Thursday, December 10, 2009

KALAU PHD JADI UKURAN....

Kalau PHD Jadi Ukuran, Lebih Baik Setuju Dengan Ulama Syiah Di Iran..

Thursday, December 10, 2009

Sudah lama tidak menulis di dalam laman saya ini. Memang saya akui tahun ini agak sibuk berbanding tahun sebelum ini. Kelas pengajian, kerja-kerja persatuan dan masa untuk saya menulis agak terbatas. Namun itu bukannya alasan untuk menafikan bahawa penulisan melalui internet juga merupakan satu wasilah utama untuk menyampaikan dakwah yang tidak boleh untuk dipandang ringan. Malah tertarik ketika membaca Akhbar al-Liwa’ al-Islami bilangan ke 1454 yang bertarikh 16 Zulhijjah 1430 Hijriyah bersamaan 3 Disember 2009 yang mana memuatkan pendapat dan saranan para ulama al-Azhar al-Syarif untuk menggunakan ruang internet sebagai salah satu medium dakwah. Malah mereka mengatakan bahawa ini adalah salah satu cabang jihad yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak termasuk para ulama. Al-Syeikh Dr Muhammad Abu Lailah , salah seorang ahli Majlis Penyelidikan Islam Mesir dan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam al-Azhar al-Syarif mengatakan bahawa sudah menjadi kewajipan pada zaman sekarang untuk menyusun dan membina generasi mujahid di dalam bidang elektronik ini.

Alhamdulillah, Moga Allah taala memasukkan saya dan sahabat-sahabat semua di dalam generasi pelapis perjuangan tersebut aminn.

Tapi bilamana membaca ruangan sembang yang saya sediakan disebelah ini, hati ini kadang-kadang tertawa melihat sebahagian manusia yang mana mereka ini merasakan bahawa diri mereka sahaja yang benar malah tanpa segan silu mengeluarkan istilah-istilah yang mereka sendiri keliru penggunaannya. Digunakan istilah “kritikan” untuk sesuatu yang bermaksud kasar dan kurang adab. Malah cuba untuk menggunakan istilah “nasihat” supaya nampak lebih molek.

Pokok masalahnya adalah satu sahaja. Bilamana orang yang mereka sanjung dikritik dan ditegur maka mulalah melenting dan mencari-cari apa perkara yang boleh untuk kami hujum kembali peribadi si penulis ini. Bilamana saya dan sahabat-sahabat membaca apa yang mereka tulis dan kononnya menjawab penulisan yang saya tulis ini , terus terang saya katakan bahawa tiada apa-apa hujah sebenarnya yang dikeluarkan. Cuma tuduhan-tuduhan seperti “ taasub” dan istilah-istilah sebegitulah yang digunakan berulang-ulang kali.Rujuk kembali tulisan saya apakah yang dimaksudkan dengan taasub yang sebenar. Jangan hanya pandai guna istilah namun tidak tahu maksud sebenarnya. Nanti jelas pekung di dada.

Oleh sebab itulah saya pernah menulis sebelum ini permasalahan “salah faham dan salah guna istilah” yang berleluasa sekarang. Bilamana kita mengkritik dan menegur maka ini dikatakan tidak seperti memberi nasihat. Tetapi bilamana , “Guru” mereka yang cukup mereka sanjung itu mengkritik para ulama yang muktabar, maka perkataan mengkritik tersebut terus ditukar menjadi satu penilaian ilmiyah dan kalimah-kalimah “ ulama tidak ma’sum” mula kedengaran di sana sini.

BELAJAR TAK HABIS JANGAN PANDAI KRITIK ORANG LAIN

Ini salah satu bahasa yang digunakan. Cukup menarik. Namun terselit kejahilan.Inikah bahasa orang-orang yang “sudah belajar habis”??

Saya mengakui, pemikiran masyarakat sekarang yang lebih meletakkan bahawa pangkat dan kelulusan itu lebih utama berbanding ilmu sebenar sudah semakin membarah.

Saya tidak menafikan bahawa pangkat dan kelulusan itu penting pada zaman sekarang. Namun jangan dijadikan sandaran utama untuk menilai seseorang. Jangan disangka semua yang mempunyai pangkat kedoktoran itu sudah menggunung ilmunya kalau sekadar tesisnya telah dinilai dan disemak oleh 3 atau 4 orang doktor yang lain bagi meletakkan sesuatu pangkat. Malah bukanlah semua bidang ilmu dibahaskan, cuma tajuk tertentu yang dipilih.

Kalau begitu, saya juga ingin membandingkan dengan karya al-Imam Syamsuddin al-Ramli rahimahullah yang telah mengarang kitab Nihayatul Muhtaj yang telah disemak hampir 400 orang ulama terkemuka pada zaman tersebut. Mana nilai doktor sekarang jika dibandingkan dengan nilai karangan para ulama terdahulu??

Risalah Doktor yang ditulis pula terkadang tidak memakan masa yang lama untuk penilaiannya, mungkin selama 3 sehingga 4 tahun sahaja maka sudah cukup untuk mendapat gelar Doktor PHD. Mana nilainya jika dibandingkan dengan karya yang ditulis oleh al-Imam al-Bukhari rahimahullah yang telah menyusun Sahih al-Bukhari selama hampir 16 tahun barulah dikeluarkan. Al-Imam Malik bin Anas rahimahullah , menyusun kitab al-Muwatta’ juga memakan masa selama 16 tahun. Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah mengelilingi dunia dua kali semasa penyusunan kitab Musnadnya dilakukan.Setelah dua kali mengelilingi dunia , barulah kitabnya dikeluarkan. Ini seperti yang diceritakan oleh al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah di dalam kitabnya al-Saidu al-Khatir. Mana nilainya risalah PHD yang ditulis jika dibandingkan dengan karangan ulama terdahulu??

Sebab itulah saya katakan, jangan suka membandingkan. Jika membandingkan maka jelas nampak kejahilan kita dalam berbicara.

Perkataan “ tunggu habis belajar dahulu baru boleh berbicara” juga satu perkara yang perlu dinilai semula. Persoalan saya, bilakah akan “habis belajar” ?

Adakah golongan yang menilai habis belajar tersebut dengan sekadar tahun-tahun di Kuliyyah dan sekadar habiskan sejumlah kitab untuk mengatakan bahawa orang tersebut sudah habis belajar??

Guru Kami yang mulia al-Allamah Dr Yusri Rusydi hafizahullah mengatakan bahawa :

“ Ilmu sebenar adalah nur yang terpancar daripada huruf-huruf di dalam kitab. Ilmu sebenar adalah ilmu yang diamalkan dan padanya mengeluarkan natijah taqwa kepada Allah taala”.

Adakah golongan sebegini ingin menafikan kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam yang bersabda :

بلغوا عنى ولو آية

Maksudnya : Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walaupun satu ayat.

Baginda tidak menyebutkan pula pada ketika tersebut bahawa “ bila sudah habis belajar” ,mendapat Degree atau pangkat tertentu barulah sampaikan ilmu. Malah hadis ini umum. Golongan sebegini , kalau tidak kena dengan kehendak mereka maka mereka akan katakan bahawa hadis ini punya pengkhususan pada golongan tertentu. Bukan kepada semua golongan. Nabi sallallahu alaihi wasallam menyebutkan perkara ini ketika Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan) di hadapan sahabat Baginda ridwanullah alaihim ajma’in. Malah ketika tersebut, ada sahabat yang baru sahaja memeluk Islam. Tidak pula Baginda meletakkan khusus untuk golongan tertentu menyampaikan ilmu.

Apa yang penting ialah benar atau tidak penyampaian tersebut. Jika tidak benar tunjukkan tempatnya. Jangan sekadar menuduh mengatakan bahawa “ ini sesat” , “ini bid’ah” dan lain-lain ayat untuk melepaskan diri.

Kita tidak akan mengkritik jika penyampaiannya benar menurut jumhur. Namun jika sengaja mencari jalan masyhur dengan memilih pendapat bertentangan dengan jumhur maka jangan salahkan orang ramai yang menolaknya. Koreksi semula diri sendiri kenapa kita ditempelak??

Saya hargai perhatian golongan sebegini. Namun saya ingin berpesan sekali lagi. Berhujahlah dengan fakta dan ilmu yang jelas. Jangan berbasa-basi. Jangan penuhkan ruangan sembang tersebut dengan nafsu yang dianggap iman.

Kalau PHD yang menjadi ukuran ilmu seseorang, sebaiknya para ulama Syiah di Iran lebih utama untuk kamu semua jadikan ikon kerana untuk mendapat gelar Ayatullah kita melihat ada di antara mereka yang punya PHD sehingga 3-5 dan punya Master juga dalam jumlah yang sama. Bayangkan seorang Ayatullah punya 3-5 PHD?? Sebab itulah saya mengatakan PHD bukanlah menentukan seseorang itu benar atau tidak..

Nasihat saya , kembalilah kepada pemahaman jumhur ulama. Tinggalkan perkataan-perkataan kamu yang mengatakan bahawa " perkara ini tidak ada dalil" , " perkara ini Nabi tak buat".. Tidak lain, yang mengeluarkan kalam sebegini tanpa mengkaji kebenarannya adalah golongan yang tertipu dengan diri sendiri.. Sama-sama kita muhasabah.. Kita menyuruh orang menerima nasihat..kita juga jangan lupa untuk mendengar nasihat.. Ingat tu!!

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff dan Masjid al-Asyraff,
Pejabat MKKK Hayyu Sabie'
Kaherah Mesir