Thursday, November 12, 2009

RIWAYAT HAFS B. SULAYMAN AL-KUFI (2)

PENGENALAN IMAM HAFS B. SULAYMAN AL-KUFI

Beliau adalah Hafs b. Sulayman b. al-Mughirah b. Dawud al-Asadi al-Kufi al-Bazaz. Dikenali dengan Hufais dan di gelar juga sebagai Abu ‘Umar. Lahir di Kufah pada tahun 90 hijrah. Di dalam disiplin ilmu al-Qira’at beliau diletakkan sebagai perawi kedua selepas Shu’bah b. ‘Aiyyash bagi imam yang kelima iaitu ‘Asim b. Abu Najud. Walaupun diletak sebagai perawi kedua selepas Shu’bah, beliau dianggap murid yang paling alim dari kalangan murid-murid ‘Asim dalam bidang al-Qira’at sebagaimana yang telah diakui oleh Yahya b. Mu’ain: “ Riwayat yang paling sahih daripada ‘Asim ialah melalui Hafs b. Sulayman”[1]

Abu Hisyam al-Rifa’e dalam menyebut tentang ketinggian ilmu beliau berkata: “Sesungguhnya Hafs adalah paling alim di kalangan murid-murid ‘Asim dalam ilmu al-Qira’at dan beliau sentiasa menjadi rujukan bagi Shu’bah dalam memperbetulkan huruf.”[2] Kenyataan-kenyataan ini tidaklah menjadi sesuatu yang janggal di kalangan para qurra’ kerana beliau sebenarnya adalah anak tiri kepada gurunya ‘Asim[3] dan sudah semestinya beliau mempunyai masa yang banyak bersama gurunya ditambah dengan sifat tekun yang ada padanya, sepertimana kata Ibn al-Munada : “Sesungguhnya beliau (Hafs) membaca dengan ‘Asim berkali-kali”[4]

Diriwayatkan bahawa Hafs pada mulanya merupakan seorang murid yang lemah dalam pelajaran dan terpaksa ‘Asim mengajarnya secara sedikit-sedikit hanya dalam lima ayat dalam satu masa, namun berkat kesabarannya dan gurunya beliau telah menjadi ahli Qira’at yang masyhur. Dengan sebab ketekunan dalam mempelajari dan mengembangkan riwayatnya menjadikan riwayat beliau masyhur dan diterima serta beliau sendiri menjadi rujukan dalam tempoh yang amat panjang selepas ‘Asim meninggal dunia. Beliau meninggal dunia pada tahun 180 hijrah.

PENJELASAN BERSAMBUNGNYA SANAD RIWAYAT HAFS B. SULAYMAN

Imam Hafs mengambil bacaan secara sam’an wa ‘aradan[5] daripada gurunya ‘Asim b. Abi Najud dan ketekunan beliau kepada perkara ini bukan sahaja dimaklumi, bahkan disaksikan oleh ramai ulama’ sehinggakan imam al-Shatibi memuji dan mengiktiraf ketekunan beliau dan merakamkannya dalam syairnya yang berbunyi:[6]

وَحَفْصٌ وَبِاْلإِتْقَانِ كَانَ مُفَضِّلاَ

Maksudnya : “Dan Hafs terkenal dengan tekunnya memperbetulkan bacaan dan beliau sebaik-baik tempat rujukan.

‘Asim adalah salah seorang daripada imam yang tujuh dan juga tergolong dari golongan tabi’in yang mulia. Adapun sanadnya sampai kepada Saidina ‘Ali b. Abi Talib r.a dan ‘Abd Allah b. Mas’ud r.a dan sudah pasti kedua-dua sahabat ini mengambil bacaan daripada Rasullullah s.a.w.

Maka secara telitinya, ‘Asim membaca dari Abu ‘Abd al-Rahman al-Salmi dan al-Salmi membaca dari saidina ‘Ali b. Abu Talib dan Saidina ‘Ali membaca dari Rasullullah s.a.w. sepertimana juga beliau membaca dari Zir b. Hubaish al-Asadi dan Zir membaca dari ‘Abd Allah b. Mas’ud r.a. dan Ibn Mas’ud membaca dari Rasullullah s.a.w.[7]

Diberitakan Hafs pernah bertanya kepada ‘Asim perihal tentang bacaan yang diberi kepadanya mempunyai beberapa perbezaan dengan Shu’bah walaupun mereka berdua mengambil bacaan daripada beliau[8].

Lalu ‘Asim pun berkata : “ Aku membaca kepada engkau daripada apa yang aku ambil daripada Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami daripada Ali b. Abi Talib r.a., manakala aku baca kepada Shu’bah daripada apa yang aku ambil daripada Zir b. Hubaish daripada ‘Abd Allah b. Mas’ud.



[1] Al-LaÍÍÉm, Sa’Êd MuÍammad, (1990) FaiÌ al-RaÍÊm fi QirÉ´Ét al-Qur´Én al-KarÊm, Beirut: ‘Ólimu al-KitÉb, h. 9

[2] Al-QÉÌÊ, ‘Abd al-FattaÍ, (t.t) op., cit., h. 27

[3] Diriwayatkan ÓÎim mengambil ibu ×afÎ yang sudah kematian suami sebagai isteri. Perkara sebegini juga berlaku kepada imam QÉlun dengan gurunya NÉfi’ al-MadanÊ. Lihat Dr. MuÍammad SÉlim MuÍaysin, (1989) op., cit., h.341

[4] Ibid.

[5] Dengar bacaan guru dan baca semula dengan pantauan guru, iaitu kaedah yang paling sempurna dalam mendalami ilmu QirÉ´Ét.

[6] al-ShÉÏibÊ, (1996), op., cit., h. 3

[7] ‘AÏiyyah QÉbil Nasr, (1997), GhÉyah al-MurÊd fÊ ‘lmi al-TajwÊd, cet. 6, Jeddah : Maktabah Kunuz al-Ma’rifah, h. 31.

[8] Dalam kitab al-Nashr hanya menyebut riwÉyat ×afÎ dan Shu’bah sahaja dan kajian ini hanya melibatkan turuq daripada riwÉyat ×afÎ b. SulaymÉn sahaja. Bagi riwÉyat ×ammÉd b. AbÊ ZiyÉd dan Al-MufaÌÌal, sila lihat : HamazÉniy, al-ImÉm al-Muqri’ Abi al-‘AlÉ’ al-×asan bin AÍmad bin ×asan al-, (1993), GhÉyah al-’IkhtiÎÉr fi Qira’Ét al-‘Asyarah ’A’immah al-’AmÎÉr, (tahqiq: Dr. ’Asyraf MuÍammad Fu’ad Ùala‘at), cet. 1, Jeddah: al-JÉmi‘ah al-Khairiyyah li TaÍfÊÐ al-Qur’an al-KarÊm, j. 1, h.76.


RIWAYAT HAFS B. SULAYMAN AL-KUFI

PENGENALAN RIWAYAT HAFS B. SULAYMAN AL-KUFI

PENDAHULUAN

Bacaan al-Qur’an yang dipelajari di Malaysia secara umumnya hanya berkisar di atas garis panduan yang bertepatan mengikut apa yang digambarkan sebagai riwayat Hafs b. Sulayman al-Kufi[1]. Bertepatan di sini bermaksud selari dengan salah satu atau pun sebahagian cara bacaan yang telah ditetapkan di bawah riwayat ini.

Ia bukanlah bermaksud cara bacaan al-Qur’an yang dipelajari di Malaysia ini adalah satu-satunya daripada riwayat ini. Ini adalah kerana mushaf yang ada sekarang ini mempunyai berbagai tambahan[2] yang menghadkan bacaan al-Qur’an itu kepada bacaan yang dikhususkan samada kepada riwayat atau tariq tertentu [3].

Riwayat ini juga adalah satu-satunya cara bacaan yang paling masyhur di kalangan umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia Islam. Riwayat ini juga mempunyai berbagai-bagai pembahagian yang perlu difahami dan diperjelaskan agar kefahaman masyarakat tidak menyeleweng daripada fakta yang sebenar. Menurut kitab al-Mufid fi ‘ilm al-Tawjid karangan ‘Abd Rahman ‘Aitani, perkembangan cara bacaan al-Qur’an mengikut ilmu al-Qira’at di seluruh dunia Islam adalah seperti berikut[4]:

Qira’at Nafi’ b.‘ Abd Rahman[5] melalui riwayat Qalun[6] terdapat di Libya dan sebahagian di Tunisia (0.7%). Adapun melalui riwayat Warsh[7] terdapat di Jazair, Maghribi, sebahagian di Tunisia dan sebahagian lagi di Sudan(3%).

Qira´at Abu ‘Amru al-Basri[8] terdapat di sebahagian wilayah di Sudan (0.3%)

Qira´at Ibn ‘Amir al-Dimasyqiy[9] terdapat di Yaman (1%)

Dan selain daripada itu, kesemuanya mengamalkan Qira´at ‘Asim b. Abu Najid[10] melalui riwayat Hafs b. Sulayman al-Kufi.(95%)

Berdasarkan kajian di atas, tidak hairanlah jikalau seseorang mendakwa tidak pernah mendengar cara bacaan yang lain kecuali riwayat Hafs kerana hampir sembilan puluh lima peratus dari kalangan umat Islam di seluruh dunia membaca dengan riwayat ini. Ini adalah kerana ke benua mana seseorang itu pergi samada ke negara Islam mahupun bukan Islam yang mana terdapat rakyatnya yang beragama Islam, pasti mereka akan mendengar cara bacaan yang serupa dengan cara bacaan yang menjadi kebiasaan mereka membacanya di Malaysia.

Justeru, riwayat ini perlu diperkenal dan diperjelaskan secara optimum agar mampu difahami dengan tepat khususnya bagi yang ahlinya dan umumnya bagi masyarakat Islam di Malaysia. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menimbulkan kekeliruan yang berpanjangan terhadap ilmu bacaan al-Qur’an dan akan melahirkan golongan yang tidak memahami indentiti al-Qur’an itu sendiri.

Insya Allah, selepas ini penulis akan memfokuskan kepada pengenalan terhadap riwayat Hafs dari segala aspek seperti pengenalan imam Hafs, asal atau sumber riwayat ini, nama kitab yang menjadi sandaran turuq bagi riwayat ini, susur galur turuq yang terletak di bawah riwayat ini dan pembahagian kepada apa yang digelar tariq al-Shatibiyyah dan al-Jazariyyah.



[1] Ini bermakna apa yang dipelajari dan dibaca secara turun temurun oleh masyarakat Malaysia sekarang ini masih belum meliputi kesemua riwÉyat ×afÎ. Lihat AbË ‘Abd al-RaÍmÉn RiÌÉ ‘AlÊ DarwÊsh dan AbË Sahl SÉmiÍ b. AÍmad b. MuÍammad, (2000), FatÍ al-RaÍmÉn fi TaisÊr Ùuruq ×afÎ b. SulaymÉn, cet. 1, Kaherah: Maktabah QurÏubah lil TurÉth, h.10-11.

[2]Tambahan disini merujuk kepada titik dan simbol baris bagi huruf tertentu. Ianya dikenali sebagai ÖabÏ al-Qur’an. Lihat al- ÖhibbÉ‘, ‘Ali MuÍammad (1999), SamÊr al-ÙÉlibÊn fÊ Rasm wa ÖabÏ al-KitÉb al-MubÊn, Kaherah, al-Maktabah al-Azhariyyah li al-Turath, h.79

[3] MuÎÍaf di zaman Sayyidina UthmÉn Ibn al-‘Affan adalah tidak bertitik dan berbaris. Dengan ini keseluruhan ataupun sebahagian besar bacaan al-Qur’an yang terdiri daripada tujuh huruf itu dapat dipraktikkan dalam satu muÎÍaf, sila lihat : AÍmad ‘Ali al-ImÉm, (1998), op., cit., h. 67. Inilah objektif sebenar pengumpulan al-Qur’an pada masa itu. Oleh itu, dengan adanya penambahan seperti titik dan baris telah mengkhususkan sesuatu muÎÍaf kepada bacaan yang menjurus kepada riwÉyat atau pun Ïuruq tertentu sahaja. Ada pun qirÉ’at, setakat ini dalam kajian dan pengetahuan penulis belum ada lagi muÎÍaf yang menjurus kepada qirÉ’at tertentu.

[4] ‘AitÉnÊ, ‘Abd al-RaÍmÉn, (1998), al-MufÊd fi ‘ilm al-TawjÊd, cet. 2, BeirËt: Mu’assasah al-RayyÉn. h. 147. Bagi qirÉ’at yang tidak tersenarai di atas seperti qirÉ’at Ibn Kathir, Hamzah, KisaeÊ, AbË Ja‘far, Ya‘qËb dan Khalaf al-‘Óshir (sekadar menyebut qirÉ’at yang mutawÉtirah sahaja), kesemua qirÉ’at ini sudah tidak diamalkan tetapi masih dipelajari di institusi yang menawarkan pengajian al-QirÉ´Ét sebagai satu usaha untuk menjaga ilmu ini agar tidak pupus ditelan zaman.

[5] QirÉ’at ini disandarkan kepada imam NÉfi’ b. ‘Abd al-RaÍmÉn b. AbÊ Nu’aim al-MadanÊ, berasal dari AsfahÉn, salah seorang tabi’ tabi’ein dan imam yang pertama dalam turutan imam tujuh dan imam sepuluh. Lahir pada sekitar tahun 70 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 159 hijrah pada zaman khalifah al-MahdÊ al-MansËr. Lihat al- QÉÌÊ, ’Abd al-FatÉÍ, (t.t.) TÉrÊkh al-Qurra´ al-‘Asyarah wa ruwÉtihim wa tawÉtur qirÉ´Étihim wa manhaj kullu fÊ al-QirÉ´ah, Kaherah, Maktabah al-Masyhad al-×usainÊ, h. 4

[6] RiwÉyat ini disandarkan kepada ‘Isa b. MÊna b. WardÉn b. ‘Isa b. ‘Abd al-Øamad b. ‘Umar b. ‘Abd AllÉh al-ZarqÊ dan diberi gelaran QÉlun oleh gurunya NÉfi’. Beliau adalah perawi yang pertama bagi qirÉ’at NÉfi’. Lahir pada tahun 120 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 220 hijrah. Ibid., h. 7

[7]RiwÉyat ini disandarkan kepada ‘UthmÉn b. Sa’Êd b. ‘Abdullah, AbË Sa’Êd al-MiÎrÊ. Diberi gelaran Warsh kerana kulitnya yang amat putih. Beliau adalah perawi yang kedua bagi qirÉ’at NÉfi’. Lahir pada tahun 150 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 197 hijrah. Ibid., h.8

[8] QirÉ´at ini disandarkan kepada ZabbÉn b. al-‘AlÉ´ b. ‘AmmÉr b. al-‘IryÉn b. ‘Abd AllÉh b. ×uÎain b. al-×Érith b. Julhumah. Imam yang ketiga dalam turutan imam tujuh dan sepuluh. Lahir pada tahun70 hijrah dan ada pendapat yang mengatakan 68 hijrah dan meninggal pada tahun 154 hijrah di Kufah. Ibid., h.15

[9] QirÉ´at ini disandarkan kepada ‘Abd AllÉh b. ‘Ómir b. YazÊd b. TamÊm b. RabÊ’ah al-YaÍÎabiy AbË ‘Amru al-ShÉmÊ. Imam yang keempat dalam turutan imam tujuh dan sepuluh. Lahir pada tahun 8 hijrah dan ada pendapat mengatakan 21hijrah dan meninggal pada hari ‘AsyurÉ´, tahun 118 hijrah di Damsyiq. Ibid., h. 18

[10] QirÉ´at ini disandarkan kepada AbË Bakr, ‘ÓÎim b. Bahdalah AbÊ al-NajËd al-´AsadÊ al-KËfÊ. Imam yang kelima dalam turutan imam tujuh dan sepuluh. Meninggal pada tahun 127 hijrah di Kufah. Ibid., h.21