Wednesday, May 16, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 135-137)


بسم الله الرحمن الرحيم

1.       Ayat 135:
-         Ayat ini ditujukan kepada ketua-ketua kaum Yahudi seperti Ka’ab b. Asyraf, Malik b. Saif, Wahab b. Yahuda dan Abi Yasir b. Akhtab. Begitu juga ayat ini ditujukan kepada ketua-ketua kaum Nasrani dari Najran seperti As-Sayyid dan al-‘Aqib beserta rombongannya[1]. Mereka ini masing-masing menyeru kaum mu’minin agar mengikut agama mereka kononnya agama merekalah yang mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t memerintahkan Rasullullah s.a.w membalas dakwaan mereka dengan mengatakan :
بَلْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفاً وَمَا كَانَ مِنْ الْمُشْرِكِينَ
Bermaksud : “ Bahawasanya agama Ibrahim yang patut dicenderungi dan bukanlah dia dari golongan Musyrik (menyekutukan Allah s.w.t)”
Secara jelasnya ayat ini menggambarkan bahawa agama nabi Ibrahimlah yang sebenarnya patut dicenderungi dan diikuti disebabkan nabi Ibrahim bukan dari golongan orang yang menyekutukan Allah s.w.t seperti mereka (kaum Yahudi dan Nasara)
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2] : “ Kaum Yahudi berkata: Hendaklah kamu anuti agama Yahudi agar kamu mendapat hidayah dan kaum Nasara pula berkata: Hendaklah kamu anuti agama Nasrani agar kamu mendapat hidayah. Allah s.w.t satukan perkataan dua kaum ini untuk mengarah Rasullullah s.a.w supaya menghadapi seluruh mereka dengan satu jawapan sahaja. Maka jawablah (wahai Muhammad): Sebenarnya kita , ya’ni kami dan kamu sepatutnya pulang kepada agama Ibrahim moyang kami dan juga moyang kamu. Iaitu agama yang menjadi pokok pangkal agama Islam dan agama Ibrahim yang telah berjanji dengan Allah s.w.t untuk mematuhinya. Dan beliau bukanlah daripada golongan musyrikin, sedangkan kamu berpegang dengan kepercayaan syirik.”
-         Mengapa orang Yahudi dan Nasara tergolong dikalangan mereka yang syirik kepada Allah s.w.t sedangkan mereka juga mengaku tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t dan pengakuan ini sama sahaja dengan pengakuan orang-orang Islam. Kaum Yahudi dianggap syirik kerana mereka tunduk kepada kitab Taurat  yang telah diubah oleh pendita dan paderi mereka yang tidak tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t serta hukumNya dalam erti kata yang sebenar. Kaum Nasrani pula dianggap syirik kerana percaya bahawa Tuhan itu terdiri daripada 3 unsur. Walaupun terdapat sebahagian mazhab Nasrani yang beranggapan bahawa Tuhan itu hanya satu tetapi dengan menganut agama itu telah secara automatik dianggap syirik kerana telah menolak ajaran nabi Muhammad s.a.w dan mengikut ajaran paderi yang bertentangan dengan Islam.
-         Dewasa ini perbuatan syirik itu lebih besar dan hebat lagi kalau hendak dibandingkan dengan perbuatan syirik yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasara dahulu. Zaman sekarang, walau pun lidah mengucap dua Kalimah Syahadah tetapi tunduk dengan enakmen Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri yang bertentangan dengan Islam. Perkara ini di anggap lebih syirik lagi sebab ketundukkan kaum Yahudi dan Nasara adalah kepada peraturan yang direka oleh alim ulama’ mereka dari golongan paderi dan pendita. Tetapi di dalam Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri berlaku percampuran pemikiran antara orang Islam dan orang barat yang kafir dan akhirnya melahirkan peraturan atau undang-undang yang bertentangan dengan Islam. Justeru, kepatuhan kepada peraturan kedua-dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sekiranya kedua-dua dewan ini jelas bertentangan dengan syari’at Islam adalah lebih syirik lagi jikalau hendak dibandingkan dengan ketundukkan Yahudi dan Nasara kepada peraturan paderi dan pendita mereka yang asalnya faham tentang agama mereka. Inilah perkara yang amat wajib diperbetulkan.
