Wednesday, October 26, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 74-78)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 74:

- Ayat ini membayangkan kiasan Allah s.w.t terhadap kaum Yahudi pada zaman Rasullullah s.a.w dan terhadap mereka-mereka yang bersifat seperti kaum tersebut. Allah s.w.t mensifatkan kedegilan mereka disebabkan keengganan mengakui perkara yang hak dan benar digambarkan hati mereka keras seperti batu malah lebih keras lagi dari batu.

- Di sini Allah s.w.t memilih jenis batu, tidak jenis besi untuk menjadi misalan. Padahal besi, pada pandangan kita suatu logam yang mengatasi kerasnya batu. Dan terbukti pilihan Allah s.w.t itu tepat kerana sekeras-keras besi, masih dapat dilembutkan, dilebur atau dicairkan dengan kuasa api[1]. Sedangkan batu, sejak dahulu merupakan lambang kekukuhan dan keteguhan dan kesannya terbukti dengan kita melihat piramid di Mesir, tembok besar di China, candi-candi di kepulauan Melayu dan lain-lain lagi adalah daripada batu-bata belaka yang masih kukuh. Demikian buktinya kerasnya batu, namun Allah s.wt menyambung firmanNya:

فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً

Maksudnya: “Yang (hati mereka) kerasnya seperti batu malah lebih keras lagi dari itu”

- Sedangkan batu yang sedemikian kerasnya dapat ditembusi air yang memancar menjelmakan anak sungai, merkah bermata air dan ada yang gugur dari bukit dan gunung ke lurah kerana takutnya kepada Allah s.w.t. Kalau bukit dan gunung pun takut kepada Allah s.w.t, maka kita sepatutnya minta berlindung daripada Allah s.w.t supaya kita tidak menjadi lebih teruk daripada bukit mahupun gunung, ya’ni kita tunduk dan patuh kepada setiap perintah Allah s.w.t. Kita berlindung daripada mempunyai sifat yang apabila mendengar ayat-ayat Allah s.w.t, tidak merasa apa-apa malah tidak menambahkan keyakinan dan keimanan kita kepada Allah s.w.t. Sifat sebegini timbul kerana hanya mengambil kira al-Quran sebagai hiburan, nyanyian, dakyah dan propaganda sahaja, bukan sebagai kitab panduan yang memberi petunjuk dan peringatan kepada manusia untuk berpegang dengan ajaran Allah s.w.t dan menyedarkan diri untuk tunduk patuh dan kembali kepadaNya.

- Kita tidak mahu menjadi seperti orang kafir atau munafiq yang Allah s.w.t telah memetrikan hati mereka sebagaimana firmanNya[2]:

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “ Allah telah memetrikan hati, pendengaran dan penglihatan mereka dan bagi mereka azab yang amat besar”

Pernah terdapat salah seorang penasihat Inggeris di Malaya dahulu yang menjadi pegawai daerah (DO) di negeri Pahang yang fasih serta faham dalam bahasa Arab dan tahu membaca al-Quran sekaligus beliau terkenal sebagai orientalis. lalu orang Islam berjumpa dan bertanya kepada beliau: “ (kalau sudah sebegitu hebat) Mengapa tidak masuk Islam sahaja?” lalu beliau menjawab dengan membaca ayat diatas tadi:

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ

Bagaimanapun penasihat Inggeris itu hanya membaca pada awal ayat sahaja dan tidak membaca pada akhir ayat tersebut yang bermaksud “bagi mereka azab yang amat besar”

Bila hati, pendengaran dan penglihatan mereka telah dimetrikan, semua deria itu tidak memberi manfaat apa-apa kepada diri mereka sendiri sepertimana firmanNya[3]:

صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لا يَرْجِعُونَ

Bermaksud: “Mereka menjadi pekak, bisu, dan buta sekaligus mereka tidak akan dapat kembali (kepada kebenaran walaupun mereka mendengar ayat-ayat atau kitab Allah)”

- Hati mereka sudah tidak dapat dilembutkan, dilentur dan dibentuk atau diperbaiki dengan petunjuk dan kebenaran. Hal ini demikian akan merosakkan dan membinasakan seluruh tubuh badan seseorang manusia itu sendiri sepertimana sabda Rasullullah s.a.w:

ألا وإن في الجسد مضغةً إذا صلُحتْ صلُحَ الجسدُ كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهى القلب

Maksudnya: “Ingatlah, di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik, maka tubuh semuanya baik. Dan apabila daging itu binasa, maka tubuh semuanya menjadi binasa. Ketahuilah! daging itu adalah hati”

- Oleh sebab itulah umat Islam yang berkehendak agar hati mereka tidak keras lagi degil terhadap ajaran Allah s.w.t hendaklah berdoa sepertiman yang diajarkan oleh Allah melalui firmanNya[4]:

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمْ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الأَلْبَابِ

Maksudnya: “ Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya, lalu mereka memilih dan menurut dengan sebaik-baiknya (daripada segi hukum agama), mereka itulah yang diberi hidayah oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna”

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[5]: “ Apabila hati mereka dibandingkan dengan batu, tiba-tiba hati mereka lebih kering dan keras daripada batu. Batu yang dibandingkan dalam ayat ini adalah batu yang pernah diketahui oleh mereka sebelum ini kerana mereka telah melihat batu yang mengalirkan dua belas mata air dan mereka juga melihat batu-batu bukit yang bergegar ketika mereka berhasrat untuk melihat Allah dan nabi Musa a.s rebah pengsan. Tetapi hati mereka tidak jugak lembut dan tidak juga melahirkan degup takut dan taqwa. Hati mereka terus keras, pejal, kering dan kafir oleh sebab itulah al-Quran menyebut ancaman ini kepada mereka :

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “ Dan Allah tidak sekali –kali lalai dari segala tindak-tanduk yang dilakukan oleh kamu”

- Sesungguhnya aliran sungai, mata air yang memancar, runtuhan batu dari gegaran atau letusan gunung, tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa, suara serangga dan cengkerik pada waktu malam semua ini pada lahirnya tiada memberi apa-apa makna sekiranya dipandang dengan mata kasar. Tetapi jika dilihat dengan mata hati, pada hakikatnya adalah merupakan khidmat, pengabdian atau perhambaan dari makhluk kepada khaliknya, dari hamba kepada Tuhannya. Dan hakikat itu dapat dirasakan oleh makhluk itu sendiri, kerana takutnya dan khusyu’nya terhadap penciptanya, sepertimana firmanNya[6]:

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَوَاتُ السَّبْعُ وَالأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيماً غَفُوراً

Maksud: “ Langit yang tujuh, dan bumi berserta orang di dalamnya (isi bumi itu), semuanya tasbih (tunduk) kepadaNya. Tiada suatu mahkluk, melainkan semuanya bertasbih (tunduk) seraya memujiNya, tetapi kamu tiada mengerti akan tasbihnya, sesungguhnya Tuhan itu Penyantun lagi Pengampun.”

Maka dengan ayat ini menjelaskan bahawasanya semua makhluk bertasbih dan memuji Allah s.w.t, tetapi tidak dapat difahami oleh manusia.

2. Ayat 75:

- Ayat ini masih lagi ditujukan kepada kaum Yahudi dan ditujukan juga kepada sesiapa sahaja yang perangainya seperti Yahudi walaupun bukan dari kaum Yahudi. Allah s.w.t mewahyukan kepada nabi Muhammad s.a.w dimana terdapat dikalangan sahabat nabi yang benar-benar berharap agar ada dikalangan kaum Yahudi itu beriman kepada Allah s.w.t. Sedangkan mereka mendengar kalam Allah sekaligus mengerti isi kandungan kitab tersebut kemudian mereka itu mengubah isi kandunganya. Jelas membuktikan bahawa terdapat di kalangan orang yang tidak mahukan kepada Islam itu adalah orang yang tahu lagi mengetahui kebenaran bukannya orang yang jahil tidak tahu apa-apa langsung.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata [7]: “ Ya’ni sebenarnya tiada harapan lagi bahawa orang-orang yang seperti itu akan beriman kerana keimanan itu memerlukan tabiat dan kesediaan yang lain. Tabiat orang yang beriman itu bersifat mudah, senang dan lembut. “Jendela hatinya sentiasa terbuka kepada cahaya”. Ia sentiasa bersedia untuk berhubung dengan sumber azali yang kekal abadi (Allah s.w.t). Ia sentiasa lembut, jernih, hening, peka, taqwa, segan dan malu kepada Allah s.w.t. Taqwa inilah yang menghalanginya dari mendengar kalam Allah kemudian bertindak mengubahkannya setelah memahaminya, ya’ni mengubahkan kalam Allah dengan penuh kesedaran dan kedegilan.”

- Golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah golongan ahli agama yahudi yang amat arif dengan hakikat yang diturunkan kepada mereka didalam kitab suci mereka. Mereka terdiri dari golongan pendita dan paderi yang mendengar kalam Allah yang diturunkan kepada nabi Musa a.s didalam Taurat dan mereka mengubah maksudnya, membuat penafsiran yang jauh terkeluar dari ruang lingkup yang sebenar. Berkata Mujahid dan As-Suddiy, mereka adalah para ulama’ Yahudi yang mengubah Taurat dengan menjadikan yang haram itu halal dan yang halal itu haram mengikut hawa nafsu mereka[8]. Mereka melakukan penyelewengan ini bukan kerana mereka jahil, malah mereka sengaja melakukan tindakan tersebut dan benar-benar tahu akan penyelewengan itu. Mereka melakukan dengan dorongan hawa nafsu, kepentingan duniawi dan tujuan yang tidak sihat. Mereka ini sudah pasti menyeleweng lebih jauh lagi dari kebenaran yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w. Hal ini demikian mereka yang seperti ini yang berpegang teguh kepada kepalsuan yang mereka sendiri sedar dan tahu itu tentulah lebih bersanggupan lagi untuk menentang dakwah Islam, melepaskan diri darinya dan mengadakan fitnah-fitnah yang dusta terhadapnya.

- Seperti contoh yang terjadi apabila orang jahil Mekah bertanyakan kepada ahli kitab Yahudi ada atau tidak ada disebutkan dalam Taurat tentang nabi akhir zaman? Mereka (ahli kitab) menjawab ada. Ditanya lagi tentang sifatnya, ada atau tidak disebut dalam Taurat? Mereka menjawab ada, tetapi mereka menyebut sifat-sifat nabi yang lain daripada nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah antara perangai orang Yahudi, mengelirukan manusia padahal mereka amat mengetahui kebenarannya. Perangai sebegini akan berterusan muncul hingga ke hari qiyamat dan bukan sahaja berlaku dizaman Rasullullah s.a.w sahaja. Hal ini demikian kerana al-Quran itu adalah kitab Allah yang petunjuknya sampai ke hari qiyamat dan dengan sebab itulah segala sifat yang disebut didalam ayat ini merupakan sifat yang berpanjangan yang mesti dihadapi oleh golongan Islam yang beriman dengan Allah s.w.t

3. Ayat 76&77:

- Ayat ini sekali lagi menjelaskan kepada mereka yang menaruh harapan agar kaum yahudi ini yang dimaksudkan pada ayat yang sebelum ini beriman kepada Allah s.w.t bahawa adakah masih lagi berharap bahawa mereka akan percaya kepada kamu sedangkan disamping mereka mempunyai sifat-sifat yang telah disebutkan dahulu mereka juga menambahkan sifat-sifat yang lain juga iaitu sifat berpura-pura, talam dua muka, menipu dan berhelah. Setengah daripada mereka apabila bertemu dengan orang yang beriman mereka berkata, kami percaya bahawa Muhammad itu adalah Rasul berdasarkan kepada dalil yang terkandung didalam kitab Taurat yang ada pada mereka.Tetapi apabila mereka berada sesama mereka, mereka mencela golongan mereka sendiri yang telah memberitahu kepada orang-orang Islam tentang hakikat kebangkitan Rasullullah s.a.w. Ya’ni mereka mencela antara satu sama lain.

- Perbuatan ini amat meresahkan hati mereka, kerana rahsia-rahsia kebenaran itu telah terbuka dan akan dijadikan hujah untuk membalikkan paku buah keras oleh Muhammad s.a.w dan para sahabat sehingga mereka terasa dapat dikalahkan. Justeru itulah mereka berusaha untuk menutupi keburukan mereka lalu mengubah akan isi kitab Taurat. Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[9]: “ Mereka berkata : Adakah kamu memberi hujah kepada mereka untuk mengalahkan kamu? Disini mereka kelihatan dikongkongi oleh tabiat mereka yang terhijab dari mengenali sifat Allah dan hakikat ilmunya. Mereka berfikir bahawa Allah s.w.t tidak akan menghujah mereka melainkan apabila mereka mendedahkan hujah itu daripada mulut mereka sendiri kepada orang-orang Islam. Dan andainya mereka sembunyikan hujah itu dan diam membisu, maka Allah tiada berpeluang untuk menghujahkan mereka . Dan lebih aneh lagi apabila mereka berkata antara satu sama lain :

أَفَلا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “ Adakah kamu tidak berfikir?”

Alangkah karutnya cara berfikir yang diperkatakan mereka. Oleh sebab itulah al-Quran memperlihatkan kehairanan terhadap cara pemikiran mereka sebelum menghuraikan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dilakukan mereka sepertimana firmanNya:

أَوَلا يَعْلَمُونَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ

Maksudnya: “Apakah mereka tidak mengetahui bahawa Allah s.w.t mengetahui apa yang telah dirahsiakan mereka dan apa yang telah dinyatakan mereka”

4. Ayat 78:

- Seterusnya ayat ini menjelaskan kepada kaum muslimin tentang hakikat bani Israel. Sebaiknya kita mengambil iktibar terhadap kandungan yang telah diceritakan kerana adakah umat Islam itu tidak turut merasakan sindiran itu jika pekertinya serupa sahaja seperti kaum bani Israel. Maka, kalau diantara orang Yahudi itu ada yang “ummiy” iaitu yang tidak mengetahui isi kitab melainkan yang “Amaniyya” sahaja, yakni perkara-perkara yang angan-angan serta bohong dan dongengan belaka, maka tidak luput akan terdapat juga golongan sedemikian itu didalam masyarakat Islam sepanjang zaman.

- “Ummiy” berasal dari perkataan “ummun” yang beerti ibu atau emak. Maka “ummiy” bermaksud orang yang keemak-emakkan yang tidak mahu bercerai dengan emak dan tidak mahu berpisah dengan emaknya. Sehingga besar terpatuh dengan tidak berpelajaran, tidak bersekolah lalu digelar “orang yang buta huruf”[10]. Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[11]: “ Mereka terdiri daripada dua golongan. Satu golongan ummiy yang jahil yang tidak mengetahui sedikit pun tentang kitab Taurat yang diturunkan kepada mereka. Apa yang diketahui mereka hanya waham, sangkaan yang karut dan angan-angan terselamat daripada azab dosa yang telah mereka lakukan. Satu golongan lagi ialah golongan yang mencari keuntungan dari kejahilan dan kebutaan huruf golongan yang pertama. Golongan inilah yang melakukan pemalsuan terhadap kitab Allah, mengubah maksud kalam Allah dengan ta’wilan dan penafsiran yang ada udang disebalik batu. Mereka menyembunyi dan menuduh bahagian-bahagian kalam Allah yang dikehendaki mereka dan menulis perkataan –perkataan yang direka oleh mereka kemudian mereka umumkannya atas nama perkataan-perkataan itu dari kitab Allah untuk mendapat sesuatu keuntungan dan mengekalkan kedudukkan selaku ketua dan pemimpin”

- Islam tidak menyuruh umatnya menjadi “ummiy” atau buta huruf, malah menganjurkan supaya belajar menuntut ilmu dan bersekolah. Perhatikan wahyu yang pertama yang bermaksud “ Bacalah[12]”. Dengan sendiri dapat difahami bahawa membaca juga menulis adalah salah satu faktor yang penting bagi kehidupan sesuatu umat dan itulah pokok utama sebagai alat pencari ilmu pengetahuan.

- Tetapi meskipun sudah tahu membaca dan sekiranya hasil pembacaannya hanya merupakan “Amaniyya” sahaja iaitu hanya merupakan kulit semata, saduran, khayalan, khurafat atau hasil pembacaan yang hanya percaya kepada teori sahaja namun tiada praktikal ditambah lagi percaya kepada hukum-hukum Allah itu telah sedia ada tetapi masih ragu-ragu, masih kurang yakin hukum-hakam itu boleh dijalankan atau diamalkan, maka inilah yang dikatakan oleh Allah s.w.t:

وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَظُنُّونَ

Maksudnya: “ Tak lain dan tak bukan mereka itu hanya dalam keraguan”



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 29, mk 113

[2] Al-Baqarah, ayat 7

[3] Al-Baqarah, ayat 18

[4] Al-Zumar, ayat 18

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 299

[6] Al-Isra’, ayat 44

[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 318

[8] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 4

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 321

[10] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 118

[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 322

[12] al-‘Alaq, ayat 1