Monday, October 29, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 170-171 )



بسم الله الرحمن الرحيم
1.      Ayat 170:
-         Ayat ini adalah lanjutan dari ayat-ayat sebelum ini dan yang dimaksudkan dengan orang-orang yang diseru mengikut perintah itu, iaitu orang-orang yang menjadikan patung –patung itu sekutu Allah. Bila mana mereka diseru, mereka menjawab: “ Bahkan kami mengikut apa yang kami perolehi daripada orang tua-tua kami” . Iaitu, turun menurun menyembah berhala , mengharamkan apa yang diharamkan oleh mereka dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh mereka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[1] : “ Samada mereka yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah kaum musyrikin yang selalu mengulang-ulangkan jawapan ini setiap kali mereka diseru supaya menganut Islam dan menerima undang-undang, peraturan dan upacara ibadah mereka dari Islam serta meninggalkan adat kebiasaan mereka di zaman jahilliyyah yang tidak diakui Islam atau yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah kaum Yahudi yang berdegil dengan pegangan dan amalan yang diterima dari datuk nenek mereka dan enggan menerima agama baru baik secara umum mahu pun secara terperinci[2]. Kedua kaum ini sama sahaja kerana ayat ini secara umumnya mengecam perbuatan menerima sesuatu urusan agama dari yang lain dari Allah s.w.t dan mencela perbuatan taqlid dan perbuatan memindah tradisi silam mengenai urusan agama tanpa berfikir dan difahami dengan mendalam.”
-         Berkata Ibn ‘Abbas [3]: “ Rasullullah s.a.w telah menyeru orang-orang Yahudi masuk Islam. Maka berkata orang Yahudi, iaitu Rafi’ b. Kharijah dan Malik b. ‘Auf “ Bahkan kami mengikut apa-apa yang kami perolehi daripada orang tua-tua kami kerana mereka lebih baik lagi dari kami”. Lalu Allah telah mengeji perangai mereka itu dengan firmanNya:
أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لا يَعْقِلُونَ شَيْئاً وَلا يَهْتَدُونَ
Bermaksud: “ (Hairan sungguh, adakah begitu gayanya, mereka masih mengikut bapa-bapa mereka), sekali pun bapa-bapa mereka itu jahil (dalam hal agama, hanya diketahui hal dunia sahaja), dan tidaklah pula mereka itu mendapat petunjuk ke jalan yang benar.”
Walaupun begitu, mereka terus berdegil mengikuti tradisi datuk nenek mereka. Tidakkah ini sesuatu kebekuan fikiran dan satu taqlid yang amat buruk?

2.      Ayat 171:
-         Ayat ini secara jelas melukiskan keadaan mereka dengan satu gambaran yang hina yang layak dengan bentuk taqlid dan kebekuan fikiran mereka yang buruk itu, iaitu gambaran binatang ternakan yang tidak mengerti suatu apa yang dikatakan kepadanya. Malah, apabila tuannya memekik kepadanya, ia hanya mendengar bunyi suara tuannya sahaja tanpa memahami maksudnya. Mereka lebih sesat daripada binatang, kerana binatang melihat, mendengar dan bersuara sedangkan mereka pekak, bisu dan buta. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4]: “ Mereka sebenarnya pekak, buta dan bisu walaupun mereka mempunyai telinga, mata dan lidah selama tidak mengambil faedah daripada pancaindera itu dan tidak menerima hidayah. Anggota-anggota pancaindera itu seolah-olah tidak melaksanakan tugas-tugas biasa yang dijadikan untuknya seolah-olah mereka tidak dikurniakan telinga, lidah dan mata.”
-         Inilah kemuncaknya penghinaan terhadap mereka yang tidak menggunakan aqal fikirannya, menutup jendela-jendela ma’rifah dan hidayah dan menerima bimbingan-bimbingan dalam urusan aqidah dan syari’ah bukan daripada pihak yang sewajarnya mereka  terima bimbingan tersebut.



[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 631-632
[2] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 150
[3] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 46
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 633

No comments: