Monday, October 27, 2008

AL-RASM UTHMANI (18)

ADAKAH BOLEH AL-QUR’AN DITULIS DENGAN HURUF SELAIN DARIPADA HURUF HIJAIYYAH?

Syeikh Husayn Wali, bekas ketua Majlis Fatwa al-Azhar bilamana beliau disoal tentang adakah boleh menulis al-Qur’an dalam bahasa Latin, beliau menjawab: tidak syak lagi bahawa terdapat setengah huruf arab tidak boleh diungkapkan mengikut bahasa Latin, oleh itu bahasa Latin tidak boleh menggantikan bahasa Arab.

Dan jika ditulis juga, maka akan timbul kerosakkan pada bacaan mahupun makna, dan beliau bertegas bahawa mengikut syariat Islam, al-Qur’an mesti dilindungi daripada apa jua pengubahan dan kerosakkan..”Kitabat al-Qur’an al-Karim bil Huruf al-Latiniyya” Majallat al-Azhar

Syeikh Mahmud Abu Daqiqa pula menambah tindakan ini akan membelakangi rasm Uthmani yang mana telah diakui kewajipan penulisannya oleh para ulama’ ..”kalimah fi tarjamat al-qur’an al-Karim”. Majallat Nur Islam

Walau bagaimana pun, Syeikh Muhammad Bakhit telah ditanya oleh orang Islam di Transvaal (Afrika Selatan) tentang penulisan al-Qur’an dalam bahasa Inggeris dan Perancis kerana mereka menganggap bahawa huruf Inggeris kurang penggunaannya daripada huruf Arab dan isu ini menjadi perbalahan diantara masyarakat Islam di Afrika selatan pada ketika itu.

Maka Syeikh Muhammad Bakhit pun menjawab mengikut mazhab Hanafi, harus ditulis al-Qur’an dengan bukan tulisan Arab selagimana tidak mengubah sebutan dan makna, tetapi jalan yang paling selamat ialah menulis dengan tulisan arab dan kemudian menulis terjemahan dan tafsiran dalam bahasa lain.

Soalan yang sama telah diajukan kepada Syeikh Rashid Ridha dan beliau menjawab jika bahasa lain gagal berfungsi sepertimana bahasa Arab, maka bahasa tersebut dilarang untuk ditulis. Walaubagaimana pun al-Qur’an boleh dibaca dengan betul sekiranya ditulis dalam bahasa Parsi, dan tidak menjadi kesalahan jikalau ditulis dengan bahasa tersebut. Tetapi, perlulah mengambil kira ijma’ Ulama’ yang mewajibkan al-Qur’an itu ditulis dalam rasm Uthmani

Kemudian beliau menambah, satu-satunya keadaan yang membolehkan al-Qur’an itu ditulis dengan bukan bahasa Arab ialah jikalau keadaan itu terlalu kritikal yang melibatkan saudara baru yang tidak mengenali bahasa Arab untuk mempermudahkan bacaan.” Kitabat al-Qur’an bil al-Hurufu al-Inkliziyya” Majallat al-Manar

No comments: