Wednesday, May 2, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 127-131)


بسم الله الرحمن الرحيم
1.        Ayat 127:
-          Ayat ini menggambarkan ketika mana nabi Ibrahim dan nabi Ismail a.s membina Ka’abah (mempertinggikan asasnya[1])  berdoa yang berbunyi “ Ya Allah ya Tuhan kami, terimalah amalan kami (kerja membina Ka’abah). Sesungguhnya Engkau Mendengar lagi Mengetahui. Cukuplah bagi kita untuk menjadikan contoh bagaimana patuhnya kedua beranak ini akan perintah Allah s.w.t dimana Mekah pada masa itu tidak mempunyai penduduk lagi kecuali nabi Ibrahim, Hajar dan anaknya Ismail sahaja. Allah perintahkan mereka untuk membina sebuah rumah dan sedikit pun mereka tidak bertanya apa tujuannya. Hal ini demikian patuh dan taatnya mereka akan perintah Allah s.w.t
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [2]: “ Itulah permohonan supaya diperkenankan doa dan inilah yang menjadi matlamat doa beliau. Ia merupakan permohonan yang ikhlas kepada Allah, permohonan yang ditujukan kepada Allah dengan penuh patuh dan khusyu’. Matlamat yang diharapkan ialah keredhaanNya dan limpah perkenanNya dan harapan itu bergantung kepada sifat Allah s.w.t yang maha mendengar doa hambaNya dan maha mengetahui dengan segala niat dan perasaan disebalik doa itu”

2.      Ayat 128:
-           Ayat ini pula menggambarkan sambungan doa nabi Ibrahim dan nabi Ismail yang berbunyi “ Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah kami dua orang yang muslim (tunduk dan patuh) kepadaMu dan begitulah juga anak cucu kami dan perlihatkanlah (ajarkan) kepada kami cara-cara beribadah dan mengerjakan haji. Terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah penerima taubat lagi penyayang. Apakah makna muslim (Islam)? Maknanya ialah menyerah diri bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Bagaimana pula keadaan menyerah diri itu? Adakah  serupa dengan menyerah dirinya Komunis satu ketika dahulu? Menyerah diri bulat-bulat kepada Allah s.w.t ialah dengan menerima semua ajaranNya. Semua perintah Allah s.w.t, kita beriman dengannya, taat serta beristiqamah dengannya berpaksikan ajaran yang sebenar daripada Allah s.w.t.
-          Lihat sahaja nabi Ibrahim a.s, bila menjadi orang Islam yang sebenar beliau membuktikan yang beliau benar-benar Islam, taat kepada Allah s.w.t bukan sahaja dalam soal membina Ka’abah tetapi juga dalam soal menyembelih anaknya sendiri. Bila perintah Allah sudah diumumkan kepadanya, beliau terus mengasah pisaunya tanpa mempersoalkan perintahNya. Tetapi sayangnya kebanyakkan umat Islam sekarang tidak seorang pun disuruh menyembelih anak mereka, tetapi bila disuruh potong tangan kepada pencuri, mereka persoalkan dengan mengatakan ianya adalah zalim. Jauh sungguh perbandingannya dengan akhlaq nabi Ibrahim yang tidak terkeluar pun sebarang kata-kata walaupun diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri. Hal ini demikian kerana itu adalah perintah Allah dan setiap perintah Allah itu sudah pastinya tidak zalim dan jikalau kita yakin kepada Allah s.w.t, kita mestilah menyerah diri, mematuhi perintahNya dan inilah yang dimaksudkan dengan “muslim”
-          Disini nabi Ibrahim membuat permohonan kepada Allah s.w.t supaya menjadikan kita orang yang benar-benar Islam kepada Allah s.w.t. Kenapakan nabi Ibrahim berdoa sedemikian? Adakah kerana beliau tidak Islam lagi? Hal ini demikian dia bimbang dan takut diatas ujian serta dugaan yang sedia menantinya diatas dunia ini sekaligus mahu Allah s.w.t menetapkan dirinya dalam Islam dan matipun juga dalam keadaan sedemikian. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [3]: “ Itulah harapan mereka berdua untuk mendapat bantuan daripada Allah s.w.t agar memberi hidayah kepada Islam dan itulah perasaan mereka bahawa hati mereka terletak diantara jari-jari qudrah dan iradah Allah s.w.t yang maha penyayang dan bahawa hidayah yang sebenar itu adalah hidayah Allah s.w.t dan bahawa kedua mereka tidak mempunyai daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah s.w.t. Mereka berdua berdoa dan hanya kepada Allah sahaja yang wajar dipohon pertolongan. Disamping itu sifat umat muslimin mestilah bersatu padu ya’ni seluruh generasi mereka bersatu padu dalam satu aqidah.”
-           Dan doa beliau pada ayat ini bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk anak cucunya serta keturunannya dimasa akan datang. Terserlah disini satu motivasi kepada umat Islam agar bekerja ( ya’ni memastikan) bersungguh-sungguh supaya bukan kita sahaja menjadi orang Islam tetapi keturunan kita dimasa akan datang juga  menjadi orang Islam. Ini adalah kerana terdapat dikalangan orang Islam yang berpandangan sempit yang mengira cukup hanya dia sahaja yang Islam ( iaitu Islam mengikut pandangannya)  manakala anak cucunya dimasa hadapan bergantung kepada kehendak masing-masing samada mereka mahukan Islam ataupun tidak. Sebenarnya mereka tidak boleh bertindak sedemikian, malah hendaklah memberi perhatian yang berat terhadap keturunannya dimasa hadapan agar kesemua mereka menjadi muslim yang sebenarnya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [4]: “ Itulah doa yang menggambarkan perhatian berat hati orang yang beriman. Perkara agama dan aqidah inilah yang menjadi perhatiannya yang utama. Perasaan Ibrahim dan Ismail a.s terhadap ni’mat keimanan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada mereka telah mendorong mereka mengharapkan pengurniaan yang sama kepada zuriat keturunan mereka dan supaya Allah s.w.t tidak mengharamkan pengurniaan yang tiada tolok bandingnya itu kepada anak-anak cucu mereka. Mereka telah memohon kepada Allah s.w.t supaya mengurniakan rezeki  buah-buahan kepada zuriat mereka dan mereka tidak pernah lupa berdoa agar Allah s.w.t mengurniakan ni’mat keimanan kepada zuriat keturunan mereka, menunjukkan peraturan ibadah kepada mereka dan menerima taubat mereka kerana Allah s.w.t maha Penerima taubat dan maha Pengasih. Dan seterusnya mereka berdua berdoa agar Allah s.w.t tidak meninggalkan zuriat keturunan mereka tanpa hidayah didalam generasi mereka yang akan datang.”

