Friday, July 22, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 55-59)

بسم الله الرحمن الرحيم

1- Ayat 55:

- Dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan bagaimana buruknya pekerti kaum bani Israel sebagaimana firmanNya:

يَا مُوسَى لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً

Maksudnya: Hai Musa! kami tak akan percaya kepada engkau sebelum kami melihat Allah berterang-terangan (dengan mata kepala kami)

- Ayat ini, dihuraikan oleh al-Mufassirin bahawasanya Allah menyuruh nabi Musa a.s memilih 70 orang dari kaumnya[1] yang baik-baik untuk dibawanya ke bukit Thursina bagi memohon keampunan Allah keatas setengah kaum mereka yang menyembah patung anak lembu. Perintah ini dilaksanakan oleh nabi Musa a.s dengan mengajak 70 orang dari kaumnya yang terpilih, disuruh mereka berpuasa, kemudian mensucikan diri dan berpakain yang bersih lalu pergi ke bukit Thursina[2]. Ketika mana sampainya mereka disana, mereka meminta kepada nabi Musa a.s supaya dapat mendengar firman Allah. Dipendekkan cerita, Allah s.w.t memperdengarkan firmanNya kepada mereka yang ertinya kira-kira demikian:

“Aku adalah Allah. Tiada Tuhan melainkan Aku. Aku keluarkan kamu dari bumi Mesir dengan kekuasaan kudrat, oleh itu sembahlah Aku dan jangan kamu menyembah yang lain”

- Apabila selesai mendengar firman Allah s.w.t, mereka meminta pula untuk melihat Allah secara terang-terangan sebagaimana ayat diatas tadi. Kehendak mereka itu adalah semata-mata bertujuan untuk menghina Allah s.w.t dengan tujuan untuk diserupakan Allah s.w.t dengan makhluk yang lain. Maha suci Allah s.w.t dari yang sedemikian. Mereka mahu melihat Allah s.w.t berada di hadapan mereka dengan terang dan nyata barulah mereka mahu beriman dan percaya kepada nabi Musa a.s dan Allah s.w.t. Amatlah buruk sifat mereka kerana percaya kepada para rasul adalah wajib selepas dizahirkan mukjizat mereka[3].

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[4]: “ Bukti-bukti yang sedemikian banyak, nikmat-nikmat Ilahi yang melimpah ruah serta nikmat kemaafan dan keampunan Allah s.w.t semuanya masih tidak dapat mengubah tabiat bani Israel yang kasar, tidak beriman melainkan kepada perkara yang dapat disaksikan oleh pancaindera mereka sahaja disamping terus berdegil, menentang dan enggan menurut perintah melainkan dibawah tekanan kesiksaan dan penindasan. Ini menunjukkan bahawa zaman penindasan yang dihayati oleh mereka dizaman fir’aun yang zalim dan kejam itu telah merosakkan fitrah mereka dengan kerosakkan yang amat mendalam. Dan tiada faktor lebih parah yang merosakkan fitrah manusia daripada faktor penindasan yang diwujudkan oleh pemerintahan zalim yang berlanjutan dan berpanjangan masanya. Penindasan itu telah meleburkan sifat kebaikan jiwa manusia, menghancurkan teras-teras dan nilai-nilainya dan menanamkan tabiat hamba didalam jiwa mereka. Akibatnya, mereka menjadi hina dina dibawah tekanan penindasan dan memberontak apabila terangkatnya penindasan itu dan menjadi angkuh apabila berpeluang mendapat nikmat dan kekuatan. Demikianlah tabiat bani Israel disetiap zaman. Oleh sebab itulah mereka menunjukkan kekufuran dan kedegilan seperti ini”

