بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 127:
-
Ayat ini
menggambarkan ketika mana nabi Ibrahim dan nabi Ismail a.s membina Ka’abah
(mempertinggikan asasnya[1]) berdoa yang berbunyi “ Ya Allah ya Tuhan
kami, terimalah amalan kami (kerja membina Ka’abah). Sesungguhnya Engkau
Mendengar lagi Mengetahui. Cukuplah bagi kita untuk menjadikan contoh bagaimana
patuhnya kedua beranak ini akan perintah Allah s.w.t dimana Mekah pada masa itu
tidak mempunyai penduduk lagi kecuali nabi Ibrahim, Hajar dan anaknya Ismail
sahaja. Allah perintahkan mereka untuk membina sebuah rumah dan sedikit pun
mereka tidak bertanya apa tujuannya. Hal ini demikian patuh dan taatnya mereka
akan perintah Allah s.w.t
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb [2]: “
Itulah permohonan supaya diperkenankan doa dan inilah yang menjadi matlamat doa
beliau. Ia merupakan permohonan yang ikhlas kepada Allah, permohonan yang
ditujukan kepada Allah dengan penuh patuh dan khusyu’. Matlamat yang diharapkan
ialah keredhaanNya dan limpah perkenanNya dan harapan itu bergantung kepada
sifat Allah s.w.t yang maha mendengar doa hambaNya dan maha mengetahui dengan
segala niat dan perasaan disebalik doa itu”
2. Ayat 128:
-
Ayat
ini pula menggambarkan sambungan doa nabi Ibrahim dan nabi Ismail yang berbunyi
“ Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah kami dua orang yang muslim (tunduk dan
patuh) kepadaMu dan begitulah juga anak cucu kami dan perlihatkanlah (ajarkan)
kepada kami cara-cara beribadah dan mengerjakan haji. Terimalah taubat kami,
sesungguhnya Engkaulah penerima taubat lagi penyayang. Apakah makna muslim
(Islam)? Maknanya ialah menyerah diri bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Bagaimana
pula keadaan menyerah diri itu? Adakah
serupa dengan menyerah dirinya Komunis satu ketika dahulu? Menyerah diri
bulat-bulat kepada Allah s.w.t ialah dengan menerima semua ajaranNya. Semua
perintah Allah s.w.t, kita beriman dengannya, taat serta beristiqamah dengannya
berpaksikan ajaran yang sebenar daripada Allah s.w.t.
-
Lihat sahaja
nabi Ibrahim a.s, bila menjadi orang Islam yang sebenar beliau membuktikan yang
beliau benar-benar Islam, taat kepada Allah s.w.t bukan sahaja dalam soal
membina Ka’abah tetapi juga dalam soal menyembelih anaknya sendiri. Bila perintah
Allah sudah diumumkan kepadanya, beliau terus mengasah pisaunya tanpa
mempersoalkan perintahNya. Tetapi sayangnya kebanyakkan umat Islam sekarang
tidak seorang pun disuruh menyembelih anak mereka, tetapi bila disuruh potong
tangan kepada pencuri, mereka persoalkan dengan mengatakan ianya adalah zalim.
Jauh sungguh perbandingannya dengan akhlaq nabi Ibrahim yang tidak terkeluar
pun sebarang kata-kata walaupun diperintahkan untuk menyembelih anaknya
sendiri. Hal ini demikian kerana itu adalah perintah Allah dan setiap perintah
Allah itu sudah pastinya tidak zalim dan jikalau kita yakin kepada Allah s.w.t,
kita mestilah menyerah diri, mematuhi perintahNya dan inilah yang dimaksudkan
dengan “muslim”
-
Disini nabi
Ibrahim membuat permohonan kepada Allah s.w.t supaya menjadikan kita orang yang
benar-benar Islam kepada Allah s.w.t. Kenapakan nabi Ibrahim berdoa sedemikian?
Adakah kerana beliau tidak Islam lagi? Hal ini demikian dia bimbang dan takut
diatas ujian serta dugaan yang sedia menantinya diatas dunia ini sekaligus mahu
Allah s.w.t menetapkan dirinya dalam Islam dan matipun juga dalam keadaan
sedemikian. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [3]: “
Itulah harapan mereka berdua untuk mendapat bantuan daripada Allah s.w.t agar
memberi hidayah kepada Islam dan itulah perasaan mereka bahawa hati mereka
terletak diantara jari-jari qudrah dan iradah Allah s.w.t yang maha penyayang
dan bahawa hidayah yang sebenar itu adalah hidayah Allah s.w.t dan bahawa kedua
mereka tidak mempunyai daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan
Allah s.w.t. Mereka berdua berdoa dan hanya kepada Allah sahaja yang wajar
dipohon pertolongan. Disamping itu sifat umat muslimin mestilah bersatu padu
ya’ni seluruh generasi mereka bersatu padu dalam satu aqidah.”
-
Dan doa beliau pada ayat ini bukan untuk diri
sendiri sahaja tetapi untuk anak cucunya serta keturunannya dimasa akan datang.
Terserlah disini satu motivasi kepada umat Islam agar bekerja ( ya’ni
memastikan) bersungguh-sungguh supaya bukan kita sahaja menjadi orang Islam
tetapi keturunan kita dimasa akan datang juga
menjadi orang Islam. Ini adalah kerana terdapat dikalangan orang Islam
yang berpandangan sempit yang mengira cukup hanya dia sahaja yang Islam ( iaitu
Islam mengikut pandangannya) manakala
anak cucunya dimasa hadapan bergantung kepada kehendak masing-masing samada
mereka mahukan Islam ataupun tidak. Sebenarnya mereka tidak boleh bertindak
sedemikian, malah hendaklah memberi perhatian yang berat terhadap keturunannya
dimasa hadapan agar kesemua mereka menjadi muslim yang sebenarnya. Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb [4]: “
Itulah doa yang menggambarkan perhatian berat hati orang yang beriman. Perkara
agama dan aqidah inilah yang menjadi perhatiannya yang utama. Perasaan Ibrahim
dan Ismail a.s terhadap ni’mat keimanan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t
kepada mereka telah mendorong mereka mengharapkan pengurniaan yang sama kepada
zuriat keturunan mereka dan supaya Allah s.w.t tidak mengharamkan pengurniaan
yang tiada tolok bandingnya itu kepada anak-anak cucu mereka. Mereka telah memohon
kepada Allah s.w.t supaya mengurniakan rezeki
buah-buahan kepada zuriat mereka dan mereka tidak pernah lupa berdoa
agar Allah s.w.t mengurniakan ni’mat keimanan kepada zuriat keturunan mereka,
menunjukkan peraturan ibadah kepada mereka dan menerima taubat mereka kerana
Allah s.w.t maha Penerima taubat dan maha Pengasih. Dan seterusnya mereka
berdua berdoa agar Allah s.w.t tidak meninggalkan zuriat keturunan mereka tanpa
hidayah didalam generasi mereka yang akan datang.”
3.
Ayat 129 :
-
Pada ayat ini
juga menggambarkan prasa yang terakhir doa nabi Ibrahim dan nabi Ismail a.s
yang berbunyi “Ya Allah ya Tuhan kami, utuslah kepada mereka (umat kami)
seorang rasul dari golongan mereka yang membacakan ayat-ayat Engkau
(mengajarkan isi kitab dan ilmu pengetahuan kepada mereka) dan yang akan membersihkan mereka daripada
perkara syirik, sesungguhnya Engkau Perkasa lagi Bijaksana. Lafaz “manasik” di
dalam ayat ini mempunyai beberapa pendapat mengikut qaul para ulama’. Ada
ulama’ yang mengatakan maksud “manasik” adalah mandi untuk membersihkan diri.
Ada pula yang meriwayatkan maksudnya adalah segala ibadah haji dan tidak kurang
juga yang mengatakan maksudnya ialah menyembelih ternakan. Ada juga yang
mengatakan bahawasanya “manasik” itu bermaksud segala kerja ibadah dan pendapat
yang paling tepat adalah ibadah haji selepas nabi Ibrahim a.s membina Ka’abah[5].
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “
Sebagai memperkenankan doa Ibrahim dan Ismail Allah s.w.t telah membangkitkan
nabi yang mulia ini ( Muhammad s.a.w) setelah dilalui sekian abad yang lama.
Itulah kebangkitan rasul daripada zuriat Ibrahim dan Ismail yang membaca kepada
mereka ayat-ayat Allah, mengajar kepada mereka kitab suci dan hikmah dan
membersihkan diri daripada kekotoran dosa. Doa yang maqbul itu tetap dimaqbulkan
tetapi ianya disempurnakan pada masanya yang wajar yang ditentukan oleh Allah
s.w.t mengikut hikmah dan kebijaksanaanNya. Tetapi manusia selalu gopoh dan
menuntut disegerakan dan orang-orang yang belum mempunyai hubungan yang rapat
dengan Allah s.w.t selalu dilanda perasaan jemu dan putus asa.”
4. Ayat
130 :
-
Asbab Nuzul
bagi ayat ini[7]
, ketika mana seorang pendita Yahudi yang telah masuk Islam bernama Abdullah b.
Salam menyuruh dua orang anak saudaranya Salamah dan Muhajir agar masuk Islam
bersamanya dengan berkata : “ Kita telah tahu bahawa Allah s.w.t telah
berkata di dalam Taurat bahawa Allah akan membangkitkan seorang nabi bernama Ahmad dari keturunan nabi Allah
Ismail a.s . Sesiapa yang beriman dengannya akan mendapat petunjuk dan siapa
yang engkar akan dikutuk” Seruan ini disambut baik oleh Salamah lalu ia pun
masuk Islam. Adapun Muhajir pula sebaliknya
maka turunlah ayat ini yang menegaskan barang siapa yang benci kepada
syari’at Ibrahim, maka safihlah orangnya.
-
Safih itu
adalah orang yang menganggap sepi sahaja terhadap kebenaran, atau juga disebut
sebagai orang jahil (bodoh) yang menunjukkan kelemahan aqal fikiran[8].
Ayat ini mencela bukan khusus untuk Muhajir sahaja tetapi ditujukan secara umum
kepada kaum Yahudi, Nasara dan orang musyrik Arab. Mereka dicela kerana hanya
jaguh dan pandai berbangga-bangga kononnya ada hubungan dengan nabi Ibrahim
tetapi hubungan iti tidak ditunjukkan secara keimanan yang jelas dan secara
amalan yang benar-benar, malah mereka membenci syari’at Islam dan berusaha
untuk menjauhinya. Serupa jugalah dengan umat Islam sekarang ini yang mengaku
dirinya Islam, berbaka Islam dengan dakwaan bahawasanya nenek moyang mereka beragama Islam tetapi
diri sendiri tidak melakukan kewajipan yang diperintahkan, ada yang
meringan-ringankannya dan tidak kurang pula memandang sepi semua kewajipan
tersebut sehingga akhirnya menjadi liar dari agama Islam. Ada juga yang
mendabik dada menjadi penghalang hukum Islam yang tegar lebih daripada orang
bukan Islam lagi. Maka orang yang sedemikian sepertimana dalam ayat ini Allah
s.w.t mencela mereka sebagai orang yang safih (bodoh dan kurang aqal)
-
Nabi Ibrahim
juga adalah orang yang dipilih oleh Allah didunia dan diakhirat sepertimana
firmanNya:
وَلَقَدْ
اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنْ الصَّالِحِينَ
Bermaksud: “ Dan sesungguhnya kami
telah memilihnya didunia dan sesungguhnya dia di akhirat termasuk dikalangan
orang-orang yang soleh”
Hanya orang yang mengukur dari segi
kebendaan sahaja yang tidak mahu mengikut nabi Ibrahim a.s. Iaitu orang yang melihat
Ibrahim tidak boleh memberi gula, beras atau keperluan yang lain sahajalah yang
tidak mahu mengikutnya. Allah memilih beliau dan bukan raja Namrud yang kaya
raya dan inilah penegasan daripada Allah s.w.t iaitu nabi Ibrahim adalah
pilihanNya diatas muka bumi ini dan oleh itu umat Islam seluruhnya hendaklah
memilih Islam yang tulen dan yang sebenarnya yang dibawa oleh nabi pilihan
Allah s.w.t itu. Begitu juga pada zaman sekarang ini seharusnya kita memilih
pemimpin yang membawa sifat dan akhlaq seperti nabi Ibrahim. Kerana dengan
sifatnya yang taat dan setia kepada perintahNya serta cekal menyempurnakan
segala perintahNya itulah yang membuatkan beliau dipilih oleh Allah sebagai
pemimpin didunia ini. Ayat ini merupakan hitam putih daripada Allah s.w.t dalam
soal memilih pemimpin kerana calon yang Allah pilih itu adalah semestinya
bersifat seperti nabi Ibrahim a.s bukannya sebaliknya yang sanggup menggadai
maruah Islam atas dasar mahu berkuasa didunia ini. Dan di akhirat pun nabi
Ibrahim termasuk dalam kalangan orang yang soleh. Pastinya barangsiapa yang
mengikut perjalanan nabi Ibrahim a.s, maka dia kan terpilih di dunia dan dia
selamat diakhirat. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]:
“ Inilah agama Ibrahim, agama Islam yang
tulen dan terang. Tiada yang benci dan menolak agama ini melainkan orang yang
menganiaya diri sendiri atau memperbodoh
dan bertindak sewenang-wenangnya terhadap dirinya. Ibrahim a.s yang telah
dipilih Allah s.w.t sebagai pemimpin manusia dan diakui diakhirat nanti sebagai
orang yang soleh.”
5.
Ayat 131:
-
Disini Allah
s.w.t memberi ingat kembali akan peristiwa yang berlaku terhadap nabi Ibrahim
a.s. iaitu ketika ia dicubai Allah s.w.t dengan bintang, bulan dan matahari
yang menyebabkan ia terpesona tetapi kemudiannya ia yakin itu semuanya makhluk
dan sudah pasti ada yang menjadikannya. Lalu Allah s.w.t menyuruhnya supaya
beragama Islam lalu beliau sambut seruan tersebut dengan taat setia, tiada ia
beribadat dan tiada ia menyembah melainkan kepada Allah yang maha Esa, Tuhan
sekalian alam. Bermaksud Ibrahim masuk Islam bukan kerana manusia atau benda,
tetapi kerana Allah Tuhan sekalian alam. Beliau juga tidak teragak-agak, tidak
diam ataupun menyeleweng malah terus menyebut sebaik sahaja menerima perintah
dengan ucapan:
قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
Bermaksud:
“ Aku serahkan diriku kepada Tuhan sekelian alam”
[1] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 129
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 453
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 453-454
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 454
[5] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 87
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 455
[7] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 1, mk 182
[8] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 131
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 459
No comments:
Post a Comment