-         Oleh sebab itu perlu difahami sungguh-sungguh pengertian Islam yang sebenarnya sepertimana firman Allah s.w.t yang berbunyi[3] :
فَلا تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Bermaksud: “ Maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”
-         Beerti hendaklah kita menyerah diri kepada Allah s.w.t bukan sahaja ketika beribadah sahaja, ketika memerintah negara pun (sekiranya diamanah untuk memikul tugas itu) kita juga menyerah diri kepada perintah Allah s.w.t yang telah dirakamkan dalam al-Quran. Sekiranya kita menyerah diri kepada peraturan yang jelas bertentangan dengan Islam, kita sudah jelas mensyirikkan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain. Dizaman dahulu terdapat orang Islam yang melakukan upacara “Semah” iaitu sebuah upacara pemujaan hantu laut kononnya. Mereka menyembelih kerbau dan kemudian menghanyutkan kepalanya ke laut serta dagingnya dibuat lauk-pauk untuk kenduri makan beramai-ramai. Hal ini demikian kerana kepercayaan bahawa hantu laut itu boleh memperbanyakkan hasil tangkapan nelayan dan tindakan sebegini diiktiraf disisi mereka sebagai ikhtiyar. Walaupun yang melakukan perkara sebegini ialah daripada mereka yang sembahyang dan yang mengucap dua Kalimah Syahadah, tetapi ianya tetap dianggap syirik atas dasar kepercayaan mereka bahawasanya ada sesuatu yang boleh menambah dan mengurangkan rezeki seseorang selain daripada Allah s.w.t. Perbuatan yang seumpama dengan itu walaupun tidak dipanggil dengan nama “Semah” dianggap syirik juga atas dasar menduakan Allah s.w.t. Oleh itu perlu difahami, antara pengertian Islam yang sebenar, bahawasanya semua rezeki yang diterima oleh manusia adalah datangnya daripada Allah s.w.t.
-         Walaupun pada zahirnya memang jelas kelihatan manusia atau pun golongan yang tertentu memberi “benda”, tetapi umat Islam tidak boleh sama sekali memutuskan hubungannya dengan Allah s.w.t dari segi keimanan dan kepercayaan yang membawa kefahaman bahawasanya hanya Allah s.w.t sahaja punca segala rezeki. Kalau dilihat para paderi-paderi Kristian dan Yahudi sekali pun sentiasa beribadah di biara atau gereja mereka dengan tasbih memuji dan memuja Allah dalam menyelesaikan masalah kehidupan mereka. Bagaimana pula keadaan manusia yang mengucap dua Kalimah Syahadah tetapi tidak pernah kenal rumah Allah kemudian dalam masa yang sama memuja sesuatu yang lain daripada Allah dan mencari jalan penyelesaian yang jauh menyimpang dari jalan yang diberi hidayah oleh Allah s.w.t kepada hambaNya yang soleh.
-         Ayat ini juga menjelaskan bagaimanakah dikatakan bahawa nabi Ibrahim a.s itu tidak syirik. Ini adalah kerana beliau tidak tunduk kepada bapanya Azar dan raja Namrud yang berkuasa ketika itu. Hal ini demikian kerana keyakinan beliau bahawasanya yang paling berkuasa menentukan hidup mati manusia dan yang memberi rezeki ialah Allah s.w.t bukannya raja Namrud. Justeru, dalam membersihkan diri daripada sifat syirik kepada Allah s.w.t hendaklah mempercayai dengan sungguh-sungguh bahawa Allah s.w.t yang memberi rezeki dan janganlah kita takut melainkan kepada Allah s.w.t secara mutlaq kerana yang paling berkuasa adalah Allah s.w.t. Inilah makna Islam yang ditunjukkan oleh nabi Ibrahim a.s yang tidak syirik kepada Allah s.w.t

2.       Ayat 136:
-         Ayat ini secara tegasnya memberi penjelasan dan penerangan kepada kaum Yahudi dan Nasrani tentang asas keimanan Islam yang berlainan dengan keimanan palsu mereka. Penjelasan itu berbunyi bahawasanya “Kami telah beriman dengan Allah dan beriman dengan semua kitabNya samada diturunkan keatas nabi Muhammad s.a.w (al-Quran) atau pun keatas nabi-nabi sebelumnya seperti Zabur, Taurat, Injil dan lain-lain. Tidak kami beza-bezakan seseorang pun diantara mereka. Semuanya benar menjadi pesuruh Allah s.w.t yang wajib kami percaya kepadanya. Tidaklah kami disuruh mempercayai sebahagian daripada mereka dan mengingkari yang lain seperti halnya berlaku kepada kaum Yahudi dan Nasara yang mana mereka percaya kepada nabi yang diutus kepada mereka sahaja dan mengingkari nabi umat lain. Padahal semua mereka itu adalah pesuruh Allah s.w.t, pembawa agama benar, yang wajib kita tunduk, patuh serta taat setia kepadanya. Itulah namanya orang Muslimin”  [4]
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “ Kemudian pada ayat al-Quran ini menyeru umat muslimin supaya mengisytiharkan kesatuan agama yang agung dari sejak Ibrahim bapa anbiya’ hingga kepada Musa putera Maryam dan akhirnya kepada agama Islam yang terakhir dan menyeru semua ahli Kitab supaya beriman dengan agama yang satu dan sama ini”. Maksud secara keseluruhan ayat ini ialah kami percaya dengan keseluruhan perkara yang telah disebutkan dalam al-Quran. Sebagai contoh, jikalau al-Quran sebut tentang adanya mati, balasan akhirat, syurga, neraka, arak dan judi haram wajib dipercayai secara total. Sebaliknya jikalau tidak mempercayainya, orang tersebut sudah pasti tidak beriman dengan al-Quran. Dan apabila tidak beriman dengan al-Quran, sekaligus dianggap tidak beriman kepada Allah s.w.t dan pesuruhNya Rasullullah s.a.w kerana rantaian keimanan itu tidak boleh diputuskan antara satu sama lain. Disini juga membuktikan bahawa semua nabi-nabi itu adalah Islam. Dan semua umat Islam wajib beriman dengan semua kitab yang diturunkan kepada mereka yang mana dakwah mereka mengajak manusia kepada menyembah Allah s.w.t secara total dan menjauhkan diri daripada taghut. Inilah satu-satunya dasar dan matlamat yang dibawa oleh semua nabi dan rasul ‘alaihim al-Solah wa al-Salam
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “ Itulah kesatuan agung diantara semua agama Allah dan semua Rasul dan itulah dasar kefahaman dan pemikiran Islam. Dan dasar inilah yang menjadikan umat muslimin sebagai umat pewaris yang mempusakai warisan agama Allah s.w.t dimuka bumi ini. Iaitu agama yang bersambung dengan asal-usul  yang amat tua yang berjalan diatas jalan hidayah dan nur. Dan seterusnya dasar inilah yang menjadikan sistem hidup Islam, iaitu satu sistem sejagat yang membolehkan seluruh manusia hidup dibawah naunganNya tanpa fanatik dan tanpa penindasan. Ia menjadikan masyarakat Islam satu masyarakat yang terbuka kepada semua manusia dimana mereka dapat hidup dalam suasana mesra dan damai”

3.       Ayat 137:
-         Ayat ini menjelaskan hakikat yang agung dan meneguhkan kedudukan orang-orang yang beriman diatas aqidah ini, iaitu hakikat aqidah dan agama itu adalah hidayah. Sesiapa yang mengikut agama ini beerti mendapat hidayah dan sesiapa yang enggan menerimanya maka dia tidak akan tetap dan menetap diatas satu tapak pegangan yang kukuh dan ia akan terus berada dalam keadaan pertentangan dengan berbagai-bagai golongan dan puak yang tidak mempunyai pertemuan diatas sesuatu pegangan yang tetap.
-         Ayat ini juga secara jelasnya menggambar jaminan kepada orang-orang Yahudi dan Nasara yang betul-betul beriman ya’ni tidak menduakan agamanya dan tidak menganggap ada agama lain yang lebih tinggi melainkan agama Islam, nescaya mereka akan mendapat petunjuk[7]. Namun, sekiranya mereka berpaling atau keimanan mereka tidak menepati keimanan yang dikehendakki oleh Islam, maka dengan ini mereka akan terdedah kepada perpecahan dan perbalahan. Memang orang Kafir selamanya tidak bersatu sesama  mereka sepertimana yang telah difirmankan olehNya[8]:
تَحْسَبُهُمْ جَمِيعاً وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى
Bermaksud: “ Kamu menyangka mereka bersatu, pada hal hati-hati mereka berpecah belah”
Begitu jugalah terjadinya jikalau orang Islam tidak mengikut al-Quran dan al-Hadith kelak akan berpecah belah juga sepertimana berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani. Dan jalan penyelesaiannya adalah kembali merujuk kepada al-Quran dan al-Hadith bagi menyelesaikan segala masalah yang hadir.
-         Allah s.w.t telah menurunkan bala kepada kaum Yahudi dan Nasara dengan membiarkan mereka berada dalam perpecahan dan pertelingkahan antara satu sama lain berpunca daripada tidak beriman dan tidak mengikut petunjuk Allah s.w.t. Hal ini demikian kerana petunjuk Allah s.w.t sahajalah yang dapat meletakkan manusia dalam satu saf atau satu golongan yang baik dan mempunyai hubungan erat antara satu sama lain. Sebaliknya tanpa petunjuk Allah s.w.t maka tersisihlah manusia itu dari jalan yang benar dan matlamat untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t itu tidak akan tercapai. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “ Ucapan dan pengakuan ini adalah dari Allah s.w.t. Ia mencurahkan kedalam hati orang yang beriman rasa bangga dengan agama pegangan mereka. Oleh itu merekalah sahaja golongan yang mendapat hidayah. Dan sesiapa yang tidak beriman seperti keimanan mereka, maka beerti dia menentang agama yang benar dan bermusuh dengan hidayah”
-         Seterusnya Allah s.w.t berfirman:
فَسَيَكْفِيكَهُمْ اللَّهُ
Bermaksud: “Maka Allah akan memelihara (daripada mereka) engkau wahai Muhammad
Seterusnya Allah s.w.t memberi jaminan kepada Rasullullah s.a.w supaya Baginda tidak bimbang dengan segala tindakan jahat yang dilakukan oleh kaum Yahudi walaupun mereka tergolong dikalangan ahli Kitab sedangkan pengikut Baginda terdiri daripada mereka yang masih mentah lagi dalam hal agama dan ada yang masih belum pernah membaca kitab. Allah menyatakan Rasullullah s.a.w tidak perlu bimbang keupayaan pengikut dari segi ilmu untuk berdepan dengan golongan ahli Kitab kerana Allah s.w.t akan memelihara Rasullullah s.a.w. Kaum muslimin juga yang mereka (Yahudi dan Nasara) tentang itu akan semestinya dipelihara oleh Allah s.w.t. Buktinya bagaimana Allah s.w.t memelihara kemenangan dan kedaulatan Islam walaupun kaum Yahudi merancang dengan komplot yang tersusun bermula dengan mewujudkan hubungan dengan kaum munafiqin dikalangan para sahabat sehingga sampai ke peringkat menyediakan pasukan Ahzab yang besar untuk memerangi Rasullullah s.a.w. Walaupun begitu Allah s.w.t memelihara Rasullullah s.a.w, para sahabatnya serta umat Islam yang menurut jejak langkah mereka semua daripada tipu daya serta tindakan jahat yang dilakukan oleh kaum Yahudi. Bahkan Allah telah memberi kemenangan kepada Islam dimana tentera Islam berjaya mengalahkan Yahudi kaum bani Quraydzah dan bani Qainuqa’ dengan membunuhnya dan kaum Yahudi bani Nadhir dihalau dan selebihnya dikenakan pula keatas mereka jizyah (cukai atau ufti)[10]. 


[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 189. Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 322
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 467
[3] Al-Baqarah, ayat 132
[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 189
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 468
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 469
[7] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 189
[8] Al-Hasyr, ayat 14
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 470
[10] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 337