- Jikalau Allah s.w.t nampak jelas dihadapan seseorang, maka tiada bezanya Allah s.w.t dengan pokok kelapa, bukit-bukau, gunung-ganang, lori, keretapi, manusia dan seumpamanya. Tidakkah Allah itu maha Tinggi dan Maha Sempurna yang tiada bandingan dan tandingan serta lemah kita nak berfikir tentang Allah s.w.t. Oleh kerana itulah nabi Muhammad s.a.w melarang kita berfikir tentang zat allah s.w.t sepertimana sabdanya yang bermaksud: “Jangan kamu berfikir tentang zat Allah tetapi berfikirlah kamu tentang makhluk Allah”

- Cukuplah kita menyedari bahawa bertapa lemahnya kita dengan melihat kejadian langit yang tiada bertiang, bumi yang terbentang luas, pohon-pohon kayu yang bermacam-macam bentuk, binatang-binatang yang bermacam-macam jenis dan kejadian manusia itu sendiri. Lemahnya kita yang bernama manusia ini sehinggakan nak memikirkan kejadian makhluk yang dijadikan pun tidak mampu, apatah lagi hendak memikirkan penciptanya.

- Cukuplah bagi kita untuk mengenali Allah s.w.t dengan melihat dalil-dalil dan tanda-tanda bagi wujud Allah s.w.t. Umpamanya tenaga letrik, kita percaya bahawa letrik itu ada dengan kita melihat dalilnya iaitu lampu menyala, kipas berpusing dan sebagainya. Cukuplah itu sebagai dalil bahawa letrik itu ada. Kalau kita memaksa diri kita melihat hakikat letrik itu dengan menggunakan tangan, akhirnya akan membinasakan kita apabila terkena kejutannya.

- Ini adalah masalah makhluk Allah s.w.t. Manakala Allah pula tidak ada tandingan dan bandingan sekali-kali dengan semua kejadian dan hal ehwal makhluk. Bagaimana manusia itu mahu melihat Allah dihadapan mereka sedangkan letrik satu makhluk yang kecil dan remeh temeh, apabila cuba dirasai hakikatnya oleh manusia, nescaya akan binasa. Di dunia ini kita sebagai makhluk yang lemah, ada makhluk yang kita boleh nampak dan ada yang kita tidak berkemampuan untuk melihatnya. Hakikatnya, manusia itu tiada mempunyai persiapan atau persediaan yang sesuai untuk dihampirkan kepada zat Allah s.w.t yang Maha Suci lagi menyalahi dari segala yang baharu. Inilah sebabnya mereka yang mencuba hendak melihat Allah s.w.t dengan terang-terangan itu mati kejang dan terbakar hangus disambar petir. Padahal apakah petir itu? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah makhluk Allah s.w.t jua. Baru sahaja petir ditunjukkan, mereka sudah tidak tahan lalu mati bergelimpangan. Inikan pula minta dipertunjukkan Allah secara berdepan.

- Adapun untuk melihat Allah s.w.t mengikut mazhab ahli Sunnah wa al-Jama’ah, mereka yang ditempatkan didalam syurga itu akan dapat melihat Allah s.w.t dengan cara yang layak dengan kebesaranNya yang tidak terhingga dan tidak ada tolok bandingnya[5]. Dan perkara ini sudah pasti akan berlaku didalam Syurga (yakni selepas alam Mahsyar), bukan didunia. Ini adalah berdasarkan beberapa ayat al-Qur’an sepertimana firmanNya[6]:

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَناً قَلِيلاً أُوْلَئِكَ لا خَلاقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ وَلا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yangmenukarkan janji Allah dan mencabuli sumpah-sumpah mereka dengan harga (keuntungan duniawi) yang sedikit, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah s.w.t tidak akan berkata-kata dengan mereka serta tidak akan memandang kepada mereka pada hari qiyamat dan tidak akan menyucikan mereka (daripada dosa) serta mereka pula akan beroleh azab yang pedih.”

- Dikalangan al-mufassirin mengatakan bahawa apabila mereka disambar petir yang kuat dan berapi itu mereka terus mati sedangkan mereka melihat apa yang berlaku. Hal ini demikian pada masa petir itu berbunyi mereka sedar dan mereka semua memperlihatkannya sepertimana firmanNya:

وَأَنْتُمْ تَنظُرُونَ

- Apabila nabi Musa a.s mendapati kaumnya mati disambar petir[7], maka menangislah beliau dengan amat sedih. Nabi Musa a.s meratapi Tuhannya dan berasa kesal kerana mengenangkan diantara kaumnya yang banyak itu hanya golongan mereka sahaja yang terbaik[8], dan yang terbaik ini pula mati. Beliau meratap dan terus meratap sepanjang hari dan sepanjang malam dengan katanya yang bermaksud: “ Ya Tuhanku, Mereka keluar bersama-samaku ke mari dalam keadaan hidup, kalau Engkau ya Tuhanku hendak mematikan mereka, mengapakah Engkau tidak mematikan sebelum mereka datang.”

2- Ayat 56:

- Akhirnya setelah berlalunya sehari semalam kejadian disambar petir, mereka dihidupkan semula seorang demi seorang seperti sedia kala. Inilah juga antara nikmat yang tiada tolok bandingnya yang dikurniakan kepada bani Israel sekaligus menunjukkan kudrat kekuasaan Allah s.w.t menghidupkan yang mati pada saat dunia belum lagi qiyamat. Allah s.w.t membangkitkan mereka semula agar mereka sedar dan berfikir mengapa pengajaran Allah itu terlalu hebat bagi mereka.

3- Ayat 57:

- Ayat ini seterusnya menceritakan tentang kaum bani Israel yang diperintahkan oleh Allah s.w.t supaya hidup di padang pasir “ al-Tih”. Perkataan ini bermaksud “tempat yang membingungkan orang”. Maka hiduplah mereka dalam kesukaran hidup serta kepanasan yang amat sangat. Lalu Allah s.w.t melindungi mereka daripada panas terik dengan awan. Disamping itu juga diturunkan manisan yang bernama “ al-Manna”. Mengikut riwayatnya “al-Manna” ini turunkan dengan cara berterbangan seperti embun pagi atau salji yang putih ke atas pohon-pohon kayu pada waktu fajar menyinsing hingga terbit matahari lalu dikutip oleh mereka segantang seorang[9]. Dipercayai sekarang ini masih ada lagi diutara negeri Iraq yang bersempadan dengan negara Turki dan Iran bahkan ada dijual dipasar-pasar Iraq.

- Diturunkan juga keatas mereka “al-Salwa” yang merupakan sejenis burung puyuh dan dagingnya lazat dimakan. Tiap-tiap seorang dibenarkan untuk menangkap secukupnya sahaja untuk disembelih dan dijadikan makanan pada hari itu. Kecuali hari Jumaat mereka dibenarkan untuk menangkapnya menyamai kadar makanan bagi dua hari. Hal ini demikian kerana hari Sabtu burung itu tiada diturunkan oleh Allah s.w.t[10]. Serentak itu Allah s.w.t memerintahkan mereka untuk makan daripada makanan yang terbaik tersebut setelah diberi rezeki kepada mereka tetapi sayangnya mereka menolak. Mereka tidak menzalimi Allah s.w.t tetapi mereka menzalimi diri mereka sendiri. Al-Syahid Sayyid Qutb berkata [11]“ Dengan peneduhan awan dan bekalan makanan ini mereka mendapat makanan-makanan yang baik dengan mewah dan tempat tinggal yang rehat. Allah s.w.t telah mengurniakan makanan dan tempat tinggal yang baik kepada mereka, tetapi adakah mereka bersyukur dan menerima hidayah? Kenyataan akhir ayat ini membayangkan bahawa mereka telah bertindak zalim dan kufurkan nikmat Allah s.w.t dan mereka telah menerima akibatnya iaitu mereka telah menzalimi diri sendiri.”

- Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad menjelaskan bahawa mereka menzalimi diri sendiri kerana mereka dilarang menyimpan makanan yang melebihi kadar yang perlu untuk sehari. Tetapi larangan itu telah mereka langgar hingga makanan mereka menjadi busuk[12]. Tidak lain dan tidak bukan mereka menganiaya diri mereka sendiri.

