Monday, November 9, 2009

ISTILAH ILMU AL-QIRA'AT 4 (makna konsep ikhtiyariyyah)

PENGERTIAN KONSEP IKHTIYARIYYAH

Penulis berpendapat bahawa permasalahan yang berlaku di kalangan umat Islam berkaitan pembacaan al-Qur’an adalah kebanyakkannya berpunca daripada kurang kefahaman tentang konsep ikhtiyar. Secara umumnya tidak terdapat satu dalil atau pun nas daripada al-Qur’an mahu pun hadith yang mewajibkan sesuatu golongan atau kumpulan mengikuti sesuatu qira’at.

Ini adalah kerana bacaan sesuatu qira’at itu hanyalah pilihan atau ikhtiyar daripada imam tertentu daripada kesemua bacaan yang diturunkan kepada Rasullullah s.a.w. Perkara ini secara asasnya ditegaskan oleh Allah s.w.t dengan firmannya yang berbunyi:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ

Surah al-Muzammil (73) : 20

Maksudnya: Maka bacalah apa yang mudah bagi kamu daripada al-Qur’an

Dan hadith daripada Rasullullah s.a.w[1]yang diriwayat kan oleh Ibn Shihab MuÍammad b. Muslim Abu Bakr al-Zuhri yang berbunyi:

عن ابن شهاب قال : أخْبَرَني عروة بن الزبير بن العوام بن خويلد الأسدي أن المْسوَر بن مَخْرمة بن نوفل بن أهيب القرشي وعبد الرحمن بن عبد القارِّي حدّثاه أنهما سمِعا عمر بن الخطاب رضي الله عنه يَقول: سمعت هشام بن حكيم يَقرأ سورةَ الفرقان في حياة رسول الله صلى الله عليه وسلم فاستمَعت لقراءته, فإذا هو يقرأ على حروف كثيرة لم يَقرَئَنيها رسول الله صلى الله عليه وسلم, فكِدْت ُأساوِرُهُ في الصلاة, فتَصَبَّرْت حتى سلم, فلبَّبْته برِدائه فقلت: من أقرأك هذه السورةَ التي سمِعتك تقرأ؟ قال: أقرأنيها رسول الله صلى الله عليه وسلم, فقلت: كذبْت, فإن رسول الله صلى الله عليه وسلم قد أقرأنيها على غيرِ ما قرأت, فانطلقْت به أقُودُهُ إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقلت: إني سمِعت هذا يقرأ سورة الفرقان على حروف لم تقرئنيها, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم لعمر: أَرسِله فأرسله عمر فقال لهشام: اقرأ يا هشام, فقرأ عليه القراءةَ التي سمِعته يقرأ, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كذلك أنزلت ثم قال: اقرأ يا عمر, فقرأت القراءة التي أقرأني, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كذلك أنزلت, إن هذا القرآن ُأنزل على سبعة أحرف, فاقرأوا ما تيسر منه...

Maksudnya: Bahawasanya Saidina ‘Umar b. al-Khattab (r.a) berkata : aku telah mendengar Hisyam b. Hakim membaca surah al-Furqan semasa hayat Rasullulah (s.a.w.), maka aku telah mendengar pada bacaannya, tiba-tiba ia membacanya dengan huruf yang banyak yang mana huruf ini tidak pernah dibaca kepadaku sedemikian oleh Rasullullah (s.a.w), hampir-hampir aku memegangnya di dalam sembahyang itu, tetapi aku sabar dan menunggu hingga (ia) memberi salam, lalu aku menjerut lehernya dengan selendangnya lalu aku berkata: siapa yang membaca kepadamu surah ini yang aku dengar kamu membacanya tadi?. Katanya: Telah membaca kepadaku Rasullullah (s.a.w.), maka aku berkata kepadanya: kamu telah berdusta. Sesungguhnya Rasullullah (s.a.w.) telah membacakan kepadaku surah ini berlainan sama sekali dengan apa yang engkau baca. Maka aku membawanya kepada Rasullullah (s.a.w.) lalu aku berkata: Ya Rasullullah, sesungguhnya aku telah mendengar orang ini membaca surah al-Furqan dengan satu huruf yang tidak pernah engkau bacakan kepadaku. Berkatalah Rasullullah (s.a.w) kepada ‘Umar : lepaskanlah ia wahai ‘Umar. Maka ‘Umar melepaskannya dan berkatalah ‘Umar kepada Hisyam: Bacalah wahai Hisyam. Maka Hisyam pun membaca sepertimana yang aku dengar dia baca tadi. Maka berkatalah Rasullullah (s.a.w): Demikian itulah ia (al-Qur’an) diturunkan. Kemudian berkata Rasullullah (s.a.w): bacalah wahai ‘Umar. Maka aku pun membaca bacaan yang telah dibacakan kepadaku. Maka berkatalah Rasullullah (s.a.w): Demikian itulah ia (al-Qur’an) diturunkan, sesungguhnya al-Qur’an itu diturunkan di atas tujuh huruf, maka bacalah olehmu apa yang mudah daripadanya.

Atas dasar inilah, muncul berbagai qira’at yang dipelopori oleh imam tertentu yang mana ciri-ciri bacaan tersebut adalah hasil daripada pilihan atau pun dipanggil ikhtiyariyyah daripada imam itu sendiri.

Dalam membincangkan makna al-ikhtiyar ini, Dr. ‘Abd al-Hadi al-Fadhli dalam bukunya, al-Qira’ah al-Qur’aniah menyebut: Huruf yang menjadi pilihan seseorang qari’ diantara huruf yang diriwayatkannya secara ijtihad.[2]

Ibn al-Jazari menyatakan dalam bukunya, Ghayah al-Nihayah, jilid 1, halaman 426, bahawasanya Ibn ‘Abbas r.a mengambil al-Qur’an daripada Zaid b. Thabit kecuali lapan belas huruf yang mana diambil daripada Ibn Mas’ud[3]. Imam Nafi’ pula diberitakan mengambil al-Qur’an daripada tujuh puluh orang tabi’in tetapi hanya memilih dua sahaja bagi menyusun cara bacaan yang dipanggil sebagai qira’at Nafi’.[4]

Imam al-Kisaei pula mengambil al-Qur’an daripada Imam Hamzah tetapi beliau menolak hampir tiga ratus huruf daripadanya. Oleh sebab Imam al-Kisaei ingin memilih huruf secara ijtihadnya sendiri, maka diambil sebahagian dan ditinggalkan sebahagian yang lain.[5] Menurut Ahmad ‘Ali al-Imam di dalam Variant Reading of The Qur’an: A Critical Study of Their Historical and Linguistic Origins ,, halaman 141, mentakrifkan ikhtiyar sebagai:

“....the selection by certain qualified scholars of one or more readings from among a number of readings; ikhtiyar is based on the most authentic and fluent ways of reading in their judgement...In discussing the attribution of qira’at to the Qurra’, Ibn al-Jazari states that they selected certain readings and preferred them in their own readings and teaching of their student. This ikhtiyar is exercised only in respect to selection from existing readings, and never extends to inventions or their own composition”

Melalui petikan ini, dapat difahami secara ringkas bahawa ikhtiyar itu adalah cara bacaan yang dipilih oleh para qurra’ tertentu. Pilihan ini adalah berdasarkan cara mana yang paling asal dan fasih di sisi mereka. Ibn al-Jazari menyatakan bahawa, para qurra’ ini memilih sebahagian cara bacaan ini dan menyandarkan bacaan tersebut kepada mereka serta mengembangkannya.[6]

Daripada beberapa kenyataan di atas tadi, dapatlah disimpulkan bahawa hakikat konsep ikhtiyar ini ialah pilihan cara bacaan daripada himpunan berbagai cara bacaan yang diambil daripada guru-guru tertentu yang dibuat samada oleh imam, perawinya mahupun pewaris perawinya secara ijtihad.

Namun, konsep ikhtiyar ini bukan bertujuan untuk para qurra’ menggubah atau menukar cara bacaan al-Qur’an kepada cara bacaan ciptaan mereka, tetapi sebagai mewujudkan alternatif bacaan yang mana dengan ini memudahkan umat Islam membaca al-Qur’an dengan cara yang paling sesuai bagi mereka. Konsep ikhtiyar ini boleh dibahagikan kepada dua :

i. Khilaf al-Wajib:

Adalah merupakan hakikat pembacaan itu sendiri sama ada melibatkan qira’at, riwayat ataupun turuq. Ini bermakna pembaca mestilah mendatangkan kesemuanya (khilaf al-Wajib) ketika membaca mengikut qira’at, riwayat mahupun Ïuruq tertentu. Sekiranya kurang walaupun satu perkara, bacaan tersebut dianggap tidak menepati spesifikasi periwayatan sesuatu pembacaan qira’at, riwayat mahupun turuq tersebut[7].

Contoh: Bagi mereka yang ingin membaca dengan qira’at ‘Asim wajib membaca dengan fatÍah huruf ya’, iskan huruf kaf dan takhfif huruf zal pada kalimah يَكْذِبُونَ pada ayat:

فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمْ اللَّهُ مَرَضاً وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

Surah al-Baqarah (2): 10

Ini adalah kerana terdapat qira’at yang lain yang membaca dengan dammah huruf ya’, fathah huruf kaf serta tasydid huruf zal pada kalimah tersebut يُكَذِّبُوْن . Walaupun kedua-dua khilaf al-Wajib ini mutawatirah daripada Rasullullah s.a.w, khilaf al-Wajib yang pertama tadi wajib ditunaikan jikalau ingin membaca mengikut qira’at ‘Asim kerana ianya adalah ikhtiyar imam ‘Asim. Perkara ini diakui oleh al-Shatibi melalui katanya[8]:

وَخَفَّفَ كُوْفٍ يَكْذِبُونَ وَيَاؤُهُ * بِفَتْحٍ وَلِلْبَاقِينَ ضُمَّ وَثُقِّلاَ

Maksudnya: Dan telah meringankan huruf kaf (daripada tasydid) oleh imam yang berasal dari Kufah[9] serta huruf ya’ difathahkan manakala imam yang lain membaca Ìammah huruf ya’ serta tasydidkan huruf kaf.

Dan kenyataan tersebut disokong oleh Ibn al-Jazari dengan katanya[10]:

اضْمُمْ شُدَّ يَكْذِبُونَا كَمَا سَماَ

Maksudnya: Dammah huruf ya’ dan tasydid huruf zal pada kalimah ( يُكَذِّبُوْن ) oleh Ibn ‘Amir, Ibn Kathir, Abu ‘Amru, Abu Ja’far dan Ya’qub.[11]

ii. Khilaf al-Jaiz

Bermaksud kelainan antara cara bacaan yang berbagai yang mana memadai ditunaikan salah satu cara daripada mana-mana cara bacaan yang ada dan masih dianggap menepati spesifikasi sesuatu qira’at, riwayat mahupun turuq tertentu.

Pembaca bebas memilih mana-mana cara bacaan dan kalau seseorang memilih dengan satu cara sahaja, tidak dianggap tindakan tersebut mencacatkan periwayatan sesuatu pembacaan. Cara bacaan sebegini tidak dipanggil sebagai qira’at, riwayat mahupun turuq, tetapi ianya hanya dipanggil sebagai wajah sahaja.[12]

Contoh: Wajah yang ada pada mad ‘arid lil sukun di sisi semua imam adalah dengan dua, empat dan enam harakat. Seseorang pembaca bebas memilih kadar harakat yang sesuai bagi pembacaannya.

Selepas daripada ini penulis akan menggunakan istilah qaulan wahidan merujuk kepada khilaf al-Wajib dan khilaf atau wajah merujuk kepada khilaf al-Ja´iz [13]. Kesimpulannya, kefahaman pengertian terhadap istilah-istilah ilmu al-Qira’at amatlah penting dalam memahami kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh para qurra´.



[1] ‘AsqalÉni, AÍmad b. ‘AlÊ b. ×ajar al-,(1989), FatÍ al-BÉrÊ SharÍ ØaÍÊh al-BukhÉrÊ, (tahqÊq:’Abd al-‘AzÊz b. BÉz) cet, 1, Beirut: DÉr al-Kutub al-‘ilmiah, j. 9, h. 28

[2] Ól IsmÉ’il, (2000), op., cit., h. 31.

[3] Ibid.

[4] AÍmad ‘Ali al-ImÉm,(1998), Variant Readings of The Qur’an: A Critical Study of Their Historical and Linguistic Origins, cet. 1, International Institute of Thought Herndon, Virginia.hal. 143

[5] al-ZarkashÊ, MuÍammad b. ‘Abd ´AllÉh, (1988), al-BurhÉn fÊ ‘UlËm al-Qur’Én, cet. 1, Beirut: Maktabah DÉr al-Fikr, j. 1, h. 227.

[6] al-JazarÊ, MuÍammad b. MuÍammad b. ‘Ali b. YËsuf , (2002), al-Nashr fi QirÉ’Ét al-‘Ashr, (tahqiq: JamÉl al-DÊn MuÍammad Sharaf, Tanta: DÉr al-ØaÍÉbah lil Turath, j. 1, h. 51

[7] Dr. MuÍammad SÉlim MuÍaysin (1997), al-IrshÉdÉt al-Jaliyyah fÊ al-QirÉ´Éti al-Sab‘ min ÙarÊq al-ShÉtibyyiah,, Kaherah: Maktabah al-Azhariyah lil ThurÉth, h. 13

[8] al-ShÉÏibÊ, (1996), op., cit., h. 36

[9] iaitu ‘ÓÎim, Hamzah dan al-KisÉ´Ê. Ibid., h. 95

[10] al-JazarÊ , (1994), op., cit., h. 61

[11] Maka dengan itu, ‘ÓÎim, Hamzah, al-KisÉ´Ê serta Khalaf al-‘Óshir membaca dengan (بون يَكْذِ )

[12] Dr. MuÍammad SÉlim MuÍaysin (1997), al-Muhazzab fÊ al-QirÉ´Éti al-‘Ashr wa Taujihuha min ÙarÊq Ùayyibah al-Nashr, Kaherah: Maktabah al-Azhariyah lil TurÉth, h. 25

[13] Berdasarkan pengalaman penulis, di dalam sessi talaqqi qirÉ’at, kebiasaannya khilÉf al-WÉjib digelar dengan istilah qaulan wÉhidan, manakala khilÉf al-JÉ´iz digelar sebagai khilÉf atau wajh sahaja


No comments: