بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat
190:
-
Sebab nuzul
ayat ini sepertimana yg diriwayatkan oleh al-Wahidi[1]
daripada Ibn ‘Abbas r.a ketika mana berlakunya Sulhu al-Hudaybiyyah yang
berlaku pada bulan Zulqaedah, tahun keenam hijrah. Ianya bertitik tolak
daripada tindakan gologan musyrikin yang menghalang Rasullullah s.a.w serta
para sahabatnya yang sudah berpakaian ihram
( daripada Muhajirin dan Ansar serta suku Arab yang lain iaitu seramai
1,400 orang) untuk mengerjakan umrah ke
Baytullah. Ini juga menyebabkan Baginda s.a.w terpaksa menyembelih binatang
korban di Hudaybiyyah.
-
Kemudian
Baginda s.a.w bersama para sahabatnya membuat kesepakatan genjatan senjata
dengan kaum musyrikin dimana kaum muslimin terpaksa menangguh ibadah umrah dan
pulang semula ke Madinah pada tahun itu. Bagaimanapun, mereka diberikan
kebebasan pada tahun berikutnya untuk tawaf mengelilingi Kaabah dan tinggal
menetap selama 3 hari di Mekah. Maka pada tahun berikutnya, Baginda s.a.w
membuat persiapan untuk melakukan umrah qadha’ namun mereka berasa bimbang
takut-takut kaum Quraisy tidak menepati janji serta menghalang mereka untuk
pergi ke Masjidil haram dan memerangi mereka. Apatah lagi ianya akan berlaku
pada bulan haram (ya’ni haram berperang) dan berlaku juga dikawasan Tanah Suci
yang kesemua ini amat-amat tidak disukai oleh para sahabat. Maka turunlah ayat
ini yang bermaksud:
“ Dan berperanglah untuk
menegakkan agama Allah, menentang orang-orang yang memerangi kamu” (ya’ni
orang-orang Quraisy)
-
Antara hikmah
yang tersembunyi disebalik tindakan Rasullullah s.a.w membawa rombongan untuk
mengerjakan umrah adalah supaya bangsa Arab yang bukan Islam (yang terdiri
daripada kaum Quraisy yang masih lagi menentang Islam dan bila-bila masa sahaja
mereka bersedia untuk memerangi orang Islam) mengetahui bahawasanya rombongan
ini benar-benar merupakan rombongan yang mencintai keamanan, bukannya merupakan
angkatan perang. Hal ini demikian tidak ada bekalan peperangan yang disediakan,
malah tidak ada sebilah pedang pun yang terhunus. Kesemuanya tersimpan di dalam
sarungnya[2].
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[3] : “
Ayat surah ini yang merujuk kepada pelajaran ini sedang berdepan dengan
kedudukan kaum muslimin di Madinah menghadapi kaum musyrikin Quraisy yang telah
mengusir orang-orang yang beriman dari kampung halaman mereka dan menindas
mereka kerana agama dan aqidah mereka dan disamping itu ianya menjadi dasar
hukum jihad di dalam Islam. Ayat ini dimulakan dengan memerintah kaum muslimin
supaya memerangi orang-orang yang telah memerangi mereka dan masih terus
memerangi mereka. Arahan ini juga mencakupi supaya mereka memerangi siapa
sahaja yang memerangi mereka pada bila-bila masa dan dimana-mana tempat tanpa
ada unsur pencerobohan.”
-
Di dalam ayat
ini juga terdapat batasan yang tegas terhadap matlamat peperangan dan terhadap
panji-panji perjuangan yang terang dan jelas sepertimana firmanNya:
وَقَاتِلُوا
فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ
Bermaksud: “ Dan hendaklah kamu
memerangi demi jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu”
Ya’ni berperang kerana Allah, bukan
kerana sesuatu matlamat yang lain dari matlamat –matlamat perang yang dikenali
umat manusia dalam sejarah peperangan mereka yang panjang. Berperang kerana
jalan Allah bukan berperang kerana matlamat kemuliaan, kemegahan dan kedudukkan
yang tinggi dimuka bumi, bukan berperang kerana harta rampasan perang dan
kerana habuan-habuan yang lain. Bukan juga kerana kepentingan pasaran-pasaran
ekonomi dan bahan-bahan mentah. Bukan juga berperang kerana mempertuankan satu
bangsa terhadap bangsa yang lain atau satu golongan terhadap golongan yang
lain. Bukan juga kerana matlamat-matlamat yang tertentu.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[4] :
“ Berperang di jalan Allah adalah berperang untuk meninggikan agama Allah
dimuka bumi dan menegakkan sistem hidup Islam dalam kehidupan manusia. Juga
berperang melindungi kaum mu’min yang tertindas kerana Islam dan dari
dihanyutkan oleh kesesatan dan kebejatan. Maka selain daripada
matlamat-matlamat ini, maka peperangan itu tidak halal mengikut hukum Islam dan
orang-orang yang menceburkan diri dalam peperangan itu tidak akan mendapat
pahala dan kedudukkan di sisi Allah s.w.t”
-
Perkataan
jihad dalam bahasa Arab diambil daripada kata nama al-Jahd, ertinya penat atau
al-Juhd yang membawa erti tenaga. Tentera digelarkan mujahid, kerana mereka
bersedia mengorbankan tenaga dan kekuatannya untuk berjihad. Berasaskan
pengertian ini istilah jihad dalam Islam bermaksud: Pengorbanan tenaga bagi
mencapai cita-cita atau bagi mengelak sesuatu yang tidak dingini berlaku[5].
Oleh itu sudah pasti bagi seseorang yang mengharapkan kejayaan dalam cita-citanya
sanggup berkorban apa sahaja dengan apa sahaja cara, jalan, kaedah dan lapangan
yang ada dihadapannya. Maka dengan ini lahirlah berbagai-bagai bentuk jihad,
seperti jihad melawan hawa nafsu, menentang tipu daya syaitan, menentang
penindasan dan kezaliman, menghapus kejahilan, menentang kuffar dan munafiqin.
-
Ibn Qayyim
membahagikan jihad kepada 13 jenis. Termasuk didalam 13 ini ialah jihad yang
merujuk kepada peperangan menentang orang kafir dengan menggunakan kekerasan
tenaga dan senjata[6].
Jihad ini lebih khusus disebut sebagai qital ertinya perang sebagaimana dalam
ayat 190 ini. Jihad dengan pengertian peperangan menentang orang kafir hanya
disyari’atkan setelah umat Islam berpindah ke Madinah dan setelah mereka
mempunyai kekuatan dan tempat tinggal yang memungkinkan mereka berperang untuk
membebaskan diri mereka daripada penindasan sebagaimana arahan daripada ayat
190 ini.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[7] :
“ Tersebut di dalam setengah-setengah riwayat bahawa ayat ini adalah ayat
yang pertama yang diturunkan mengenai peperangan dan sebelum ini telah
diturunkan ayat-ayat yang telah memberi keizinan berperang dari Allah s.w.t
kepada orang mu’min yang telah diperangi oleh orang-orang kafir kerana mereka
telah dianiyai, dan orang-orang mu’min telah pun merasa bahawa keizinan ini
merupakan pendahuluan untuk difardhukan Jihad keatas mereka dan untuk memberi
kedudukan yang kuat kepada mereka sebagaimana yang telah dijanjikan oleh
Allah s.w.t dalam firmanNya[8]:
أُذِنَ
لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ
لَقَدِيرٌ
Bermaksud: “ Sesungguhnya (peperangan
itu) telah diizinkan kepada (orang Islam) yang diperangi kerana mereka telah
dianiayai dan sesungguhnya Allah amat berkuasa menolong mereka.”
Oleh sebab itulah mereka mengetahui
bahawa sebab dizinkan berperang ialah kerana mereka telah dianiaya dan mereka
telah diberi isyarat supaya menuntut keadilan terhadap kezaliman itu setelah
mereka dilarang menentang dan menolak kezaliman tersebut ketika mereka berada
di Mekah yang mana mereka diperintah sepertimana firmnaNya[9]:
كُفُّوا
أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
Bermaksud:
“ Tahanlah tangan kamu (dari melawan) dan dirikanlah solat dan tunaikan zakat”
-
Apabila
memperkatakan keizinan berperang dari segi syari’at, sebelum berlaku peristiwa
hijrah, peperangan adalah dilarang dan ini dapat dibuktikan dalam banyak
ayat-ayat al-Quran antaranya[10]:
ادْفَعْ
بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Bermaksud:
“ Hindarilah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih
baik”
Begitu
juga firmanNya[11]:
فَاعْفُ
عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Bermaksud: “ Maafkanlah mereka
(jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya
Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik.
Antara lain firmanNya[12]:
قُلْ
لِلَّذِينَ آمَنُوا يَغْفِرُوا لِلَّذِينَ لا يَرْجُونَ أَيَّامَ اللَّهِ
Bermaksud: “ Katakanlah (wahai
Muhammad) kepada orang-orang yang beriman agar mereka memaafkan (kejahatan dan
gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari- hari (pembalasan
yang telah ditentukan Allah)
Kemudian Allah s.w.t memansukhkan
semua arahan wajib tersebut dengan ayat-ayat perang yang diturunkan di Madinah
seperti ayat 190 ini.
-
Antara sebab
larangan daripada melawan atau bertindak secara agresif yang boleh membawa kepada peperangan ketika
di Mekah, berdasarkan pendapat al-Syahid Sayyid Qutb antaranya, untuk
membiasakan jiwa para mu’min dari orang-orang Arab itu supaya bersabar
menjunjung perintah dan patuh kepada kepimpinan dan setia menunggu keizinan.
Biasanya dizaman Jahilliyyah mereka mempunyai semangat perang yang
berkobar-kobar. Mereka akan menyahut sebaik sahaja diseru berperang dan mereka
tidak sanggup bersabar menerima kezaliman dan penganiyaan. Justeru pembentukan
umat muslimin yang memikul peranan yang agung itu memerlukan mereka mengawal
tabiat-tabiat jiwa mereka dan membiasakannya supaya tunduk kepada kepimpinan
yang merancang dan mengatur dan patuh kepada arahan-arahan yang dirancang dan
diaturkan itu walaupun ketaatan dan kepatuhan itu menekan saraf mereka yang
biasa bertindak terburu-buru dan bersemangat yang berkobar-kobar apabila diseru
untuk berperang.
-
Oleh sebab
itulah tokoh-tokoh seperti Umar Ibn al-Khattab yang berdarah panas dan Hamzah
Ibn Abd al-Mutalib yang bersemangat pahlawan dan lainnya dari tokoh-tokoh para
mu’min yang gagah berani sanggup bersabar menerima kezaliman yang menimpa
golongan kaum muslimin. Mereka sanggup mengikat saraf mereka menunggu perintah
Rasullullah s.a.w dan sanggup mematuhi perintah pemimpin tertinggi yang
melarang mereka. Kerana itulah wujudnya keseimbangan diantara perasaan yang
terburu-buru dengan tindakan yang berhemah, antara semangat berkobar-kobar
dengan sikap yang berhati-hati, antara darah yang panas dengan kepatuhan di
dalam jiwa muslimin yang disediakan untuk satu tugas yang amat besar.
-
Selain
daripada sebab ini, kaum muslimin di waktu itu merupakan satu golongan kecil
yang terkepung di Mekah. Mungkin mereka
akan terbunuh kesemuanya jika mereka bangkit memerangi kaum musyrikin yang pada
ketika itu kuat dari segi kepimpinan dan juga senjata. Oleh itu, Allah s.w.t
mengkehendaki agar kaum muslimin itu bertambah ramai dan agar mereka dapat
berpusat pada satu tempat yang aman dan selepas itu barulah mereka dizinkan
berperang.
-
Disamping
mengkhususkan matlamat perang agar ianya kejalan Allah sahaja, al-Quran juga
mengkhususkan batas peperangan itu sendiri sepertimana firmanNya:
وَلا
تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Bermaksud: “ Dan janganlah kamu
menceroboh ( ya’ni melampaui batas). Sesungguhnya Allah tidak sukakan
orang-orang yang menceroboh (melampaui batas)”
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[13] :
“ Pencerobohan itu berlaku dengan melancarkan peperangan yang berlebih-lebihan
keatas askar musuh yang menceroboh sehingga membabitkan pihak-pihak yang bukan
askar iaitu pihak awam yang aman dan damai serta tidak membahayakan atau pun
mengancam dakwah Islam dan kaum muslimin seperti wanita, kanak-kanak, orang tua,
dan ahli ibadah yang menumpukan kegiatan mereka di dalam ibadah dari
pemeluk-pemeluk setiap agama. Pencerobohan itu juga boleh berlaku dengan
tindakan yang melewati batas-batas peradaban dan etika perang yang telah
disyari’atkan oleh Islam untuk mencegah perlakuan yang kejam dan ganas yang
terkenal di dalam peperangan jahiliyyah dahulu dan sekarang.”
-
Diriwayatkan
dari Buraydah sebuah Hadith yang bermaksud[14]:
“Bahawasanya Rasullullah s.a.w
manakala melantik ketua angkatan perang yang diutusnya pergi berperang, diberi
wasiat supaya takutkan Allah- suatu pesanan yang khas untuknya dan amnya untuk
yang lain supaya berlaku baik dalam tugasnya. Kemudian Baginda s.a.w berkata:
Berperanglah kamu atas jalan Allah, perangilah siapa yang kufur kepada Allah,
seranglah mereka, jangan khianat, jangan melampaui batas, jangan
mengerat-ngerat musuh yang sedang mati dan jangan membunuh kanak-kanak.!”
-
Kesimpulannya,
tujuan jihad pastilah untuk mencapai matlamat yang telah disebutkan tadi. Ini
sahaja objektifnya dan tidak bercampur aduk dengan suatu matlamat yang lain
atau dengan suatu lambang yang lain. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[15]: “
Itulah jihad untuk aqidah dan jihad untuk melindungi aqidah dari kepungan musuh
serta penindasan. Jihad untuk melindungi sistem dan syari’at Islam di dalam
kehidupan serta menegakkan panji-panjiNya di bumi sehingga digeruni oleh
musuh-musuh yang ingin menceroboh sebelum mereka menceroboh. Sehinggalah setiap
orang yang ingin menganut Islam tidak menaruh takut kepada mana-mana kuasa di
bumi yang ingin mengganggu, menghalang dan menindas Islam. Inilah satu-satunya
jihad yang disuruh oleh Islam, satu-satunya jihad yang diwajibkan serta diberi
pahala dimana orang yang gugur di dalam perjuangan dianggap para Syuhada’ dan
orang-orang yang memikul bebannya dianggap para Auliya’”
[1] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 176
[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 2, mk 76
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 123
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 124
[5] Dr. Abdul Hayei b. Abdul
Sukor, Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 2, (2010), mk 274
[6] Zal al-Ma’ad, J. 1, ms 7
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 113
[8] Al-Hajj, 39
[9] Al-Nisa’, 77
[10] Fussilat, 34
[11] Al-Maidah, 13
[12] Al-Jathiyah, 14
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 124
[14] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 2, mk 77
[15] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 122
No comments:
Post a Comment