Thursday, May 21, 2009

PERANG MUKHTAH

DIBACA OLEH ABU SYATHIBIE DI MASJID UIA KUANTAN PADA 22 MEI 2009
(Teks disalin daripada Ibn Atiq dengan beberapa ubah suaian)


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 111 surah at-Taubah :


إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة يقتلون فى سبيل الله فيقتلون ويقتلون وعدا عليه حقا فى التورئة والإنجيل والقرءان ومن أوفى بعهده من الله فاستبشروا ببيعكم الذى بايعتم به وذلك هو الفوز العظيم

.
Maksudnya : Sesungguhnya Allah membeli jiwa dan harta orang-orang yang beriman bahawa untuk mereka ganjaran Syurga. Mereka berperang di jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh sebagai janji yang benar bagi Allah (yang termaktub) dalam taurat, Injil dan Quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah. Oleh itu bergembiralah kamu dengan penjualan yang kamu jual itu. Demikian itulah kemenangan yang besar.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Kita sekarang berada di bulan jamadil awwal yang mana sepertimana bulan-bulan Islam yang lain, Jamadil Awwal pernah memahatkan peristiwa bersejarah di mana pada bulan ini telah berlakunya peperangan Mu'tah yang terletak berhampiran dengan Kota Karak, Jordan. Ia berlaku pada tahun 8H akibat daripada pembunuhan Harith bin Umair Al-Azdi apabila beliau direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas ketika dihantar oleh Rasulullah S.A.W kepada Raja Busra sebagai seorang utusan.

Peperangan Mu’tah merupakan antara siri awal peperangan tentera Islam di luar semenanjung Tanah Arab dalam menghadapi tentera bukan Arab. Sebagaimana maklum bahawa selepas pembukaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun yang sama maka tidak lagi berlaku peperangan besar dengan kafir Quraisy sebaliknya tumpuan dakwah Islam mula dikembangkan ke luar tanah arab melalui penghantaran utusan yang membawa surat daripada Rasulullah s.a.w yang biasanya turut ditulis beberapa ayat al-Quran kepada ketua qabilah, raja-raja dan pemimpin negara berhampiran. Kita boleh faham daripada tindakan Rasulullah s.a.w ini bahawa tidak salah orang bukan Islam diberi peluang untuk membaca ayat al-Quran bukan untuk tujuan menghina tetapi untuk mengkaji keindahan al-Quran dan penyebaran dakwah Islam.

Jawapan yang diterima daripada pemimpin qabilah dan negara terhadap seruan dakwah melalui surat yang dihantar ini bermacam-macam di mana ada yang menerima Islam, tidak kurang yang menolak secara lembut dan ada juga yang menolak secara kasar termasuk dalam kes utusan kepada Raja Busra yang dibunuh secara kejam. Pada hari ini jarang berlaku pemimpin negara umat Islam yang menghantar surat dakwah kepada pemimpin bukan Islam sebaliknya ramai yang mengutus surat untuk terus taat setia kepada kuasa kuffar dan sistem ciptaan manusia. Apa yang lebih malang apabila pemimpin negara umat Islam bukan sahaja merasa malu dan takut untuk menyebarkan Islam malah menampilkan imej yang buruk akibat pecah amanah dan rasuah dan skandal moral yang lain.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Tentera muslimin seramai tiga ribu orang telah dikumpul dalam masa yang singkat untuk keluar berperang di Mu'tah di mana Rasulullah S.A.W tidak turut serta dalam peperangan ini. Daripada tindakan ini dapatlah kita mengambil iktibar yang mana Islam bukanlah agama yang tertegak hanya melalui mata pedang kerana peperangan adalah langkah yang terakhir selepas utusan yang diutuskan untuk menjalankan kerja-kerja dakwah tidak diterima malah dikhianati maka barulah tindakan yang lebih kasar iaitu peperangan boleh dilakukan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,


Ketika tentera Islam bertolak menuju ke Mu’tah yang terletak beribu kilometer dari Kota Madinah. Sebaik sahaja mereka tiba di Ma’an iaitu sebuah pekan yang terletak lebih kurang 100 kilometer dari Mu’tah, tentera musuh telah mendengar kemaraan tentera Islam di mana dengan segera panglima perang musuh, Harcules mengumpul bala tentera lebih seratus ribu orang disamping Syurahbil pula mengumpul seramai seratus ribu bala tentera yang lain hasil gabungan qabilah Lakham, Juzam, Balqin dan Bahara'. Apabila mendengar berita mengenai jumlah tentera musuh yang begitu ramai, maka tentera muslimin telah berbincang langkah mereka yang seterusnya di Ma'an selama dua malam. Ramai di kalangan mereka telah mencadangkan agar menghantar maklumat kepada Rasulullah S.A.W mengenai perkara ini tetapi Abdullah bin Rawahah dengan tegas bangun menyatakan : Demi Allah! Adakah kita benci kepada sebab keluarnya kita ke sini iaitu memburu syahid.Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan kerana kekuatan dan bukan kerana kuantiti tetapi kerana agama Islam yang telah Allah memuliakan kita dengannya. Maka maralah kamu sesungguhnya salah satu daripada 2 kebaikan akan kamu perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama keredhaan Allah. Kata-kata semangat ini berjaya meniupkan kembali roh jihad dalam diri tentera Islam.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Peperangan meletus sebelum masuk kawasan Mu'tah lagi di antara tentera Islam berjumlah 3 ribu orang dengan tentera Rom seramai 200 ribu orang. Pada mulanya Zaid bin Harithah yang memegang bendera panji Islam tetapi beliau telah gugur syahid di mana panji tersebut seterusnya dipegang oleh Ja'afar bin Abi Thalib. Beliau turut gugur syahid di mana pada permulaannya tangan kanan beliau ditetak putus oleh musuh. Kemudiaannya beliau terus mengawal bendera panji Islam agar tidak jatuh dan ketika itu pula tangan kirinya pula dipotong oleh musuh. Namun begitu beliau terus menggigit bendera panji dengan giginya tetapi kali ini kepalanya telah dipenggal yang menyebabkan beliau gugur syahid. Selain kedua tangannya yang putus ditetak oleh musuh, terdapat 50 kesan panahan pada badan beliau.

Rasulullah s.a.w menyatakn bagaimana Allah menjadikan kedua tangannya itu sebagai sayap yang membolehkan beliau berterbang bebas di Syurga. Sebab itulah beliau digelar dengan Ja’afar at-Toyyar yakni Ja’afar yang mempunyai 2 sayap. Kemudian panji bendera Islam itu berpindah ke tangan Abdullah bin Rawahah tetapi beliau juga gugur syahid yang mana kepimpinan selepas itu diterajui oleh panglima perang yang agung iaitu Khalid bin Al-Walid dengan persetujuan daripada tentera Islam yang lain. Peristiwa ini mengajar kita agar bermujahadah di dalam menjaga maruah diri dan maruah Islam yg tercinta walaupun nyawa sebagai bayarannya. Dan juga mengajar kita taat kepada arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin selagi mana ianya tidak bersalahan dengan syarak.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Akhirnya kita dapat menyaksikan bagaimana Allah tetap menolong dan memberi kemenangan kepada hambaNya yang istiqomah, thabat dan bermujahadah dalam perjuangan yang hak dan ianya memerlukan ujian, mehnah dan dugaan bukannya boleh dihasilkan dengan cara mudah dan setakat goyang kaki sahaja.Seramai 12 orang tentera Islam yang gugur syahid termasuk 3 panglima yang dilantik. Manakala bilangan tentera Rom pula tiada jumlah secara tepat tetapi agak ramai yang mati.
Kesan daripada peperangan ini masih ada sehingga sekarang yang mana kita boleh melawat maqam-maqam sahabat yang telah gugur syahid dalam peperangan ini di Mazar berdekatan dengan Mu'tah.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Beberapa tahun yang lepas pihak kerajaan Jordan telah menggali dalam kawasan yang mana dikuburkan para syuhada' bagi membina masjid baru menggantikan masjid yang lama. Ketika berjalannya kerja-kerja ini, berlakunya peristiwa yang mana salah sebuah jentolak yang digunakan telah terkena tubuh syuhada' dan darah segar masih mengalir dari tubuh mereka walaupun lebih seratus tahun mereka meninggal dunia. Perkara ini berlaku kepada kubur-kubur yang tidak jelas kewujudannya kerana tiada sebarang tanda yang digunakan. Peristiwa ini meyakinkan lagi kepada kita bahawa mereka yang gugur syahid sebenarnya tidak mati di sisi Allah.

Benarlah firman Allah dalam ayat 169 :


ولا تحسبن الذين قتلوا في سبيل الله أمواتا بل أحياء عند ربهم يرزقون

Maksudnya : Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, sedangkan mereka itu tetap hidup di sisi Tuham mereka dengan diberi rezeki.

Semoga ruh peristiwa besar ini menjadi iktibar kepada kita dalam memenuhi tuntutan sebagai khalifah dimuka bumi ini… Islam akan menang walaupun ia ditentang dan kekufuran akan kecundang walaupun ia ditatang oleh sebab kejahilan.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