Friday, October 19, 2012

KHUTBAH JUMAAT 19 OKT 2012



SAFA DAN MARWAH SERTA KEHARUSAN MEWUJUDKAN PERSEFAHAMAN DGN ORG BUKAN ISLAM

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 158 surah al-Baqarah :
إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوْ اعْتَمَرَ فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْراً فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ (158)
Bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian daripada Syiar atau lambang agama Allah. maka barangsiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baytullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah kesalahan dia bersa’ie diantara keduanya. Sesiapa yang mengerjakan kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala dan Allah lagi Mengetahui”
Bersempena datangnya bulan Zulhijjah yang digelar sebagai bulan Haji dimana tetamu Allah diseluruh pelusuk dunia berduyun-duyun mengerjakan ibadah Haji di Baytullah, mimbar pada hari ini ingin menyelami kisah sejarah ibadah sai’e yang menjadi salah satu rukun ibadah haji. Secara umumnya, ayat ini diturunkan ketika mana orang-orang Islam merasa keberatan hendak bersa’ei di antara Safa dan Marwah yang pada suatu masa terdapat disitu berhala-hala yang disembah oleh masyarakat jahilliyyah. Masyarakat jahilliyyah diberitakan telah terlebih dahulu mengerjakan sa’ei dengan memuja dua buah patung, iaitu patung jantan yang bernama Asafa terletak dibukit Safa dan patung betina yang bernama Na’ilah terletak dibukit  Marwah. Disebabkan sejarah inilah, setengah golongan Ansar merasa keberatan untuk mengerjakan sa’ei kerana tidak suka memuliakan tempat yang dimuliakan oleh orang kafir seolah-olah membuat ibadah yang menyerupai amalan orang kafir. Justeru itu, ayat ini diturunkan sebagai bukti bahawa ibadah sa’ei ini dibenarkan oleh Allah dan termasuk antara amalan untuk mendekati Allah s.w.t sebagai lambang taat dan setia kepadaNya.
Kenapakah sampai begitu sekali sensitifnya umat Islam pada masa itu walaupun ibadah sai’e itu sudah mendapat kelulusan daripada Allah s.w.t? Hal ini demikian kehidupan orang Islam ketika itu digambarkan begitu kuat dari segi aqidahnya yang menakluki seluruh jiwa mereka. Mereka dapat merasakan satu perubahan yang menyeluruh telah berlaku di dalam kefahaman dan pemikiran mereka terhadap kehidupan seolah-olah Rasullullah s.a.w telah memegang jiwa mereka ini lalu menggoncangkannya dengan sekuat-kuatnya sehingga segala keladak-keladak jahilliyah yang melekat dalam jiwa mereka terpelanting keluar darinya. Kemudian atom-atom jiwa mereka disusun semula mengikut corak yang baru sama seperti kejutan elektrik menyusun semula atom-atom mengikut bentuk yang berlainan daripada bentuk asalnya”.
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb: “ Inilah sifat Islam, ia memutuskan seseorang mu’min itu secara total dari segala sesuatu yang diamalkan di zaman jahilliyah. Ia menimbulkan perasaan jijik terhadap segala perkara yang ada hubungan dengan jahilliyah. Ia melahirkan perasaan takut dan hati-hati disetiap waktu terhadap segala perasaan dan segala pergerakan yang dilakukan oleh mereka di zaman jahilliyah sehingga seluruh hati mereka hanya diisikan dengan kefahaman dan pemikiran yang baru dengan segala syarat yang dituntut.”
Atas sebab ini, seharusnya seluruh bakal haji khasnya dan seluruh umat Islam amnya perlu menghayati ruh ibadah sa’ei ini  agar dapat mewujudkan rasa jijik dan benci kepada setiap perkara yang haram, mungkar, maksiat, kezaliman, kebejatan yang mana kesemua ini adalah berasal daripada amalan kaum jahilliyah. Janganlah apabila balik dari Baitullah, perangai dan pegangan yang lama yang jelas tersasar daripada Islam yang sebenarnya masih dikekalkan dan dipertahankan. lebih malang lagi, yang dipertahankan itu sudah jelas tersasar daripada ruh Islam yang suci, adil, saksama, amanah, menolak ketirisan, sentiasa menganjurkan kepada ma’ruf dan tidak sekali-sekali mengajak kepada kemungkaran. Ingatlah, jangan meletakkan diri kita sama dengan taraf haiwan yang tidak berakal kerana seekor haiwan tidak akan peduli tentang halal dan haram makanan yang ditelannya. Begitu juga dari segi tindakan, ia juga tidak akan peduli samada menceroboh kebun atau harta orang kerana persoalan halal dan haram bukan satu persoalan baginya. Berbeza dengan manusia, halal dan haram merupakan satu persoalan yang perlu difikir sebelum makan atau melakukan sesuatu tindakan. Jika tidak, seorang manusia itu samalah tarafnya dengan seekor haiwan..
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِنْ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَئِكَ هُمْ الْغَافِلُونَ
ا
بارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ











Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Dewasa ini timbul kekeliruan tentang haruskah wujud persefahaman dengan orang yang bukan Islam dalam memastikan ketuanan Islam ini tertegak di bumi Allah s.w.t. Rasulullah S.A.W.  bersabda secara umum:


الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها
Maksudnya: “Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya”. riwayat Ibn Majah

Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman daripada sesiapa pun , walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliyah yang musyrik. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam.
Antara yang paling masyhur, ialah peristiwa yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi. Apabila mengenangkan peristiwa ini, Rasulullah S.A.W. bersabda yang berbunyi:
لو دعيت به في الاسلام لأجبت
Maksudnya: “Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam  Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya” Namun begitu, Rasulullah S.A.W. juga dengan tegas menyatakan sempadan persefahaman ini dengan sabdanya :

المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما
Bermaksud: “Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram”  riwayat Bukhari
Ini menjadi antara hujah bahawasanya diharuskan bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat lebih-lebih dalam masyarakyat majmuk, seperti amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, masyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.
Antara hujah lain yang thabit dgn sirah Rasullullah s.a.w:
1.      Hadith riwayat Ibn Ishaq dengan sanad yang sahih dan telah diriwayatkan kepada beliau bahawasanya Rasullullah s.a.w mendapat berita bahawa Sofwan b. Umayyah (ketika itu masih musyrik) memiliki beberapa pakaian dan senjata, maka baginda menghantar utusan menemuinya utuk meminjam sejumlah baju perang dan senjata itu. Maka Sofwan pun berkata: “ Adalah ini satu rampasan?” Maka Baginda menjawab : “ Tidak, tetapi ia merupakan satu pinjaman yang dijamin sehingga kami kembalikan kepadamu”. Lalu Sofwan memberi 100 baju perang dan senjata yang secukupnya kepada Rasullullah s.a.w
2.      Dalam buku bertajuk “ Kerjasama politik dalam menegakkan Kerajaan Islam”, karangan Dr Munir Muhammad al-Ghadban, mk 284-285, beliau menyatakan Imam al-Syafie telah menghuraikan dengan lebih lanjut dgn katanya “Jika seseorang imam melihat seseorang kafir tersebut mempunyai pandangan yang bernas dan boleh dipercayai dikalangan orang2 Islam disamping ada keperluan kepada memohon bantuan darinya maka tindakan ini iaitu tindakan memohon bantuan org kafir itu dibenarkan. Dan jikalau keadaan tidak seperti sebegitu tadi, maka tindakan tersebut tidak dibenarkan”. sila rujuk kitab Muhgni al-Muhtaj, jilid 4, mk 221.
3.      Rasullullah s.aw juga pernah memanfaatkan bantuan Abu Talib walaupun seorang yang bukan Islam. Begitu juga di dalam perjanjian Aqabah, Baginda menemui qabilah haji dari Yathrib ditemani oleh Abbas b. Abdul Mutallib walaupun Abbas masih belum masuk Islam ketika itu.
4.      Rasullullah s.a.w juga berkerjasama dengan Yahudi dan musyrikin Madinah dalam piagam Madinah. Baginda juga mengadakan kerjasama dengan orang kafir yang berada dipenempatan sekitar luar Madinah atas kerjasama menjaga laluan dagang diluar kota Madinah demi memelihara keselamatan bersama dan kedaulatan NEGARA ISLAM MADINAH.

Berdasarkan hujah dan dalil yang disebutkan tadi, diharap sidang Jumaat tidak tertipu dan serta diperbodohkan oleh mereka yang ingin menafikan hikmah kenapa Allah s.wt itu mentakdirkan rakyat Malaysia ini berbilang kaum, bangsa dan agama. Sirah Rasullullah s.a.w telah jelas menunjukkan bagaimana akhlaq Rasullullah ketika bermuamalah dgn mereka. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak dapat membezakan diantara Islam dan Melayu, seperti kaum Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.
Tegakkan Melayu yang jelas tidak mahu kepada hukum Islam hanya akan menjadikan Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal. Dan khutbah kedua ini diakhiri dgn sebuah analogi yang amat mudah, sekiranya kita hidup berjiran dengan kaum yang bukan Islam di sebuah taman perumahan, tiba2 rumah kita dimasuki pencuri dan pencuri itu seorang melayu Islam, dan datanglah jiran-jiran kita dikalangan yang bukan Islam ingin membantu…adakah kita menerima bantuan mereka ataupun berkata dengan sombongnya…tak payahlah bantu aku…sebab kamu semua bukan melayu Islam…lagipun  yang mencuri ini ialah melayu yang sudah pasti i.c pencuri ini tertulis Islam sebagai agamanya……..maka tepuk dada tanyalah iman….



3 comments:

Muhammad Akram Ismail said...
This comment has been removed by the author.
Muhammad Akram Ismail said...

Agar Ustaz Felza tidak terfitnah dgn tuduhan men'delete' komen pembaca, saya terpaksa menjelaskan hal ini. Post dia atas sebenarnya telah di'delete' oleh saya sendiri, tp entah kenapa ditulis "removed by the author". Komen tersebut adalah satu kesilapan sebab saya tidak perasan bahawa ini adalah blog Ustaz Felza sendiri, lalu dicadangkan tadi supaya diletak sumber ataupun nama penyedia teks khutbah. What a silly mistake hehe..

ABUJAZARIEY said...

begheh jer...