Tuesday, March 29, 2011

HALAQAH AL-QIRA’AT AL-SYUBRAWI


Bab Marhalah turunnya al-Qira'at..

(Kitab al-Qira’at al-Quraniyyah)

Adakah permulaan turunnya al-Ahruf dan al-Qira'at sekaligus bersama turunnya al-Qur'an ataupun lewat sedikit? disisi ulama ada 2 pendapat:


1) al-Quran beserta semua qira'atnya turun sekaligus daripada Allah swt kepada nabi Muhammad s.a.w.
2) al-Quran turun dgn satu qira'at dan kemudian diizinkan membaca dgn wajah-wajah qira'at yg lain.


Kedua-kedua pendapat berdalilkan nas daripada Abu Laith al-Samarqandi yg dinaqalkan oleh al-Zarkasyi (lihat Burhan, j. 1,mk 326)


Abu Laith berkata pula, jika setiap qira'at itu menambahkan lagi tafsiran makna kepada qira'at yg lain, maka kedua-dua wajah qira'at tersebut diturunkan sekaligus.Maka jadilah 2 wajah qira'at, contoh pada ayat 222 al-baqarah
حتى يطهرن


Dan jika ada 2 wajah qira'at tetapi makna yg sama seperti kalimah
البيوت ,dengan kasrah dan fathah huruf ba',sesungguhnya iainya turun dengan salah satu wajah dan diharuskan dibaca dgn wajah yg lain mengikut kesesuain qabilah arab.


Jika ditanya: jika betul ianya turun dgn salah satu wajah sahaja, wajah manakah yg turun itu?....maka jawabnya ialah wajah yang turun adalah daripada dialek Quraisy.

Ini adalah kerana Rasullullah s.a.w daripada puak Quraisy (al-Bukhari, Fadail al-Qur'an, bab: al-Qur'an bilisan quraisy wal Arab,no 4699.)

Bilakah bermulanya penurunan al-Qira'at ataupun bilakah dizinkan pembacaan al-Qira'at?


Ada 2 pendapat disisi ulama':


1) Ianya turun di Mekah sekaligus turunnya al-Quran berdalilkan terdapatnya khilaf wajah qira'at pada ayat makiyyah seperti juga pada ayat madaniyyah. Pendapat ini disokong oleh Muhammad Salim Muhaysin (lihat fi rihab al-Qur'an, j. 1, mk 233-234)


2) Ianya turun di Madinah selepas hijrah berdalilkan tiada keperluan dalam mewujudkan kelonggaran sebutan ketika di Mekah.Keperluan kepada kelonggaran sebutan amat diperlukan di Madinah disebabkan ramainya manusia yang memeluk Islam yang menimbulkan banyak perselisihan terhadap sebutan dan bahasa.


Maka pengarang kitab ini berkata tiada yg qat'i pada kedua-dua pendapat tadi, tetapi jikalau hendak ditarjihkan, maka pendapat pertama menjadi pilihan atas dasar:


1)Hadith-hadith berkaitan ahrufussab'ah secara terang-terang menjelaskan bahawa al-Qur'an itu turun dengan 7 huruf dan permulaan wahyu adalah di Mekah. Tidak ada dalil menunjukkan ada penurunan setengah wajah di Mekah dan setengah lain di Madinah.


2) Tidak ada keperluan kepada wajah qira'at di Mekah tidak memberi maksud wajah tersebut tidak diturunkan di Mekah. Ini adalah kerana tidak diarahkan kepada Rasullullah s.a.w kerana tiada keperluan untuk berbuat sedemikian ketika itu.


3) Sesetengah nas menjelaskan bahawa Rasullullah s.a.w mengetahui tentang ahruf sab'ah tetapi tidak membacanya sehinggalah datang arahan untuk berbuat demikian.

Bab marhalah penyebaran ilmu al-Qira'at,

(Kitab al-Qira’at al-Quraniyyah , mk 52)

Antaranya menjelaskan ruang lingkup proses pengajaran Rasullullah s.a.w, para sahabat dan seterusnya para-para tabi'en. Proses tersebut bolehlah dibahagikan kepada 4 bahagian:


1- Baginda s.a.w membaca kepada sahabat secara perseorangan atau pun secara berkelompok daripada al-Quran dengan huruf- hurufnya. Kemungkinan juga diajar sebahagian sahabat dengan satu huruf dan sebahagian yg lain dengan huruf yg lain. Mungkin juga diajar pada seorang sahabat dengan huruf yang banyak. Termasuklah juga pengajaran ini ditunjuk oleh Baginda s.a.w di dalam sembahyang dan juga majlis tazkirah yg berkaitan dengan pembacaan al-Quran yg mana ini juga menjadi antara cara-cara pengajaran ilmu qira'at di zaman Rasullullah s.a.w.

2-Para- para sahabat membaca sesama mereka sebagai menyahut seruan Rasullullah s.a.w: بلغوا عني ولو آية
Dan Rasullullah s.a.w sendiri telah menyatakan nama sahabat-sahabat tertentu untuk diambil bacaan daripada mereka, sepertimana sabda Baginda s.a.w:
خذوا القرآن من أربع: عبد الله بن مسعود وسالم مولى أبي حذيفة ومعاذ بن جبل وأبي بن كعب

3-Berkelana para-para sahabat ke pelusuk tanah Arab mengajar manusia al-Quran dan al-Qira'at sehingga orang yang pertama yg menjadi utusan dengan al-Qur'an sebelum Rasullullah s.a.w sampai ke Madinah ialah Mus'ab bin 'Umayr yang dipilih oleh Baginda s.a.w untuk "menyegarkan udara dikota Madinah". Beliau juga adalah orang pertama dipanggil dengan gelaran al-Muqri' ( Zad al-Ma'ad,Ibn al-Qayyum, j.3,mk47)

Antara para sahabat yang masyhur dgn al-Qur'an dan al-Qira'at:


-Uthman bin 'Affan
-'Ali bin abi Talib
-Ubay b Ka'ab
- Zaid b. Thabit
.- Ibn Mas'ud
- Abu Musa al-'Asy'ari


Perkembangan sebegini sebenarnya bertitik tolak daripada usaha Saidina Uthman r.a menghantar qari-qari daripada para-para qurra' yang masyhur beserta mushaf yang berkaitan ke beberapa tempat untuk dibaca al-Quran beserta qira'atnya kepada manusia bertepatan dengan mushaf yang dibawa. Ia juga dapat merealisasikan konsep sunnah ketika mempelajari al-Quran iaitu mesti bertalaqqi yang mana tidak boleh untuk mengambil bacaan al-Quran tanpa bertalaqqi ataupun musyafahah.

Maka Saidina 'Uthman r.a menghantar Abdullah bin al-Sa'ib al-Makhzumi ke Mekah, Abi Abd al-Rahman al-Sulamiy ke Kufah, 'Amir bin Abd Qais ke Basrah dan mengekalkan Zaid bin Thabit di Madinah.

4-Minat yg amat mendalam serta mengambil berat sekumpulan manusia dengan ilmu al-qira'at. Mereka bersungguh-sungguh mendalami ilmu ini sehingga menjadi imam serta menjadi tumpuan ditempat masing-masing, mereka yang dimaksudkan itu adalah:


1-Abu Ja'far Yazid bin al-Qa'qa' al-Madani (imam ke 8), dan Nafi' bin Abd al-Rahman (imam pertama) di Madinah.


2-Abdullah bin Kathir(imam ke 2) di Mekah.


3- 'Asim bin Abi al-Najud (imam ke 5), Hamzah bin Habib al-Zayyat (imam ke 6) dan Abu 'Ali al-Kisaei (imam ke 7) di Kufah


4- Abu 'Amru bin al-'Ala'(imam ke 3) dan Ya'qub bin Ishaq al-Hadrami (imam ke 8) di Basrah


5- Abdullah bin 'Amir (imam ke 4) di Syam


6- Khalaf bin Hisyam (imam ke 10) di Baghdad.

Marhalah penulisan/pembukuan ilmu Qira'at ,

(Kitab al-Qira’at al-Qur’aniyyah, mk 60)


Telah masyhur dalam kebanyakkan kitab bahawasanya orang yang pertama mengarang kitab ilmu Qira'at ialah Abu 'Ubayd al-Qasim bin Salam. Dan sepertimana ilmu usul , telah masyhur orang yang pertama menyusunnya ialah imam al-Syafi'e, tetapi sebenarnya sudah ada dari kalangan ulama' sebelum imam al-Syafi'e telah menyusun ilmu usul ini tetapi tidak disempurnakan, maka imam al-Syafi'e menambah kepada penyusunan tersebut dengan penambahan yang banyak serta mengeluarkan teori2 yang lebih lengkap

Begitu jugalah terjadi pada ilmu qira'at yang mana terdapat sekumpulan ulama' yang telah mengarang tentang ilmu qira'at sebelum Abu 'Ubayd. Dan kemungkinan disebabkan tiada pengkhususan ilmu qira'at dalam karangan mereka (yang mana mereka tidak mengkhususkan ilmu ini dalam satu kitab, mereka hanya menyebut tentang ilmu ini secara sampingan di dalam kitab-kitab ilmu yang lain) ataupun kemungkinan karangan-karangan mereka tidak sampai kepada kita dan hanya yg sampai adalah kitab Abu 'Ubayd sahaja. Hal demikian menjadikan masyhurnya Abu 'Ubayd daripada mereka yg lain waallahu a'lam.

Abd al-Hadi al-Fadli berpendapat bahawasanya sebelum 'Ubayd adalah Yahya bin Ya'mur dan yang demikian telah dinyatakan oleh Ibn 'Atiyyah dalam kitabnya (al-Muharar al-Wajiz fi tafsir al-Kitab al-Aziz) bahawasanya diriwayatkan Abd al-Malik bin Marwan dalam usaha untuk menambah baikkan bentuk baris dan titik dalam mushaf telah mengarahkan al-Hajaj al-Thaqafi (gabenor Iraq pada masa itu) untuk memperelokkan pada bentuk baris dan titik serta menambahkan pembahgian juzu' pada mushaf. Lalu al-Hajaj mengarahkan al-Hassan dan Yahya b. Ya'mur untuk tugasan tersebut. Maka mengaranglah Yahya b. Ya'mur di bandar yang bernama Wasit kitab qira'at yang pada kitab itu tersebut khilaf-khilaf yang bertepatan dgn rasm al-Qur'an. Dan seterusnya menjadi rujukan beberapa tahun lamanya sehinggalah Ibn Mujahid melahirkan kitab karangannya

Ramai ulama' yg telah mengarang kitab qira'at antara zaman Yahya dan Ubayd, antaranya adalah:
-Abana bin Taghlab al-Kufi
-Abu 'Amru bin al-'Ala'(imam ketiga)
-Hamzah b. Habib al-Zayyat (imam keenam)
-Al-Kisaei (imam ketujuh)
-Ya'qub al-Hadrami (imam kelapan)
dan antara yang menjadi anak murid 'Ubayd adalah:
-Khalaf b Hisyam (imam kesepuluh)
-Muhammad Sa'dan al-Darir al-Kufi
-Ahmad Muhammad al-Bazzi al-Makki (perawi pertama Ibn kathir)
-Abu Hatim al-Sijistani
-Abu Ja'far Muhammad b Jarir al-Tobari

Maka berkekalanlah sebegitu sehinggalah datang Abu Bakar Ahmad b Musa b al-'Abbas b. Mujahid al-Tamimi al-Baghdadi yang dikenali sebagai Ibn Mujahid dengan karangan beliau yang masyhur iaitu Kitab al-Sab'ah fi al-Qira'at.. Kitab ini dianggap kitab yang paling unggul dalam sejarah ilmu qira'at. Ini adalah kerana:


-Ulama' sebelum Ibn Mujahid tidak mengkhususkan kepada bilangan tertentu, bahkan mereka mengumpulkan apa yang sampai kepada mereka sahaja samada banyak ataupun sedikit. Ada diantara mereka yang mengurangkan bilangan dan ada yang menambahkan bilangan tersebut. Hal ini demikian berlakulah perselisihan yg besar dalam karangan kitab mereka


-Adapun Ibn Mujahid memilih 7 imam antara jumhur qurra' yang ada. Mereka adalah yang lebih thabit disisi Ibn Mujahid dan mereka juga yang terbukti bersungguh-sungguh dalam menjaga ikhtiyar mereka. Tambahan lagi qira'at mereka bertepatan dengan makna ahruf al-sab'ah sepertimana yang telah warid di dalam hadith-hadith yang sohih.

Pemilihan Ibn Mujahid ini juga adalah berdasarkan respond daripada ulama' lain dan juga menimbulkan perbahasan dan perbalahan tetapi tidak dapat dinafikan bahawa usaha Ibn Mujahid ini adalah sangat besar dalam menjaga nas al-Qur’an serta mengasingkan riwayat-riwayat bacaan sehingga yang kekal daripadanya adalah yang sahih dan dibuang daripadanya yang syaz.