Friday, November 2, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 172-173 )



بسم الله الرحمن الرحيم
1.      Ayat 172:
-          Disini Allah s.w.t menyuruh orang mukmin supaya makan daripada rezekiNya yang baik-baik iaitu yang halal dan bermutu sekaligus bersyukur kepadaNya jikalau mereka benar-benar menyembah Allah s.w.t. Makanan yang halal itu bersangkut paut dengan ketetapan yang telah digariskan oleh Islam, manakala makanan yang bermutu itu sudah dimaklumi oleh manusia itu sendiri selain daripada rasa yang lazat, mengandungi bermacam vitamin yang berkhasiat. Makanya manusia diseru mengutamakan makanan yang bermutu dari segi kesihatan serta halal pula dalam Islam. Amat malanglah bagi mereka yang mencari sebaliknya kerana makanan yang halal serta bermutu ini amat banyak disediakan oleh Allah s.w.t untuk makanan manusia.
-         Allah s.w.t memperkenankan hamba-hambaNya yang beriman memakan segala yang baik-baik dan mengharamkan bagi mereka memakan segala yang keji dan busuk seperti bangkai, darah dan daging babi serta melarang mereka menyiksa dan menahan diri dari kenikmatan duniawi sepertimana amalan ahli kitab  mengharamkan diatas diri mereka menikmati makanan yang tidak diharamkan oleh Allah s.w.t sepertimana firmanNya[1]:
مَا جَعَلَ اللَّهُ مِنْ بَحِيرَةٍ وَلا سَائِبَةٍ وَلا وَصِيلَةٍ وَلا حَامٍ وَلَكِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَأَكْثَرُهُمْ لا يَعْقِلُونَ
Bermaksud: “ Allah tidak sekali-kali mensyari’atkan (ya’ni mengharamkan) Bahirah[2], tidak juga Saibah[3], tidak juga Wasilah[4], tidak juga Ham[5]. Akan tetapi orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah s.w.t dan kebanyakkan mereka tidak menggunakan akal fikiran.”
-         Yang dimaksudkan dengan طَيِّبَاتِ ialah rezeki yang halal, sedangkan semua yang diharamkan oleh Allah disebut  الخبائث. Umar Abd Aziz mengatakan maksud طَيِّبَاتِ ialah “pendapatan yang baik” yang diperolehi daripada jalan yang halal dan bukan semata-mata makanan yang baik[6]. Pendapat ini diperkuatkan lagi dengan sebuah Hadith[7]  dari Abu Hurairah yang berbunyi:
إن اللهَ طيبٌ لا يَقبَلُ إلا طيباً وإن اللهَ امرَ المؤمنين بما امر به المرسلين, فقال : يايها الذين امنوا كلوا من طيبات ما رزقناكم. ثم ذكرَ الرَجُلُ يُطيلُ السَفَرَ, أشعَثَ أغبَرَ, يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السماءِ : يا رب يا رب ومطعَمُهُ حرامٌ ومشرابُهُ حرامٌ وملبَسُهُ حرامٌ وغُذِىَ بالحرامِ فأنى يُستَجابُ لهُ
Bermaksud: “ Sesungguhnya Allah Maha Baik, Dia menerima melainkan segala yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintah kepada orang beriman dengan apa yang diperintah kepada para Rasul. Allah berfirman : Hai Rasul-Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal kebajikan. Allah berfirman lagi : Hai orang yang beriman, makanlah diantara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu. Kemudian Rasullullah s.a.w bercerita tentang seorang musafir laki-laki yang berjalan jauh, dengan rambut yang kusut serta badan yang kotor penuh debu mengadah tangan ke langit serta berdoa : Ya Tuhanku! ya Tuhanku! dalam pada itu makanannya dari barang yang haram, minumannya juga dari sumber yang haram dan pakaiannya dari hasil yang haram sekaligus hidup dalam kehidupan yang haram, bagaimana doanya akan dapat dikabulkan.”  Hadith ini memberi kefahaman yang jelas sekiranya mahukan doa itu di makbulkan, seharusnya dipastikan dahulu makan, minum dan berpakain serta kehidupan seorang insan itu sendiri bebas daripada unsur-unsur haram walaupun sedikit.
-         Ayat ini juga menjelaskan bahawasanya limpahan nikmat (suruhan untuk makan rezeki yang baik-baik) ini supaya manusia itu mensyukuri Allah atas dasar benar-benar tulus (tidak berdusta) dalam penyataan iman mereka serta beribadat kepadaNya, tunduk kepada hukumNya, taat kepada perintahNya dan tidak menyembah hawa nafsu dan syahwat mereka.
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[8]: “ Allah menyeru orang-orang yang beriman dengan sifat iman yang menghubungkan mereka denganNya dan menyarankan kepada mereka supaya menerima undang-undang dan peraturan dariNya iaitu mengambil hukum halal dan haram dariNya. Disamping mengingatkan mereka dengan makanan yang dikurniakan  sebagai rezeki kepada mereka kerana Allah sahajalah satu-satuNya Tuhan yang memberi rezeki kepada mereka. Dialah yang mengharuskan makanan yang baik yang dikurniakan kepada mereka. Dengan ini juga menyedarkan mereka bahawa Dia tidak sekali-kali mengharamkan sesuatu yang baik dan apabila Dia mengharamkan sesuatu makanan, maka beerti makanan itu sebenarnya tidak baik, bukannya kerana semata-mata mengharamkannya dan hendak menyulitkan mereka. Malah Dialah dari mulanya yang melimpahkan rezeki kepada mereka. Allah menyuruh mereka supaya bersyukur jika benar mereka mahu menyembahNya sahaja tanpa sebarang sekutu. Oleh sebab itu Allah menyarankan kepada mereka bahawa amalan bersyukur itu adalah suatu ibadah dan ketaatan yang diredhai olehNya dari para hambaNya.”

2.       Ayat 173:
-          Disini pula, Allah s.w.t menjelaskan kepada manusia jenis-jenis makanan yang diharamkan dengan nas yang menentukannya dengan jelas. Sebenarnya, perkara yang diharamkan memakannya tidak terhad kepada empat jenis ini sahaja seperti yang telah disebutkan dalam ayat ini. Malah ada banyak lagi yang diterangkan haramnya di dalam al-Quran dan juga di dalam Hadith-Hadith Nabi s.a.w. Di dalam surah al-Maidah, ayat 3 ada juga diterangkan jenis-jenis binatang yang diharamkan seperti binatang ternak yang mati tercekik, mati dipukul, mati jatuh daripada tempat tinggi, mati di tanduk dan mati dimakan binatang buas. Di dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dinyatakan lagi tentang jenis-jenis binatang yang diharamkan memakannya seperti binatang buas yang bertaring, burung-burung yang menyambar dengan kukunya dan lain-lain lagi[9].
-         Penjelasan merujuk kepada ayat ini bolehlah dibahagikan kepada 3 bahagian seperti berikut:
a)       Bangkai dan Darah:
Bangkai meliputi semua binatang yang mati tidak disembelih secara syara’ kecuali bangkai ikan dan belalang. Manakala darah pula meliputi kesemua darah yang tertumpah samada yang mengalir atau pun beku kecuali hati dan limpa. Antara dalil yang mengharuskan memakan bangkai ikan dan belalang serta limpa dan hati:
أُحلَّ لنا ميتتان ودَمان : السمكُ والجرادُ والكَبِدُ والطِّحالُ
Bermaksud: “ Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah: iaitu ikan laut dan belalang serta hati dan limpa[10]
Rasullullah s.a.w juga bersabda tentang laut:
هو الطُهورُ ماؤُهُ, الحلُّ ميْتَتُهُ
Maksudnya: “ Ialah yang suci airnya dan halal bangkainya[11]
Diriwayatkan dalam sahih Bukhari dan Muslim dari Jabir b. Abdullah, bahawa ia pernah keluar bersama Abu Ubaydah Ibn Jarrah untuk menghadang kafilah Quraisy. Kami membawa bekal sekarung kurma. Lalu berangkat menyusuri pantai laut. Di pantai kami melihat sesuatu timbul di atas air menyerupai bukit pasir yang besar. Kami menghampirinya, rupa-rupanya adalah seekor ikan yang disebut “ anbai” ( sebangsa ikan paus). Abu Ubaydah berkata: “ seekor bangkai” Lalu ia melanjutkan percakapannya: “ Kita dalam suruhan Rasullullah dan kalian dalam keadaan terpaksa, maka makanlah bangkai itu”. Berkata Jabir: “ Maka kami memakannya selama satu bulan sampai kami semua gemuk.” Ia meneruskan cerita : “ Setelah kami tiba kembali Madinah, kami mendatangi Rasullullah s.a.w dan menceritakan peristiwa itu. Nabi s.a.w bersabda: “ Itu suatu rezeki dikeluarkan oleh Allah bagi kalian . Adakah masih tersisa sesuatu dari dagingnya untuk kalian berikan kepada kami agar kami dapat merasanya?” Kami mengirimkan sebahagian daging itu kepada Baginda s.a.w, lalu beliau memakannya[12].
Terdapat juga Hadith yang diceritakan oleh Ibn Aufa, bahawa ia berkata: “ Kami berghazwah (berperang) bersama Rasullullah s.a.w sebanyak 7 peperangan dan selama itu kami memakan belalang[13]
 Ulama fiqh berselisih dalam menentukan apakah pengharaman didalam ayat ini hanya mengenai dimakannya sahaja atau pun termasuk sekali kepada memanfaatkannya pun diharamkan? Secara umumnya pengharaman itu kepada “bangkai” itu sendiri kecuali bila ada yang diperlainkan oleh nas yang tertentu. Ada diantara ulama lain berpendapat bahawasanya yang diharamkan hanyalah memakannya sahaja berdasarkan ayat 172 yang berbunyi:
كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ
Bermaksud: “ Makanlah yang baik-baik dari rezeki yang Kami berikan kepadamu”
Dan juga firmanNya dalam ayat 173 ini sebagai lanjutan kepada pengharaman jenis-jenis makanan yang diharamkan oleh Allah s.w.t yang berbunyi:
فَمَنْ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ
Bermaksud: “Barang siapa yang terpaksa, harus makan…”
‘Alha’ berpendapat bahawa lemak dan kulit bangkai dapat dimanfaatkan seperti lemaknya dibuat cat atau bahan pelebur dan kulitnya dapat disamak.  Hujahnya  merujuk kepada ayat :
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ الْمَيْتَةَ
Pendapat ini mengatakan yang diharamkan itu adalah “memakan” bangkai, dan mereka menguatkan lagi hujjah mereka  ini dengan firmanNya[14]:
قُلْ لا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّماً عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً
Bermaksud: “ Katakanlah: Tidaklah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya kecuali kalau makanan itu bangkai…(dan seterusnya)”
Sebaliknya jumhur ulama fiqh mengharamkan pemanfaatan bangkai dengan berdalilkan ayat[15]:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ الْمَيْتَةُ
Ya’ni diharamkan memanfaatkan bangkai dengan jalan memakannya atau mempergunakannya untuk tujuan lain. Mereka  mengatakan kata “pemanfaatan” itu tidak disebut selepas kalimah حُرِّمَتْ yang sebenarnya bermaksud “ Diharamkan bagimu memanfaatkan bangkai[16]
Selain daripada hujah ini, jumhur ulama fiqh berdalilkan sebuah Hadith yang berbunyi[17]:
لعنَ اللهُ اليهودَ , حُرِّمتْ عليهم الشُّحومُ , فحَمَلوها , فباعوها واكلوا أثْمانها
Maksudnya: “ Dilaknat Allah orang Yahudi, diharamkan lemak keatas mereka, lalu mereka  mencairkannya kemudian menjualnya dan memakan hasilnya”
Hadith ini menunjukkan bahawasanya apabila Allah s.w.t mengharamkan sesuatu, maka diharamkan juga hasil penjualan. Maka tidaklah diperkenankan untuk memperdagangkan atau memanfaatkan sesuatu apa pun dari bangkai , kecuali apa yang telah ditetapkan oleh nas al-Quran dan Hadith.

Menurut al-Jashshash, pengharaman itu berlaku dalam segenap bentuk pemanfaatan[18]. Al-Alusi berkata[19] : “ Dikaitkannya soal keharaman dengan benda yang bersangkutan (yang diharamkan) secara langsung. Padahal, soal haram adalah yang termasuk dalam bidang syari’at dan bukan suatu hal yang berkaitan dengan soal benda yang diharamkan. Hal ini demikian menunjukkan akan haramnya kebebasan memperlakukan bangkai dalam segala bentuknya dengan jalan yang paling singkat dan paling mantap.”
Dalam bab hukum keharaman bangkai sebentar tadi, dengan bersandarkan kepada Hadith-Hadith diatas, maka dengan ini Jumhur ulama fiqh mengecualikan bangkai binatang laut dari persoalan bangkai yang tersebut dalam ayat ini[20] sebagaimana juga mereka mengharuskan memakan belalang.
Akan tetapi, ulama mazhab Hanafi mengharamkan bangkai ikan yang terapung diatas air, namun menghalalkan bangkai ikan yang ditinggalkan oleh air surut bersesuaian dengan sebuah Hadith yang berbunyi[21]:
ما ألقى البحرُ أو جِزَرَ عنهُ فكلوهُ, وما ماتَ قيه وطناً فلا تأكُلوهُ
Maksudnya : “ Ikan yang mati yang dilemparkan oleh laut atau yang ditinggalkan oleh air surut, bolehlah kalian memakannya. Akan tetapi yang mati dan mengapung, janganlah kalian makan”

Al-Qurtuby berkata: “ Kebanyakkan ulama fiqh membolehkan memakan semua binatang laut[22], baik yang hidup atau pun yang sudah mati menjadi bangkai. Yang demikian jugalah mazhab Imam Malik tetapi hanya menolak untuk memberikan pendapat tentang babi laut dan ia berkata: “ Kalian menyebutkannya dengan perkataan babi”. Ibn al-Qasim berkata: “ Akan tetapi saya menyingkirnya, namun saya tidak melihatnya sebagai binatang yang haram[23]” Adapun Abu Hanifah berpendapat bahawa babi laut tidak boleh dimakan disebabkan bersangkutan dengan ayat ini yang mengharamkan babi secara umum. Sebaliknya Imam Syafie dan Auza’ie mengatakan boleh memakan semua binatang yang hidup di air (laut)[24].

Bagaimana pula dengan hukum janin yang masih berada dalam perut ibunya, setelah ibunya disembelih?
Para ulama berselisih pendapat tentang perkara ini. Imam Abu Hanifah berpendapat, janin tersebut haram dimakan kecuali ianya keluar dalam keadaan hidup, lalu disembelih. Hal ini demikian jikalau keluarnya mati, maka hukumnya ialah seekor bangkai. Adapun Imam Syafi’e, Abu Yusuf dan Muhammad berpendapat bahawa janin itu halal dimakan sebab ia masuk dalam hukum disembelih dengan sembelihan ibunya sepertimana sebuah Hadith yang berbunyi[25]:
ذكاةُ الجنينَ ذكاةُ أُمِّهِ
Bermaksud: “ Penyembelihan seekor janin dicakup oleh penyembelihan ibunya”
Imam Malik berkata[26]: “ Apabila bentuk tubuhnya telah sempurna dan bulunya pun telah tumbuh, maka bolehlah ia dimakan dan jikalau sebaliknya, maka tidak boleh dimakan.”
Al-Qurtuby berkata: “ Seekor janin bila keluar mati (setelah induknya disembelih) dapat dimakan sebab ianya dipandang sebahagian dari anggota tubuh induknya[27]
Adapun mereka yang berpihak kepada Abu Hanifah mengatakan Hadith diatas mengandungi makna yang lain, iaitu  maksudnya “ penyembelihan seekor janin serupa dengan penyembelihan ibunya[28]”.
Bagaimana pula hukum darah yang tertinggal dalam urat-urat dan daging? Para ulama bersepakat bahawa darah haram dan tidak boleh dimakan atau dimanfaatkan untuk tujuan lain sebagaimana dalam ayat ini pengharamannya adalah secara mutlak, tetapi terdapat ayat yang mengkhususkan perihal darah ini dengan firmanNya[29]:
أَوْ دَماً مَسْفُوحاً
Bermaksud : “ atau darah yang mengalir”
Makanya pengharaman itu terbatas kepada darah yang mengalir sahaja. Diriwayatkan dari Aisyah r.a bahawasanya ia berkata: “ Sekiranya Allah s.w.t tidak menfirmankan:
  أَوْ دَماً مَسْفُوحاً
nescaya manusia akan meneliti darah yang ada dalam urat-urat[30]”. Dengan ini jelaslah darah yang menyusup  ke dalam serat-serat daging tidaklah haram dengan ijma’ ulama.
Al-Qurtuby berkata: “ Darah itu haram dimakan, kecuali yang telah bercampur di dalam daging dan urat-urat tubuh. Diriwayatkan dari Aisyah r.a bahawa dia berkata : “Kami, pada masa hidup Rasullullah s.a.w memasak daging dalam periuk dan diatas permukaan masakan itu ternampak kekuning-kuningan darah. Kami memakan masakan itu dan kami tidak menolaknya[31]
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [32]: “ Bangkai sememangnya dijijikkan oleh selera yang sihat dan begitulah juga darah disamping diperakui oleh ilmu kedoktoran (yang mana setelah sekian lama diharamkan oleh al-Quran dan Taurat sebelumnya dengan perintah Allah s.w.t) yang mengatakan bahawa pada bangkai dan darah itu terkumpul kuman-kuman dan bahan-bahan yang membahayakan kesihatan manusia. Kita tidak mengetahui apakah ilmu kedoktoran moden ini telah menyelidik seluruh bahaya yang terkandung di dalam bangkai dan darah itu atau disana masih ada lagi sebab-sebab pengharaman yang lain yang belum diketahui oleh manusia.”
b)       Daging babi:
Bermaksud kesemua tubuh badannya. Abu al-Su’ud berkata[33]: “ Disebutkan secara khusus dalam ayat ini “daging babi” padahal bahagian yang lain juga sama sahaja hukumnya haram. Hal ini demikian kerana dagingnyalah yang paling banyak dimakan daripada haiwan ini sedangkan bahagian yang lain hanya mengikut sahaja.” Dalam hubungan ini Allah menyebut secara khusus perkataan “daging” hanyalah untuk menunjukkan bahawa yang haram adalah babi itu sendiri, baik disembelih mengikut syara’ atau pun tidak. Setengah golongan dari aliran al-Zohiriyyah[34] berpendapat bahawa yang diharamkan itu hanyalah daging babi bukan lemaknya. Sebab itulah Allah hanya menyebutkan “ daging babi”. Akan tetapi, jumhur ulama fiqh berpendapat bahawa lemaknya juga haram sebab daging itu meliputi lemak juga dan inilah pendapat yang sahih[35].
Dalam pada itu, para ulama fiqh berselisih pendapat mengenai pemanfaatan bulu babi. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat bulu babi boleh dipakai sebagai pelubang kulit manakala Imam Syafie mengharamkan penggunaan tersebut manakala Abu Yusuf menghukumkan perbuatan itu sebagai makruh. Al-Qurtuby berkata[36]: “ Tiada perselisihan pendapat bahawa babi dan sisinya secara keseluruhan adalah haram, kecuali bulunya yang boleh dibuat pelubang kulit kerana pelubang kulit daripada bulu babi ini telah wujud dizaman hidup Rasullullah s.a.w dan sesudahnya. Kami tidak memperolehi pengetahuan bahawa Rasullullah s.a.w mahu pun mana-mana ulama sesudah beliau tidak membenarkannya. Maka apa yang diperolehi oleh Baginda s.a.w adalah awal syari’at daripadanya”
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[37]: “ Adapun babi, disana ada segolongan manusia sekarang yang mempertikaikannya. Babi itu sendiri menjijikkan tabiat manusia yang bersih dan betul. Walaupun ianya telah diharamkan Allah sejak zaman yang lama lagi, namun baru sahaja ilmu manusia mengetahui bahawa di dalam daging babi, darah dan ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat merbahaya (iaitu cacing pita dan telurnya yang keras). Kini ada segolongan manusia yang berkata bahawa alat-alat pemanas moden telah melangkah maju dan membuat cacing pita dan telurnya tidak lagi menjadi sumber bahaya kerana ia dapat dibasmikan dengan haba yang tinggi yang dapat disediakan oleh alat-alat pemasak yang moden itu. Tetapi, orang sebegini lupa bahawasanya ilmu pengetahuan mereka kadang-kadang memerlukan kepada beberapa abad untuk mengenal pastikan sesuatu penyakit. Siapakah yang berani pastikan bahawa disana tidak ada lagi penyakit-penyakit yang lain yang ada di dalam daging babi yang belum diketahui oleh manusia? Tidakkah wajar kita memberi kepercayaan yang teguh kepada syari’at Allah yang telah mendahului ilmu pengetahuan manusia selama sepuluh abad itu dan menyerahkan kata pemutus kepadaNya, iaitu kita haramkan apa yang diharamkanNya dan kita halalkan apa yang dihalalkanNya kerana syari’at adalah datangnya dari Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.”
c)      Sembelihan bukan dengan nama Allah:
Ya’ni, ketika disembelih disebutkan dengan nama selain daripada Allah seperti nama-nama dewa, hantu, berhala dan lain-lainnya persis amalan masyarakat jahiliyyah yang meyembelih binatang dengan menyeru nama berhala pujaan mereka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[38]: “ Adapun sembelihan yang disembelih kerana yang lain daripada Allah s.w.t, iaitu sembelihan yang diniatkan oleh tuannya kepada yang lain daripada Allah, maka ianya diharamkan bukan kerana sesuatu mudharat tetapi kerana dia berniat untuk yang selain daripada Allah s.w.t. Ianya secara tepatnya diharamkan kerana mudharat ruhaniyyah yang bertentangan dengan kefahaman dan kepercayaan yang betul, bertentangan dengan kebersihan hati, kesucian ruh serta keesaan Tuhan yang disembah”.
-          Seterusnya ayat ini diakhiri dengan penjelasan bahawasanya Islam itu tetap mempertimbangkan keadaan-keadaan darurat melalui firmanNya:
فَمَنْ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Bermaksud: “ Tetapi sesiapa yang dipaksakan dalam keadaan darurat tanpa sengaja dan melampau, maka tiadalah apa-apa kesalahan padanya, sesungguhnya Allah itu maha pengampun dan pengasih”
Para ulama berselisih pendapat mengenai seorang yang dalam keadaan terpaksa, apakah ia boleh makan hingga kenyang ataupun hanya sekadar untuk menyambung nyawa? Imam Malik berpendapat boleh makan hingga kenyang kerana darurat itu menghapuskan apa yang haram sehingga dengan demikian bangkai (sebagai contoh) itu menjadi mubah (boleh dimakan). Namun jumhur ulama’ cenderung kepada memakan sekadar yang perlu sahaja sebab kemubahan itu bersifat darurat dan harus diukur menurut kadarnya[39]. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[40]: “ Iaitu, mana-mana keadaan darurat yang mengancam keselamatan nyawa maka bolehlah seseorang itu menghindarkannya dengan memakan makanan yang diharamkan itu sekadar yang boleh menolak darurat itu tanpa lebih”.



[1] Al-‘An’am, ayat 103
[2] Unta betina yang telah beranak lima dan pada kali yang kelima itu ia melahirkan anak jantan, maka unta tersebut dibelah telinganya dan dilepaskan bebas tidak boleh diganggu.
[3] Unta betina yang dibiarkan lepas bebas kerana dinazarkan untuk berhala mereka
[4] Kambing betina yang beranak kembar dua anak betina berturut-turut sebanyak enam kali, dan pada kali yang ketujuh ia beranak kembar dua tetapi jantan dan betina. Maka anak yang betina itu dinamakan wasilah lalu dibiarkan tidak diganggu. Manakala yang jantan seperut dengannya disembelih untuk berhala mereka.
[5] Unta jantan yang telah membuntingkan unta betina sebanyak sepuluh kali, ia dibiarkan bebas dan tidak diganggu. Sila lihat Tafsir al-Alusi, J. 7, mk 37-38
[6] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 287-288
[7] Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan al-Turmudzi
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 636

[9] Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian al-Quran (JAKIM), mk  331
[10] Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan Dar al-Qutni. Sila lihat Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 80
[11] Diriwayatkan oleh Abu Dawud no. 83; An-Nasa`i no. 332, 4350; Al-Tirmidzi no. 69; dan Ibnu Majah no. 386; Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannaf-nya bab no. 158, hadits no. 15. Malik dalam Al-Muwaththa` no. 37; Asy-Syâfi’i dalam Musnadnya no. 1; Ahmad dalam Musnadnya no. 7192, 8518, 8695, 8855. Lihat juga Ibn al-‘Arabi,  Ahkam al-Quran, J. 1, mk 52

[12] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 200
[13] Lihat Abu Bakar al-Razi, Ahkam al-Quran, J. 1, mk 125
[14] Al-‘An’am, ayat 145
[15] Al-Maidah, ayat 3
[16] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 296
[17] Hadith riwayat ‘Alha’ dari Jabir. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 203
[18] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 291
[19] Al-Alusi, Tafsir Ruh al-Ma’ani, J. 3, mk 41
[20] Hukum ini mencakupi semua bangkai binatang yang hidup di laut, sekalipun penamaanya menyerupai binatang darat yang haram dimakan, misalnya: anjing laut, ular laut, babi laut, dan sebagainya. Ini adalah pendapat al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi’i, al-Imam Ahmad, dan al-Imam Asy-Syaukani.
[21] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 293-294. Walaupun begitu,  Al-Syaikh al-Albani mengatakan Hadith ini tidak sah sepertimana yang telah dipaparkan sebegitu oleh kitab-kitab lain.
[22] Bangkai binatang laut hukumnya halal. Yang dimaksud dengan binatang laut adalah semua binatang yang tidak mampu hidup kecuali di laut. Al-Syaikh al-Albani dalam kitab beliau Al-Shahihah, pada hadits nomor : 480- mengatakan : “Halalnya semua binatang yang mati di laut jika memang binatang tersebut tempat hidupnya di laut, walaupun sudah mengapung di atas air. Betapa baiknya sebuah atsar yang diriwayatkan dari sahabat Ibnu ‘Umar, bahwasanya beliau ditanya : “Apakah boleh aku memakan (binatang laut) yang telah terapung di atas air?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya segala yang terapung di atas air (laut) adalah bangkainya. Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Sesungguhnya air laut itu suci mensucikan, dan bangkainya halal (dimakan. ” Diriwayatkan oleh Al-Daraquthni 538.
[23] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 200
[24] Al-Jashshash, Ahkam al-Quran, J. 1, mk 145
[25] Diriwayatkan oleh Abu Daud.
[26] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 295
[27] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 201
[28] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 295
[29] Al-‘An’am, ayat 145
[30] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 297
[31] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 204
[32] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 637
[33] Tafsir Abu al-Su’ud, J. 1, mk 147
[34]  Salah satu Mazhab dalam ilmu fiqh yang hanya menerima zahir nas al-Quran sahaja sebagai dalil secara harfiah serta menolak setiap kias dan analogi yang sifatnya rasional. Mazhab ini dipelopori oleh Daud al-Asbahani.
[35] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 298
[36] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 205
[37] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 637
[38] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 638
[39] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 299
[40] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 639

No comments: