Wednesday, April 27, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 1-5)

Al-Baqarah

1- Surah yang paling panjang dalam al-Qur’an dan mempunyai kelebihannya tersendiri, antaranya merujuk kepada riwayat daripada Abu Hurairah r.a, “barangsiapa membaca surah al-Baqarah dirumahnya, maka rumah itu tidak akan dimasuki oleh syaitan”

2- Menceritakan tentang umat-umat zaman dahulu yang kebanyakkannya merujuk kepada Bani Israel, antaranya [1]:

- Membicarakan tentang pendirian Bani Israel terhadap dakwah Islamiyyah di Madinah dari sudut bagaimana mereka menyambut dakwah tersebut dengan penentangan yang keras.

- Menyentuh tentang hubungan yang kukuh antara kaum yahudi dan kaum munafiqin

- Membicarakan tentang pendirian kaum muslimin diperingkat awal pertumbuhannya dan persediaan mereka memikul amanah dakwah dan khilafah dimuka bumi setelah surah ini mengumumkan keengganan bani Israel untuk memikul amanah tersebut lantaran tindakan mereka membatalkan perjanjian mereka dengan Allah mengenai amanah tersebut.

- Mengumumkan perlucutan bani Israel dari kehormatan hubungan keturunan yang hakiki dengan Nabi Ibrahim a.s .

- Disamping membuka mata dan mengingatkan kaum muslimin dari kesalahan-kesalahan yang telah mengakibatkan Bani Israel dilucutkan penghormatan yang amat besar itu.

3- Diturunkan di Madinah , mengandungi hukum-hakam serta peraturan-peraturan yang mesti dilaksanakan. Menurut pendapat yang kuat surah ini tidaklah diturunkan berturut-turut sehingga tamat semuanya sebelum diturunkan ayat-ayat dari surah yang lain. Ini bermaksud ayat-ayat surah Madaniyyah yang panjang itu tidaklah diturunkan secara berturut-turut. Seperti diturunkan dahulu ayat-ayat awal sebagai muqaddimah dan kemudian turun pula ayat-ayat dari surah yang lain dan kemudian barulah disambung penurunan daripada muqaddimah surah Madaniyyah yang panjang itu tadi. boleh dikatakan kebanyakkan ayat yang diturunkan diawal surah ini adalah ayat yang diturunkan pada peringkat awal hijrah Nabi s.a.w ke Madinah, kecuali ayat ke 281 yang disebut oleh jumhur ulama’ sebagai ayat yang paling akhir diturunkan dari langit.

وَاتَّقُوا يَوْماً تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ

4- Ayat 1: Dimulakan dengan الم iaitu antara ayat-ayat yang mutasyabihat (ayat-ayat yang tidak diketahui maksud sebenar dan mengandungi rahsia Allah)[2]

- Al-Qatadah mengatakan bahawa ia bermaksud nama-nama kepada al-Qur’an

- Ada yang mengatakan ia adalah sebahagian nama Allah dan ada juga yang mengatakan sebahagian sifatNya.

- Pendapat yang paling afdal ialah diserahkan kepada Allah s.w.t

- Terdapat dua qira’at pada kalimah ini[3].

5- لا رَيْبَ فِيهِ tiada syak dan ragu-ragu pada al-Quran

- Terdapat hukum mad al-Tabriah pada kalimah لا [4], mad ini secara asasnya menunjukkan ada satu bentuk bacaan yang menitik beratkan kepada sikap bersungguh-sungguh dalam menafikan al-Qur’an itu ada keraguan padanya.

- هُدًىَ mengandungi dua makna :

- Petunjuk dengan makna dakwah, menunjuk, memberi dalil dan hujjah[5],

وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٍ

- Makna iman yang diletakkan dalam hati (hidayah)[6]

إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

- هُدًى لِلْمُتَّقِينَ bermaksud petunjuk terhadap kebenaran hanyalah untuk golongan yang muttaqin sahaja.

6- Ayat 3 : Beriman dengan perkara ghaib:

- al-Qurtubi dalam salah satu pendapatnya mengatakan bahawa ia adalah Allah s.w.t[7]

- Ada yang mengatakan ianya bermaksud beriman dengan qada’ dan qadar daripada Allah s.w.t yang kita tidak mengetahuinya.

- Ada juga yang berpendapat bahawa semua perkara yang ghaib termaksuklah Allah s.w.t

- Ada pendapat mengatakan semua yang diberitahu oleh Rasullullah s.a.w yang tidak boleh dicapai oleh akal fikiran manusia seperti tanda-tanda hari kiamat, azab qubur, padang mahsyar, syurga, neraka dan seumpamanya.

- Ayat ini juga menjelaskan antara lain sifat-sifat orang yang bertaqwa adalah mereka yang mendirikan sembahyang dan membelanjakan daripada apa yang Allah telah rezekikan kepada mereka.

7- Ayat 4:

- Seterusnya ayat ini menjelaskan lagi ciri-ciri orang yang bertaqwa yang mana antaranya beriman dengan apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w dan juga yang diturunkan sebelum itu .[8]

- Sifat yang seterusnya adalah percaya dan yakin bahawa akan datangnya hari Kiamat.

8- Ayat 5:

- Dan mereka yang ada sifat-sifat yang disebutkan diatas tadi, sesungguhnya merekalah yang akan mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t dan mereka jugalah yang akan mendapat kemenangan yang hakiki walaupun di dunia ini sering dihina atau ditindas.

Wallahu ‘A’lam



[1] al-Syahid Sayyid Qutb r.a, Tafsir fi Zilal al-Qur’an (1988), mk 81.

[2] Sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidina Ali b. Abi Talib, Saidina ‘Uthman b. ‘Affan serta Ibn Mas’ud r.a

[3] Secara wasal dan saktah

[4] Hanya terdapat pada Qira’at Hamzah sahaja. mad ini tergolong dari kategori mad far’i yang disebabkan makna kalimah (ma’nawi)

[5] Surah al-Ra’d, ayat 7

[6] Surah al-Qasas, ayat 56

[7] Pendapat ini dianggap dhaif oleh Ibn al-‘Arabi.

[8] Kesemuanya ada 103 buah.Yang diturunkan kepada nabi Ibrahim, nabi Sith (berupa suhuf, 100), nabi Daud (Zabur), nabi Musa (Taurat) dan nabi Isa (injil)

No comments: