بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat
186:
-
Secara
asasnya, ayat ini merujuk kepada perbuatan berdoa. Allah s.w.t menganjurkan
hambaNya supaya sentiasa berdoa kepadaNya kerana doa itu adalah kemuncak
hubungan mesra dan erat antara makhluk dan penciptanya. Antara Hadith-Hadith
yang memberi fokus terhadap kelebihan berdoa ini ialah Hadith daripada Abu
Hurayrah r.a, sabda Rasullullah s.a.w[1]:
ثلاثةٌ
لا تُرّدُّ دَعْوتُهُم الإمامُ العادِلُ والصَّائِمُ حتى يُفْطِرَ ودَعْوَةُ
المظْلُومِ يَرْفَعُها اللهُ الغَمامِ يَومَ القِيامةِ وتُفْتَحُ لها أبْوابُ
السماءِ ويَقولُ بِغِزَّتي لأنْصُرَنَّكِ ولو بعدَ حينٍ
Bermaksud: “ Tiga golongan yang
tidak ditolak doa mereka: Pemerintah yang adil, orang yang berpuasa sehingga
dia berbuka dan doa orang yang teraniaya, doanya akan diangkat oleh Allah s.w.t
pada hari qiyamat di bawah awan dan kerananya akan dibuka pintu-pintu langit
dan Allah berfirman: Demi kemuliaanKu, akan Ku tolong engkau sekali pun berlalu satu ketika”
-
Abu Ya’la dan
al-Hakim meriwayatkan daripada ‘Ali sebuah Hadith yang dinilai sahih,
bahawasanya Rasullullah s.a.w bersabda[2]:
الدُعاءُ
سِلاحُ المؤمِنِ وعِمادُ الدِينِ ونُورُ السمواتِ والأرضِ
Bermaksud: “ Doa merupakan senjata
orang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi”
-
Asbab nuzul
ayat ini mengikut riwayat Ibn ‘Abbas r.a bahawasanya golongan Yahudi yang
menetap di Madinah telah berkata kepada Rasullullah s.a.w: “ Bagaimana Tuhan
kita dapat mendengar doa kita, sedangkan kamu mendakwa bahawa jarak antara
langit dengan kita adalah 500 tahun lamanya perjalanan, dan tebal lapisan
tiap-tiap langit seperti itu juga (ya’ni 500 tahun lamanya perjalanan)[3].
Ada riwayat juga yang mengatakan bahawa setengah daripada para sahabat
bertanyakan kepada Rasullullah s.a.w : “ Adakah Tuhan kita itu dekat maka kita
rayu atau pun jauh maka kita seru?”
Maka turunlah ayat ini sebagai
menjawab pertanyaan mereka[4].
وَإِذَا
سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِي إِذَا
دَعَانِي فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
-
Pernah juga
diriwayatkan bahawa sebab turun ayat ini ialah ketika berlaku peperangan
Khaibar, Rasullullah s.a.w mendengar para sahabat berdoa dengan suara yang kuat,
lalu Baginda s.a.w bersabda[5]:
أيها
الناسُ ارْبَعُوا على أنْفُسَكُم فإنكم لا تَدْعُونَ أَصَمَّ ولا غائباً ولكن
تَدْعُونَ سَميعاً بصيراً وهو معكم
Bermaksud: “ Saudara-saudara,
kasihanilah diri kamu dengan merendahkan suara bila berdoa. Kamu bukan menyeru
Tuhan yang pekak yang berada jauh daripada kamu. Sebaliknya kamu menyeru yang
Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Dia sentiasa hampir dengan kamu”
-
Sebahagian
manusia berpendapat bahawasanya berdoa itu tiada mendatangkan faedah kerana
jika perkara yang didoakan itu telah ditetapkan oleh Allah akan berlaku, pasti
ianya akan berlaku. Sebaliknya jika yang didoakan itu tidak ditakdirkan oleh
Allah akan berlaku, sudah semestinya tidak akan berlaku. Jumhur ulama’
menegaskan bahawasanya doa itu suatu perbuatan ubudiyyah yang terpenting
sepertimana firmanNya[6]:
وَقَالَ
رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Bermaksud: “ Berdoalah kepadaKu,
nescaya Aku perkenankan doa permohonanmu”
Ya’ni, allah s.w.t menyuruh hambaNya
berdoa untuk memaparkan kemurahanNya. Dan sesiapa yang tidak berdoa, orang itu
akan dimurkaiNya sepertima firmanNya[7]:
فَلَوْلا
إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ
لَهُمْ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Bermaksud: “Maka alangkah eloknya
kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan
bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka
keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan Syaitan pula memperelokkan pada
pandangan mereka akan perbuatan mereka”
-
Ayat ini
membayangkan satu tarikan yang amat mendalam kepada jiwa manusia malah menyerap
sehingga ke liku-liku rahsia hati mereka. Terdapat satu ganti rugi yang amat
diingini terhadap kesulitan ibadah puasa dan juga ganjaran yang segera terhadap
sambutan kepada perintah Allah s.w.t. Dan semua ganti rugi serta ganjaran itu
terletak pada perdampingan seseorang itu dengan Allah s.w.t dan nikmat pada
keredhaanNya memperkenankan doanya. Semuanya itu digambarkan dengan kata-kata
yang lembut, jernih dan indah yang hampir-hampir memancarkan cahaya yang
terang. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[8] : “
(makna ayat diatas) Ya’ni Aku sangat hampir dan akan terus memperkenankan doa
setiap yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Alangkah lembutnya! Alangkah
mesranya! Alangkah halusnya! Dan alangkah ramahnya! Dan dimanakah lagi letaknya
kesulitan berpuasa dan kepayahan taklif ibadah tersebut dibawah naungan
kemesraan, kehampiran dan keramahan yang seperti ini?”
-
Allah s.w.t
berfirman:
وَإِذَا
سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ
Bermaksud: “ Apabila hamba-hambaKu
bertanya kepadamu tentang Aku (maka jawablah) bahawa aku sangat hampir (kepada
mereka)”
Disini Allah s.w.t menghubungkan
kata-kata hamba itu kepada diriNya (عِبَادِي ) dan memberi jawapan secara langsung kepada mereka. Allah
s.w.t tidak menjawab: “Katakanlah kepada mereka: Aku amat dekat”. Malah Dia
menjawab dengan ZatNya yang Maha Tinggi dengan sendiri kepada hambaNya sebaik sahaja
mereka memohon doa dengan jawapan “فَإِنِّي
قَرِيبٌ “Dan Allah
s.w.t tidak menjawab “ Aku dengar doa mereka”malah dengan segera Dia
memperkenankan doa mereka sepertimana firmanNya:
أُجِيبُ
دَعْوَةَ الدَّاعِي إِذَا دَعَانِي
Bermaksud:
“ Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu”
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “
Ini adalah satu ayat yang amat menarik, satu ayat yang mencurahkan di dalam
hati orang yang beriman kelembutan yang manis, kemesraan yang ramah, kerelaan yang
tenteram, kepercayaan dan keyakinan dimana hidupnya seorang mu’min disudut
keredhaan Ilahi yang amat lembut dan dibawah naungan Ilahi yang aman tenteram
dan di tempat yang amat mantap”
-
Orang yang
diperkenankan doanya ialah orang yang yakin bahawa doanya diperkenankan Allah
s.w.t sebagaimana Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah r.a katanya, sabda
Rasullullah s.a.w yang berbunyi[10]:
أدعُوا
اللهَ وأنتُم مُوقِنون بِالإجابةِ واعلموا أنَّ اللهَ تَعَلى لا يَسْتَجِيبُ
دُعاءً مِن قَلبٍ غافِلٍ لاهٍ
Bermaksud: “ Berdoalah kamu kepada
Allah dalam keadaan kamu yakin diperkenankan, dan ketahuilah bahawasanya Allah
Taala tiada memperkenankan doa orang yang berhati lalai dan bermain-main”
Oleh itu janganlah seseorang itu
menganggap doa itu adalah perkara yang remeh temeh sehinggakan tiada keyakinan
ketika berdoa apatah lagi berkelakuan tidak serius dan bermain-main ketika
bermunajat kepada Allah s.w.t. Bagaimana Allah hendak memakbulkan doa seseorang
itu jika apa yang didoakan bukan datangnya dari kehendak mereka sendiri tetapi
datang dari sifat keterpaksaan untuk berdoa dan tidak yakin dengan perbuatan
doa itu sendiri.
-
Allah
berfirman:
فَلْيَسْتَجِيبُوا
لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Bermaksud: “ Oleh itu hendaklah
mereka menyambut seruanKu dan beriman kepadaKu supaya mereka mendapat jalan
yang benar”
Dan dibawah bayangan kemesraan,
kehampiran dan sambutan doa yang menarik ini, Allah s.w.t menyeru
hamba-hambaNya supaya menyahut dakwahNya dan beriman kepadaNya semoga dengan
ini dapat menarik mereka kearah jalan yang benar, hidayah dan kebaikan. Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb [11]: “
Faedah terakhir dari sambutan dan keimanan yang akan diperolehi mereka ialah
mendapat jalan yang benar, hidayah dan kebaikan kerana Allah itu Maha Kaya dari
semesta alam. Jalan yang benar yang diciptakan oleh keimanan dan sambutan
kepada dakwah Allah itulah jalan hidayah yang benar kerana agama yang dipilih
Allah untuk manusia itulah satu-satunya agama yang menunjukkan kejalan yang
benar dan selain dari agama itu adalah jalan jahiliyyah dan kebodohan yang
tidak diredhakan bagi orang yang berakal dan tidak akan membawa kepada jalan
yang benar. Sambutan perkenan dari Allah terhadap doa-doa para hambaNya adalah
dapat diharapkan apabila mereka menyambut dakwahNya dan memilih jalan yang
benar. Kewajipan mereka adalah berdoa dan jangan bersikap gopoh kerana Allah
menentukan perkenanNya terhadap sesuatu doa itu pada waktunya yang tepat
mengikut penilaianNya yang Bijaksana.”
-
Bagaimana
pun, kemaqbulan doa bagi seseorang hamba Allah tertakluk kepada beberapa syarat
seperti ia tidak melampaui batas-batas ketetapan Allah s.w.t. Sesiapa yang
terus berdegil melakukan maksiat baik secara sedar mahu pun tidak, ianya telah
dikira melanggar batasan. Padahal Allah telah menyatakan bahawasanya Dia tidak
menyukai golongan sebegitu sepertiman firmanNya[12]:
ادْعُوا
رَبَّكُمْ تَضَرُّعاً وَخُفْيَةً إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Bermaksud: “ Berdoalah kepada
Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan dengan bersuara perlahan-lahan.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”
-
Sebuah Hadith
yang berbunyi[13]:
ما
مِن مسلمٍ يَدْعُو بِدَعوةٍ ليسَ فيها إثمٌ ولا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إلا أعطاهُ اللهُ
بِها إحدى ثلاثٍ : إما أن يُعَجِّلَ لهُ دَعْوَتُهُ وإمَّا أن يَدَّخِرَها لهُ في
الآخِرَةِ وإمَّا أنْ يَكُفَّ عنهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَها
Bermaksud: “ Mana-mana orang Islam
yang berdoa kepada Allah dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan tidak
memutuskan silaturrahim, nescaya Allah akan makbulkan dalam tiga bentuk iaitu
sama ada disegerakan perlaksanaan hajatnya, atau disimpan untuknya diakhirat
kelak atau ia dilindungi dari bahaya yang standing dengan pemohonannya itu”
Disini jelas menunjukkan antara
syarat yang perlu ada dalam perkara yang di doakan ialah perkara itu mestilah
perkara yang diharuskan oleh syara’, seperti yang dinyatakan dalam Hadith
diatas “doa yang tidak mengandungi dosa dan tidak memutuskan silaturrahim”. Dosa
merangkumi semua perkara yang diharamkan manakala silaturrahim pula merangkumi
semua jenis hak orang Islam dan yang melibatkan penganiayaan terhadap mereka[14].
Kata Ibn Abbas[15]:
“ Setiap hamba yang berdoa nescaya Allah makbulkannya. Jika perkara yang
diminta itu merupakan habuan rezekinya di dunia, maka sudah tentu ia kan
memperolehinya. Tetapi jika tidak menjadi rezekinya di dunia, maka ia merupakan
ganjaran yang akan disimpan untuknya pada hari akhirat kelak”
-
Daripada Abu
Hurayrah r.a, sabda Rasullullah s.a.w[16]:
لا
يَزَلُ يُسْتَجابُ لِلعَبْدِ ما لَم يَدْعُ بإثْمٍ أو قَطِيعَةِ رَحِمٍ ما لم
يَستَعْجِلْ, قيلَ: يا رسول اللهِ ما الاستِعْجالُ: قال: يقولُ قد دعَوتَ وقد
دعَوتُ فلم أر يَسْتَجِيبُ لي, فَيَسْتَحْسِرُ عند ذلك, ويَدَعُ الدُّعاءَ
Maksudnya:
“ Doa seorang muslim itu akan tetap diperkenankan selagi ia tidak berdoa
untuk melakukan dosa atau memutuskan silaturrahim dan selagi dia tidak
tergesa-gesa. Lalu ditanyakan kepada nabi: Wahai Rasullullah! Apakah yang
dimaksudkan dengan tergesa-gesa?. Jawab nabi: Dia mengatakan telah berkali-kali
aku memohon tapi tidak dikabulkan lalu dia merasa hampa dan berhenti berdoa”
-
Antara syarat
lain yang menghalang penerimaan doa sepertimana sebuah Hadith yang sahih[17]:
الرَّجُلُ
يُطِيلُ السَّفَرَ أشْعَثَ أغَبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السماءِ: يا رَبِّ يا رَبِّ ومَطْعَمُهُ حرامٌ
ومَشْرَبُهُ حرامٌ ومَلْبَسَهُ حرامٌ وغُذِيَ بِالحرامِ فأنى يُسْتَجابُ لِذلكَ
Maksudnya: “ Ada seorang yang
berjalan jauh dan dirinya kusut masai lalu menadah tangan ke langit sambil
berdoa: “ Ya Tuhanku, Ya Tuhanku…..tetapi makanannya haram, minumannya haram,
pakaiannya haram dan juga diberi makanan yang haram kepadanya, maka bagaimana
mungkin Allah memakbulkan (doanya).”
Jelas pada Hadith ini doa seseorang
itu akan tertolak sekiranya kehidupan manusia itu diliputi oleh unsur-unsur
haram dari segala aspek kehidupan manusia itu sendiri.
-
Kata Sahl b.
Abdullah al-Tustari[18]: “
Syarat diterima doa ada tujuh iaitu: memohon dengan sepenuh hati dan rendah
diri, takut kepada Allah, berdoa dengan penuh harapan, berterusan, khusyu’,
berdoa secara umum dan makanan perlu dari sumber yang halal.” Menurut Ibn
‘Ata’ pula, terdapat empat syarat yang doa itu diterima iaitu, menngawal
kecenderungan hati ketika bersendirian, menjaga lisan ketika berbicara sesama
manusia, menjaga mata daripada melihat perkara yang haram dan menjaga perut
dari memakan makanan dari punca rezeki yang haram[19].
-
Waktu-waktu
yang digalakkan untuk berdoa ialah waktu fajr, waktu berbuka puasa, antara azan
dan iqamah, antara zohor dan asar pada hari Rabu, waktu terdesak, ketika
musafir dan sakit, semasa hujan turun dan pada ketika pertempuran tentera Islam
dengan tentera kafir[20].
[1] Ibn Majah, al-Siyam: al-Saim
la Turaddu Da’watuhu.
[2] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 153
[3] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 206
[4] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir
Ayat-Ayat Hukum Dalam Al-Quran, J.1,
ms 348. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq
al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 160
[5] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 151
[6] Ghafir, ayat 60
[7] Al-An’am, ayat 43
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 64
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 65
[10] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 2, mk 69
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 66
[12] Al-A’raf, ayat 55
[13] Diriwayatkan oleh Abi Sa’id
al-Khudri. Lihat Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2,
mk 207
[14] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 208
[15] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 156
[16] Riwayat Muslim
[17] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 208
[18] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 208
[19] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 155
[20] Waktu –waktu istimewa yang
dinyatakan ini adalah dipetik dari pelbagai riwayat. Lihat Dr. Wahbah
al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk
No comments:
Post a Comment