1- Ayat 21:
- Menurut pendapat jumhur al-mufassirin, seruan Allah yang menggunakan perkataan يأيها الناس dimana sahaja terdapat di dalam al-Qur’an adalah ditujukan kepada penduduk Mekah[1]
- Seruan ini ditujukan kepada seluruh manusia supaya menyembah Allah yang telah menciptakan mereka dan manusia sebelum mereka.
- Hanya Allah sahaja yang mengendalikan urusan penciptaan dan oleh sebab itulah Allah sahaja yang paling layak disembah.
2- Ayat 22:
- Setelah Allah menerangkan dalil kepada diri manusia itu sendiri, iaitu dalil adanya Allah dan dalil yang menunjukkan bahawa manusia itu mesti mengabdikan diri kepada Allah, Allah mengalihkan perhatian kepada apa yang ada di sekeliling kita.
- Bumi Allah jadikan sebagai hamparan sehingga bumi yang bulat ini tidak nampak bulat kerana terlalu luas sebagai kemudahan bagi manusia untuk mencari rezeki dan menjadikan tempat kediaman dan perlindungan yang selamat dan selesa. Tetapi manusia kebanyakkanya terlupa tentang hamparan yang telah dibentangkan oleh Allah kerana terlalu lama biasa dengan keadaan tersebut[2]. Mereka lupa keadaan-keadaan yang selesa dan selamat yang mereka kecapi itu adalah semuanya datang daripada Allah s.w.t.
- Apa yang ada dilangit umpama binaan terdiri daripada bintang cakerawala, bulan dan matahari yang beredar mengikut paksinya dengan tidak berlaga antara satu sama lain. Hal ini demikian menjadi tanda keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.
- Allah juga yang menurunkan hujan daripada langit yang mana air hujan tersebut merupakan bahan hayat yang asasi bagi seluruh makhluk yang hidup dimuka bumi ini. Samada air itu menumbuhkan tanaman atau membentuk sungai-sungai, tasik-tasik air tawar atau menyerap di dalam lapisan bumi membentuk kumpulan-kumpulan air di bawah tanah yang menjadi sumber mata air dan perigi.
- Dan setelah diketahui segala nikmat yang hadir kepada manusia selama ini adalah daripada Allah s.w.t adalah satu perbuatan yang tidak wajar sama sekali jikalau kita mensyirik Allah s.w.t. Kerja-kerja syirik antaranya menganggap rezeki itu datang daripada makhluk. Syirik juga kalau menganggap ada yang lain daripada Allah yang setaraf denganNya.
- Syirik ada dua jenis, syirik jali dan syirik khafi. Syirik jali ialah syirik yang menyebabkan seseorang itu menjadi kafir iaitu pengabdian kepada yang lain daripada Allah atau tunduk serta patuh kepada yang lain daripada Allah yang pastinya akan merosakkan iman.
- Syirik khafi pula ialah syirik yang ada dalam hati seseorang manusia sedangkan dia masih lagi percaya dan beriman serta yakin kepada Allah tetapi ada perasaan syirik yang bercabang dalam hatinya. Syirik ini tidak menjejaskan iman tetapi membatalkan pahala ibadah dan amal soleh seseorang. Umpamanya seseorang yang mengerjakan solat, dalam hatinya ada niat mahu menunjuk-nunjuk kepada orang atau perasaan megah diri dan berbangga dengan dirinya.
3- Ayat ke 23:
- Kaum yahudi meragui kesahihan kerasulan nabi Muhammad s.a.w seperti juga kaum munafiqin dan kaum musyrikin. Disini al-Qur’an mencabar semua pihak sekiranya mereka meragui al-Quran yang diturunkan dari Allah, maka silalah mengadakan satu surah yang setanding dengan al-Quran dan jemputlah orang-orang yang dapat menjadi saksi mereka selain dari Allah s.w.t.
- Cabaran ini terus terbuka dalam masa dan selepas masa hayat Rasullullah s.a.w dan masih terus terbuka sehingga ke zaman kita pada hari ini. Dan cabaran ini adalah satu hujah yang tidak boleh dipertikaikan lagi.[3]
4- Ayat ke 24:
- Penjelasan ayat ini menggambarkan bahawa memang pasti tiada seorang pun yang dapat membuat karangan seperti al-Quran. Kalau ada pun, timbulnya daripada nabi-nabi palsu yang mencipta surah-surah palsu. Bila dikaji, didapati surah yang mereka susun dan cipta itu mempunyai banyak cacat dan celanya. Kadang-kadang susunannya mengandungi kata-kata yang janggal didengar oleh telinga. Ada pula yang mengandungi kata-kata yang tidak sopan dan tidak kurang pula setengah-setengahnya sangat lucah. Ibarat dan tamsil sangat rendah dan tidak bermutu langsung. Maka benarlah al-Quran itu sebagai mu’jiz (yang melumpuhkan) kebolehan seseorang yang hendak menandinginya.
- Allah s.w.t menyifatkan orang-orang kafir yang telah ditutup hati mereka kearah kebenaran seperti batu walaupun mereka sebenarnya manusia . Dan pengumpulan batu-batu yang sebenar dengan batu-batu dari manusia menjadi bahan bakar api neraka yang disediakan khas untuk orang-orang kafir.
5- Ayat ke 25:
- Allah s.wt menyuruh Rasullullah s.a.w membawa khabar gembira kepada orang-orang yang beriman kepada Allah dan mengerjakan amal salih[4].
- Sesungguhnya mereka akan dikurniakan syurga yang merupakan taman perkebunan. Ada didalamnya istana-istana tempat kediaman, mengalir dilembahnya air-air sungai yang menambahkan suburnya syurga itu.
- Mereka diberi makan buah-buahan yang serupa yang pada perasaan mereka pernah dinikmati sebelum ini di dunia, tetapi sangat menghairankan kerana rasanya berlain-lainan. Setiap kali dihidang, mereka mendapat rasa yang baru walaupun rupa bentuknya kelihatan serupa.
- Masing-masing akan memperolehi pasangan. Kalau lelaki akan mendapat isteri dan begitu jugalah sebaliknya. Ianya terdiri daripada bidadari-bidadari dan anak Adam yang kesemuanya bersih dan suci, tidak pernah datang kotor seperti halnya mereka di dunia dahulu.
No comments:
Post a Comment