3.      Ayat 129 :
-          Pada ayat ini juga menggambarkan prasa yang terakhir doa nabi Ibrahim dan nabi Ismail a.s yang berbunyi “Ya Allah ya Tuhan kami, utuslah kepada mereka (umat kami) seorang rasul dari golongan mereka yang membacakan ayat-ayat Engkau (mengajarkan isi kitab dan ilmu pengetahuan kepada mereka)  dan yang akan membersihkan mereka daripada perkara syirik, sesungguhnya Engkau Perkasa lagi Bijaksana. Lafaz “manasik” di dalam ayat ini mempunyai beberapa pendapat mengikut qaul para ulama’. Ada ulama’ yang mengatakan maksud “manasik” adalah mandi untuk membersihkan diri. Ada pula yang meriwayatkan maksudnya adalah segala ibadah haji dan tidak kurang juga yang mengatakan maksudnya ialah menyembelih ternakan. Ada juga yang mengatakan bahawasanya “manasik” itu bermaksud segala kerja ibadah dan pendapat yang paling tepat adalah ibadah haji selepas nabi Ibrahim a.s membina Ka’abah[5]. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “ Sebagai memperkenankan doa Ibrahim dan Ismail Allah s.w.t telah membangkitkan nabi yang mulia ini ( Muhammad s.a.w) setelah dilalui sekian abad yang lama. Itulah kebangkitan rasul daripada zuriat Ibrahim dan Ismail yang membaca kepada mereka ayat-ayat Allah, mengajar kepada mereka kitab suci dan hikmah dan membersihkan diri daripada kekotoran dosa. Doa yang maqbul itu tetap dimaqbulkan tetapi ianya disempurnakan pada masanya yang wajar yang ditentukan oleh Allah s.w.t mengikut hikmah dan kebijaksanaanNya. Tetapi manusia selalu gopoh dan menuntut disegerakan dan orang-orang yang belum mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah s.w.t selalu dilanda perasaan jemu dan putus asa.”

4.      Ayat 130 :
-          Asbab Nuzul bagi ayat ini[7] , ketika mana seorang pendita Yahudi yang telah masuk Islam bernama Abdullah b. Salam menyuruh dua orang anak saudaranya Salamah dan Muhajir agar masuk Islam bersamanya dengan berkata : “ Kita telah tahu bahawa Allah s.w.t telah berkata di dalam Taurat bahawa Allah akan membangkitkan seorang nabi  bernama Ahmad dari keturunan nabi Allah Ismail a.s . Sesiapa yang beriman dengannya akan mendapat petunjuk dan siapa yang engkar akan dikutuk” Seruan ini disambut baik oleh Salamah lalu ia pun masuk Islam. Adapun Muhajir pula sebaliknya  maka turunlah ayat ini yang menegaskan barang siapa yang benci kepada syari’at Ibrahim, maka safihlah orangnya.
-          Safih itu adalah orang yang menganggap sepi sahaja terhadap kebenaran, atau juga disebut sebagai orang jahil (bodoh) yang menunjukkan kelemahan aqal fikiran[8]. Ayat ini mencela bukan khusus untuk Muhajir sahaja tetapi ditujukan secara umum kepada kaum Yahudi, Nasara dan orang musyrik Arab. Mereka dicela kerana hanya jaguh dan pandai berbangga-bangga kononnya ada hubungan dengan nabi Ibrahim tetapi hubungan iti tidak ditunjukkan secara keimanan yang jelas dan secara amalan yang benar-benar, malah mereka membenci syari’at Islam dan berusaha untuk menjauhinya. Serupa jugalah dengan umat Islam sekarang ini yang mengaku dirinya Islam, berbaka Islam dengan dakwaan bahawasanya  nenek moyang mereka beragama Islam tetapi diri sendiri tidak melakukan kewajipan yang diperintahkan, ada yang meringan-ringankannya dan tidak kurang pula memandang sepi semua kewajipan tersebut sehingga akhirnya menjadi liar dari agama Islam. Ada juga yang mendabik dada menjadi penghalang hukum Islam yang tegar lebih daripada orang bukan Islam lagi. Maka orang yang sedemikian sepertimana dalam ayat ini Allah s.w.t mencela mereka sebagai orang yang safih (bodoh dan kurang aqal)
-          Nabi Ibrahim juga adalah orang yang dipilih oleh Allah didunia dan diakhirat sepertimana firmanNya:
وَلَقَدْ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنْ الصَّالِحِينَ
Bermaksud: “ Dan sesungguhnya kami telah memilihnya didunia dan sesungguhnya dia di akhirat termasuk dikalangan orang-orang yang soleh”
Hanya orang yang mengukur dari segi kebendaan sahaja yang tidak mahu mengikut nabi Ibrahim a.s. Iaitu orang yang melihat Ibrahim tidak boleh memberi gula, beras atau keperluan yang lain sahajalah yang tidak mahu mengikutnya. Allah memilih beliau dan bukan raja Namrud yang kaya raya dan inilah penegasan daripada Allah s.w.t iaitu nabi Ibrahim adalah pilihanNya diatas muka bumi ini dan oleh itu umat Islam seluruhnya hendaklah memilih Islam yang tulen dan yang sebenarnya yang dibawa oleh nabi pilihan Allah s.w.t itu. Begitu juga pada zaman sekarang ini seharusnya kita memilih pemimpin yang membawa sifat dan akhlaq seperti nabi Ibrahim. Kerana dengan sifatnya yang taat dan setia kepada perintahNya serta cekal menyempurnakan segala perintahNya itulah yang membuatkan beliau dipilih oleh Allah sebagai pemimpin didunia ini. Ayat ini merupakan hitam putih daripada Allah s.w.t dalam soal memilih pemimpin kerana calon yang Allah pilih itu adalah semestinya bersifat seperti nabi Ibrahim a.s bukannya sebaliknya yang sanggup menggadai maruah Islam atas dasar mahu berkuasa didunia ini. Dan di akhirat pun nabi Ibrahim termasuk dalam kalangan orang yang soleh. Pastinya barangsiapa yang mengikut perjalanan nabi Ibrahim a.s, maka dia kan terpilih di dunia dan dia selamat diakhirat. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]:  “ Inilah agama Ibrahim, agama Islam yang tulen dan terang. Tiada yang benci dan menolak agama ini melainkan orang yang menganiaya diri sendiri  atau memperbodoh dan bertindak sewenang-wenangnya terhadap dirinya. Ibrahim a.s yang telah dipilih Allah s.w.t sebagai pemimpin manusia dan diakui diakhirat nanti sebagai orang yang soleh.”

5.       Ayat 131:
-          Disini Allah s.w.t memberi ingat kembali akan peristiwa yang berlaku terhadap nabi Ibrahim a.s. iaitu ketika ia dicubai Allah s.w.t dengan bintang, bulan dan matahari yang menyebabkan ia terpesona tetapi kemudiannya ia yakin itu semuanya makhluk dan sudah pasti ada yang menjadikannya. Lalu Allah s.w.t menyuruhnya supaya beragama Islam lalu beliau sambut seruan tersebut dengan taat setia, tiada ia beribadat dan tiada ia menyembah melainkan kepada Allah yang maha Esa, Tuhan sekalian alam. Bermaksud Ibrahim masuk Islam bukan kerana manusia atau benda, tetapi kerana Allah Tuhan sekalian alam. Beliau juga tidak teragak-agak, tidak diam ataupun menyeleweng malah terus menyebut sebaik sahaja menerima perintah dengan ucapan:
قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
Bermaksud: “ Aku serahkan diriku kepada Tuhan sekelian alam”



[1] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 129
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 453
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 453-454
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 454
[5] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 87
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 455
[7] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 182
[8] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 131
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 459