4- Ayat 58:

- Maksud daripada ayat ini bertitik tolak daripada antara keengkaran mereka dengan perintah Allah s.w.t dan memang sebegitulah tabiat dan perangai bani Israel. Sebab kenapa mereka diajar oleh Allah s.w.t dengan sesat selama 40tahun dipadang pasir al-Tih ( tempat mereka hidup dalam kebingungan), adalah sebab mereka engkar dan tidak mahu mengikut arahan Allah s.w.t iaitu berjihad dengan memerangi kaum Jabbarin yang menetap di Bait al-Maqdis.

- Al-Qaryah disini mengikut setengah riwayat ialah Bait al-Maqdis[13], iaitu negeri yang Allah s.w.t telah perintahkan bani Israel supaya memasukinya setelah mereka keluar daripada Mesir[14]. Bermakna Allah s.w.t berikan kepada mereka bumi Palestin sebagai tanah suci yang dikurniakan kepada mereka.

- Tetapi, Allah s.w.t kali ini tidak memberi dengan percuma sepertimana segala pertolongan yang telah diberi kepada mereka sebelum ini. Allah takdirkan di Palestin itu ada satu kaum yang dikenali sebagai kaum Jabbarin. Syaratnya jikalau mahu masuk ke Bait al-Maqdis maka perlulah mereka berperang mengeluarkan kaum Jabbarin yang tinggal disitu. Kaum Jabbarin ini mengikut riwayatnya adalah satu kaum yang gagah perkasa dan mempunyai kekuatan yang hebat. Lalu apabila nabi Musa a.s memerintahkan mereka berperang, mereka berkata sebagaimana yang telah disebutkan dalam al-Qur’an melalui firmanNya[15]:

قَالُوا يَا مُوسَى إِنَّ فِيهَا قَوْماً جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَنْ نَدْخُلَهَا حَتَّى يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دَاخِلُونَ

Maksudnya: “ Mereka berkata: Wahai Musa! dinegeri itu ada satu kaum yang gagah perkasa dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar darinya, dan jika mereka keluar darinya maka kami tetap akan memasukinya.”

- Bila nabi Musa a.s mengajak berjihad, mereka berkata lagi sepertimana yang telah dirakamkan didalam al-Qur’an melalui firmanNya[16]:

قَالُوا يَا مُوسَى إِنَّا لَنْ نَدْخُلَهَا أَبَداً مَا دَامُوا فِيهَا فَاذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami tidak akan memasukki negeri itu selama (kaum itu) berada disana, oleh itu pergilah engkau bersama tuhanmu memerangi mereka dan kami [17]tetap tunggu disini.” Ertinya mereka mahu masuk dengan percuma bukan dengan jihad dan apabila mereka engkar dengan perintah Allah tersebut, mereka disesatkan selama 40 tahun di padang pasir Sinai.

- Inilah dia bani Israel yang dilaknat oleh Allah s.w.t sehingga mereka dihukum hidup mengembara dalam keadaan sesat dipadang pasir selama 40tahun sehingga lahir satu generasi baru yang dipimpin oleh nabi Yusha’ b. Nun yang telah berjaya menawan Bait al-Maqdis dan memasukinya serta berkuasa dinegeri itu.. Allah s.w.t memberi kekuatan kepada nabi Musa a.s dan beliau tidak merasa penat walaupun beliau sesat dipadang pasir tersebut. Akhirnya wafatlah nabi Harun a.s kemudian diikuti dengan nabi Musa a.s serta golongan tua (golongan yang penakut) yang satu generasi bersama-sama nabi Musa a.s pun turut meninggal dunia.

- Generasi baru yang dipimpim oleh nabi Yusha’ ini sebenarnya telah dilantik, ditarbiyyah, ditamrin atau diajar oleh Allah s.w.t melalui penderitaan di padang pasir 40 tahun lamanya. Apabila mereka diberi kemenangan mengalahkan kaum Jabbarin sekaligus menawan kota Bait al-Maqdis[18], maka Allah s.w.t memerintahkan mereka supaya masuk ke dalam kota tersebut dengan menikmati rezeki Allah didalamnya. Allah s.w.t juga memerintahkan mereka supaya sujud atau dalam keadaan ruku’ (mengikut satu riwayat) kepada Allah s.w.t ketika memasuki pintu Bait al-Maqdis.

- Disamping itu Allah s.w.t juga memerintahkan supaya mereka menyebut perkataan “Hittotun” yang mengikut satu riwayat bermaksud “Tiada Tuhan melainkan Allah”. Ada juga riwayat yang lain mengatakan maksudnya ialah ucapan yang meminta supaya Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu. Maka mafhum ayat ke 58 ini setepatnya ialah “sekiranya kamu masuk maka hendaklah kamu dalam keadaan tunduk kepada Allah s.w.t dan berucap dengan ucapan yang diberi keampunan kepada kamu oleh Allah s.w.t. Jika kamu berbuat demikian nescaya Kami akan ampunkan dosa-dosa kamu dan Kami akan tambahkan pahala dan kurniaan orang-orang yang melakukan ihsan (kebaikan)”

- Apakah itu ihsan? Ihsan adalah seperti yang dinyatakan oleh Rasullullah s.a.w apabila ditanya oleh malaikat Jibril a.s yang bertanyakan tentang perkara tersebut. Maka Rasullullah s.a.w menjawab, ihsan itu adalah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat Allah ataupun kamu merasakan Allah sentiasa memerhatikan kamu. Ertinya secara khususnya suruhan ihsan dalam ayat ini adalah kepada bani Israel agar menyembah Allah dalam keadaan merasakan diri mengadap Allah s.w.t.

5- Ayat 59:

- Ayat ini menjelaskan lagi salah satu dari tindakan penyelewengan bani Israel. Mereka telah mengubah perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka dan melakukan perbuatan yang tidak disuruh melakukannya[19]. Lalu tiba-tiba, orang-orang zalim[20] dikalangan mereka telah menukarkan arahan Allah s.w.t kepada arahan yang lain. Mereka masuk dalam keadaan mengensot (mengheret punggung mereka di atas tanah) dengan niat mempersenda-sendakan Allah s.w.t apabila mencapai kemenangan. Boleh jadi dengan sikap yang demikian mereka mempersenda-sendakan Allah atau mempersendakan musuh yang kalah. Ertinya mereka masuk dalam keadaan sombong dan takkabur, bukan dalam keadaan tawadduk, khusyu’ atau merendah diri kepada Allah s.w.t.

- Mereka juga menukar perkataan “Hittotun” kepada “Hindotun” yang beerti gandum dengan niat mempersendakan suruhan Allah s.w.t . Berbeza dengan orang islam dizaman Rasullullah s.a.w apabila Allah s.w.t member kemenangan kepada Rasullullah s.a.w dengan pembukaan kota Mekah, nabi Muhammad s.a.w masuk ke Bandar Mekah dalam keadaan tunduk (khusyu’) dan bersembahyang 8 rakaat sebagai tanda syukur dengan kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t.

- Oleh itu kepada pemimpin-pemimpin dan orang Islam apabila mereka diberi kemenangan oleh Allah s.w.t, adalah sunnah bagi mereka sembahyang 8 rakaat menandakan syukur bukannya bernazar mencukur kepala. Inilah cara yang digambarkan oleh Rasullullah s.a.w melalui firmanNya[21]:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجاً (2)

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّاباً (3)

Maksudnya: “Apabila telah datang kepadamu (wahai Muhammad) pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia itu masuk kedalam agama Allah dalam keadaan berduyun-duyun. Maka mengucap tasbihlah kamu dengan memuji Tuhanmu dan meminta ampunlah denganNya sesungguhnya Tuhanmu itu Maha Pengampun.”

- Kita dianjurkan meminta ampun dengan Allah s.w.t apabila kita menang supaya kita tidak lupa kepada Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi ketika kita kalah, kita mesti tidak lupa kepada Allah s.w.t agar kemenangan ataupun kekalahan yang ditakdirkan kepada kita nanti akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t sepertimana firmanNya[22] :

وَلا تَهِنُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمْ الأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Janganlah kamu merasa hina, jangan kamu merasa dukacita, sesungguhnya kamu adalah tinggi kalau kamu benar-benar beriman”

- Lalu diturunkan seksaan keatas mereka dari langit. Mengikut ahli Tafsir, seksaan tersebut merupakan penyakit taun yang wabaknya telah merebak ke atas kaum bani Israel yang baru sahaja menduduki Bait al-Maqdis sehingga ditaksirkan mangsa wabak tersebut sebanyak 24,000 dan ada riwayat yang mengatakan 70,000 orang dalam satu jam. Ini adalah seksaan serta balasan diatas kederhakaan mereka terhadap Allah s.w.t[23]



[1] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 274

[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 90. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 81

[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 90

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 263.

[5] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 275

[6] Ali Imran, ayat 77

[7] Ada riwayat yang mengatakan mereka pengsan dan hilang perasaan diri tanpa ada perasaan apa-apa lagi.

[8] Ini menunjukkan betapa buruknya akhlak bani Israel ini kerana yang sudah terpilih pun berperangai angkuh tidak mahu beriman melainkan dapat melihat Allah s.w.t secara terang-terangan.

[9] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 91

[10] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 92

[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 265-266

[12] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 93

[13] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 278

[14] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 267.

[15] Al-Ma’idah, ayat 22

[16] Al-Ma’idah, ayat 24

[17] Ertinya masuk dalam keadaan merendah diri kepada Allah s.w.t

[18] Terdapat juga pendapat daripada riwayat Israeiliyyat yang menganggap kaum Jabbarin ini sebagai cerita dongeng. Mereka berkata, yang dimaksudkan dengan kaum Jabbarin ini adalah ‘Out b. al-Naq iaitu seorang manusia gergasi yang tingginya sampai ke awan. Apabila kaum bani Israel masuk ke Palestin, ‘Out b. al-Naq menjunjung bukit dan meletakkannya di atas kepalanya. Selepas itu nabi Musa a.s menggunakan tongkatnya dimana nabi Musa ini ketinggiannya 40 hasta, tongkatnya 40 hasta dan boleh melompat setinggi 40 hasta (kesemuanya 120 hasta). walaupun begitu hujung tongkatnya hanya kena buku lali ‘Out lalu beliau tumbang dan jatuh dengan sebab terkenanya hujung tongkat nabi Musa ke buku lalinya. Inilah dia riwayat Israieliyyat yang tiada kena mengena dengan nas daripada al-Qur’an dan al-Hadith. Tujuan orang-orang Yahudi menceritakan semua ini adalah semata-mata mahu menunjukkan betapa penakutnya mereka. Mereka menceritakan sesuatu yang tidak betul untuk menutup tugas-tugas jihad yang telah dilakukan oleh nenek moyang nereka yang diketuai oleh nabi Yusha’ b. Nun. Riwayat Israieliyyat seperti ini kalau bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Hadith kita wajib menolaknya tetapi sekiranya tidak bercanggah, jika mempercayainya tidak mengapa atau sebaliknya pun tidak mengapa. Tetapi jika bersamaan dengan al-Qur’an dan al-Hadith, wajib kita mempercayainya seperti cerita kaum bani Israel sesat dipadang pasir selama 40tahun.

[19] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 92

[20] Al-Quran hanya menyebut golongan yang zalim sahaja. Ini boleh jadi segolongan mereka sahaja yang bertindak menukarkan perintah itu dan melakukan perbuatan zalim atau boleh jadi al-Qur’an menyifatkan seluruh mereka sebagai zalim belaka kerana perbuatan itu dilakukan oleh seluruh mereka. Lihat Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 269.

[21] al-Nasr, ayat 1-3

[22] Ali Imran, ayat 139

[23] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 95. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 92