Saturday, April 28, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 125-126)


بسم الله الرحمن الرحيم
1-     Ayat 125:
-         Ayat ini secara jelasnya menunjukkan bahawasanya nabi Ibrahim a.s telah diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk membina Ka’abah ( bangunan seperti rumah empat persegi terletak di tengah-tengah kota Mekah di dalam Masjidilharam)[1]. Sebenarnya, siapa yang membina Ka’abah itu mempunyai berbagai pendapat dan pendapat yang paling kuat ianya dibina oleh nabi Ibrahim sahaja sepertimana yang disebut oleh ayat ini. Allah s.w.t memilih nabi Ibrahim a.s untuk menjaga dan memelihara rumah tempat berkumpulnya manusia iaitu Ka’abah dimana ia dinamakan “Mathabah”. Perkataan “Mathabah” ini berasal dari perkataan “Thaba” “ Yathubu” “Mathabah” dengan makna pahala yang diberi oleh Allah s.w.t. Tetapi yang dimaksudkan disini ialah tempat kembali, ruju’ atau tempat berkumpulnya para jemaah Haji yang datang dari pelusuk dunia[2]. Penduduk Mekah sembahyang berlingkar menghadap kearahnya, hingga membawa orang Islam diseluruh dunia timur, barat, utara mahu pun selatan semuanya mesti mempunyai arah yang satu iaitu yang dinamakan qiblat, tempat menghadap ketika solat. Memang tidak dinafikan bagi mereka yang berkunjung ke Ka’abah itu diberi pahala dan ganjaran serta kelebihan oleh Allah s.w.t. Disitu juga dijadikan tempat yang aman kerana tidak diizinkan oleh Allah s.w.t untuk manusia melakukan kekacaun serta syirik terhadapNya. Dan ianya merupakan tempat yang dipelihara oleh Allah s.w.t sepanjang zaman dari dikuasai oleh orang kafir.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3]: “ Baitillahi al-Haram telah dijaga oleh kaum Quraisy. Tetapi mereka telah menakutkan orang yang beriman, menyeksa mereka dan memfitnah mereka terhadap agama mereka sehingga mereka berhijrah. Sedangkan Allah mahukan rumah itumenjadi pusat perhimpunan semua manusia, dimana tiada seorang pun yang boleh menakutkan mereka. Malah seluruh mereka merasa aman terhadap jiwa dan harta mereka kerana rumah itu sendiri melambangkan keamanan, ketenteraman dan kedamaian.”
-         Seterusnya Allah s.w.t memerintahkan kepada nabi Ibrahim a.s serta orang beriman yang menuju ke Baitillahi al-Haram supaya menjadikan maqam Ibrahim sebagai tempat sembahyang, sepertimana firmanNya:
وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى
Bermaksud: “Dan jadikanlah maqam Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang”
Yang dimaksudkan maqam Ibrahim ini ialah sebuah batu empat persegi, tiap-tiap bidang panjangnya sehasta[4]. Ianya adalah satu tempat berdirinya nabi Ibrahim ketika membina Ka’abah[5] dengan bantuan nabi Ismail yang menghulur batu-batu kepada ayahnya.. Batu itu terletak berhampiran dengan Ka’abah yang dipanggil sekarang dengan maqam Ibrahim. Ini adalah menurut pendapat yang paling kuat. Di situlah tempat yang diberikan kelebihan oleh Allah s.w.t untuk sembahyang padanya.
-          Seterusnya Allah s.w.t menyambung firmanNya:
وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِي
Bermaksud: “ Dan kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail supaya kedua-duanya membersihkan akan rumahku (Ka’abah)”
Apakah yang dimaksudkan dengan membersihkan itu? Ada pendapat yang mengatakan membersihkannya daripada segala berhala yang ada disekeliling Ka’abah. Ada pula yang mengatakan membersihkannya daripada segala keraguan serta kekeliruan terhadap agama. Terdapat pula yang mengatakan membersihkan daripada kekufuran dan ada juga yang mengatakan membersihkan daripada segala najis yang mana orang yang berjunub atau datang haid tidak dibenarkan tawaf. Secara ringkasnya membersihkan disini bermaksud membersihkan daripada segala kekotoran merujuk kepada fizikal serta segala kekejian merujuk kepada kerohanian jiwa seseorang itu kerana semua pendapat diatas tadi diterima kesemuanya oleh para ulama’.
-         Seterusnya Allah s.w.t menutup ayat ini dengan firmanNya:
لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ
Bermaksud: “Bagi orang-orang yang tawaf, yang beri’tikaf serta orang-orang yang ruku’ dan sujud (ketika sembahyang).”
Ya’ni hendaklah Ka’abah itu dijadikan tempat orang membuat ibadah tawaf, tempat iktikaf dan tempat sembahyang. Ka’abah ini menjadi tumpuan orang yang bertawaf dan orang yang beriktikaf. Berkata Sa’id b. Jabir, yang dimaksudkan dengan orang bertawaf disini ialah mereka yang datang dari luar Mekah dan yang dimaksudkan orang yang beriktikaf disini adalah penduduk Mekah yang bermukim di situ[6]. Disini memberi maksud bahawasanya Ka’abah itu diperuntukkan kepada mereka semua samada yang bermukim atau pun tidak. Tiada beza antara satu sama lain dan tiada siapa yang boleh menghalang seseorang itu beribadah di Baitullah. Allah s.w.t berfirman yang berbunyi[7] :
سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ
Bermaksud: “ Sama sahaja orang yang menetap di Kaa’bah ( ‘Aakif) dan orang yang datang dari darat ( al-Baad)”
Ya’ni mereka itu sama sahaja semasa berada di Ka’abah. Tidak ada bezanya antara raja dengan rakyat, kaya dengan miskin yang mana semuanya dalam keadaan yang sama. Jika sekiranya seseorang itu merasa takbur dan sombong serta bimbang kedudukannya akan terancam dan seumpamanya, dia sebenarnya dalam keadaan sedemikian tidak menjalankan hukum Allah dengan setepatnya. Kalaulah seseorang itu melaksanakan hukum Allah dengan setepatnya dan sesempurnanya, dia sudah pasti tidak mempunyai sebarang kebimbangan sekaligus berasa rendah diri terhadap Allah s.w.t. Mereka yang tidak melaksanakan perintah Allah s.w.t, walaupun duduk bermukim di Mekah tidak akan sedar dan tidak akan berfikir betapa mereka itu bertanggungjawap untuk bertawadduk serta merendah diri, mengabdikan dirinya kepada Allah s.w.t. Dinyatakan ruku’ dan sujud sahaja dalam ayat tadi kerana kedua-dua rukun fi’li ini adalah rukun yang paling afdal diantara rukun-rukun yang dilaksanakan didalam sembahyang[8].
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [9]: “ Mereka telah diperintahkan supaya menjadikan maqam Ibrahim itu tempat solat dan yang dimaksudkan dengan maqam Ibrahim itu ialah seluruh Baitullah. Inilah pentafsiran yang kami pilih. Perintah menjadikan Baitullah itu qiblat umat Islam memanglah satu perintah yang tabi’ie yang tidak seharusnya menimbulkan apa-apa bangkangan kerana Baitullah merupakan qiblat yang pertama yang dihadapi oleh umat Islam yang menjadi pewaris Ibrahim dengan keimanan dan pegangan tauhid mereka yang betul. Disamping ianya merupakan rumah kepunyaan Allah s.w.t bukannya kepunyaan seseorang manusia. Sebagai tuannya. Allah s.w.t telah menyerahkan rumah itu kepada dua orang hambaNya yang solih supaya membersihkan dan menyediakan untuk orang-orang yang tawaf dan orang-orang yang tinggal tetap disitu dan orang-orang yang mengerjakan solat. Ya’ni menyediakan rumah itu untuk para jemaah Haji yang berkunjung disana dan untuk penduduknya yang tinggal tetap disana dan untuk orang-orang yang mendirikan solat yang ruku’ dan sujud. Ibrahim dan Ismail sendiri bukannya pemilik rumah Baitullah sehingga dapat diwarisi dari keduanya melalui pertalian keturunan. Mereka tidak lebih dari dua orang penjaga yang bertugas menguruskan rumah itu dengan perintah Allah s.w.t untuk menyediakannya kepada para pengunjungnya dan kepada para hambaNya yang beriman.”

2-      Ayat 126:
-         Disini nabi Ibrahim berdoa kepada Allah s.w.t agar Mekah itu menjadi suatu tempat yang aman. Allah telah memperkenankan doanya sehingga kawasan itu telah digelar sebagai “tanah haram” yang bermaksud haram (dilarang) menumpahkan darah, menganiya, berburu, mencabut rumput serta menebang pokok-pokok yang hidup ditempat itu. Kalau ada seseorang yang berkehendak berbuat huru-hara di Mekah, dia tidak akan selamat dan tidak tahan lamanya disitu sehinggalah dia keluar dari kawasan Baitillah[10]. Tidak kira siapa jua pemerintah itu. Bukannya tiada pernah berlaku huru-hara, tetapi jikalau ada orang yang melakukannya, maka beliau akan jatuh dengan cepatnya dan Mekah akan kembali aman sepertimana janji Allah kepada doa nabi Ibrahim a.s. yang berbunyi:
رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَداً آمِناً
Bermaksud : “Wahai Tuhan, jadikanlah negeri ini negeri yang aman”
-         Nabi Ibrahim juga mendoakan penduduk Mekah itu mendapat rezeki yang banyak  dari jenis buah-buahan dan Allah memperkenankannya. Hal ini demikian boleh dilihat daripada tanah yang dahulunya kering kontang, tiada hasil daripada tanahnya, bukitnya berbatu tanpa pohon kayu, yang ada hanyalah telaga zam-zam didatangi oleh bermacam-macam buah-buahan dan makanan serta berjenis-jenis keperluan hidup dari mana-mana negeri yang dibawa oleh orang-orang yang datang dari luar Mekah. Kalau berkunjung ke Mekah, dapat dilihat dengan jelas betapa maqbulnya doa nabi Ibrahim a.s kepada TuhanNya yang berbunyi :
وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنْ الثَّمَرَاتِ
Bermaksud: “ Dan berilah rezeki kepada penduduknya dengan bermacam-macam buah-buahan ”
Dimana semua buah-buahan yang ada dalam dunia ini boleh didapati di Mekah. Buah-buahan itu ada yang datang dari Asia tenggara, Asia barat iaitu daripada negara Arab sendiri, Eropah, Afrika dan lain-lain tempat mengikut musim dan keadaanya.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[11] : “ Sekali lagi doa Ibrahim menekankan sifat keimanan  bagi Baitullah dan sekali lagi menekankan makna warisnya berdasarkan kelebihan dan kebaikan. Ibrahim a.s telah mengambil pengajaran dari nasihat Allah pada kali yang pertama dan beliau benar-benar sedar kepada peringatan Allah yang berfirman kepadanya yang berbunyi[12]:
قَالَ لا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ
Bermaksud: “ Allah berkata, tidak sampai janjiKu (ya’ni janjiKu tidak mencakupi) kepada orang-orang yang zalim”
Beliau telah mengingati pelajaran ini dan disini pula ketika beliau berdoa agar Allah mengurniakan rezeki dari aneka buah-buahan kepada penduduk negeri itu, beliau membuat pengecualian serta menentukan golongan yang dimaksudkan oleh beliau dalam pemberian rezeki itu iaitu sepertimana firmanNya:

مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ
Bermaksud: “ Iaitu kepada mereka yang beriman dengan Allah dan hari akhirat”
Itulah Ibrahim yang sangat takut kepada Allah, amat sabar, amat taat dan jujur. Beliau beradab sopan dengan adab sopan yang diajarkan oleh Allah s.w.t. Beliau sentiasa menjaga adab sopan itu dalam segala permintaan dan doanya. Disini beliau menerima jawapan daripada Allah, iaitu jawapan yang menyempurna dan menjelaskan golongan yang satu lagi yang didiamkan begitu sahaja, iaitu golongan yang tidak beriman dan akan mendapat balasan yang amat pedih sepertimana firmanNya :
قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلاً ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِير
Bermaksud “ Allah berfirman, yang kufur pun Aku bagi rezeki yang merupakan kesenangan yang sementara diatas dunia ini, kemudian Aku masukkan kedalam azab api neraka dan disinilah tempat tinggal yang amat jahat sekali”
Ya’ni adapun orang yang kufur, Allah kurniakan juga nikmat tetapi dalam bentuk sedikit dan sementara sahaja mengikut ukuran sementaranya kehidupan mereka didunia ini. Bergembiralah dan bermewahlah diatas dunia ini sahaja. Sesungguhnya banyak mana harta benda serta kemewahan yang ada didunia ini jikalau hendak dibandingkan dengan akhirat adalah terlalu sedikit harta dunia itu, tidak boleh dibandingkan sama sekali dengan kemewahan yang ada diakhirat nanti. Dan selepas itu pula mereka akan dipaksa masuk ke neraka untuk diseksa dan disitulah tempat yang sejahat-jahatnya. Hal ini demikian kerana neraka itu adalah tempat yang paling dahsyat dan tidak ada tolok bandingnya bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah s.w.t.


[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 174
[2] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 76
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 446-447
[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 180
[5] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 129. Lihat juga Al-Jamal, al-Futuhat al-Ilahiyah (1996), J. 1, mk 105
[6] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 78. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 149
[7] Al-Hajj, ayat 25
[8] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 78
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 447
[10] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 128
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 448-449
[12] Al-Baqarah, ayat 124

No comments: