الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 22 surah al-Ahzab :
ولما رءا المؤمنون الأحزاب قالوا هذا ماوعدنا الله ورسوله وصدق الله ورسوله ومازادهم إلا إيمانا وتسليما
Maksudnya : Manakala orang-orang yang beriman melihat pasukan Ahzab, mereka berkata : Inilah ia yang telah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya kepada kita. Dan benarlah Allah dan rasulNya, dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan iman dan ketundukan.
Kita baru sahaja bergembira penuh kesyukuran dalam menyambut hari raya eidil fitri setelah sebulan bertarung dengan nafsu untuk berpuasa sebulan Ramadhan. Setelah itu kita sama-sama mengikiskan perasaan cinta dan tamakkan harta dengan sama-sama mengeluarkan zakat untuk memberi kegembiraan dan bantuan kepada saudara seislam yang susah.
Jika pada bulan Ramadhan yang lepas sejarah Islam pernah mencatatkan kemenangan gemilang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w dalam peperangan Badar al-Kubra di mana pertempuran sengit secara berdepan dengan tentera kuffar yang berganda lebih ramai berjaya ditumbangkan oleh tentera Islam. Maka pada bulan Syawal ini sekali lagi tentera Islam mencatatkan kemenangan gemilang di dalam peperangan Khandak atau Ahzab dalam mengalahkan tentera kuffar yang menggabungkan banyak puak dan agama di mana kemenangan ini diperolehi melalui kehebatan strategi, perang saraf ditambah dengan pertolongan Allah s.w.t
Kemenangan ini terus diingati dan disebut-sebut oleh seluruh umat Islam terutama apabila tibanya hari raya dengan laungan وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab).
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Peperangan Khandak yang beerti kubu parit atau pun Ahzab yang beerti tentera bersekutu yang merupakan gabungan banyak puak kuffar dalam melawan tentera Islam di mana peperangan ini telah berlaku pada bulan Syawal tahun kelima hijrah. Peperangan ini disebabkan oleh perancangan jahat yahudi Bani Nadhir yang menghantar beberapa orang pemimpinnya untuk menemui pemimpin musyrikin Mekah bagi merancang gabungan pelbagai puak kuffar untuk menyerang Madinah habis-habisan sehingga ke akar umbi.
Rasulullah s.a.w dan tentera Islam terus bermesyuarat dalam mengatur strategi bagi menghadapi tentera bersekutu kuffar yang begitu ramai berbanding jumlah tentera Islam hanya 3 ribu orang shj. Salman al-Farisi mengemukakan cadangan dengan katanya :” Wahai Rasulullah! Kami di negeri Parsi, apabila kami bimbang untuk menghadapi serangan tentera berkuda maka kami bertahan dengan menggali parit”. Cadangan ini diterima dan ini menunjukkan bahawa ilmu dunia boleh diterima walau dari mana datangnya asalkan tidak bercanggah dengan Islam. Oleh itu tidak salah jika umat Islam belajar cara ketenteraan, pembuatan senjata dan sebagainya dari ilmu dunia yang bermanfaat daripada orang bukan Islam asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Mereka juga mesti dilengkapi dengan ilmu agama terlebih dahulu agar tidak terpengaruh dengan serangan pemikiran yang menyebabkan mereka bukan lahir sebagai pakar ilmu dunia untuk perjuangan Islam tetapi sebaliknya menjadi penentang Islam kerana terpengaruh dengan agama, ideologi dan budaya sesat orang kafir.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Selepas itu Rasulullah s.a.w sendiri dibantu oleh tentera Islam yang lain berganding bahu dalam menggali parit bagi tujuan sebagai kubu pertahanan daripada serangan musuh. Ketika peperangan ini berlaku cuaca agak dingin sedangkan bekalan makanan tidak mencukupi sehingga Abu Talhah mengatakan :” Kami mengadu kebuluran itu kepada Rasulullah s.a.w dan kami tunjukkan batu demi batu yang diikat diperut kami lalu nabi juga menunjukkan dua ketul batu diperutnya”. Tujuan diikat batu ini menurut setengah ulama’ adalah bagi menegakkan tulang belakang yang boleh menahan lapar. Di saat cemas ini maka berlakulah beberapa mukjizat daripada Rasulullah s.a.w untuk menaikkan semangat jihad tentera Islam antaranya makanan sedikit menjadi banyak. Mereka bekerja keras dalam menyiapkan parit ini pada siang hari dan pada waktu malam pula mereka berkawal.