بسم الله الرحمن الرحيم
1.
Ayat 151
-
Ayat ini
masih lagi berhubung dengan ayat
sebelumnya iaitu yang berbunyi:
وَلأُتِمَّ
نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ
Bermaksud:
“ Supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepadamu”
Antaranya telah diutuskan seorang
rasul iaitu Muhammad s.a.w kepada kamu. Utusan itu juga dibangkitkan dari jenis
kamu yang bukan daripada jenis Malaikat supaya kamu lebih mesra dan tidak
takut. Dan beliaulah yang akan membaca ayat-ayat kami (al-Quran) sebagai
mukjizat yang berkekalan. Beliau jugalah yang membersihkan kamu dari bersifat
buruk iaitu bersifat syirik dan membuat dosa sehingga kamu menjadi umat yang
bersih budi pekerti dan beradab sopan. Beliau jugalah yang mengajarkan
perkara-perkara yang belum kamu ketahui daripada kisah-kisah lampau dan peristiwa
yang akan datang.
-
Apa yang
menarik perhatian disini adalah ayat ini mengulangi ayat doa nabi Ibrahim a.s
sebelum ini ketika beliau membina tapak-tapak
asas Baitullah bersama nabi Ismail a.s yang mana doa itu meminta supaya
Allah s.w.t membangkitkan dalam kalangan anak cucunya yang mendiami di kawasan
Baitullah seorang rasul daripada kalangan mereka. Doa ini diulang untuk
mengingatkan kaum muslimin bahawasanya kebangkitan Rasullullah s.a.w di dalam
kalangan mereka dan kewujudan mereka sebagai kaum muslimin itu adalah bukti
terkabulnya doa moyang mereka nabi Ibrahim a.s. Dan ini juga membuktikan bahawa
status mereka ini bukan perkara yang baru dan begitu juga dengan qiblat mereka
yang baru ini bukannya wujud secara mendadak, malah ianya adalah qiblat moyang
mereka nabi Ibrahim a.s. Dan begitu jugalah dengan nikmat yang telah
dikurniakan kepada mereka dengan sempurnanya itu adalah tidak lain dan tidak
bukan merupakan nikmat yang telah dijanjikanNya kepada Ibrahim a.s sejak dahulu
lagi.
-
Asy-Syahid
Sayyid Qutb dalam menafsirkan firman Allah s.w.t[1]
yang berbunyi:
كَمَا
أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِنْكُمْ
Bermaksud: “Sebagaimana Kami telah
utuskan dikalangan kamu seorang rasul dari golongan kamu”
“Pengiriman rasul dikalangan kamu itu
merupakan suatu penghormatan dan limpah kurniaan Allah s.w.t yang besar. Allah
telah memilih rasulNya yang terakhir di dalam kalangan kamu sedangkan kaum
Yahudi memohon kepada Allah s.w.t agar Allah memberi kemenangan kepada mereka
untuk menguasai kamu dengan berkat rasul yang terakhir itu.”
-
Seterusnya
Allah berfirman yang berbunyi :
يَتْلُو
عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا
Bermaksud:
“ Yang membaca ayat-ayat Kami kepada kamu”
Ini adalah satu hujah yang cukup
jelas bahawasanya ayat-ayat al-Quran yang dibacakan kepada kamu adalah
ayat-ayat yang pastinya benar. Ayat ini juga memberi implikasi yang lain iaitu
menyedarkan manusia terhadap kebesaran pengurniaan Allah s.w.t yang sudi
berbicara dengan para hambaNya dengan kalamNya sendiri yang dibacakan oleh
rasulNya kepada mereka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2] : “
Ia merupakan satu pengurniaan yang amat bermakna sekaligus membuat hati terharu
apabila mereka menghayati hakikatnya dengan mendalam. Siapakah gerangan diri
mereka? siapakah mereka dan apakah mereka? sehingga Allah s.w.t sudi berbicara
dengan mereka melalui kalamNya sendiri dan memberi perhatian yang begitu besar
kepada mereka? Siapakah mereka dan apakah akan terjadi kepada mereka jika Allah
s.w.t tidak memberi limpah kurniaNya kepada mereka dan jika Allah s.w.t sejak
awal lagi tidak mengurniakan kepada mereka nikmat tiupan ruh yang melayakkan
mereka menerima pengurniaan ini?”
-
Allah s.w.t
menyambung kembali firmanNya:
وَيُزَكِّيكُمْ
Bermaksud:
“ Dan membersihkan kamu”
Ya’ni jika tidak kerana limpah
kurniaaNya, tiada seorang pun dari mereka yang bersih jiwanya dan tiada jiwa
yang bersih dan meningkat tinggi. Tetapi Allah s.w.t telah mengutus Rasullullah
s.a.w untuk membersihkan jiwa mereka daripada kekotoran syirik, kecemaran
jahiliyyah serta kefahaman dan pemikiran yang karut yang membebankan jiwa
manusia serta menimbuskannya. Juga untuk membersihkan jiwa mereka dari
kekotoran keinginan-keinginan nafsu agar jiwa mereka tidak terhumban ke lembah
kehinaan. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3] : “
Orang-orang yang tidak dapat membersihkan jiwa mereka oleh Islam diserata
pelusuk bumi dahulu dan sekarang, akan terus jatuh dan bergelumang di dalam
paya yang busuk yang penuh dengan penyakit hawa nafsu yang menjatuhkan darjat
insaniyyah manusia dan mengangkat darjat haiwan. Malah haiwan jauh lebih bersih
dari manusia yang jatuh tanpa iman itu”
-
Ia juga
membersihkan masyarakat itu daripada riba dan harta-harta yang haram dari
penipuan, perampasan serta rompakan. Semuanya ini merupakan amalan keji yang
mengotorkan jiwa dan perasaan serta mencemarkan masyarakat dan kehidupan. Ianya
juga membersihkan kehidupan mereka dari kezaliman dan penganiayaan sekaligus
menzahirkan keadilan yang bersih dan jelas, iaitu keadilan yang tidak pernah
dinikmati manusia sebagaimana mereka nikmati dibawah naungan Islam.
-
Seterusnya
firmanNya berbunyi:
وَيُعَلِّمُكُمْ
الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ
Bermaksud:
“ Dan mengajar kepada kamu al-Quran dan hikmah”
Ya’ni ayat ini menjelaskan
bahawasanya bahan utama yang terkandung di dalam al-Quran adalah hikmah atau
kebijaksanaan yang merupakan hasil dari pengajaran al-Quran itu sendiri[4].
Bermakna siapa yang mengikut al-Quran itulah dia orang yang penuh dengan hikmah
dan bijaksana. Berkat al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “Hikmah
atau kebijaksanaan ini ialah daya kemampuan untuk meletakkan sesuatu persoalan ditempat yang
wajar dan menilai sesuatu dengan neraca yang betul serta memahami matlamat perintah serta arahan Ilahi.
Natijahnya, satu hasil kajian yang matang dapat dicapai oleh mereka yang telah
diasuh dan dididik oleh Rasullullah s.a.w yang telah membersihkan jiwa mereka
dengan ayat-ayat Allah s.w.t”
-
Dan akhirnya
Allah s.w.t mengakhiri firmanNya dalam ayat ini yang berbunyi:
وَيُعَلِّمُكُمْ
مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ
Bermaksud: “ Dan mengajar kepada
kamu perkara-perkara yang kamu tidak mengetahui”
Ayat ini menunjukkan secara jelas apa
yang sebenarnya berlaku kepada umat yang bernama “muslimin”. Mereka sebenarnya
“dipungut” oleh Islam dari masyarakat Arab yang jahil, yang hanya mengetahui
serba sedikit ilmu pengetahuan yang tidak tersusun dan hanya layak untuk
menjalani kehidupan secara berqabilah atau suku kaum dipadang pasir atau
dibandar kecil yang terpencil ditengah-tengah padang pasir Sahra’. Tiba-tiba
Islam datang membentuk mereka menjadi satu umat yang layak memimpin umat
manusia dengan kepimpinan yang bijaksana, lurus dan benar dan dengan kepimpinan
yang arif lagi alim. Dan kemudiannya Masjid Rasullullah s.a.w dibacakan
al-Quran di dalamnya yang mana merupakan universiti agung yang mengeluarkan
angkatan muslimin yang memimpin umat manusia dengan kepimpinan yang bijaksana
iaitu satu kepimpinan yang tidak pernah diketahui tolok bandingnya oleh manusia
dahulu dan kemudian disepanjang sejarah manusia. Kesemuanya ini tidak akan
kesampaian melainkan dengan perantaraan wahyu daripada Allah s.w.t[6].
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb [7]: “
Sistem hidup yang telah melahirkan angkatan dan kepimpinan ini masih bersedia
untuk melahirkan angkatan-angkatan dan kepimpinan yang sama disepanjang zaman
andainya umat muslimin kembali semula
kepada sumber ini dan beriman kepada al-Quran dengan keimanan yang sebenar.
Dan andainya mereka menjadikan al-Quran ini sistem dan perlembagaan hidup
mereka bukannya menjadikan al-Quran selaku kalimah-kalimah yang didendangkan
oleh lisan untuk menghiburkan telinga.”
2.
Ayat 152:
-
Disini, Allah s.w.t mengurniakan kepada kaum
muslimin suatu kurniaan yang lain pula, iaitu Allah s.w.t menyeru mereka supaya
bersyukur kepadanNya dan mengingat mereka supaya jangan kufur terhadapNya. Ayat
ini secara jelas menyuruh kita mengingati Allah s.w.t, dan Allah s.w.t akan
mengingati kita. Dan seterusnya menyuruh kita mensyukuri Allah s.w.t, tetapi
jangan sekali-kali kufur atau derhaka kepadaNya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[8]: “
Alangkah besarnya limpah kurniaan Allah s.w.t yang Maha Mulia dan Maha Pengasih.
Dia menjadikan ingatanNya kepada para hambaNya sebagai balasan atas ingatan
mereka terhadapNya di alam mereka yang kecil ini. Apabila para hamba itu
menyebut dan mengingati Allah s.w.t, mereka menyebut dan mengingatinya di alam
bumi yang kecil ini dan mereka sendiri terlalu kecil dibandingkan dengan bumi
mereka yang kecil ini, tetapi apabila Allah s.w.t menyebut dan mengingati
mereka, dia menyebut dan mengingati mereka di alam buana yang amat besar ini
dan Allah s.w.t bersifat Maha Tinggi dan
Maha Besar. Alangkah besarnya limpah kurnia dan kemurahan Allah s.w.t”
-
Itulah limpah
kurnia yang tidak dapat diberikan melainkan hanya oleh Allah s.w.t, Tuhan yang
tidak mepunyai pengawal bagi perbendaharaan kurniaNya dan tidak mempunyai
jurukira bagi pemberianNya. Itulah kemurahan yang melimpah ruah dari ZatNya
yang Maha Tinggi tanpa sebab dan tanpa
yang mewajibkanNya melainkan semata-mata kerana sifatNya memang sebegitu iaitu
Dia Maha Pemurah lagi Maha limpah KurniaNya. Tersebut dalam sebuah Hadith Sahih[9], Daripada
Abu Hurairah r.a, Rasullullahi s.a.w bersabda: “ Allah berfirman : Wahai
anak Adam, jika kamu mengingatiKu di dalam hatimu, Aku akan mengingatimu dalam
diriKu. Dan jika kamu mengingatiKu ditengah khalayak yang ramai, Aku akan
mengingatimu ditengah khalayak para Malaikat (dalam riwayat yang lain ditengah
khalayak yang lebih baik darinya). Dan jika kamu mendekatiKu sejengkal, Aku
akan mendekati kamu sehasta, dan jikalau kamu mendekatiKu sehasta, Aku akan
mendekatimu sedepa dan jika kamu datang kepadaKu dengan berjalan, Aku akan
datang kepadamu dengan berlari”. Itulah limpah kurnia Allah yang tidak
dapat disifatkan dengan kata-kata dan tidak dapat diungkapkan kesyukuran yang
wajar melainkan dengan hati yang sujud.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb [10]: “
Maksud menyebut dan mengingati Allah bukan semata-mata sebutan dengan lidah,
malah maksudnya ialah mewujudkan rasa keterharuan ketika menyebutnya atau tanpa
menyebutnya. Dan melahirkan rasa keinsafan dan kesedaran terhadap Allah s.w.t
dan kewujudanNya dan terus terpengaruh dengan perasaan ini hingga membawa
kepada ketaatan dalam batasnya yang paling hampir dan membawa kepada melihat
Allah s.w.t yang Maha Esa sahaja dan tiada sesuatu yang lain dari Allah bagi
mereka.”
-
Bersyukur
kepada Allah itu mempunyai tahap dan darjatnya. Ia bermula dengan mengakui
limpah kurnia Allah dan merasa segan dan malu untuk melakukan perbuatan maksiat
terhadapNya dan berakhir dengan mengikhlaskan kesyukuran kepadaNya dan
menyatakan kesyukuran itu dalam setiap pergerakan tubuh badan, pertuturan
lidah, degup jantung dan setiap ingatan hati. Maka tujuan dari larangan
bersikap kufur terhadap Allah disini ialah untuk mengingatkan kepada akibat
yang akan berakhir apabila manusia tidak
mengingati Allah s.w.t dan bersyukur kepadaNya dengan sewajarnya. Ia memberi
amaran bahawasanya penghujung hidup manusia itu akan bersifat amat malang
sekiranya kehidupan mereka itu tidak dihiasi dengan mengingati Allah dan
bersyukur kepadaNya.
-
Orang yang
mengingati Allah dengan mentaatiNya, Allah akan mengingatinya dengan
bantuanNya. orang yang ingat Allah pada masa lapang hidupnya dan sedang
menikmati rezekiNya, Allah akan mengingatinya ketika kesusahan dan kemalangan
menimpanya. Orang yang mengingati Allah dan beriman serta mentauhidkanNya,
Allah akan mengingatinya dengan menjanjikan Syurga dan keredhaanNya. Orang yang
mengingati Allah dengan berhati ikhlas,
Allah akan melapangkannya pada waktu kesempitan. Seterusnya, mengingati Allah
dengan sepenuh hati serta berdoa, InsyaAllah akan dikurniakan segala yang
dipinta.
[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 559-560
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 560
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 561
[4] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 30. Ada pendapat mengatakan hikmah itu adalah sunnah
nabawiyyah.
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 562
[6] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 143
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 563
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 564
[9] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 37
[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 566