بسم الله الرحمن الرحيم
1- Ayat 44:
- Seterusnya ayat ini diturunkan keatas kaum yahudi, merupakan suatu pertanyaan yang mengandungi kecaman, sambil mengeji ke atas pekerti mereka. Ini adalah kerana sebelum dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w, mereka pernah memberitahu kepada orang-orang arab di Mekah tentang kebangkitan seorang nabi dengan menyebutkan pula sifat-sifatnya mengikut isi kitab Taurat yang mereka baca bahkan menyuruh orang ramai agar beriman kepadanya.
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata “Walaupun pada asalnya membicarakan keadaan yang berlaku dikalangan bani Israel, tetapi saranannya tetap kekal ditujukan kepada hati umat manusia seluruhnya terutama kepada ahli-ahli agama khususnya. Ini adalah penyakit kepada ahli-ahli agama apabila agama itu telah menjadi suatu pekerjaan atau perusahaan bukannya aqidah yang hangat dan menimbulkan semangat. Mereka menyuruh orang ramai berbuat kebaikan, tetapi mereka sendiri tidak melakukannya. Mereka menyeru orang ramai kepada ketaatan, tetapi mereka sendiri abaikan. Mereka mengubah kalam Allah dari tempat yang sebenar. Mereka berbuat begitu dengan tujuan untuk membela kepentingan serta kehendak hartawan atau orang-orang yang berkuasa sebagaimana yang dilakukan oleh ketua-ketua agama yahudi.[1]”
- Dengan ayat ini hendaklah dijadikan iktibar kepada kaum muslimin yang mana janganlah menjadi orang yang menyuruh kepada kebaikan serta berbuat kebajikan sedangkan kewajiban diri sendiri sering dilupakan. Thabit dengan hadith Rasullullah s.a.w yang diriwayatkan oleh imam al-Baghawi yang bermaksud[2]:
Dari Anas, ia berkata telah bersabda Rasullullah s.a.w: “Aku telah melihat pada malam isra’ yang aku diisra’kan, ada satu kaum menggunting-guntingkan bibir mereka dengan gunting yang diperbuat daripada api neraka”. Aku bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Jibril?” Jawab Jibril: “Mereka adalah ahli pidato dari umat tuan hamba. Mereka menyuruh ornag berbuat kebajikan dan mereka melupakan diri sendiri, sedangkan mereka membaca kitab Allah, tiadakah mereka berakal?”
2- Ayat 45:
- Seterusnya Allah s.w.t menganjurkan kepada hambanya agar sentiasa memohon pertolonganNya dengan mengurniakan sifat kesabaran di dalam melaksanakan sebarang pekerjaan serta mengurniakan keteguhan hati di dalam menunaikan ibadat sembahyang. Ibadah sembahyang secara realitinya hanya dapat disempurnakan dengan banyaknya kesabaran. Itulah sebabnya didalam ayat ini didahulukan kalimah al-Sabr dari kalimah al-Solah kerana pentingnya sifat tersebut dan amat mustahak dimiliki oleh semua manusia.
- Al-Qur’an menganjurkan kepada semua manusia supaya mencari pertolongan dengan bersabar dan mendirikan solat. Al-Qur’an menuntut khususnya kaum yahudi mengutamakan kebenaran yang diketahui oleh mereka dari kedudukkan istimewa yang mereka nikmati di Madinah. Ini adalah pendapat yang mengatakan makna al-Solah itu adalah hukum Syar’iyyah.[3] Juga supaya mereka bergabung didalam angkatan iman kerana mereka sendiri berdakwah kepada orang-ramai supaya beriman. Semua ini memerlukan kekuatan, kebenaran, keikhlasan dan pertolongan dari sifat sabar dan mendirikan solat.
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata “Dakwah supaya mencari pertolongan dengan kesabaran itu seringkali diulang-ulangkan kerana kesabaran itu merupakan bekalan yang perlu untuk menghadapi segala kesulitan, dan kesulitan yang paling sukar adalah kesulitan menurunkan diri dari kepimpinan dan kesulitan mengorbankan faedah dunia untuk menghormati, mengutama, mengakui dan mematuhi kebenaran. Adapun mencari pertolongan dengan mengerjakan sembahyang adalah kerana sembahyang itu ialah perhubungan dan pertemuan diantara hamba dengan Allah s.w.t. Dari perhubungan inilah hatinya mendapat kekuatan, ruhnya menikmati hubungan dan jiwanya mendapat bekalan yang lebih berharga dari segala harta kekayaan dunia. Kebiasaannya Rasullullah s.a.w apabila menghadapi sesuatu kesulitan beliau akan terus mendirikan sembahyang[4] sedangkan beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah s.w.t dan ruh beliau sentiasa bersambung dengan wahyu dan ilham daripada Allah s.w.t. Oleh itu solat yang menjadi matair yang melimpah ruah ini dapat ditimba oleh setiap orang mu’min yang berkehendak kepada bekalan didalam perjalanan umpama berkehendakkan air untuk menghilangkan dahaga dihari yang panas, berkehendakkan bantuan ketika putus bantuan serta berkehendakkan modal ketika kehabisan modal[5].”
- Ada juga pendapat yang mengatakan makna al-Solah itu adalah doa, iaitu meminta tolong dengan sabar serta berdoa,[6] sepertimana firmanNya[7]:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيراً لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! apabila kamu memerangi sesuatu pasukan (musuh), maka hendaklah kamu berteguh hati (dalam menghadapinya) dan sebutlah (nama) Allah (serta berdoa kepadaNya) sebanyak-banyaknya supaya kamu berjaya (mendapat kemenangan)”
Ini adalah kerana al-Thibat itu adalah sabar dan al-Zikr itu adalah doa.
- Mujahid pula berpendapat bahawa makna al-Sabr itu adalah puasa sebab itu dikatakan bulan Ramadhan itu adalah bulan kesabaran. Maka mengikut pendapat ini maka jadilah makna al-Sabr dan al-Solah itu berkaitan kerana puasa itu menahan syahwat serta meninggalkan kenikmatan dunia dan solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar[8].
- Dan ayat ini juga boleh menjelaskan kepada kita bahawa ibadah sembahyang itu adalah amat berat untuk dipikul serta berat untuk dipraktikkan kerana banyak syarat-syaratnya merangkumi rukun-rukun serta perkara-perkara yang membatalkannya, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ yakni taat dan takut kepada Allah s.w.t. Sembahyang itu sebenarnya merupakan ibadat yang ringan dan mudah apabila seseorang itu merasakan kelazatannya dan mula merasa ketagihannya. Ini adalah kerana dengan sembahyang yang penuh dengan khusyu’ itu, telah berasa dirinya benar-benar dihadapan Allah s.w.t dan terasa aman dan tenteram jiwanya.
3- Ayat 46:
- Ayat ini pula merupakan sambungan daripada ayat terdahulu menceritakan ciri-ciri orang yang khusyu’ itu adalah mereka yang yakin dengan sebenar-benarnya bahawa mereka akan berjumpa dengan Allah s.w.t dan sudah pasti kepada Allah s.w.t mereka akan dikembalikan. Maka tidaklah menjadi suatu perkara yang menghairankan bagi orang yang khusyu’ dalam sembahyang akan merasakan kelazatan kerana dirasanya diri mereka benar-benar berhadapan dengan Allah s.w.t.
4- Ayat 47:
- Dalam ayat ini sekali lagi Allah s.w.t memberi peringatan kepada kaum bani Israel akan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada mereka sebagai mana yang telah disebut pada ayat ke 40 dahulu. Bahkan Allah s.w.t menyatakan keagungan sejarah mereka kerana banyaknya nabi dan rasul yang dibangkitkan oleh Allah s.w.t dari kaum bani Israel yang mana perkara sedemikian tidak berlaku kepada umat-umat yang lain sebelumnya mahupun selepasnya[9]. Dikalangan mereka juga banyak yang menjadi pemimpin-pemimpin besar dunia yang menakluk dan memerintah serta dikalangan mereka juga banyak terdapat ramai ahli falsafah dan cerdik pandai.
- Al-Qur’an sendiri menyebut 10 keistimewaan bani Israel yang telah Allah kurniakan kepada mereka[10]:
i. Diselamatkan daripada kekejaman Fir’aun
ii. Laut Merah terbelah dua, hingga dapat mereka lalui untuk menyelamatkan diri dari dikejar Fir’aun dan tenteranya
iii. Orang yang mati disambar petir, lalu Allah s.w.t menghidupkan mereka semula
iv. Allah s.w.t menyelubungkan awan keatas mereka dari panas matahari ketika mereka terperangkap sesat dipadang pasir.
v. Allah s.w.t mengurniakan mereka al-Manna iaitu sejenis manisan
vi. Allah s.w.t mengurniakan mereka al-Salwa iaitu sejenis burung untuk makanan
vii. Allah s.w.t memaafkan mereka diatas perbuatan mereka menyembah anak lembu ketika nabi Musa a.s pergi bermunajat.
viii. Allah s.w.t member keampunan bagi mereka ketika mana mereka berseru memohon keampunan
ix. Allah s.w.t menurunkan kitab Taurat keatas nabi Musa a.s sebagai panduan hidup kaum bani Israel
x. Allah memancarkan 12 mata air untuk minuman mereka ketika mereka kehausan di padang pasir
5- Ayat 48:
- Seterusnya Allah s.w.t memperingatkan kepada hambaNya supaya takut kepada hari akhirat, yang mana hari itu tidak seorang pun yang boleh menjadikan dirinya sebagai pengganti kepada orang lain dalam sebarang urusan atau perkara. Semua manusia tidak akan mendapat kesempatan untuk mengemukakan jaminan orang ataupun jaminan harta seperti kebiasaan yang mereka lakukan didunia ini. Tidak seorang pun akan mendapat keringanan disebabkan bapanya wali mahu pun nabi. Begitu juga tidak seorang pun akan mendapat keringanan dengan sebab anaknya orang besar mahupun menteri. Hari yang tiada manfaat harta-harta dunia kerana tiada satu sen pun boleh menebus dosa-dosa yang telah dibuat sepertimana firmanNya[11]:
يَوْمَ لا يَنْفَعُ مَالٌ وَلا بَنُونَ (88) إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89)
Bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah s.w.t dengan hati yang selamat sejahtera” (yakni selamat daripada syirik dan penyakit nifaq)
[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 246.
[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 74, Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 74.
[3] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 253
[4] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 75. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 253
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 250
[6] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 86
[7] al-Anfal, 45.
[8] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 253
[9] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 256
[10] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 80
[11] al-Syu’ara’, 88-89