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam peperangan ini tidak berlaku pertempuran sengit di mana hanya pertempuran kecil sahaja berlaku iaitu apabila ada tentera kuffar yang cuba melepasi parit akan dipanah. Begitu juga tentera kuffar hanya mampu melepaskan anak panah dari jauh kerana dihalangi oleh parit. Dalam peperangan ini 6 orang muslimin gugur syahid dan 10 orang musyrikin berjaya dibunuh. Peperangan berakhir dengan kemenangan bagi pihak Islam apabila kesatuan musuh berjaya dipecahkan melalui seorang utusan rahsia yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w. Gabungan sekutu kuffar ini saling tidak mempercayai antara satu sama lain hasil daripada peperangan saraf yang dilancarkan itu . Ditambah pula dengan bantuan Allah dengan mendatangkan angin kencang yang menyebabkan tentera bersekutu kuffar berundur dari medan pertempuran. Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Ahzab :
يأيها الذين آمنوا اذكروا نعمة الله عليكم إذ جاءتكم جنود فارسلنا عليهم ريحا وجنودا لم تروها وكان الله بما تعملون بصيرا
Maksudnya : Whai orang-orang yang beriman! Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu iaitu ketika datang kepada kamu bala tentera musuh. Maka Kami kirimkan kepada mereka angin kencang dan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan adalah Allah itu Amat Melihat apa yang kamu kerjakan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Khutbah kedua
Gempa bumi yang berlaku di Padang dan Jambi Sumatera pada 30 september dan 1 oktober baru -baru ini cukup memilukan . Kemusnahan dan kebinasaan akibat gempa bumi yang dahsyat ini sukar untuk dianggar . Musnah harta benda dan binasa segala nyawa .Namun peristiwa sedemikian tidaklah berlaku secara spontan atau hanya fenomena alam sebagaimana yang sering diungkapkan oleh mereka yang tidak beriman kepada Qadha' dan Qadar Allah swt .
Al Quran [ wahyu Allah swt ] telah menegaskan beberapa peringatan yang boleh di dapati dalam banyak surah dan ayat guna membimbing ummat manusia agar beriman , bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah swt .Antara yang menarik sekaligus membuktikan mukjizat al Quran ialah keselarasan ayat quran dengan peristiwa gempa bumi di Padang Sumatera . Gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 september tempohari ialah tepat jam 5.16 pm [ atau jam 17:16 ] dan gegaran kedua berlaku pada jam 5. 58 pm [ atau jam 17 : 58 ] . Sementara esoknya [ 1 Oktober ] jam 8.52 am berlaku gegaran susulan di Jambi .
Apabila kita laraskan masa berlaku gempa bumi dengan surah dan ayat al quran , kita akan temui persamaannya seperti berikut . [ Jam 17 : 16 = Surah ke 17 ayat ke 16 ] [ Jam 17 : 58 = Surah ke 17 ayat ke 58 ] [ Jam 8:52 = Surah ke 8 ayat ke 52 ]
Secara indeksnya surah ke 17 ialah surah al Israa' sementara surah ke 8 ialah surah al Anfaal .
و إذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا
17.16 (QS. Al Israa’ ayat 16): “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”
و إن من قرية إلا نحن مهلكوها قبل يوم القيامة إو معذبوها عذابا شديدا كان ذلك في الكتاب مسطورا
17.58 (QS. Al Israa’ ayat 58): “Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).”
كدأب آل فرعون و الذين من قبلهم كفروا بأيات الله فأخذهم الله بذنوبهم إن الله قوي شديد العقاب
8.52 (QS. Al Anfaal: 52): (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.”
Ayat - ayat di atas jelas menunjukkan azab dan musibah yang Allah swt timpakan ke atas sesebuah negara atau negeri lantaran penghuninya derhaka kepada Allah swt . Ia boleh berlaku dan telah berlaku di hadapan mata kepala kita biarpun jauh di negara orang untuk menjadi iktibar buat seluruh ummat manusia . Ayat - ayat Allah ini merupakan sistem amaran awal yang perlu diambil perhatian oleh seluruh ummat manusia supaya menjauhi segala perbuatan mungkar dan maksiat yang dimurkai oleh Allah swt . Hari ini mungkin Indonesia , tetapi tidak mustahil ia boleh berlaku di negara kita Malaysia pula pada bila - bila [ wali'yazubillah ] jika maksiat dan mungkar makin membarah .
Maka mimbar jumaat hari ini menyeru seluruh rakyat negara ini khususnya negeri pahang agar kembali kepada Islam sekaligus meninggalkan maksiat dan mungkar [ zina , pergaulan bebas , pendedahan aurat , judi , arak , rogol , rompak , samun , rasuah , salah guna kuasa , zalim dan 1001 perkara mungkar ] agar seluruh rakyat dan negara di berkati dan dirahmati oleh Allah swt .