Thursday, February 12, 2009

JAWAPAN UTK ALLIBANI

Disini dibentangkan 6 Turuq yang diambil kira oleh ulama’ qurra’ sebagai turuq tambahan bagi Toriq al-Jazariyyah[1] walaupun tidak terdapat dalam kitabnya al-Nasyr ialah:

1) Toriq Abu Tahir, Iaitu bacaan Ibn al-Fihham dari Abi Muhammad Rizqullah b. Abdul Wahab al-Tamimi dari al-Hummami ( kitab al-Raudhah)

2) Toriq Abu Tahir, Iaitu bacaan Ibn al-Fihham dari al-Syarif Abi Nasr al-Hubariy dari al-Hummami (kitab al-Raudhah)

Adapun turuq daripada kitab al-Raudhah yang terdapat dalam kitab al-Nasyr bagi Toriq Abu Tahir adalah daripada bacaan Ibn al-Fihham dari al-Maliki dari al-Hummami.[2]

3) Toriq al-Fil ( kitab Raudhah karangan Ibn Ma’dal)

4) Toriq al-Fil (kitab Raudhah karangan Al-Maliki)

5) Toriq Zar’an daripada al-Hummami (kitab Raudhah karangan Al-Maliki)

Adapun turuq daripada al-Raudhah karangan Al-Maliki yang terdapat dalam kitab al-Nasyr bagi Toriq Zar’an adalah daripada bacaan Ibn al-Fihham dari al-Farisi dari al-Susanjirdi bukan dari al-Hummami[3]

6) Toriq Zar’an ( kitab Raudhah karangan Ibn Ma’dal)

Mengenai soalan tentang Amru b. Qaisy (55h), setelah ana rujuk beberapa kitab tidak terdapat maklumat secara terang siapa yang berguru dengannya di Basrah. Namun berkembangnya pembacaan al-quran di Basrah pastinya bertitik tolak daripada hadirnya Amru b. Qaisy ke Basrah. Maka dengan itu dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa para qurra’ yang terdapat di Basrah secara umumnya adalah anak murid beliau. Namun begitu kebanyakkan para qurra basrah ini merantau ke merata tempat untuk mencari ilmu sebelum kembali ke Basrah. Maklumat tentang Amru b. Qaisy juga amat kurang jika dibandingkan dengan para sahabat yang lain. Sepanjang kajian ana kepada beberapa kitab, nama beliau hanya disebut sebagai wakil Saidina Uthman ke Basrah bersama mushaf ahli Basrah.Begitu juga kalau dilihat kepada Abu Amru al-Basri[4] yang menjadi rujukan ahli Basrah dalam bidang qiraat, tidak tersenarai pun nama Amru b. Qaisy sebagai gurunya.[5] Di dalam Kitab Fi Rihab al-Quran [6] menjelaskan individu yang terlibat dengan perkembangan penyebaran ilmu ini yang dipanggil madrasah al-Basrah, tetapi masih lagi tidak nampak kesinambungan individu tersebut dengan Amru b. Qaisy, antaranya :

1) Yahya b. Ya’mur (89h). Beliau adalah tabien dan berguru dengan Abdullah b. ‘Umar (73h), ibn ‘Abbas (68h) dan Abu al-Aswad al-Duali [7](69h). Antara yang berguru dengan beliau Abu Amru al-Basri (145h) dan Abdullah b. Abi Ishak al-Hadrami(117h).

2) Abu al-‘Aliah al-Riyahi (90h). Beliau juga adalah tabien dan berguru dengan Ubay b. Kaab (20h), Zaid b. Thabit (45h) dan Ibn Abbas (68h). Antara yang berguru dengannya ialah al-A’masy(147h) dan Abu Amru al-Basri.

3) Nasir b. Asim[8](99h). Beliau juga seorang tabien dan berguru dengan Abu Aswad al-Duali dan anak muridnya ialah Abu Amru al-Basri dan Abdullah b. Abi Ishak al-Hadrami.

Waallahu a’la wa A’lam…..



[1] Abu ‘Abd al-Rahman Ridha ‘Ali Darwisy dan Abu Sahl Samih bin Ahmad bin Muhammad, (2000), Fath al-Rahman fi Taisir Turuq Hafs bin Sulaiman, cet. 1, Kaherah: Maktabah Qurtubah lil Turath.

[2]Jazariy, Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali bin Yusuf al-, (2002), al-Nasyr fi Qira’at al-‘Asyr, (tahqiq: Jamal al-Din Muhammad Syaraf), Tanta: Dar al-Sahabah lil Turath, j. 1, h. 128.

[3]Ibid, h.129

[4] Beliau adalah imam yang ketiga dalam turutan bagi imam tujuh dan sepuluh

[5]Qadi, ’Abd al-Fatah al- (t.t.) Tarikh al-Qurra´ al-‘Asyarah wa ruwatihim wa tawatur qira'atihim wa manhaj kullu fi al-Qira´ah, Kaherah, maktabah al-Masyhad al-Husaini, h. 15-16.

[6] Dr. Muhammad Salim Muhaisin, (1989), Fi Rihab al-Qur´an, cet. 1, Beirut: Dar al-Jil, h. 291-292.

[7] Beliau adalah ulama’ yang pertama sekali mencipta symbol bagi harakat yang dikenali sebagai naqt al-I’rab.dalam mushaf

[8] Beliau dikatakan sebagai ulama yang pertama mencipta tanda titik pada huruf (naqt al-I’jam) dalam mushaf