بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat
185 (sambungan):
-
Firman Allah s.w.t
berbunyi:
وَمَنْ
كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Bermaksud:
“ …Dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan musafir ( lalu dia
berbuka) maka wajiblah dia berpuasa pada hari-hari yang lain sebanyak hari yang
ditinggalkan…”
Ayat
ini adalah ulangan kerana pada mulanya yang telah dimansuhkan oleh ayat :
فَمَنْ
شَهِدَ مِنْكُمْ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Hal ini demikian kalau sekali sahaja
disebutkan, terangkumlah ia menjadi ayat yang dimansuhkan kesemuanya. Oleh
sebab itulah disebut ulang sekali lagi, sebagai keterangan bahawasanya hukum
masih kekal dan tidak dimansuhkan. Ya’ni mereka itu dibenarkan berbuka oleh
sebab-sebab yang telah disebutkan tadi. Kerana Allah itu tiada sekali-kali
menyusahkan malah akan memberi kemudahan sepertimana firman
Allah s.w.t berbunyi:
يُرِيدُ اللَّهُ
بِكُمْ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْرَ
Bermaksud: “ ….Allah menghendaki
kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesulitan bagimu…”
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[1]: “
Ini merupakan dasar agung di dalam taklif –taklif agama ini keseluruhannya,
iaitu seluruh taklif itu mudah dan tidak ada sebarang kesulitan dan taklif-taklif
itu menyarankan kepada hati yang telah mengecapi kemanisan perasaan mudah dan
selesa dalam menjalani kehidupan. Ianya menyerapkan ke dalam jiwa seseorang
muslim perasaan lapang dada yang dapat melaksanakan semua taklif, semua
kefardhuan dan semua kegiatan hidup yang serius itu dengan selesa seolah-olah
seperti air yang mengalir dan seolah-olah seperti kesuburan pokok yang kian
meninggi dengan penuh ketenangan , keyakinan dan kerelaan disamping sentiasa
menghayati perasaan mendapat rahmah Allah dan iradatNya yang mahukan kemudahan
bukannya kesulitan terhadap para hamba yang mu’min. Ayat ini mewajibkan puasa
ganti keatas orang yang musafir dan orang yang sakit pada hari-hari yang lain
supaya orang yang terpaksa berbuka itu dapat menyempurnakan bilangan hari-hari
bulan puasa dan tidak luput pahalanya.”
Berdasarkan ayat ini para fuqaha’ telah membina
beberapa kaedah fiqh yang menunjukkan Islam adalah agama yang penuh dengan
kemudahan antaranya[2]:
المشَقَّةُ
تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ
Bermaksud: “
Kesulitan membawa kemudahan”
إذا
ضاقَ الأمرُ اتَّسَعَ
Bermaksud:
“ Apabila keadaan menjadi sempit, nescaya terbuka jalan kelonggaran”
الضَّرُوراتُ
تُبِيْحُ المَحظوراتِ
Bermaksud:
“Darurat mengharuskan perkara yang terlarang”
-
Firman Allah s.w.t
berbunyi:
وَلِتُكْمِلُوا
الْعِدَّةَ
Bermaksud: “ ….Dan hendaklah kamu
mencukupkan bilangan masa…”
Beerti hendaklah kamu mengqada’kan
puasa itu dengan secukupnya, supaya sempurna
bilangan sebulan Ramadhan. Ianya juga bermaksud sekiranya anak bulan
dilindungi oleh awan sehingga tidak thabit kaedah ru’yah, maka genaplah puasa
30 hari. Peringatan di dalam ayat ini juga ditujukan kerana ada orang yang
senang berbuka tetapi susah untuk
menggantikannya. Disamping keharusan berbuka untuk yang diharuskan berbuat
sebegitu, ayat ini juga memberi fokus kepada kesempurnaan ibadah puasa itu bagi
yang meninggalkannya kerana ada rukhsah atau yang berkuasa melakukannya agar
digantikan mengikut keadaan masing-masing. Yang sihat menunaikan puasa
sepenuhnya pada bulan Ramadhan dan yang uzur (mempunyai rukhsah) mencukupkannya
dengan qada’ apabila selesai keuzurannya.
-
Firman Allah s.w.t
berbunyi:
وَلِتُكَبِّرُوا
اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Bermaksud: “ …dan supaya kamu
mengagungkan Allah kerana hidayah yang dikurniakan kepada kamu supaya kamu
bersyukur.”
Dan apabila selesai sahaja dari
mengerjakan puasa, kerana telah terbit anak bulan Syawal atau menggenapkan 30
hari , maka berhari rayalah kamu dengan menyebut kebesaran Allah s.w.t. Ini
menunjukkan bahawa kita dituntut supaya bertakbir kepada Allah s.w.t selepas
tamat bulan Ramadhan. Lafaz takbir menurut Imam Malik dan sebahagian ulama’ ialah:
الله أكبَرُ
,
الله أكبَرُ , الله أكبَرُ ,
Maksudnya:
“ Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar”
Sebahagian
ulama’ yang lain pula mengatakan bahawa lafaznya ialah bertakbir, bertahlil (mengucapkan La ila ha illa Allah) dan
diselangi dengan pengucapan tasbih. Sebahagian ulama yang lain pula mengatakan:
الله أكبَرُ
كَبيراً , والحَمْدُ للهِ كثِيراً, وسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وأَصِيلاً
Maksudnya:
“ Allah Maha Besar lagi Agung, segala puji-pujian hanya bagi Allah dengan
sebanyak-sebanyaknya. Maha Suci Allah setiap pagi dan petang.”
-
Waktu
takbir pula menurut pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, disunatkan takbir pada hari raya Aidilfitri
bermula dari waktu keluar menuju ke tempat sembahyang sunat Hari Raya. Tamat
waktu takbir pula ialah setelah selesai solat sunat Hari Raya. Menurut Imam
al-Syafi’ei dan Imam Ahmad, disunatkan bertakbir pada mana-mana bahagian waktu
selepas menunaikan sembahyang, bermula dari waktu terbenam matahari pada hari
terakhir puasa sehingga waktu imam menaiki mimbar untuk berkhutbah Hari Raya[3].
-
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “Inilah salah satu dari matlamat
kefardhuan puasa , iaitu supaya orang-orang yang beriman itu dapat menyedari
nilai hidayah yang telah ditaklifkan Allah s.w.t kepada mereka dan mereka akan
dapati kesedaran ini di dalam hati mereka ketika berpuasa lebih daripada ketika
lain. Hati mereka terhalang dari
memikirkan perkara-perkara maksiat dan anggota mereka tersekat dari melakukan
maksiat kerana mereka benar-benar merasa dan menyedari nilai hidayah itu.
Kerana itu hendaklah mereka mentakbirkan Allah yang telah menganugerahkan
hidayah ini dan hendaklah mereka bersyukur kepada Allah terhadap nikmat ini dan
seterusnya hendaklah hati mereka kembali kepada Allah dengan ketaatan ini
sebagaimana Allah menyebut kepada mereka natijah kefardhuan ibadah puasa ialah:
لَعَلَّكُمْ
تَتَّقُونَ
Bermaksud:
“ Supaya kamu bertaqwa”
-
Dengan ini
jelaslah nikmat ditaklifkan puasa itu yang pada lahirnya nampak merumitkan,
menyulit dan memenatkan badan dan jiwa. Ianya juga menampakkan dengan jelas
matlamat pendidikan ibadah puasa dan tujuan disebalik puasa yang mahu menyediakan
kaum muslimin untuk memainkan peranan mereka yang besar. Dan kerana peranan
inilah mereka dilahirkan kedunia supaya mereka laksanakan peranan itu dengan
sempurna dibawah kawalan taqwa, pengawasan Allah dan kepekaan hati nurani
mereka.
[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 62
[2] Dr. Abdul Hayei b. Abdul
Sukor, Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 2, (2010), mk 247
[3] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 136
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 63
No comments:
Post a Comment