Wednesday, March 27, 2013

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 191 )


بسم الله الرحمن الرحيم
1.      Ayat 191:
-         Berdasarkan ayat ini, Allah s.w.t menyuruh membunuh orang-orang yang memerangi dimana sahaja berjumpa samada ditanah halal atau pun haram seperti di Mekah. Adapun perintah berjihad (berperang) pada ayat 190 yang lalu merujuk kepada musuh yang bertindak menyerang dahulu. Tetapi, suruhan pada ayat ini merujuk kepada suruhan jihad secara total samada musuh sedia berlawan atau pun tidak melawan dan juga musuh yang dahulunya menghalau Rasullullah s.a.w dari Mekah, hendaklah juga dihalau. Hal ini demikian pekerti mereka itu adalah merupakan fitnah merujuk kepada menyekutukan Allah dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari membunuh orang.
-         Fitnah di dalam Islam lebih besar bahayanya daripada membunuh. Hal ini demikian kesan pembunuhan membawa erti kematian terhadap jasad. Adapun fitnah itu membawa erti kematian terhadap nilai kerohanian yang menghapuskan nilai-nilai kemanusiaan dan sekaligus memudharatkan manusia keseluruhannya. Maka insan yang mati rohnya, hidup seperti sudah dibunuh, kewujudannya serupa tiada kerana sudah tiada mempunyai ertinya lagi. Al-Zamakhsyari berkata[1]: “ Fitnah itu ialah penderitaan yang amat sangat dan dugaan yang menimpa seseorang lantas menjadikan dirinya merasa seksa kerananya. Keadaan seperti ini adalah lebih berat baginya dari pembunuhan
-         Fitnah yang berlaku pada awal Islam yang dianggap lebih besar daripada membunuh itu adalah berupa penekanan terhadap kebebasan beragama, penyeksaan terhadap tubuh badan, sekatan ekonomi dan menghalang dari makan minum sebagaimana yang telah dilakukan oleh kaum Quraisy terhadap orang yang baru memeluk Islam. kemuncak fitnah  yang disaksikan pada awal Islam ialah tindakan kekerasan yang dilakukan terhadap keluarga Yasir, Bilal bin Rabah al-Habashi, sekatan ekonomi terhadap Bani Hashim dan mengusir keluar orang Islam dari bumi Mekah sehingga mereka terpaksa berhijrah keluar kerana mencari tempat untuk melindungi aqidah mereka yang baru setahun jagung[2].
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3]: “ Penindasan terhadap agama Allah merupakan satu pencabulan terhadap sesuatu yang paling suci di dalam hidup manusia. Oleh sebab itulah penindasan itu adalah lebih jahat daripada pembunuhan, ya’ni lebih buruk daripada membunuh, mencabut nyawa dan menghapuskan hidup seseorang. Adalah sama sahaja samada penindasan itu dilakukan dengan ancaman dan tindakan keras yang menyakiti atau dengan mengadakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang jahat yang boleh menyesatkan orang ramai, merosakkan akhlak mereka dan menjauhkan mereka daripada agama Allah atau menggalakkan mereka supaya kafir dan menolak Islam. Sebagai contoh yang terdekat adalah sistem hidup kominis yang mengharamkan pengajian agama dan menghalalkan pengajian yang menolak Tuhan serta mengadakan undang-undang yang menghalalkan perbuatan yang haram seperti berzina dan minum arak dan menggalakkan orang ramai kearah itu dengan berbagai cara bimbingan dan dalam waktu yang sama memberi gambaran yang buruk kepada mereka supaya jangan mengikut tatasusila yang baik yang telah disyari’atkan oleh agama Islam. Ia menggunakan undang-undang dan peraturan tersebut sebagai kewajipan yang sudah pasti orang ramai tidak dapat untuk mengelakkannya”
-         Dengan prinsip inilah Islam membenarkan perang terhadap unsur-unsur yang mengancam keselamatan rohani dan menamakan peperangan itu dengan perang pada jalan Allah sekaligus menggariskan beberapa panduan supaya peperangan tersebut tidak menyeleweng daripada prinsip-prinsip yang dibenarkan oleh syara’. Maka dengan itu peperangan yang berprinsipkan Islam tidak boleh dianggap sebagai keganasan dan anti keamanan malah peperangan ini pada hakikatnya membawa kehidupan yang sebenarnya dan bakal mempertahankan kehidupan yang lebih beerti.
-         Al-Quran secara hakikatnya tidak menyebut kata “Jihad” atau “Qital” melainkan dengan disertai “ Fi Sabilillahi”. Hal ini demikian menunjukkan bahawa tujuan dari peperangan dalam Islam adalah tujuan suci, lagi mulia iaitu menegakkan kalimah Allah sekaligus tidak menyasarkan untuk memperolehi kekuasaan, keuntungan material jauh sekali memperlihatkan kesombongan dan keangkuhan dimuka bumi ini[4]. Sepertimana sabda Rasullullah s.a.w yang berbunyi[5]:
مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللهِ هِيَ العُلْيَا فَهُو فِي سَبِيلِ اللهِ
Bermaksud: “ Barang siapa berperang dengan tujuan agar kalimat Allah itu adalah tinggi, maka ia berjuang atas jalan Allah”
-         Diakhir ayat ini, Allah s.w.t melarang untuk berperang di dalam MasjidilHaram. Tetapi sekiranya musuh melawan, barulah diperangi, kerana demikian itu adalah balasan bagi orang-orang yang kafir. Pencabulan ditempat suci hendaklah dibalas dengan balasan yang seimbang yang mana Islam telah meletakkan satu dasar umum iaitu “ darah dibayar dengan darah” walaupun pada bulan-bulan suci dan ditempat-tempat suci. Fitnah terhadap agama Allah dan penganut-penganutnya tidak boleh dibiarkan berleluasa malahan perlu ditentang habis-habisan dengan jihad yang tidak pernah mengenal jemu atau mengalah. Itulah balasan yang sesuai terhadap orang kafir yang menindas orang Islam kerana memusuhi agamanya dan tidak menghormati kesucian Masjidil Haram yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.
-         Firman Allah s.w.t:
وَلا تُقَاتِلُوهُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Imam al-Qurtuby dalam tafsirnya mengatakan disini terdapat dua pendapat dari kalangan ulama’. Pertama[6], ayat ini telah dimansukhkan oleh ayat  yang berbunyi[7]:
فَإِذَا انسَلَخَ الأَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ
Bermaksud: “ Apabila sudah habis bulan-bulan Haram, maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu dimana sahaja kamu jumpai mereka”
Kedua, ayat ini adalah muhkam (ya’ni tetap berlaku sebagai hukum). Menurut Mujahid, ianya tidak diperkenankan melakukan sebarang peperangan di Masjidil Haram kecuali jika diperangi[8].
-         Sebagai bukti atas kebenaran pendapat diatas, terdapat sebuah Hadith daripada Ibn ‘Abbas ketika mana Rasullullah s.a.w berkhutbah pada hari kemenangan merebut Mekah yang berbunyi[9]:
يَاايها الناسُ إنَّ اللهَ حَرَّمَ مَكَّةَ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأرْضَ وَلَمْ تَحِلُّ لِأحَدٍ قَبْلِي وَلَا تَحِلُّ لِأحَدٍ بَعْدي وإنَّما أُحِلَّتْ لِي سَاعَةً مِن النَّهارِ ثُمَّ عَادَتْ حَراَماً إلى يَومِ القِيَامَةِ
Maksudnya: “ Hai manusia, Sesungguhnya Allah telah mengharamkan Mekah (untuk dijadikan tempat bagi peperangan) sejak Dia menciptakan langit dan bumi. Mekah tidak pernah dihalalkan (untuk menjadi medan peperangan) bagi siapa pun sebelum ku dan tidak juga pernah dihalalkan bagi siapa yang sesudah ku. Ianya hanya dihalalkan untukku sesaat sahaja disiang hari ini, kemudian kembali menjadi haram sampai qiyamat.”
