya semangat taksub kepada Islam. Beliau berpendapat bahawa serangan-serangan yang berlaku khususnya di Malaysia yang berpunca dari penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Kristian tidak sepatutnya berlaku kerana Allah adalah Tuhan Sekelian Alam’ dan bukannya kepada orang Islam sahaja.
Dalam Khutbah Jumaatnya pada 22 Jan 2010 yang lalu di Masjid Umar Al-Khattab di Doha ibu negara Qatar, Al-Qardhawi berkata bahawa: “Kejadian yang berlaku di antara orang-orang Islam dan kristian di beberapa negara adalah sebahagian besarnya berpunca dari kejahilan, dan bukannya sikap taksub orang Islam (yg sebenar). Orang Islam pada hakikatnya adalah sangat bertolak ansur, Al-Quran mengajar mereka bertolak ansur kerana Allah Taala sendiri Yang Menciptakan manusia dengan berbeza-beza (bangsa dan agama).
Kemudian beliau menegaskan: “Jika Allah menginginkan supaya semua manusia disatukan nescaya akan disatukan, tetapi Allah jua telah berfirman:
هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ فَمِنْكُمْ كَافِرٌ وَمِنْكُمْ مُؤْمِنٌ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (2)
((Dialah Yang Menjadikan kamu, maka ada di kalangan kamu orang kafir dan ada di kalangan kamu orang yang beriman)) Surah Al-Taghabun ayat 2.
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (118) إِلاَّ مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأَمْلأَنَّ جَهَنَّمَ مِنْ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ (119)
((Jika Tuhanmu menginginkan nescaya dijadikan semua manusia sebagai satu ummah, sedangkan mereka masih berselisih kecuali sesiapa yang di rahmati oleh Tuhanmu)). Surah Hud 118-119.
Perbezaan manusia dalam soal agama adalah merupakan kehendak Allah dan tiada siapa yang boleh menentang kehendak Allah dan memaksa manusia semuanya menjadi muslim!.
Beliau juga menjelaskan bahawa sesungguhnya perselisihan yang berlaku di kalangan manusia dalam soal agama antara orang beriman dengan agama dan ingkar dengan agama tidak akan memisahkan kita kaum muslimin (dengan mereka) di dunia ini. Sesungguhnya Allah Taala akan mengasingkannya di akhirat kelak. Sebagaimana firman-Nya:
وَإِنْ جَادَلُوكَ فَقُلْ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُونَ (68) اللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ (69)
((Jika mereka berdebat dengan kamu maka katakanlah, Allah lebih Mengetahui apa yang kamu lakukan. Allah lah Yang Menghukum di antara kamu pada hari Qiamat kelak di atas apa yang telah kamu perselisihkan)) Surah Al-Hajj ayat 68-69.
.....اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ لا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ (15)
((Allah Tuhan kami dan Tuhan kamu, bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalan kamu, tiada hujjah di antara kami dan kamu, Allah lah Yang Menghimpunkan kami dan kepada-Nyalah (kami) akan kembali)) Surah As-Syura ayat 15.
Berkenaan dengan peristiwa yang berlaku di Malaysia dan serangan yang berlaku ke atas beberapa gereja, Al-Qardhawi mengulas: Sesungguhnya serangan yang berlaku ke atas gereja di Malaysia adalah tidak sepatutnya berlaku. Beliau turut tidak bersetuju dengan punca kejadian itu berlaku di mana kaum Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam terjemahan mereka dengan berkata: Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian, Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut :
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2)
((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Mengesuai sekelian manusia!))..
Allah bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya:
Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia?