بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 165:
-
Yang menjadi fokus ayat ini ialah golongan
musyrikin iaitu golongan yang menyekutukan Allah dengan yang selain
daripadaNya. Jikalau dizaman Rasullullah s.a.w, mereka telah mempertuhankan
patung-patung, berhala dan memuja-muja pemimpin mereka sendiri[1].
Hal ini demikian menunjukkan mereka mengasihi kesemua itu secara batil
sepertimana golongan mu’minin mengasihi Allah s.w.t. atas dasar kebenaran[2].
Tindakan seperti ini telah menjadikan mereka ini dikategori sebagai golongan
yang zalim dan menganiyakan diri sendiri. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3]: “Di
kalangan manusia terdapat orang-orang yang menyembah selain daripada Allah
s.w.t. Tuhan-tuhan itu, sewaktunya turunnya wahyu Allah berupa batu-batu,
pokok-pokok, bintang, planet, malaikat atau syaitan. Tuhan itu dimana-mana
zaman jahiliyyah berupa benda-benda, tokoh-tokoh, lambang-lambang atau
pandangan-pandangan. Ianya akan menjadi syirik Khafi (halus) atau syirik Jali
(Jelas) apabila dipersekutukan oleh seeorang di dalam hatinya dengan kasih
kepada Allah s.w.t. Dan bagaimana pula apabila dia mencabut kasih sayang kepada
Allah s.w.t dari dalam hatinya dan memberi seluruh kasihnya kepada tuhan-tuhan
itu, iaitu kasih yang tidak seharusnya diberikan melainkan kepada Allah s.w.t?”
-
Dewasa ini, mereka-mereka yang menyembah
patung-patung sebagai tuhan amat jelas dan tidak dapat tidak lagi perbuatan ini
selari dengan konsep ayat ini iaitu mereka adalah golongan yang jelas
menyekutukan Allah s.w.t walaupun mereka sendiri percaya akan konsep Rububiyyah
iaitu percaya akan adanya pencipta alam
ini. Perkara sebegini tidak menjadi sesuatu yang pelik disebabkan mereka
sememangnya dari golongan orang kafir. Yang menjadi masalah sekarang ini, mereka-mereka
yang mengaku Islam tetapi tindakan mereka seolah-olah menyembah dengan mengikut secara membuta-tuli
kepada pemimpim yang jelas tidak menjadikan Islam itu sebagai cara hidup
walaupun berkali-kali sudah dinasihati dengan berbagai-bagai medium dakwah.
Dengan sebab mereka ini amat menyayangi seseorang pemimpin itu, mereka tergamak
membuang hukum-hukum serta kaedah-kaedah yang telah digariskan oleh Islam dalam
memilih atau mencorakkan sesuatu negara. Sifat sebegini serupa sahaja seperti yang
berlaku di zaman Jahilliyyah yang mana masyarakat pada masa itu sangat ta’sub
kepada pemimpin yang terang-terang melakukan penzaliman, tegar untuk berperang
dan sebagainya daripada amalan-amalan yang bertentangan dengan prinsip Islam
itu sendiri.
-
Sifat sebegini adalah bertentangan dengan
sifat orang mu’min yang tidak mencintai sesuatu menyamai cinta mereka kepada
Allah s.w.t, samada sesuatu itu dari tubuh badan mereka sendiri atau pun orang
lain. Begitu juga samada sesuatu itu daripada pemimpin-pemimpin mereka atau pun
daripada hasil kekayaan bumi yang sentiasa dikejar oleh manusia yang lupa,
sepertimana firmanNya:
وَالَّذِينَ
آمَنُوا أَشَدُّ حُبّاً لِلَّهِ
Bermaksud:
“ Tetapi orang-orang yang beriman itu amat-amat cinta kepada Allah”
Ya’ni mereka itu amat cinta kepada
Allah s.w.t yang mana cinta mereka itu adalah cinta yang bebas dari segala
halangan dunia dan ikatan harta kemewahan. Cinta mereka kepada Allah s.w.t
lebih besar dari segala cinta yang mereka berikan kepada selain daripada Allah
s.w.t. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “
Ungkapan yang menggunakan kata-kata cinta disini adalah ungkapan yang indah
disamping merupakan sebuah ungkapan yang benar, kerana hubungan yang wujud
diantara seorang mu’min yang sebenar dengan Allah ialah hubungan cinta,
hubungan kemesraan hati, kesayangan ruhaniyyah, keakraban dan hubungan perasaan
yang diikatkan dengan sentimen kasih yang gilang gemilang”
-
Seterusnya
ayat ini ditutup dengan firmanNya:
وَلَوْ يَرَى
الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ
الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعاً وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ
Bermaksud: “ Dan andainya
orang-orang yang zalim itu mengetahui ketika mana mereka melihat azab di hari Qiyamat bahawa seluruh kekuatan
itu milik Allah belaka dan bahawa Allah amat keras azabNya (maka tentulah
mereka tidak akan mempersekutukan Allah s.w.t)”
Ya’ni, mereka sudah pasti tidak akan
menyekutukan Allah sekiranya dapat melihat senario yang berlaku ketika azab itu
dihadapkan kepada mereka didepan mata mereka. Kalaulah mereka tahu akan
besarnya seksaan dan segala kekuasaan itu semuanya milik Allah s.w.t tiadalah
mereka akan menyekutukan Allah s.w.t. Tetapi disebabkan mereka jahil tentang
perkara ini samada dengan sengaja atau pun tidak sengaja mereka terus tenggelam
dengan kejahilan sehingga hari bertemu dengan Allah s.w.t.
-
Antara contoh dengan sengaja ialah seperti
tidak mahu mendekati al-Quran serta kefahamannya, tidak suka mendengar
hukum-hukum al-Quran apatah lagi hendak menadah telinga mendengar azab-azab
Allah s.w.t kerana kesemuanya menuju tepat ke batang hidung masing-masing. Yang
tidak sengaja pula seperti mereka berterusan hidup dalam keadaan yang gelap
jauh daripada hidayah Allah kerana dikelilingi oleh kawan-kawan atau
persekitaran yang tidak langsung mendidik kepada kefahaman Islam yang sebenar.
Mereka selesa sebegitu tanpa ada usaha untuk berubah kerana setiap tindakan
mereka yang jauh tersesat itu telah dicantikkan oleh Allah dimata mereka,
sepertimana firmanNya yang berbunyi[5]:
إِنَّ
الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ زَيَّنَّا لَهُمْ أَعْمَالَهُمْ فَهُمْ
يَعْمَهُونَ (4) أُوْلَئِكَ الَّذِينَ لَهُمْ سُوءُ الْعَذَابِ وَهُمْ فِي
الآخِرَةِ هُمْ الأَخْسَرُونَ (5)
Bermaksud: “ Sesungguhnya orang
yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka
perbuatan-perbuatan mereka (yang buruk), sehingga mereka bergelimpangan dalam
kesesatan. Mereka itulah yang akan mendapat seksaan yang buruk (di dunia) dan
mereka diakhirat adalah orang yang paling rugi.”
2. Ayat 166 :
-
Ayat ini membayangkan
hal pemimpin-pemimpin yang dahulunya dipuja oleh pengikutnya di dunia
sehinggakan pemujaan itu sampai ke peringkat sama dengan tuhan iaitu
beranggapan pemimpin itulah satu-satunya yang memberi makan dan kemewahan
kepada mereka sehinggakan mereka tidak berupaya untuk berbuat apa-apa teguran
jikalau pemimpin itu jelas melakukan perkara yang melanggar syariat Islam. Ketika
diperlihatkan azab yang telah tersedia untuk mereka, ketika itulah para
pemimpin masing-masing ingin berlepas diri kerana terbukti mereka di dunia
dahulu adalah sesat. Dan berlakulah tuduh menuduh diantara ketua dan
pengikutnya sehingga saling benci membenci dan bermusuh-musuhan sehingga
terputus tali ikatan kasih sayang mereka yang dahulunya terjalin erat di
kehidupan dunia[6].
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[7]: “
Jika mereka dapat melihat tentulah mereka akan melihat bagaimana
pemimpin-pemimpin berlepas diri dari para pengikutnya ketika mereka melihat
azab. Ketika itu terputuslah segala hubungan dan pertalian yang wujud diantara
mereka. Setiap orang masing-masing sibuk memikirkan nasib dirinya sahaja samada
dia pemimpin atau pengikut. Ketika itu segala kekuatan dan kepimpinan yang
diikuti itu tumbang dan runtuh belaka. Mereka tidak dapat menyelamatkan diri
mereka sendiri apatah lagi hendak menyelamatkan para pengikut mereka. Ketika
itu terdedahlah hakikat Ilahi yang sebenar, iaitu hakikat Uluhiyah dan Qudrat
Allah yang maha Esa dan terbukalah tembelang pembohongan kepimpinan yang sesat
dan lemah dihadapan Allah s.w.t dan dihadapan azabNya.”
3. Ayat 167:
-
Disini
dizahirkan kemarahan orang yang paling menyesal pada ketika itu iaitu para
pengikut yang tertipu kepada pemimpin yang sesat itu dan sekaligus mereka
berangan-angan hendak membalas perbuatan pemimpin itu andainya mereka mendapat
pulang semula kedunia untuk menyatakan bahawa mereka berlepas tangan dari
pemimpin yang lemah yang telah menipu mereka itu dihadapan pemandangan azab[8].
Tetapi, apakan daya mereka setelah Allah memperlihatkan amalan mereka yang
menjadi sebab mereka menyesal yang amat sangat dan tak akan dapat lagi keluar
dari neraka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “
Ini adalah satu pemandangan yang mengharukan, iaitu pemandangan perbalahan dan
perseteruan diantara pengikut dengan pemimpinnya, diantara para pencinta dengan
orang yang dicintainya dan disini datanglah satu ulasan atau satu kesimpulan
yang amat pedih,” sepertimana firmanNya:
كَذَلِكَ
يُرِيهِمْ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ وَمَا هُمْ بِخَارِجِينَ
مِنْ النَّارِ
Maksudnya: “Demikianlah Allah
memperlihatkan amalan-amalan mereka menjadi penyesalan kepada mereka dan mereka
tidak sekali-kali akan keluar dari neraka”
Ya’ni yang dimaksudkan kesimpulan
yang amat pedih itu adalah nasib mereka yang tidak akan dikeluarkan dari api
neraka. Ini juga merupakan dalil yang jelas bahawa kekalnya orang yang mati
kafir di dalam neraka dan tidak sekali-kali mereka akan keluar daripadanya[10]
sepertimana firmanNya[11]:
وَلا
يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَلِكَ
نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ
Bermaksud: “ Dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga
unta boleh masuk dalam lubang jarum dan begitulah pembalasan Kami kepada
golongan yang berbuat kejahatan”
4. Ayat
168:
-
Setelah Allah
s.w.t menjelaskan pada ayat yang terdahulu bahawa dialah Tuhan dan pencipta
yang Maha Esa dan bahawa mereka-mereka yang menyembah selain daripadaNya akan
menerima akibat yang amat buruk, maka disini Allah menjelaskan pula bahawa
Dialah pemberi rezeki kepada sekalian hambaNya dan Dialah yang menentukan hukum
halal-dan haram kepada mereka. Inilah hasil daripada konsep Wahdaniyah Uluhiyah
atau Ketuhanan Yang Maha Esa sebagaimana yang telah diperjelaskan sebelum ini.
Sememangnya pihak yang mencipta dan yang memberi rezeki itulah yang berhak
membuat undang-undang halal dan haram dan demikianlah penggubalan undang-undang
itu mempunyai pertalian yang tidak dapat dipisahkan dengan aqidah.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[12]: “
Disini Allah s.w.t mengharuskan kepada seluruh manusia memakan segala rezeki
yang halal dan baik yang dikurniakan kepada mereka dibumi ini kecuali
perkara-perkara yang diharamkan olehNya yang akan diperjelaskan kemudian. Dia
juga menyuruh mereka menerima hukum halal dan haram ini dariNya sahaja dan
jangan sekali-kali mengikut syaitan dalam perkara ini kerana ia adalah musuh
mereka dan kerana itulah syaitan tidak pernah menyuruh melakukan kebaikan malah
menyuruh berpegang kepada pemikiran yang tidak baik dan melakukan perbuatan
yang buruk. Seterusnya syaitan juga menyuruh mereka menghalal dan mengharamkan
sesuatu mengikut nafsu mereka bukannya berdasarkan perintah daripada Allah
s.w.t dan kemudian mendakwa hukum-hukum yang mereka perkatakan itu adalah
daripada syari’at Allah s.w.t sebagaimana yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi
dan sebagaimana yang didakwakan oleh kaum musyrikin Arab”.
-
Hakikatnya,
perintah mengharus dan menghalalkan segala makanan yang ada dimuka bumi kecuali
sedikit makanan-makanan yang diharamkan oleh al-Quran dengan nas yang jelas itu
menggambarkan sifat bebas agama ini dan sifat kesesuaiannya dengan fitrah alam
semula jadi dan fitrah manusia. Allah telah menciptakan segala sesuatu dibumi
ini untuk faedah manusia dan oleh kerana itu Allah s.w.t jadikan semuanya halal
dan tidak ada yang membataskannya kecuali perintah khas yang mengharamkannya
dan kecuali ianya melampaui batas kesederhanaan. Sebab itulah, adalah lebih baik serta
bertepatan dengan konsep ayat ini sekiranya logo-logo halal JAKIM yang sering
kali menjadi isu kepada kekeliruan masyarakat Islam di Malaysia ini serta kesulitan
untuk dinaik tarafkan agar tidak diciplak oleh pihak tertentu ditukar sahaja
menjadi logo haram yang dilabelkan kepada barangan yang sudah pasti
keharamannya sahaja kerana yang haram itu tidaklah sebanyak yang halal. Dan
walaupun dari segi pemantauannya tetap serupa, ianya akan mempermudahkan dari
segi pemakaian logo dan sudah pasti tiada pihak yang akan menciplak logo haram
ini.
5. Ayat 169 :
-
Syaitan itu
sudah pasti tugasnya ialah menggoda manusia supaya melakukan kejahatan dan
perbuatan yang keji iaitu al-Fakhsya’. Perkataan ini bermaksud membuat
kejahatan yang melampau atau kejahatan yang selayaknya dikenakan hukum hudud
seperti zina dan lain-lainnya[13].
Syaitan juga menganjurkan manusia memperkatakan sesuatu yang dusta terhadap
Allah s.w.t dan RasulNya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[14]: “Namun
demikian, pada umumnya perintah di dalam ayat ini merupakan perintah yang
memberi sepenuh kebebasan menikmati segala yang baik dan menikmati segala
citarasa dalam kehidupan serta memenuhi keinginan fitrah tanpa merasa canggung,
segan dan tidak selesa. Semuanya ini dengan satu syarat iaitu manusia harus
menerima hukum-hukum halal dan haram yang dikenakan keatas mereka itu daripada
pihak yang mengurniakan rezeki itu sendiri bukannya dari bisikan-bisikan
syaitan yang langsung tidak pernah menyuruh manusia berbuat kebaikan kerana ia
musuh ketat mereka. Syaitan hanya memberangsangkan mereka melakukan perbuatan jahat
dan mengkufurkan nikmat Allah dan membuat dakwaan yang palsu terhadap Allah
s.w.t tanpa pengetahuan yang kukuh dan yakin”
[1] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 67
[2] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 137
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 623
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 624
[5] Al-Naml, ayat 4 dan 5
[6] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 2, mk 44. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam
al-Qur’an (1996), J. 2, mk 138
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 626
[8] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 149
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 627
[10] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 70
[11] Al-‘A’raf, ayat 40.
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 630
[13] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 2, mk 45. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi:
Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 150
[14]Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 631
No comments:
Post a Comment