Berkata Ibn al-Arabi [10]: “ Maka mantaplah bahawa larangan melakukan peperangan di kota suci Mekah samada berdasarkan al-Quran mahupun Hadith. Jikalau seorang kafir mencari perlindungan ditempat itu, tiadalah jalan untuk membunuhnya. Akan tetapi terhadap orang yang berzina atau yang melakukan pembunuhan maka harus dilakukan hukuman. Dikecualikan juga bagi orang kafir yang mendahului peperangan ditempat itu yang mana harus dibunuh berdasarkan nas al-Quran.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[11]: “ Tidak dibenarkan berperang dikawasan masjidil Haram yang telah ditetapkan Allah sebagai kawasan aman, dimana setiap orang yang berada dikawasan itu mendapat keamanan sebagai memperkenankan doa kekasihNya Ibrahim a.s. Allah telah menjadikan Masjidil Haram tempat pertemuan manusia, dimana mereka dapat menikmati keamanan, kebebasan dan kedamaian. Tidak dibenarkan berperang di kawasan Masjidil Haram kecuali terhadap orang-orang kafir yang tidak menghormati kesuciannya lantas memulakan peperangan terhadap kaum muslimin dikawasan itu. Ketika inilah orang Islam dibenar berperang menentang mereka sehingga berjaya membunuh mereka. Itulah balasan yang sesuai terhadap orang-orang kafir yang menindas orang Islam kerana agama Islam dan tidak menghormati kesucian Masjil Haram.”
-         Tanah Haram sebenarnya mempunyai kehormatan yang tidak boleh dicabuli dengan peperangan dan pembunuhan diatasnya. Bumi Haram ini adalah bumi tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman yang ditentukan oleh Allah s.w.t kepada manusia dan seharusnya mereka tidak boleh mencabuli Tanah Haram ini bertepatan dengan Hadith Rasullullah s.a.w yang berbunyi[12]:
فإنَّ اللهَ تَبَارَكَ وَتَعَلى قَدْ حَرَّمَ دِمَاءَكُمْ وأَمْوَالَكُمْ وأَعْرَاضَكُم إلاَّ بِحَقِّهَا كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا
Bermaksud: “ Sesungguhnya Allah s.w.t mengharamkan darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu daripada dicerobohi kecuali kerana haknya, sebagaimana haramnya pada hari kamu ini, dinegeri kamu ini dan pada bulan kamu ini”
-         Maka hasilnya, pada tahun kelapan Hijrah, Kota Mekah telah dapat ditawan oleh Rasullullah s.a.w dengan angkatan perangnya yang berjumlah 10,000 orang. Ditawan pada 20 Ramadhan yang kesemuanya berpuasa. Tiada darah yang tertumpah dan tiada siapa pun yang dihalau, bahkan dengan adanya sifat Nabi yang “Halim” (berkasih sayang), semua penduduk Mekah mendapat keampunan. Ini adalah catatan yang terpahat dalam sirah Rasullullah s.a.w. Ianya juga memberi gambaran bahawa pejuang-pejuang Islam pada zaman Nabi s.a.w tidak meninggalkan puasa atau merayu untuk dikecualikan walaupun mereka sedang bertugas di medan perang. Maka sangatlah dikesalkan jika ada fatwa yang kononnya merayu mengecualikan puasa yang dianggap boleh mematikan tenaga perjuangan[13].


2.       Ayat 192:
-         Ayat ini memberi isyarat kepada berakhirnya penerusan arahan jihad itu sekiranya mereka berhenti sekaligus tidak mahu mengadakan perlawanan, atau tidak kufur malahan menyerah diri masuk Islam. Penamat ini (ya’ni terhentinya mereka memerangi Islam) yang mewajarkan mereka mendapat keampunan dan rahmat merujuk kepada berhentinya mereka dari kekafiran bukan semata-mata berhenti daripada memerangi orang Islam atau menindas mereka kerana agama mereka. Hal ini demikian jikalau penamatnya sedemikian sahaja, ianya hanya membolehkan orang Islam berdamai dengan mereka sahaja dan ianya belum mewajarkan mereka untuk mendapat keampunan dan rahmat Allah s.w.t. Ini adalah kerana tujuan Allah menyebut keampunan dan rahmat disini adalah untuk menggalakkan orang kafir supaya mereka mendapat keampunan dan rahmat setelah lama mereka bersikap kafir dan melakukan pencerobohan.
-         Sesungguhnya Allah akan mengampuni kesalahan mereka yang lalu dan Dia Maha Penyayang kepada hambaNya kerana tidak menyegerakan seksaNya keatas mereka. Dengan ini juga ianya menjadi rangsangan supaya orang kafir itu kembali memeluk Islam kerana pengampunan di sini membawa erti orang kafir yang diberi rahmat dan keampunan itu digugurkan daripada hukum bunuh balas dan bayaran diat sebaik sahaja mereka memasuki barisan kaum muslimin yang pernah diperangi dan difitnah oleh mereka dahulu dengan berbagai-bagai fitnah. Menurut pandangan al-Razi[14], peperangan dalam Islam hanya jalan bagi mencapai keamanan bukan matlamat. Jika keamanan boleh dicapai tanpa perang, maka itulah yang sepatutnya yang dicari.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[15]: “ Matlamat peperangan ialah untuk mendapat jaminan agar tidak ada orang yang ditindas kerana memeluk agama Islam dengan menggunakan kekuatan atau sebagainya seperti kekuatan undang-undang yang mereka hayati dibawah naunganNya atau peraturan yang mengongkong mereka dengan perkara-perkara yang menggoda iman mereka, menyesatkan aqidah mereka dan merosakkan akhlak mereka. Dan matlamat itu dapat dicapai apabila kedudukkan agama Allah itu kuat dan kukuh hingga digeruni musuh-musuhnya. Oleh sebab itu mereka tidak berani bertindak melakukan penindasan dan tiada siapa pun yang ingin beriman merasa takut dihalang oleh mana-mana kuasa atau takut mendapat penindasan dan tindakan yang menyakitinya. Disini jelaslah bahawa kaum muslimin adalah ditugaskan supaya terus berperang sehingga mereka dapat menghapuskan kuasa-kuasa penceroboh dan zalim itu sehingga agama Allah mencapai kemenangan dan kedudukkan yang teguh”


[1] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 402
[2] Dr. Abdul Hayei b. Abdul Sukor, Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 2, (2010), mk 278
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 130-131
[4] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 401-402
[5] Hadith ini disabdakan oleh Rasullullah s.a.w sebagai jawapan kepada seorang yang bertanya kepada Baginda mengenai orang yang berperang kerana keberanian, dan ada pula kerana kesombongan dan tidak kurang pula yang berperang kerana riya’ dalam mencari pujian manusia. Lalu pertanyaan itu ingin diberi penjelasan yang manakah digolongkan dalam peperangan atas jalan Allah? Maka Baginda s.a.w menjawab dengan Hadith ini. Sila lihat M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 402
[6] Pendapat ini diriwayatkan oleh Qatadah. Sila lihat Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 330
[7] Al-Taubah, ayat 5
[8] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 412
[9] Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
[10] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 414
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 132-133
[12] Al-Bukhari, : al-Hudud: Zahr al-Mu’min hima, bil. 6287
[13] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 78
[14] Tafsir al-Razi, J. 15, ms 179
[15] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 133-134

No comments: