Wednesday, April 27, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 11-20)

1. Ayat ke 11 & 12:

- Al-Fasad lawan kepada as-Solah, maknanya terpesong daripada jalan yang betul yang merujuk kepada melakukan perkara-perkara yang menunjukkan sikap mereka cenderung kepada orang kafir, berketua dan berpemimpinkan mereka.

- Imam al-Syaukani berkata maksud fasad adalah cenderung kepada orang kafir, mengharapkan sesuatu daripada orang kafir dan menganggap bahawa orang kafirlah penolong yang sebenarnya bukannya Allah s.w.t

2. Ayat ke 13:

- Ada riwayat yang mengatakan ayat ini diturunkan kepada golongan munafiqin dikalangan Yahudi termasuk juga orang-orang alim di kalangan mereka dimana mereka percaya tiada tuhan melainkan Allah tetapi tidak mahu mengikut Nabi Muhammad s.a.w

- Pengikut nabi yang terdiri daripada Bilal al-Habsyi, Suhib ar-Rumi, Salman al-Farisi, Abdullah b. Mas’ud dan lain-lain dikategorikan oleh golongan bangsawan yang munafiqin sebagai orang-orang bodoh disebabkan pengikut-pengikut nabi ini dari golongan miskin dan lemah.

- Dakwah yang dihadapkan kepada golongan munafiqin di Madinah adalah dakwah supaya mereka beriman dengan ikhlas, jujur dan bersih dari kehendak-kehendak hawa nafsu iaitu beriman dengan keimanan orang-orang yang ikhlas dan menganut Islam dengan seluruh jiwa raga mereka kerana Allah. Tetapi amat jelas bahawa kaum munafiqin ini tidak sanggup memberi penyerahan jiwa raga yang seperti itu kepada Allah s.w.t malah mereka berpendapat bahawa penyerahan jiwa raga yang sedemikian hanya layak bagi orang-orang yang miskin serta lemah dan tidak layak bagi golongan atasan yang mempunyai harta dan kedudukkan.[1]

- Pernah mereka meminta izin daripada Rasullullah s.a.w supaya mengadakan majlis yang berasingan dengan golongan miskin ini kerana mereka tidak sanggup untuk duduk dengan golongan ini dalam satu majlis.

- Tetapi Allah s.w.t memberi jawapan yang tegas dan penjelasan yang muktamad dengan firmannya:

أَلا إِنَّهُمْ هُمْ السُّفَهَاءُ وَلَكِنْ لا يَعْلَمُونَ

3. Ayat ke 14 & 15:

- Ayat ini menunjukkan bahawa golongan munafiqin tidak berani menunjukkan sifat sebenar mereka di sisi Islam.

- Ayat ini juga menunjukkan betapa rapatnya hubungan kaum munafiqin di Madinah dengan kaum Yahudi yang sememangnya telah lama menaruh dendam yang amat mendalam terhadap orang-orang Islam.

- Mereka bermuka-muka dengan orang-orang yang beriman tetapi apabila kembali kepada syaitan-syaitan[2] mereka, terus mereka mengatakan mereka berpura-pura sahaja dengan orang beriman untuk mengetahui selok-belok kehidupan mereka dan memperolok-olokkan mereka bukan untuk mempercayai apa yang dipercayai oleh golongan yang beriman.

- Mereka menganggap perbuatan yang jahat dan keji itu sebagai suatu kekuatan dan sifat merancang tipu-daya itu sebagai suatu kepintaran sedangkan pada hakikatnya itulah sifat yang menyerlahkan kelemahan dan kerendahan diri.

- Maka Allah membalas balik tindakan mereka itu dengan firmannya:

اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ

Allah akan memperolok-olok dan mengejek-ejek mereka pula dengan balasan yang setimpal. Diberi peluang yang agak panjang dan dikurniakan umur yang agak lanjut supaya mereka terbiar di lautan kehidupan dunia dalam kesesatan dengan tiada pendirian. Disini dapatlah difahami bahawa secara hakikatnya Allah s.w.t sendiri yang mengendali setiap perjuangan yang ditujukan kepada orang-orang Islam yang beriman. Bagi hamba Allah yang memahami hakikat ini, mereka akan mendapat ketenteraman yang sempurna. Sebaliknya bagi musuh Allah yang sesat itu mereka akan mendapat akibat yang amat mengerikan iaitu mereka dibiarkan kebingungan dalam kesesatan. Mereka tertipu apabila Allah membiarkan untuk beberapa waktu yang mana nanti yang akan menunggu mereka adalah azab yang menakutkan sedangkan mereka terus lalai dan sesat.

4. Ayat ke 16 :

- Golongan munafiqin membeli dholalah (kesesatan) dan menjual huda (kebenaran) ataupun mencampuradukkan kesemuanya dengan mengharap mereka mendapat keuntungan dari segi harta, nama dan pangkat di dunia ini. Mereka ini kebiasaannya tidak mahu mencari susah hidup didunia ini. Oleh sebab itu mereka mencari kesempatan untuk mengaut keuntungan ketik dunia sentiasa bertarung antara jahiliyyah dengan Islam disepanjang zaman. Kalaupun mereka mendapat kesemua keuntungan tersebut mereka tetap tidak dapat petunjuk dalam ertikata mereka sebenarnya tergolong daripada orang-orang yang teramat rugi disisi Allah s.w.t. kerugian mereka tidak ada tolok bandingnya dimana kerugian tersebut tidak dapat dibayar dengan harta dunia. Inilah kerugian yang paling ditakuti. Jikalau kita bankrap di atas dunia, boleh kita usahakan lagi untuk mengatasinya. Tetapi kalau bankrap di akhirat tidak ada peluang lagi untuk menebus atau membuat pinjaman. Oleh itu, janganlah kita berniaga di dalam masalah agama dengan harta benda duniawi.

5. Ayat ke 17:

- Allah s.w.t memberi perumpamaan bagi orang-orang munafiqin seperti sedang menyalakan api yang mana pada ketika itu mereka ada peluang untuk mempelajari isi kandungan al-Quran sebagai penyuluh yang akan menerangi jalan hidup mereka. Tetapi kerana payah hendak meninggalkan kebiasaan sifat yang selalu engkar dengan tuntutan agama, maka petunjuk al-Quran ditinggalkan. Maka Allah padamkan cahaya tersebut sehingga hidup mereka kembali dalam kegelapan (sesat)

6. Ayat ke 18:

- Mereka itu pekak, tuli dan buta dan mereka tetap tidak akan kembali kepada kebenaran walaupun ada diantara mereka yang kononnya menjunjung al-Quran tetapi tidak mendapat pengajaran daripada al-Quran yang dibaca.

7. Ayat ke 19 & 20:

- Diriwayatkan kedua-dua ayat ini turunnya berkaitan dengan 2 orang munafiq yang lari dari Madinah ke Mekah untuk berjumpa dengan Abu jahal serta kuncu-kuncunya lantaran mereka merasakan kekuatan Islam pada masa itu teramat kuat.

- Dipertengahan jalan, hujan turun dengan selebatnya diiringi kilat dan guruh sambar menyambar dan keadaan pada masa itu sangat gelap.

- Bila kilat menyambar , mereka berjalan dan bila tiada kilat mereka berhenti. Dan apabila mereka dengar kilat berbunyi, mereka memasukkan anak jari kedalam telinga.

- Dalam keadaan sedemikian, hadir perasaan takut dipanah petir lalu hati mereka terdetik tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w

- Mereka pun berazam untuk kembali ke Madinah dan apabila sampai terus bersalaman dengan Rasullullah s.a.w disamping membuat pengakuan bahawa mereka asalnya munafiq dan telah bertaubat serta menjadi benar-benar Islam[3].

- Ada setengah ulama’ menafsirkan bahawa perbuatan 2 orang munafiq diatas yang menutup telinga ketika mendengar kilat adalah ibarat orang yang enggan mendengar pengajaran dan petunjuk dari al-Quran.

- Sebenarnya petunjuk dan hidayat kebenaran amat pahit untuk ditelan oleh golongan ini kerana kalau ada isinya yang menyingkap keburukan mereka, maka gelaplah masa depan mereka. Kalau ada isinya yang mengandungi ancaman, seksa dan dosa, maka bagai petir yang memecahkan telinga mereka. Dan kalau ada isinya yang mengandungi hujah-hujah kebenaran atau alasan-alasan yang tepat yang dapat mematahkan hujah-hujah mereka, maka bagaikan kilat halilintar yang menyambar matanya dengan sangat memeranjatkan dan menakutkan.

- Sehingga tiada jalan lain hanyalah menutup telinga mereka dengan anak jari supaya suara dan petunjuk isi al-Quran itu tiada kedengaran olehnya.

- Sesekali didengar juga petunjuk al-Quran dan setuju pula mereka dengan isinya kerana tepat hujahnya dan lojik mengikut pendapat mereka tetapi semua itu hanya sementara umpama kilat yang sekadar menerangi sementara, maka berjalanlah orang yang dalam kegelapan kerana nampak cahaya. Tetapi bila kilat hilang, berhentilah orang tersebut dan berterusan dalam kegelapan yang membingungkan..wallahu a’lam



[1] Disini menggambarkan bahawa dakwah “double standard” telah pun timbul dizaman Rasullullah s.a.w.

[2] Bermaksud kawan-kawan, ketua-ketua dan paderi-paderi mereka dari kalangan orang Yahudi. Ini membuktikan bahawa dizaman Rasullullah s.aw telah ada satu jalinan persahabatan antara orang munafiqin dan puak yahudi. Jalinan inilah yang banyak mengganggu gugat kesejahteraan orang Islam. Maka tidak dinafikan kemungkinan kejayaan puak Yahudi dewasa ini adalah daripada pertolongan orang-orang Islam yang munafiq.

[3] Maka cerita ini menjadi pengajaran bagi golongan munafiqin yang masih ramai di Madinah.

No comments: