بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 51:
- Ayat ini seterusnya menjelaskan ketika mana Allah s.w.t mengadakan perjanjian dengan nabi Musa[1] a.s supaya bermunajat kepadaNya bersama kaumnya yang terpilih seramai 70 orang di bukit Thursina selama empat puluh hari bagi menyambut dan menerima kitab Taurat.
- Kisah ini diceritakan secara terperinci didalam surah Taha yang terdahulu turunnya di Mekah. Kemudiaan nabi Musa a.s tergesa-gesa kerana terlalu asyik sehingga kaumnya yang 70 orang itu tertinggal dibelakang seraya memerintahkan mengikut nabi Harun sahaja ke bukit Thursina. Maka perbuatan tersebut ditegur oleh Allah s.wt dengan firmanNya[2]:
وَمَا أَعْجَلَكَ عَنْ قَوْمِكَ يَا مُوسَى (83) قَالَ هُمْ أُولاءِ عَلَى أَثَرِي وَعَجِلْتُ إِلَيْكَ رَبِّ لِتَرْضَى (84)
Maksudnya: Apakah yang menyebabkan engkau segera datang kemari terlebih dahulu daripada kaummu wahai Musa (lebih cepat daripada janji untuk menerima Taurat). Musa menjawab: Mereka itu ada mengiringiku tidak jauh dari sini dan aku segera datang kepadaMu wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku.
- Nabi Musa a.s, dengan sangkaanya kedatangannya menemui Tuhan dalam tempoh yang lebih awal akan menambahkan keredaan Tuhan kepadanya. tetapi ijtihad dan sangkaan beliau telah salah dan sebab itulah Allah menegurnya[3].
- Dan sepeninggalan nabi Musa a.s, Allah s.w.t telah menguji bani Israel dengan kesesatan menjadikan lembu sebagai tuhan mereka sepertimana firmanNya[4]:
قَالَ فَإِنَّا قَدْ فَتَنَّا قَوْمَكَ مِنْ بَعْدِكَ وَأَضَلَّهُمْ السَّامِرِيُّ (85)
Maksudnya: “Maka Allah berfirman kepada Musa: Sesungguhnya Kami telah menguji kaummu semasa peninggalanmu dan mereka disesatkan oleh al-Thamiri”
- Al-Qur’an mengingatkan mereka tentang kejatuhan akhlak mereka sehingga tergamak menyembah patung anak lembu sebaik sahaja nabi Musa tiada sedangkan nabi itulah yang menyelamatkan mereka dengan izin Allah s.w.t dari kuncu-kuncu fir’aun yang telah menindas mereka.
- Adakah patut mereka menyembah patung yang tidak mampu untuk menjawab pertanyaan mereka apatah lagi tiada kuasa untuk memberi mudarat mahupun manfaat sepertimana firmanNya[5]:
أَفَلا يَرَوْنَ أَلاَّ يَرْجِعُ إِلَيْهِمْ قَوْلاً وَلا يَمْلِكُ لَهُمْ ضَرّاً وَلا نَفْعاً (89)
Maksudnya: Patutkah mereka tidak berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak menjawab perkataan mereka dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?
- Al-Quran juga menerangkan hakikat kedudukkan mereka dalam penyembahan patung anak lembu itu dengan firmanNya:
وَأَنْتُمْ ظَالِمُونَ
Maksudnya: “Dan kamu adalah orang-orang yang zalim”
- Seperti yang diriwayatkan oleh al-Mufassirin antaranya Abu Ja’far Ibnu Jarir al-Tabari di dalam tafsirnya menyebut beberapa riwayat yang menceritakan tentang kesesatan mereka dengan menyembah lembu atas hasutan seorang yang bernama Musa juga yang dikenali sebagai Musa al-Thamiri.
- Musa al-Thamiri ini dilahirkan di zaman tentera fir’aun menyembelih kanak-kanak lelaki yang dilahirkan lalu ibu beliau meletakkan anaknya didalam sebuah gua dan disumbat pintu gua itu dengan batu bertujuan mahu menyelamatkannya.
- Mengikut riwayat, Malaikat Jibril a.s telah memelihara beliau dengan memberi susu dan madu yang keluar daripada salah satu jari Jibril yang merupakan dirinya sebagai manusia sepanjang masa ketika mendidik Musa al-Thamiri. Bagaimanapun ini adalah riwayat daripada Israeliyyat. Riwayat ini boleh menjadi sahih berdasarkan kepada kitab-kitab yang muktabar.
- Musa al-Thamiri yang dipelihara oleh Jibril ini kafir sebaliknya nabi Musa a.s yang dipelihara oleh fir’aun menjadi rasul. Ini adalah satu perkara yang dijadikan oleh Allah s.w.t secara terbalik. Musa al-Thamiri ini mengikut bersama-sama dengan bani Israel yang lain menyeberang laut Merah ketika diburu oleh fir’aun.
- Mengikut riwayatnya ketika kaum bani Israel sudah selamat sampai keseberang, fir’aun yang menunggang kuda betina teragak-agak mahu masuk ke dalam laut lalu Jibril a.s merupakan dirinya sebagai seorang penunggang kuda yang menunggang kuda jantan melintas dihadapan fir’aun.
- Maka apabila kuda fir’aun melihat kuda jantan itu masuk kedalam laut terus diikuti dan menyebabkan tentera-tentera fir’aun semuanya ikut.
- Seterusnya Jibril a.s bertemu nabi Musa a.s dan menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada beliau iaitu arahan pergi bermunajat di bukit Thursina. Musa al-Thamiri yang ada sama di situ kenal akan penunggang misteri itu adalah Jibril a.s. dilihat olehnya bekas-bekas tanah yang dipijak oleh kuda tunggangan Jibril yang mempunyai daya kuasa yang ajaib sepertima firmanNya[6]:
قَالَ فَمَا خَطْبُكَ يَا سَامِرِيُّ (95) قَالَ بَصُرْتُ بِمَا لَمْ يَبْصُرُوا بِهِ فَقَبَضْتُ قَبْضَةً مِنْ أَثَرِ الرَّسُولِ فَنَبَذْتُهَا وَكَذَلِكَ سَوَّلَتْ لِي نَفْسِي (96)
Maksudnya: “Musa berkata: Apa pula halmu wahai Thamiri. Dia menjawab: Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam daripada kesan jejak rasul itu, kemudian aku mencampakkanya dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku”
- Bekas pijakan kuda itu jika dikenakan kepada sesuatu benda, maka benda itu hidup. Bekas ini diambil olehnya dan disimpan[7]. Maka pergilah nabi Musa bermunajat kepada Allah s.w.t selama 40hari dan mewakilkan nabi Harun a.s untuk memimpin bani Israel.
- Bani Israel seterusnya meninggalkan Mesir dan terdapat diantara mereka ada yang meminjam perhiasan-perhiasan daripada emas dan pakain daripada orang-orang Qibti Mesir[8]. Lalu dicampakkan semua perhiasan itu kedalam api.
- Dan pada masa itulah Musa al-Thamiri menggunakan tanah tapak kaki kuda Jibril a.s dengan melemparkan tanah tersebut lalu ia menjadi patung anak lembu daripada emas dimana patung ini mengeluarkan suara dan Musa al-Thamiri berkata: “ Inilah dia tuhan kamu, juga tuhan Musa. Musa telah lupa dimana tuhannya, kiranya ia tertinggal disini, pergilah cari ke mana Musa pergi” sepertimana firmanNya[9]:
قَالُوا مَا أَخْلَفْنَا مَوْعِدَكَ بِمَلْكِنَا وَلَكِنَّا حُمِّلْنَا أَوْزَاراً مِنْ زِينَةِ الْقَوْمِ فَقَذَفْنَاهَا فَكَذَلِكَ أَلْقَى السَّامِرِيُّ (87) فَأَخْرَجَ لَهُمْ عِجْلاً جَسَداً لَهُ خُوَارٌ فَقَالُوا هَذَا إِلَهُكُمْ وَإِلَهُ مُوسَى فَنَسِيَ (88)
Maksudnya: Mereka menjawab: Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiyar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang (Mesir) itu, maka kami mencampakkannya ke dalam api, al-Thamiri juga mencampakkan apa yang dibawa. Kemudian al-Thamiri mengeluarkan untuk mereka daripada leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: Ini tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa.
- Kaum bani Israel pun mencarinya dan menghitung bilangan siang dan malam dikira dua hari. Bila masa telah berjalan 20 hari, mereka mengiranya menjadi 40 hari iaitu telah cukup masa yang dijanjikan nabi Musa akan pulang. Bila ditunggu tidak juga pulang mereka menyangka nabi Musa sudah mati, lalu mereka bertukar agama iaitu menyembah patung anak lembu emas yang pandai berkata-kata untuk dijadikan tuhan mereka kecuali nabi Harun a.s dan 12,000 yang lain.
[1] Musa dalam bahasa Ibrani bermakna air dan pohon kayu. “Mu” bermakna air dan “Sa” bermakna pohon kayu. Allah s.w.t menamakan Nabi Musa a.s dengan air dan pohon kayu kerana Allah s.w.t telah menyelamatkan nabi Musa yang diletakkan didalam peti dan dihanyutkan melalui air dan peti itu tersangkut pada kawasan yang ada pohon kayu lalu dinamakan dengan air dan pohon kayu.
[2] Taha, ayat 83-84
[3] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 16, mk 198
[4] Taha, ayat 85
[5] Taha, ayat 89.
[6] Taha, ayat 95-96
[7] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 85
[8] Yakni barang perhiasan daripada jenis perak dan emas yang telah mereka bawa sehingga menjadi beban. hal ini demikian kerana barang tersebut dipinjam daripada bangsa Qibti untuk perayaan bagi mengelirukan tujuan mereka untuk lari daripada Mesir. Tiba-tiba Thamiri mengatakan barang tersebut membawa sial serta haram hukumnya kalau dipakai dan nabi Musa pun tidak dapat menentukan samada hukumnya haram atau halal kerana tidak balik lagi dari bermunajat
[9] Taha, ayat 87-88
No comments:
Post a Comment