بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 41:
- Seterusnya Allah s.w.t memerintah kepada Bani Israel beriman dengan al-Qur’an yang mana al-Qur’an itu sebenarnya membenarkan kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s melibatkan ibadat, ketauhidan kepada Allah serta kebangkitan Rasullullah s.a.w[1]. Penerimaan al-Qur’an daripada Allah s.w.t adalah penerusan risalah kerasulan yang diutuskan oleh Allah s.w.t dikalangan manusia yang berakhir dengan nabi Muhammad s.a.w. Maka sekiranya mempercayai kebenaran isi al-Qur’an, baharulah benar-benar mempercayai Taurat. Sebaliknya sekiranya mendusta dan ingkarkan kebenaran al-Qur’an beerti juga mendusta dan ingkarkan akan kebenaran Taurat.[2]
- Dan kemudiannya Allah s.w.t memberi amaran kepada bani Israel agar jangan menjadi golongan yang paling awal kafir kepada Allah s.w.t. Yakni golongan pelopor yang mengingkariNya walaupun mengetahui tentang kebenaranNya. Kenapakah Allah berfirman sedemikian sedangkan dalam sejarah Islam, golongan yang paling awal berbuat sedemikian adalah golongan musyrikin Mekah yang terus-terang menyembah berhala. Ini adalah kerana yang dimaksudkan “yang paling awal kafir” ini adalah dikalangan ahli Kitab daripada Yahudi dan Kristian yang sudah sememangnya tahu tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w melalui kitab-kitab yang di turunkan sebelum al-Qur’an. Berkata Ibn ‘Abbas, maksudnya adalah “ Jangan menjadi golongan yang pertama kafir dengan isi al-Qur’an sedangkan kamu ada ilmu yang tiada pada orang lain selain kamu”[3]. Pendapat ini disokong dengan firman Allah s.w.t yang berbunyi[4]:
الَّذِينَ آتَيْنَاهُمْ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقاً مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang kami datangkan akan kitab, mereka itu mengenali Nabi Muhammad sebagaimana mereka kenal anak-anak mereka sendiri dan setengah golongan daripada mereka menyembunyikan yang hak sedangkan mereka mengetahuinya.
- Bukan sahaja golongan ini tahu kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, bahkan batang tubuh sehingga tanda-tanda di badan Baginda pun mereka tahu. Oleh itu Allah s.w.t memberi amaran yang keras kepada golongan ini agar ilmu pengetahuan yang telah Allah kurniakan kepada mereka dalam membezakan antara hak dan batil janganlah disisihkan hanya kerana bersifat hasad dengki terhadap kebenaran yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w sekaligus menjadi golongan yang pertama kafir, menentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
- Seterusnya ayat ini memberi amaran kepada golongan bani Israel agar tidak “menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah” . maksudnya, kerana habuan duniawi berupa pangkat dan harta benda, sanggup mengenepikan ajaran Allah s.w.t. Inilah dia perangai kaum yahudi, pemimpin dan pendita mereka. Mereka merasakan kalau ikut Muhammad mereka menjadi sesak dada, tidak boleh memiliki harta benda serta tidak boleh menjadi raja. Mereka sanggup menjual ayat-ayat kebenaran daripada Allah s.w.t dengan begitu murah sedangkan ayat Allah s.w.t itu terlalu mahal, tidak boleh dibandingkan dengan segala yang ada didalam dunia ini. Allah s.w.t juga memberi amaran kepada golongan yahudi ini supaya mereka bertaqwa kepada Allah dan hanya Allah sahaja yang layak bagi mereka takuti.
- Ayat ini juga mengikut ahli tafsir, adalah diturunkan keatas Ka’ab b. Asyraf dan ketua-ketua serta ulama’ bangsa yahudi di Madinah, yang telah biasa menerima hasil-hasil tanaman, buah-buahan, ternakan dan wang dari anak-anak buah mereka yang terdiri daripada orang jahil dan bebal. Iaitu hasil tiap-tiap tahun yang ditetapkan sekian banyaknya, konon sebagai hadiah kepada ketua-ketua dan orang alim. Harta dan pendapatan duniawi sememangnya merupakan adat ketamakan kaum yahudi dari sejak zaman dahulu lagi. Mereka enggan memberitahu kepada pengikut-pengikut mereka bahawasanya Muhammad itu seorang nabi, sebagaimana mestinya seorang alim itu memberitahu perkara yang benar mengikut ajaran-ajaran kitab Taurat. Malah jika ditanya, sengaja mereka rahsiakan bahkan mereka sengaja mengubah tulisan yang ada dalam kitab Taurat dengan perkataan-perkataan yang tiada berlawanan dengan hawa nafsu mereka. Ini adalah kerana mereka khuatir, sekiranya mereka berkata benar[5], nescaya pengikut mereka akan berpaling padah dan dengan demikian mereka akan kempunan dari hadiah dan pemberian pengikut mereka[6].
2. Ayat 42:
- Amaran Allah s.w.t berterusan lagi kepada kaum yahudi yang mana kali ini Allah memberi amaran jangan mencampur-adukkan kebenaran dan kebatilan sehingga manusia menjadi keliru dengan tujuan tidak lain tidak bukan semata-mata untuk menyembunyikan kebenaran. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb : “Kaum yahudi telah melakukan perbuatan mencampur-adukkan diantara kebatilan dengan kebenaran dan menyembunyikan kebenaran pada setiap kesempatan yang diperolehi oleh mereka sebagaimana yang akan dihuraikan oleh al-Qur’an didalam berbagai-bagai surahNya. Mereka selama-lamanya akan bertindak selaku pembuat fitnah, pencetus kekacauan didalam masyarakat Islam dan pengacau keamanan didalam barisan Islam”[7]. Nampak pada zahirnya beriman dengan mengucap dua kalimah syahadah, tetapi selepas daripada itu tidak percaya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Pernah diriwayatkan, dimana kaum yahudi ini menugaskan Abdullah b. Salam r.a yang terkenal sebagai seorang alim yahudi Madinah (sebelum masuk Islam) atau mufti besar yahudi Madinah supaya berbahas dan berhujjah dengan Nabi Muhammad s.a.w. Apabila Abdullah bin Salam ini datang berjumpa dengan Rasullullah s.a.w lalu beliau diperdengarkan ayat al-Qur’an dan apa yang disabdakan oleh baginda sendiri, beliau sedar akan betul dan benarnya nabi Muhammad s.a.w.
- Kaum Yahudi menunggu Abdullah b. Salam balik untuk mendengar khabar natijah daripada perbahasan tersebut tetapi oleh kerana terlalu lama menunggu kepulangan Abdullah b. Salam, mereka memutuskan untuk pergi sendiri mencari Abdullah tanpa mereka sedari Abdullah b. Salam sudah pun memeluk Islam. Dalam masa yang sama Abdullah b. Salam meminta izin kepada Rasullullah s.a.w untuk menyembunyikan diri dan meminta sekiranya kaumnya datang, minta ditanya kepada mereka siapa sebenarnya Abdullah b. Salam. Maka setelah datang kaum yahudi, dan ditanya kepada mereka siapakah Abdullah b. Salam, lalu dengan bangganya mereka mengatakan bahawa Abdullah b. Salam adalah orang yang paling alim, mulia, dihormati dan dianggap sebagai pemimpin atau ketua dikalangan mereka.
- Sedang mereka seronok memuji Abdullah, tiba-tiba Abdullah b. Salam pun keluar daripada tempat persembunyian lalu terus mengisytiharkan bahawa beliau telah masuk Islam, mengakui kebenaran dan kerasulan nabi Muhammad s.a.w. Dan ketika itu, segala pujian terhadap Abdullah b. Salam yang dihamburkan oleh kaum yahudi tadi sekelip mata bertukar menjadi penghinaan serta cacian. Abdullah b. Salam yang alim dan mulia tadi bertukar menjadi Abdullah b. Salam yang jahil, bodoh dan pengkhianat.
- Inilah perangai Yahudi yang mahu memaksa ulama’-ulama’ mereka supaya menyembunyikan kebenaran. Bagi mereka apa yang betul yang terdapat dalam al-Qur’an mesti disembunyikan, jangan diberitahu kepada orang ramai sehingga bercampur –aduk antara kebenaran dan kebatilan dengan objektifnya supaya manusia itu sukar untuk memahami kebenaran , padahal mereka tahu bahawa apa yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w itu adalah benar belaka. Kalau mereka jahil, tidak ada pengetahuan mereka tentang yang hak, boleh dimaafkan. Tetapi mereka orang yang alim dan berpengetahuan dan sesungguhnya perbuatan mereka itu adalah seburuk-buruk pekerti dan sekaligus ayat ini menjadi dalil bahawa seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan, haram hukumnya menyembunyikannya dengan tiada mahu mengajarkannya kepada orang lain.
3. Ayat 43:
- Pada ayat ini, Allah s.w.t menyuruh mendirikan sembahyang secara umum diringi pula arahan mengeluarkan zakat terhadap harta kekayaan mengikut nisbah dan kadar yang ditentukan. Juga suruhan secara khusus kepada orang-orang yahudi yang selama ini sembahyang tanpa ruku’[8], maka selepas ini hendaklah mereka sembahyang memakai ruku’ mengikut syari’at Islam dan mengerjakannya bersama-sama dengan Rasullullah s.a.w serta para sahabat yang lain. Ayat ini juga menganjurkan bahawa tiap-tiap sembahyang hendaklah dikerjakan secara berjemaah. Berkaitan dengan ayat ini, al-Syahid Sayyid Qutb menegaskan bahawa ayat ini menyeru kaum bani Israel bergabung didalam angkatan iman, menyertai barisan muslimin, mengerjakan ibadah yang difardukan oleh Allah s.w.t dan meninggalkan sikap pengasingan diri dan fanatik perkauman yang keji yang mana sifat ini menjadi sifat terkenal kaum yahudi sejak zaman dahulu lagi[9].
[1] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi (Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Takwil) (1999), J. 1, mk 84.
[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 71
[3] Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (1997), J.. 1, mk 72.
[4] al-Baqarah, 146.
[5] yakni mengatakan bahawa Muhammad itu adalah sebenar-benarnya nabi.
[6] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 72
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 244-245.
[8] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi (Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Takwil) (1999), J. 1, mk 85.
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 245